Pages

Sunday, March 6, 2016

KISAH SEORANG PAKCIK BUTA...

Gambar sekadar hiasan...

SEORANG lelaki jatuh cinta dengan seorang wanita cantik. Bukan saja mempunyai raut wajah menawan, bahkan sifat wanita itu yang rajin beribadah amat memikat hatinya. Maka, berkahwinlah mereka berdua.

Lelaki itu berasa beruntung dianugerahkan seorang isteri jelita, taat perintah agama dan patuh kepada suami. Mereka hidup bahagia. Lelaki itu merupakan seorang pedagang. Apabila keluar berniaga, isterinya akan menanti kepulangannya di rumah.

Suatu hari, lelaki itu keluar berdagang ke kota yang agak jauh selama beberapa purnama. Sepeninggalannya, berlaku serangan wabak penyakit menular di kawasan rumah mereka. Isterinya turut terkena penyakit itu.

Akibatnya, wajah si isteri yang dahulunya cantik bertukar menjadi buruk. Kulit hitam, mengelupas. Keadaan itu masih belum diketahui oleh suaminya. Dia amat risau apabila suaminya pulang nanti jika melihat wajahnya yang dahulu bak bidadari kini sudah bertukar rupa menjadi hodoh.

Setelah beberapa purnama, si suami pulang ke rumah. Dalam perjalanan,dia mendapat khabar berita tentang wabak penyakit yang melanda kampung halamannya.

Namun, sebelum sampai ke rumah, beliau kemalangan. Lelaki itu terjatuh dan kepalanya terhentak ke batu. Akibatnya, matanya tidak dapat melihat lagi.

Hari berganti hari. Masa berlalu. Mereka suami isteri hidup bahagia dan kasih sayang mereka bertambah erat dari hari ke sehari. Si isteri tidak lagi gusar tentang rupanya yang hodoh kerana mata si suami tidak lagi dapat melihat. Cinta mereka terus utuh.

Apabila sudah tua, ternyata si isteri pergi dulu menyambut seruan llahi. Lelaki itu amat sedih sewaktu berada di tanah perkuburan, melihat satu-satunya wanita yang dicintainya dikebumikan. Lama dia menyendiri di situ, mengenang memori manis saat mereka hidup berdua.

Setelah itu, dia bangun dan berjalan hendak pulang ke rumah. Di pertengahan jalan, seorang pemuda menghampiri lelaki itu, 

"Pak cik hendak ke mana?"

"Aku hendak pulang ke rumah," jawabnya.

"Kalau begitu, biarlah saya tolong hantarkan," pelawa si pemuda.

"Tak mengapa. Aku boleh pulang sendiri," kata lelaki itu tersenyum.

Pemuda itu kehairanan dan bertanya, "Kan pak cik buta, tak nampak jalan. Bagaimana pak cik hendak pulang? Sebelum ini, saya lihat setiap hari arwah mak cik akan memimpin pak cik ke mana saja pergi. Bukan kah begitu?"

Dalam senyum pahit bersisa, lelaki tua itu menjawab, 

"Sebenarnya, aku bukan buta. Sudah lama aku boleh melihat kembali. Tapi, aku sengaja pura-pura buta. Semuanya aku lakukan kerana tidak mahu hati isteriku tersentuh dan berasa sedih apabila tahu aku boleh melihat wajahnya. Aku tidak mahu dia menangis. Walaupun aku tahu rupanya buruk, namun aku amat mencintainya. Kerana itu sepanjang lebih 40 tahun ini, aku biarkan dia terus memimpin tanganku, agar dia gembira dan kami sama-sama menikmati kehidupan ini bersama." 

No comments:

Post a Comment