Bergambar bersama pokok Keriang...
Hampir 44 tahun aku tidak bertemu dengan pokok keriang, dulu masa kecik-kecik kami selalu bermain guli, gasing atau jengket di bawah pokok ini. Bila buah keriang gugur dari atas pokok, kami berebut-berebut untuk mendapatkannya sampai ada yang bertolak-tolak. Pokok keriang ni tinggi, kami malas nak panjat, jadi sambil main guli sambil tunggu buah ni gugur, siapa cepat dia dapat.
Dulu ayah bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR), jadi, kami
sekeluarga tinggal di kuarters yang disediakan. Setiap kuarters ada lebih kurang 5 buah pintu bercampur Melayu dan India. Setiap pagi dan petang
di hari cuti sekolah, kami adik beradik dan anak-anak jiran yang sebaya
selalu bermain guli, gasing atau jengket di kuarters yang bersebelahan dengan blok kami sebab di situ ramai kawan-kawan. Di belakang rumah Pak Cik Daud tempat kami bermain guli itulah tumbuhnya pokok keriang ni. Pokoknya cuma sebatang tapi buahnya sangat lebat. Rasanya kelat tetapi jika nak rasa lebih sedap dan manis, kena rendam dalam air garam dulu dan kemudian baru makan. Buah ini juga sangat enak dan rupanya seakan-akan buah anggur.
Buah Keriang seakan-akan buah anggur apabila sudah masak...
Bila ayah membeli sebuah rumah teres dan mengambil keputusan untuk berpindah maka kami terpaksa akur walaupun berat untuk meninggalkan kuarters ini yang banyak meninggalkan kenangan. Bukan itu sahaja, ayah dan emak terpaksa meninggalkan banyak tanam-tanaman yang diusahakanya di belakang rumah seperti pokok pisang, ubi kayu, jagung, pokok keladi dan sayur-sayuran, apa yang ayah dan emak tanam semua menjadi dan hidup subur. Di samping itu ayah dan emak juga ada menternak ayam dan itik. Aku tidak tahu kenapa ayah nak berpindah ke rumah baru kerana aku tengok rumah baru kami di kelilingi hutan yang menyeramkan berbanding di kuarters JKR yang kehidupan di zaman kanak-kanak yang lebih menyeronokkan.
Oleh kerana masa tu aku masih kecil lagi, maka aku tidak pernah tanya kenapa ayah nak pindah ke rumah baru sedangkan di kuarters ini kami hidup selesa dengan segala kemudahan yang ada. Nak buat tilam dan bantal, di belakang rumah ada pokok kekabu, nak buat tikar mengkuang, ada banyak pokok mengkuang yang tumbuh meliar, nak cari kayu api, kami pergi ke kilang kayu yang berhampiran untuk mengambil kulit kayu balak yang baru diturunkan dari lori. Tauke kilang tidak pernah menghalang atau memarahi sewaktu kami mengopek kulit kayu balak tersebut. Nak memancing ikan pula, aku dan kawan-kawan akan pergi ke lombong-lombong yang banyak terdapat di persekitaran rumah walaupun selalu kena marah dengan emak.
Setelah berpindah kerumah baru pada tahun 1970, aku jarang ke kuarters JKR tempat kami tinggal dahulu kerana tiada kenderaan, lagipun nak naik bas, aku tak pandai dan takut maklumlah umur dalam lingkungan 9 tahun. Disebabkan itu aku tidak lagi dapat makan buah keriang dan bermain-main di bawah pokoknya. Lama kelamaan, aku terus lupa akan kewujudan pokok keriang ini.
Pokok Keriang yang berbuah lebat...
Dua minggu lepas, iaitu pada 17 Jun 2014, aku mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Kawasan Lubuk Sireh yang beralamat di Kaki Bukit, Perlis, Selepas mengadakan sedikit perbincangan dengan Pengurus Kawasan di pejabatnya, Beliau membawa kami meninjau di persekitaran pejabat dan kuarters staf yang hendak dilupuskan.
Ketika tiba di belakang salah sebuah rumah yang tiada lagi berpenghuni dan perlu dilupuskan, aku terpandang akan sebatang pokok yang berbuah lebat. Aku tidak tahu apa nama pokok ini, buahnya seperti buah anggur, tapi takkan pokok anggur kerana pokoknya besar dan tinggi. Aku lalu bertanya kepada Pengurus tersebut. Kata Pengurus, pokok itu ialah pokok keriang, buahnya boleh dimakan tapi kelat sedikit, kalau nak sedap kena rendam dalam air garam, baru terasa keenakkannya.
Aku lantas teringat pokok yang aku pernah bermain di bawahnya di sekitar penghujung tahun 1960an dahulu yang ketika itu aku masih berusia kanak-kanak. Tak salah lagi, inilah pokoknya, pokok dan buah keriang yang aku tidak berjumpa hampir 44 tahun lalu.
Pokok Keriang yang tinggi dan besar...
Tanpa membuang masa, aku terus memetik buahnya lalu makan, sebaik mencecah di lidah, seakan-akan terasa apa yang aku rasakan 44 tahun dahulu. Tak semena-mena aku teringatkan kawan-kawan yang sama-sama bermain di bawahnya suatu ketika dahulu. Airmataku lantas menitik kerana terkenangkan mereka. Mungkin di antara kami sudah tiada lagi kerana telah pergi menyahut seruan Ilahi. Aku bersyukur kerana aku masih sihat dan dapat menatap pokok yang banyak memberikan kenangan. Tanpa membuang masa, aku mencapai kamera lalu merakam gambar pokok Keriang dan buahnya untuk tatapan generasi yang akan datang. Jika tidak dipelihara, tidak mustahil pokok ini akan pupus di muka bumi.
Buah Keriang yang telah dipetik dan sudah masak...
Sedikit fakta mengenai pokok Keriang :-
- Pokok ini hanya terdapat di utara Tanah Air.
- Generasi sekarang tidak mengenali pokok/buah ini kerana pokok/buah ini semakin lama semakin sukar diperolehi
- Jika dahulu buah ini mudah didapati di kawasan hutan dan pinggir kampung, kini buah ini semakin lama semakin berkurangan.
- pokok/buah keriang berbuah sekali dalam setahun sekitar bulan April hingga Mei.dan buahnya akan bertukar menjadi warna hitam apabila betul-betul masak.
- Dari segi perubatan ia dipercayai mempunyai pelbagai khasiat.
- Buah ini apabila betul-betul masak gugusannya adalah seperti buah anggur
Khasiat Buah Keriang :-
- Mengurangkan kadar gula dalam darah bagi pesakit kencing manis.
- Mengeluarkan cacing kerawit di dalam perut.
- Biji buah keriang boleh dikeringkan, ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk diminum.
Aku berharap suatu hari nanti akan ada pasukan penyelidik samada di bidang perubatan mahupun bidang kosmetik untuk membuat
penyelidikan tentang buah ini kerana aku pasti banyak khasiatnya yang
boleh diperolehi darinya. Jika berjaya dikomersialkan, sudah tentulah pokok ini akan banyak ditanam semula dan dapat mengelakkan ia dari terus pupus di muka bumi ini.
Salam, Pak Mat.
ReplyDeleteNanti kalau ada masa tulis la lagi cerita2 macam ni, kisah bersama arwah Atuk & Opah. Kami cucu-cucu rindukan arwah Atuk Opah. =(
Insya Allah jika ada kelapangan Pak Mat akan kisahkan lagi kenangan bersama emak dan ayah untuk tatapan anak-anak serta cucu-cucunya yang ramai....
DeleteTahniah saudara atas info yang diberi dengan cara persembahannya yang amat bagus. Ada tokoh jadi penulis berwibawa. Semoga saudara sentiasa sihat dan gembira selalu. Kalau ada masa turun Johor jangan lupa call saya 0137670400 dan kalau ada kesempatan boleh main badminton sekali..... salam hormat dan selamat menyambut Ramadan almubarak. - Haji Mohd Januri.
ReplyDeleteSekadar mengisi masa lapang, lagipun ada minat dalam bidang penulisan. Dah hampir 10 tahun kita tak jumpa. Insya Allah kalau ada kerja di Johor saya call.
DeleteTerima kasih atas kesudian menjenguk blog....
saya ada pokok keriang. siapa nak, sila ambil free. 012-2998065. saya diKL
Delete