Pages

Thursday, February 26, 2015

DENDAM DAN IRI HATI SEORANG KHALIFAH...

Memang tidak ramai manusia apabila sudah memegang kuasa, kadang-kadang menggunakan kekuasaannya itu untuk membalas dendamnya kepada orang yang diperintahnya. Tidak kurang pula orang yang menjadi korban itu adalah manusia yang tidak berdosa, bahkan manusia yang berjasa kepada negara.

Pada masa Khalifah Al-Walid memerintah Daulat Bani Umaiyah, terdapat seorang panglima perang yang gagah berani dan cerdik bernama Musa bin Nusair. Panglima perang ini sudah berusia 60 tahun namun gerakan dan kecergasannya tidak kalah dengan orang muda. Panglima besar ini bercita-cita untuk menyebarkan syiar Islam di daratan Eropah melalui pantai Afrika Utara. Untuk tujuan ini, beliau memujuk orang bawahannya bernama Tarik bin Ziyad seorang panglima perang dari suku Barber memimpin pasukan Islam ke sana.

Setelah menyeberangi laut sempit dari pantai Afrika Utara, Tarik bin Ziyad berhasil mendarat di daratan Eropah. Sebaik saja mendarat di daratan Eropah itu, Tarik memerintahkan agar semua kapal-kapal yang digunakannya untuk menyeberang, dibakar kesemuanya. Dengan cara demikian, walau apapun yang terjadi tentera Islam tidak akan lari dari peperangan. Tarik berpidato di hadapan pasukannya: "Al-Aduwwu amamakum! Wal bahru wara-akum! Fakhtaruu ayyuma syiktum!" Yang ertinya: "Musuh ada di hadapanmu! Sedangkan di belakangmu terbentang lautan! Maka pilihlah yang mana satu yang engkau mahu!"

Setelah bertempur dengan hebat dan berani, terpacaklah panji-panji Islam di sana.

Tiada berapa lama kemudian panglima besar Musa bin Nusair mendarat di Eropah bersama pasukannya setelah mendengar kemenangan yang dicapai oleh Tarik bin Ziyad. Beliau datang dengan melalui jalan berasingan dengan jalan yang dilalui oleh Tarik bin Ziyad. Beliau menakluk kota-kota dan benteng yang belum sempat ditakluk oleh Tarik, dengan demikian penyebaran Islam di tanah Sepanyol itu berjalan dengan cepat.

Dengan usaha gigih panglima Musa bin Nusair ini, kini empayar Islam terbentang luas dari Asia ke Afrika sampai ke Eropah. Tibalah masanya bagi panglima besar ini untuk balik ke Damaskus setelah melakukan penaklukan bertahun-tahun. Beliau akan melaporkan hasil kejayaan besarnya dan menyerahkan harta rampasan yang tak ternilai harganya kepada Khalifah Walid bin Abdul Malik.

Ketika panglima Musa bin Nusair sampai di Palestin, dalam perjalanannya itu, Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang sakit tenat dan menunggu ajal. Di sebalik kejayaan yang dicapai oleh Musa dan di sebalik penderitaan yang sedang dialami oleh Khalifah Walid yang sedang sakit, rupanya ada manusia yang bersifat aneh. Orang itu ialah Sulaiman bin Abdul Malik saudara kepada Khalifah Walid, dan dia pula yang akan menjadi Khalifah apabila Khalifah Walid wafat. Sulaiman merasa iri hati terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh Panglima besar Musa bin Nusair. Dia ingin agar kejayaan Musa dalam memperluas empayar Islam di Afrika dan di Eropah berpindah kepada dirinya. Dengan kata lain dia ingin mencari populariti di atas titik peluh dan darah pengorbanan orang lain. Maka Sulaiman yang sudah dipastikan akan menjadi Khalifah sebaik saja Khalifah Walid wafat, menghantar surat kepada panglima Musa yang sedang berada di Palestin. Dalam surat itu Sulaiman menyuruh agar panglima Musa melambat-lambatkan perjalanannya atau menangguhkan kemasukannya ke Damaskus. Permintaan Sulaiman ini dapat disedari oleh Musa yang alim ini. Dia sedar bahawa Sulaiman ingin mengambil alih kepopularannya untuk dirinya yang akan menjadi Khalifah. Tetapi panglima Musa yang sudah berjuang berpuluh tahun itu tidak mahu diperbodohkan oleh Sulaiman yang bakal jadi Khalifah.

Dengan berani dan terus terang, panglima Musa menyampaikan pesanan kepada Sulaiman: "Anda telah mengkhianat! Demi Allah, anda telah membuat tipu helah dan tidak jujur. Demi Allah, aku tidak akan berhenti untuk menunggu, aku juga tidak akan berjalan dengan melambat-lambat dan juga tidak akan tergopoh-gapah. Tapi aku akan berjalan sebagaimana biasa saja, jika aku ditakdirkan menemui Amirul Mukminin dalam keadaan masih hidup, maka aku pasti sampai ke sana sebelum beliau wafat. Tapi jika sekiranya ajalnya sampai lebih dahulu sebelum aku tiba, maka itu adalah kehendak Allah."

Utusan itu segera pulang dan memberitahu pesanan Musa kepada Sulaiman. Maka tercabarlah Sulaiman sebelum menjadi Khalifah. Tiada berapa lama Musapun sampai ke Damaskus dan disambut dengan besar-besaran oleh para pegawai dan rakyat sebagai panglima yang telah berjasa. Ternyata Khalifah Al-Walid masih hidup. Musa segera melaporkan hasil perjalanan dan penaklukan pasukan perang yang dipimpinnya sambil memperlihatkan harta rampasan yang sangat banyak dan sangat berharga kepadanya. Khalifah masih sempat menyaksikan kejayaan itu dan menerima seperlima dari harta rampasan tersebut.

Sayangnya, tiga hari kemudian Khalifah Al-Walid wafat dalam usia 43 tahun.

Dengan wafatnya Khalifah Al-Walid, maka saudaranya Sulaiman bin Abdul Malik memegang jawatan Khalifah Daulat Bani Umaiyah yang ketujuh. Khalifah yang satu ini lain daripada yang lain. Kalau Khalifah yang sebelumnya sangat membanggakan dan menyanjung para pahlawan yang telah berjasa kepada negara serta menempatkan mereka pada jawatan-jawatan yang patut, Khalifah Sulaiman bersifat sebaliknya. Dia sangat benci dan iri hati terhadap kepopularan para panglima perangnya. Maka sebaik saja dia menjawat Khalifah, pro­gram utama yang dilaksanakannya ialah melepaskan rasa dendam, iri hati dan dengkinya. Untuk itu dia telah memanggil, mengugut, mengancam dan menurunkan beberapa orang berjasa dari jawatannya. Padahal di tangan merekalah Daulat Bani Umaiyah dapat bertahan dan semakin luas. Dan berkat merekalah para datuk-datuk dan ayahnya dapat bersenang-lenang di atas kerusi tahta kerajaan, sehinggalah dirinya mewarisi kemewahan pula.

Khalifah Sulaiman memanggil panglima Musa bin Nusair untuk meluahkan dendam hatinya: "Wahai Musa! Engkau ini sudah melampau. Engkau telah berani melanggar perintahku. Demi Allah, akan kukurangkan bilangan pasukanmu, kumpulanmu akan kucerai beraikan, hartamu akan kumusnahkan,. lalu aku akan menurunkan engkau dari kedudukanmu yang sekarang. Kerana dia, kau telah salah gunakan untuk memperolehi cita-cita kebesaranmu, malah engkau telah mengatasnamakan keluarga Abu Sufyan dan keluarga Marwan dengan sesuka hatimu."

Musa bin Nusair bukannya budak kecil, bukan pula orang bodoh seperti kerbau dicucuk hidung. Beliau tahu dari mana datangnya kebesaran Daulat Bani Umaiyah. Oleh kerana itu dengan sangat beraninya dia menjawab ugutan Khalifah itu dengan terus terang.

Kata Musa: "Wahai Amirul Mukminin, aku tidak merasa melakukan sebarang dosa kepada siapapun, kerana aku telah memberikan taat setiaku kepada khalifah-khalifah sebelum anda. Dan aku patut menjaga hati orang yang mendudukkan aku di tempat yang sepatutnya aku duduki."

Kemudian dia berkata lagi: "Adapun apa yang anda sebutkan tadi bahawa bilangan pasukanku akan dikurangkan, kumpulanku akan diceraiberaikan, hartaku akan dimusnahkan dan aku akan diturunkan dari kedudukanku, adalah kuasa Allah semata-mata dan akan kembali kepadaNya. Dialah yang mengurniakan nikmat dan kebaikan kepada aku, jadi kepadaNyalah sepatutnya aku mohon pertolongan."

Kata-kata panglima Musa itu sebenarnya adalah merupakan nasihat orang tua yang telah banyak makan garam kepada anak muda yang baru melangkah agar menyedari dirinya. Namun bagi Khalifah Sulaiman yang di dalam hatinya sudah tertanam benih-benih kedengkian dan dendam, nasihat itu dianggapnya suatu cabaran lagi atas kedudukannya. Maka dendam dan dengki Khalifah Sulaimanpun segera dinyatakan dalam bentuk pemberhentian para pegawai yang mempunyai populariti tinggi di mata rakyat kerana jasanya.

Mereka yang jadi mangsa dan diturunkan dari jawatannya itu antaranya panglima Musa bin Nusair, putera-putera panglima Musa bin Nusair iaitu panglima Abdul Malik bin Musa dan panglima Abdul Aziz bin Musa, panglima Kutaibah dan keluarga panglima Al-Hajjaj.

Pada suatu hari kepala mayat Abdul Aziz bin Musa yang terbunuh di Andalusia dibawa orang ke Damsyik dan diserahkan kepada Khalifah. Khalifah Sulaiman memanggil Musa bin Nusair dan mencampakkan kepala panglima itu ke hadapan Musa.

"Kenalkah engkau kepala siapa ini?" Tanya Khalifah kepada Musa.

Musa menjawab: "Ya. Ini adalah kepala Abdul Aziz bin Musa."

Rombongan yang membawa kepala Abdul Aziz berdiri dan menceritakan kepada orang ramai tentang pembunuhan panglima itu. Setelah mereka bercakap, berdirilah Musa sambil berkata: "Rahmat Allah ke atas kepala Abdul Aziz ini, wahai Khalifah! Demi Allah, sesungguhnya usia manusia ada di dalam ketentuanNya. Saya mengenali Abdul Aziz ini sebagai seorang yang pada siangharinya berpuasa dan malamnya bersembahyang serta lemah lembut kepada kaum Muslimin yang ada di bawah pimpinannya. Senang bagi siapa saja yang mengenalinya untuk memberikan persaksian begini kepadanya, akan tetapi engkau telah bunuh orang seperti dia."

Kebencian Khalifah Sulaiman terhadap panglima Musa tidak pernah habis-habis, ada saja sesuatu yang kata-kata perli yang ditujukan kepadanya. Pada suatu hari di sekeliling Khalifah Sulaiman ada ramai orang. Musa datang ke situ. Tiba-tiba saja Khalifah berkata: "Telah hilang sengat orang tua itu." sambil berkata demikian, tangannya menunjuk kepada Musa yang baru datang itu. Musa yakin bahawa kata-katanya ditujukan kepada dirinya, namun dia tidak jelas apa yang dikatakan. Maka setelah mengucapkan salam, Musa berkata: "Tadi Khalifah mengatakan sesuatu ketika saya baru masuk ke sini, dan saya percaya bahawa kata-kata itu ditujukan kepada saya."

Dengan sombongnya Khalifah Sulaiman berkata: "0...ya. Aku mengatakan, telah hilang sengat orang tua itu."

Dengan tegas pula Musa berkata: "Demi Allah, meskipun engkau katakan demikian, tapi mesti diingat, bahawa orang tua itu telah memberikan sumbangan besar pada agamanya, hidupnya telah ditumpukan sepenuhnya untuk jihad di jalan Allah dan telah menyiarkan agama Allah di merata ceruk dunia. Di tangan saya Allah telah menyempurnakan janjiNya kepada NabiNya. Memang saya tidak dapat bekerjasama dengan engkau, tapi saya telah bekerjasama dengan ayah dan datuk anda dalam jangka masa yang lama."

Khalifah Sulaiman tidak berani membantah keterangan Musa itu. Kerana di sekelilingnya ramai saksi-saksi hidup yang benar-benar mengetahui apa yang dikatakan oleh Musa itu memang benar belaka.

Supaya tidak dianggap membisu, Khalifah Sulaiman berkata: "Benarkah demikian?" Berulang kali, dan berulangkali pula Musa menjawab: "Memang demikian kenyataannya."

Menurut catatan sejarah, panglima Musa bin Nusair telah disingkirkan oleh Khalifah Sulaiman ke Madinah Al-Munawwarah. Di situlah pahlawan dan panglima besar Islam itu mengakhiri hayatnya pada tahun 98 Hijrah.

No comments:

Post a Comment