Pages

Tuesday, January 6, 2015

KEMUNGKARAN MEMBAWA KEHANCURAN....

Gambar hiasan...

Ahli sejarah dan sosiologi Islam yang masyhur, Ibnu Khaldun (1332-1406), pernah mengatakan ada tiga dosa yang mempercepatkan proses keruntuhan suatu bangsa - dosa keangkuhan, dosa kemewahan dan dosa kerakusan. Jika sesuatu bencana, baik ekonomi atau alam, menimpa suatu negeri atau bangsa, maka pelbagai analisis dikemukakan untuk mencari punca mengapa bencana itu boleh terjadi. Ada yang berpendapat bahawa ia adalah azab daripada Allah kerana manusia tidak lagi memperdulikan ajaran-ajaran-Nya. Di samping itu, ada pula yang berpandangan bahawa ia terjadi disebabkan ketidakcekapan mereka sendiri. Tetapi ada juga yang menyalahkan orang lain.

Apabila kita merujuk kepada kitab Allah, maka semua analisis itu mempunyai landasan yang kuat. Sesuatu bencana atau azab yang menimpa sesuatu kaum menurut al-Quran boleh jadi disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan. Ia juga adalah cubaan, akibat kebencian dan kecemburuan sesuatu kaum atau hasil perbuatan manusia itu sendiri. Dalam surah Al-A'raaf ayat 96, Allah menegaskan'.

"Jika sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka."

Dalam ayat itu Allah menyatakan kepada kita adanya hubungan yang erat antara iman dan takwa dengan kesejahteraan hidup dan antara dosa dengan azab atau bencana. Ini bererti, jika penduduk beriman dan bertakwa maka Allah akan melimpahkan berkah dan kurnia-Nya kepada mereka, tetapi jika mereka ingkar maka azab atau bencana adalah balasannya. Bagi kita yang mahu merenung dan berfikir, sesungguhnya tidaklah terlalu susah untuk memahami ayat itu sebab iman bererti meyakini dalam hati (tashdiiq bi al-qalb), mengikrarkan dengan perkataan (taqriir bi al-lisan) dan mengamalkan dengan perbuatan (bi al-af aal) semua ajaran Allah dan Rasul-Nya. Jika prinsip umum mengenai ekonomi yang termaktub dalam al- Quran, misalnya: Kekayaan tidak dikuasai oleh sekelompok orang saja (al-Hasyr: 7), tidak menekan pihak yang lemah dengan praktik riba atau bunga pinjaman yang besar (Ali Imran:130, al-Baqarah: 275), tidak ada unsur penipuan dalam perdagangan seperti mengurangi timbangan (ar-Rahman:9), sentiasa menaruh perhatian yang besar dan membantu golongan miskin dengan praktik zakat (al-Baqarah: 110), tidak menumpukan barang-barang dagangan (ihtikaar) untuk keuntungan persendirian (hadis), menghindarkan dari amalan rasuah (hadis), diyakini dalam hati, diikrarkan dengan perkataan dan diamalkan dalam kehidupan perekonomian, tentulah ia membawa rahmat dan berkah kepada penduduk sesuatu negeri.

Maka tidak ada jurang pemisah yang dalam antara yang kaya dan miskin, dan kemewahan dunia dapat dinikmati oleh semua orang. Tetapi jika prinsip itu tidak lagi diendahkan, tentu keresahan dan kegelisahan akan bergejolak di mana-mana dan ia suatu azab dan bencana. Memang tidak dapat ditolak bahawa kebencian dan kecemburuan sesuatu bangsa atau kelompok boleh menjadi punca bagi penderitaan dan kesengsaraan sesuatu bangsa yang lain. Ketika Rasulullah memulakan risalahnya, orang kafir menyekat semua urusan perdagangan dengan kaum Muslimin.

Akibatnya umat Islam pun mengalami kekurangan bekalan makanan dan bekalan-bekalan lainnya. Dalam hal ini, kesalahan bukan kerana tidak mengikuti ajaran Allah tetapi kebencian dan cemburu orang kafir terhadap prinsip akidah dan mu'amalah (hubungan sesama manusia) yang dibawa oleh Rasulullah, yang intinya bercanggah dengan keyakinan dan tradisi mereka, terutama dalam hal Esanya Tuhan dan tolak ukur penilaian darjat manusia yang hanya didasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang.

Perkara seperti ini menurut al-Quran bukan suatu azab tetapi cubaan. (al-Baqarah:155) Dalam menghadapi cubaan ini, penyelesaian yang dikemukakan oleh al-Quran adalah bersabar (wa basysyir ash- shabiriin) (al-Baqarah:155), yang antara maksudnya adalah terus berusaha dengan sentiasa berpegang teguh kepada tunjuk ajar al Quran, tidak pernah berputus asa untuk memperbaiki tingkat kehidupan kepada suatu peringkat yang lebih baik. Bencana alam yang menimpa sesuatu kaum pula boleh jadi sebagai azab dari Allah disebabkan dosa yang mereka lakukan dan mungkin juga kerana perbuatan mereka sendiri yang tidak mengambil berat unsur keselamatan untuk memperolehi keuntungan peribadi atau kelompok kecil. Dalam al-Quran banyak diceritakan kisah-kisah umat terdahulu, ada antara mereka yang diazab dengan banjir besar seperti umat Nabi Nuh.
  
Ada pula yang diseksa dengan gangguan-gangguan pelbagai binatang seperti yang menimpa umat Nabi Musa. Ada pula yang dimusnahkan dengan gempa, taufan dan sebagainya seperti yang menimpa umat nabi yang lainnya. Semuanya kerana keingkaran mereka terhadap Rasul-rasul Allah. Di samping itu, bencana juga menimpa umat manusia kerana tindak-tanduk mereka sendiri. Kerana itu Allah berfirman: "Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah Allah memperbaikinya." (Al-A'raaf. 56).  Keingkaran terhadap ajaran Allah adalah dosa, merosak alam semula jadi untuk kepentingan persendirian atau kelompok kecil juga adalah dosa. Dosa ganjarannya adalah azab atau bencana yang dapat membawa kepada kehancuran sesuatu bangsa. Kerana itu sangat beralasan apa yang telah dikemukakan oleh Ibn Khaldun. Dosa keangkuhan, kemewahan dan kerakusan membawa kepada suatu kehancuran. Meskipun pandangan Ibnu Khaldun ini mendapat kritikan ilmuwan, tetapi al-Quran dan sejarahwan membuktikan bahawa dosa dibalas dengan azab atau bencana. Sebaliknya keimanan dan ketakwaan akan diberi imbalan kesejahteraan dan keberkatan serta keselamatan. Mari sama kita renungkan dan hayati firman Allah berikut: dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman." (al-Qashash: 59).

Hal ini sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A'raaf ayat 56: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya."

Islam juga telah mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga alam sekitar. Perkara ini sering diberi peringatan oleh Allah SWT dalam banyak bentuk seperti mengajak manusia berfikir akan kejadian alam dan dikaitkan dengan apakah kesudahan yang akan menimpa manusia sekiranya tuntutan menjaga alam sekitar diabaikan. Khususnya bagi manusia yang mempunyai sifat tamak dan keinginan mengejar kemajuan ekonomi serta pembangunan sehingga sanggup menggadai dan mengenepikan soal kepentingan menjaga pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, kita harus ingat bahawa setiap bencana alam yang berlaku adalah kerana sikap dan perbuatan manusia itu sendiri. Dalam hal ini, al-Quran sendiri telah menerangkan kepada kita bahawa kemusnahan dan kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia.

Sebagaimana firmannya dalam surah ar-Ruum ayat 41: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab-sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Kita sedia maklum bahawa unsur terpenting yang mengimbangi kehidupan manusia di dunia ini ialah air dan udara. Di mana 3/4 bumi Allah ini adalah diliputi air dan 1/4 daripadanya merupakan daratan. Namun begitu 97% daripada air tersebut merupakan air masin (air laut) dan tidak boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hanya kira-kira 0.6% sahaja air di bumi ini untuk keperluan hidup manusia dan dalam masa yang sama ia dikongsi bersama oleh manusia dan haiwan serta tumbuhan-tumbuhan. Jika sejumlah kecil air yang terdapat ini pula telah dikotori dan dicemari oleh sikap manusia yang tamak dan tidak bertanggungjawab, maka sudah pasti kita yang akan menerima kesan buruk akibat pencemaran tersebut.

Akibat daripada kesemua perbuatan yang disebutkan tadi, telah mengakibatkan sungai-sungai dan lautan kita tercemar. Malahan telah membunuh ikan-ikan serta hidupan air. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menyekat peluang rezeki para nelayan kita, malahan telah mengancam keselamatan hidup. Oleh itu, kita tidak selamat lagi untuk menggunakan air tersebut bagi tujuan kegunaan harian seperti untuk bersuci, mandi dan menggunakannya sebagai air minuman.

Selain kepentingan air kepada manusia, udara yang bersih juga amat perlu dalam kehidupan kita. Tanpa air kita masih boleh hidup untuk beberapa hari, tetapi tanpa udara kita tidak boleh hidup. Ini menunjukkan betapa pentingnya udara kepada kita. Maka, udara yang bersih merupakan nikmat Allah yang perlu dipelihara dan dikekalkan. Lebih-lebih lagi ia merupakan keseimbangan bagi makhluk-makhluk Allah yang lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Maka kesedaran mengenai udara yang tercemar perlu diberi perhatian yang serius oleh semua lapisan masyarakat. Kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia seperti kesukaran pernafasan, sakit paru-paru, asma atau lelah dan penyakit jangkitan mata. Selain itu, pencemaran udara juga menyebabkan berlakunya jerebu yang teruk dan berlaku peningkatan suhu bumi. Maka marilah sama-sama kita merenung dan menginsafi perbuatan kita. Kerana Allah SWT amat membenci kepada orang yang men­datangkan kesusahan dan kemudaratan kepada orang lain.

Kesimpulannya, terdapat beberapa pengajaran yang dapat dijadikan iktibar iaitu:

1.   Manusia sebagai makhluk yang diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan dan membangunkan bumi, menerusi aktiviti pertanian, perindustrian dan pembangunan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kerosakan dan kemusnahan terhadap alam sekitar.

2.   Nikmat air dan udara yang bersih adalah anugerah Allah SWT untuk kita gunakan dan mengurusnya dengan penuh bijaksana.

3.   Janganlah kita menggadaikan segala kurniaan Allah ini hanya untuk mengejar kemajuan dan kemewahan hidup tanpa memikirkan hak-hak makhluk lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang menumpang seperti kita di atas bumi Allah ini.

4.    Pemuliharaan alam sekitar serta semua elemen yang ada di dalamnya, sama ada berupa makhluk yang hidup atau yang mati, yang berakal atau sebaliknya.

Kesemua ini membawa kepada petunjuk yang nyata akan wujudnya Allah SWT. (Surah Ibrahimt:34) Maksudnya: "Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya."

dipetik dari buku Kenapa Allah Murka...

No comments:

Post a Comment