Pages

Sunday, August 21, 2016

PERISTIWA ANEH DI TANAH PERKUBURAN...

Gambar hiasan...

Pagi itu hujan turun renyai-renyai. Kedinginan suasana mencengkam hingga ke tulang. Kelihatan susuk tubuh terbongkok-bongkok memikul cangkul di sebuah tanah perkuburan.

Dalam usia menginjak senja, Pak Mat masih lagi bertenaga meneruskan pekerjaannya sebagai penggali kubur. 

“Ada dua buah kubur sahaja lagi yang perlu disiapkan. Sempat rasanya ni," bisik Pak Mat di dalam hati.

Bertemankan lampu minyak tanah, Pak Mat meneruskan kerja-kerjanya tanpa bantuan dari sesiapapun. Lebih kurang setengah jam menggali, hidung Pak Mat disaji dengan bauan yang cukup harum. Sudah tiga hari dia mengalami peristiwa tersebut namun tetap tidak diendahkan. Baginya semua itu adalah perkara biasa yang harus dilalui oleh seorang penggali kubur sepertinya.

Jam di tangan menunjukkan waktu 4:30 pagi. Biarpun kepenatan namun Pak Mat berpuas hati kerana berjaya menyiapkan kerjanya lebih awal dari yang diingini. Dia merenung lubang kubur yang telah digali. Masih ada yang perlu dikemaskini, bisiknya di dalam hati. Dia berkira-kira untuk pulang ke rumah dahulu sebelum menyambung kerjanya kembali. Lagipun, dia telah dimaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor nanti.

Perjalanan pulang ke rumah cukup memenatkan. Mujurlah ada Hafiz, anak muda kampung yang sudi menumpangkannya. Dia sajalah yang boleh diharapkan berbanding yang lain. Meskipun tiada ikatan persaudaraan namun Hafiz sangat mengambil berat akan dirinya yang hidup sebatang kara.

"Lambat balik hari ni Pak Mat. Banyak ke kubur yang perlu di gali? Kalau sakit janganlah paksa diri. Rehat sahaja di rumah. Bila dah sihat, barulah kerja semula. Lagipun buat apa nak menyusahkan diri, pencen Pak Mat kan ada lagi. Gunakanlah. Rasanya cukup untuk menampung perbelanjaan sehari-hari," nasihat Hafiz bersungguh-sungguh.

Prasangka buruk...

Pak Mat mengangguk lemah. Tak kuasa dia mendengar kata-kata tersebut lagipun boleh dikatakan hampir setiap hari dia dihidangkan dengan nasihat yang sama. Fikirannya menerawang ke tempat lain. Kejadian yang berlaku di tanah perkuburan pagi tadi masih segar di ingatan.

"Bau apalah yang mengganggu aku pagi tadi. Wanginya lain benar. Rasanya sepanjang menjadi penggali kubur tak pernah aku terhidu bau macam tu. Mungkin orang baik-baik yang nak meninggal agaknya," bisik Pak Mat sendirian.

Lamunan terhenti seketika tatkala kereta Hafiz tiba di hadapan rumahnya. Selepas berjabat tangan dia kemudiannya menghulurkan empat keping not RM50 kepada Pak Mat untuk dibuat belanja.

"Duit apa pula ni Hafiz. Banyak sangat, lagipun aku tak suka berhutang dengan orang. Susah nak membayarnya nanti," ujar Pak Mat dengan wajah yang curiga.

"Saya tak suruh bayar pun. Pak Mat ambillah, buat belanja. Lagipun saya dah niat nak bagi, takkan nak buruk siku pula. Bukannya banyak, dua ratus ringgit je. Sekali-sekala buat amal jariah apa salahnya. Manalah tahu esok lusa meninggal dunia, ada juga pahala sedekah yang boleh dibawa bersama," jelas Hafiz dengan senyuman terukir di bibirnya.

Huluran wang diambil dengan wajah yang keliru. Pak Mat berbisik sendiri di dalam hati. Tidak pernah Hafiz berkelakuan begitu. Biasanya jumlah wang yang diberi tidaklah sebanyak yang diterima hari ini. Wajahnya juga kelihatan berbeza dari hari-hari sebelumnya. Situasi yang berlaku pada Hafiz mengundang seribu satu macam kemusykilan di hatinya. Prasangka buruk yang menerjah mindanya segera dibuang jauh-jauh. "Mungkin perasaanku sahaja," pujuk Pak Mat.

Merungkai persoalan...

Akibat kepenatan, Pak Mat terlepas sesi pengebumian. Sedar-sedar sahaja jam sudah menunjukkan ke angka tiga. Selesai membersihkan diri dan menunaikan kewajipan pada Ilahi, Pak Mat bergegas keluar menuju ke kedai Pak Mail. Dia perlu mendapatkan jawapan siapa yang telah dikebumikan. Setibanya di sana, kelihatan Osman, Madi dan Zainal sedang rancak berborak. Perlahan-lahan Pak Mat menghampiri kumpulan berkenaan bagi merungkai satu demi satu persoalan yang terbeban di fikiran.

"Kau tak tahu ke Mat. Satu kampung dah heboh kau baru nak tanya aku hari ini. Yang meninggal tadi Hafiz; anak Hassan yang duduk kat hujung kampung ni," jelas Madi sambil tangannya rancak menunjuk ke sana sini.

"Kau jangan main-main Madi. Aku baru tumpang kereta dia pagi tadi. Elok je kami bersembang. Tak nampak pula macam orang sakit," ujar Pak Mat tegas.

"Takkan aku nak tipu soal hidup mati ni Mat. Kalau kau tak percaya tanyalah Zaidi, Osman dan Bakar. Mereka semua ada masa jenazah dikapankan. Warisnya kata dia meninggal lepas solat Subuh, atas tikar Sembahyang. Bersih je wajahnya Mat. Sejuk mata aku melihatnya," cerita Madi sungguh-sungguh.

Pak Mat termenung seketika. Kemusykilan yang dihadapi bertambah lagi dan kali ini dia semakin tertanya-tanya siapa yang berbicara dan menumpangkannya balik pagi tadi. Tiba-tiba dia teringat akan duit RM200 ringgit yang diterima dari Hafiz. Dengan penuh debaran, Pak Mat menyeluk poket seluar. Paling mengejutkan wang itu masih ada. "Benarkah yang aku temui tadi Hafiz, tapi," persoalan itu tak dapat diteruskan oleh Pak Mat.

Sumber : Mingguan Wanita 9/08

No comments:

Post a Comment