Pages

Monday, August 15, 2016

DIGANGGU MAKHLUK PELARIS RESTORAN...

Gambar hiasan...

Kepada mereka yang suka makan di luar, sila ambil iktibar dari kisah ini. 

Seperti kebiasaannya, selesai solat berjemaah di masjid, Sabri dan Amri akan pulang dan melewati taman permainan di hujung jalan menuju ke rumah. Dua orang pelajar universiti ini selalunya hanya berjalan kaki pergi dan pulang dari masjid. Tapi malam itu, mereka balik lambat kerana menjamu selera terlebih dahulu. Tanpa disangka, perjalanan pulang kali ini bukan mereka berdua, tetapi ditemani suatu entiti yang tidak dikenali.

Kebetulan, angin malam yang dingin membuatkan Sabri mempercepatkan langkah. Bukan kerana seram atau takut, sebaliknya dia memang terasa sejuk disapa angin lalu. Berlainan pula dengan Amri yang sejak berada di restoran sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Selera makannya terhenti, perasaannya seram sejuk dan bulu romanya merinding.

Sabri perasan ada sesuatu yang pelik dengan tingkah laku teman sebiliknya itu. Amri bukan sahaja tidak lalu makan, malah dia jadi pendiam. Sepatah ditanya, sepatah dijawabnya. Sabri bingung melihat keadaan Amri yang serba tak kena.

"Amri, engkau sakit ke? Kenapa senyap seribu bahasa dari tadi. Makanan pun sikit engkau jamah. Pelik aku, sedangkan mi kari itu makanan kegemaran kau, kan..." Sabri cuba memecah kesunyian.

Amri membiarkan saja pertanyaan Sabri berlalu ditiup angin.

Tiba-tiba Sabri terkejut. Amri berteriak kuat.

"Pergi engkau dari sini, jangan kacau kamil" Berulang kali Amri menghalau.

Sabri kecut perut dan menggeletar seluruh tubuhnya. Dia cuba mempercepatkan lagi langkah setelah melihat Amri lebih laju berjalan. Tiba-tiba Amri mematikan langkah. Matanya memandang tepat ke arah taman permainan itu. Sabri turut menoleh ke arah yang ama. Tiada sesiapa di situ tetapi dia hairan, bagaimana buaian di taman berayun laju?

Dalam kesamaran cahaya bulan, Sabri dapat melihat mulut Amri terkumat-kamit. Entah apa yang dibaca Sabri tidak tahu. Apa yang pasti Sabri dapat merasakan ada sesuatu sedang berlaku dan tiba-tiba bulu roma turut merinding.

Amri mengarahkan Sabri pulang dulu. Diingatkan juga agar Sabri berzikir dan mengingati Allah. Tanpa bersoal, Sabri berlari laju. Dia hanya ingin cepat pulang dengan selamat. Namun Sabri tetap risau keselamatan Amri.

Rupa-rupa, Amri dapat mengesan makhluk halus yang mengekori mereka. Ilmu itu diperoleh melalui ajaran arwah bapanya. Walaupun berkemahiran melihat benda-benda ghaib, Amri tidak pernah memberitahu sesiapa waima kepada Sabri, kawan karibnya.

Sebelum ini Amri memang tidak pernah memperdulikan apa yang dilihat, asalkan dirinya tidak diganggu. Namun apa yang dilihatnya sebentar tadi, membuatkan dia mengambil keputusan melakukan sesuatu. Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Rupa-rupanya ketika makan tadi, Amri dapat mengesan ada makhluk yang dijadikan pelaris oleh pemilik restoran itu. Penampilan makhluk pelaris itu memang dahsyat. Berambut panjang, mata merah menyala, punya taring tajam dan air liurnya menitis dalam pinggan mangkuk pelanggan di kedai itu.

Amri mahu menyelamatkan orang lain agar tidak memakan makanan yang dihidangkan kerana bercampur dengan benda-benda kotor.

Kehadiran Amri di restoran menyebabkan pemiliknya marah, lalu meminta 'orang suruhannya' mengekori Amri. Disebabkan Amri ada pendinding diri, makhluk itu beralih kepada Sabri. Sebab itu Amri menyuruh Sabri pulang cepat. Dia berharap Sabri sempat sampai ke rumah yang sudah dipagari dengan ayat al-Quran.

Dalam debar Amri berharap Sabri selamat sampai di rumah. Setibanya Amri di rumah, dia mendapati pintu rumah tidak bertutup dan lampu tidak dipasang. Dia memanggil Sabri, tiada sahutan. Dicarinya Sabri di segenap ruang dalam rumah. Akhirnya Sabri ditemui di dapur sedang memegang pisau. Pergelangan tangan Sabri sudah berdarah dan matanya merah.

Amri mendekati Sabri sambil menepuk di belakang kawannya itu. Berbekalkan ayat al-Quran, akhirnya Sabri dapat direbahkan. Sabri yang pengsan kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Dipetik dari Mingguan Wanita 4/2015

No comments:

Post a Comment