Pages

Sunday, July 27, 2014

HARGA SEBENTUK CINCIN EMAS...

Ada seorang lelaki yang warak. Orangnya kaya dan mempunya harta banyak. Namun, penampilan lelaki itu biasa saja. Langsung tidak menggambarkan taraf dirinya yang sebenar.

Suatu hari, bertanyalah salah seorang pembantunya. "Tuan, mengapa tuan berpakaian seperti orang miskin? Bukankah sepatutnya tuan menjaga penampilan sesuai dengan kedudukan tuan?"

Lelaki itu hanya tersenyum, tidak menjawab. Kemudian, dia menanggalkan sebentuk cincin dari jarinya. sambil menghulurkan cincin yang nampak kotor itu, lelaki itu berkata, “Akan aku jawab pertanyaanmu nanti. Sekarang, ambil cincin ini dan pergi ke pasar. Cubalah engkau menjualnya dengan harga satu keping emas."

Pembantunya ragu-ragu.Mustahil orang di pasar akan memberikan sekeping emas untuk cincin buruk itu. Tapi, dia hanya menurut arahan lelaki tersebut.

Sampai di pasar, cincin itu cuba dijual. Namun, para peniaga sayur, ikan, daging dan kain di pasar itu enggan membelinya . Jika ada yang mahupun, hanya menawarkan sekeping perak.

Pulanglah pembantu itu dengan rasa hampa lalu menceritakan apa yang berlaku kepada tuannya. Lelaki itu tersenyum dan berkata,

"Sekarang, pergilah engkau ke kedai emas di belakang kota ini. Perlihatkan cincinku itu. Dengarkan saja berapa harga yang akan mereka tawarkan."

Pembantu itu pun menurut arahan. Setelah pemilik kedai emas meneliti cincin itu, dia membuat tawaran untuk membelinya dengan harga seribu keping emas. Terkejutlah pembantu itu. Rupanya, cincin yang dipandang buruk oleh orang-orang di pasar itu mempunyai nilai yang tinggi.

"Itulah jawapan untuk pertanyaanmu. Seseorang itu tidak boleh dinilai hanya berdasarkan penampilan atau pakaiannya saja. Emas dan permata yang ada dalam dirI seseorang hanya mampu dilihat apabila kita melihat ke dalam jiwanya. Kerana itu, sering kali kita salah menilai dengan menyangka yang emas itu adalah tembaga, manakala tembaga itu adalah emas. Janganlah engkau juga menjadi begitu, menilai sesuatu hanya daripada pandangan luarannya," pesan lelaki tersebut.

No comments:

Post a Comment