Pages

Monday, October 24, 2016

JANGAN ABAI AMARAN GERAK HATI...

Gambar hiasan...

Kita tentu pernah merasa bersalah dan berdosa semasa atau selepas menunaikan solat. Setiap kali kita melakukan atau mengulang dosa-dosa itu, terdengar-dengar sayup di lubuk hati satu suara yang menyatakan kekesalan atau memberi peringatan dan amaran. Tidak ada orang lain yang tahu dosa itu, bila kita melakukannya atau adakah kita akan melakukannya lagi. Hanya kita yang mengetahuinya!

Suara siapakah itu? Itulah suara daripada bahagian diri kita yang baik-baik.

Bunyi ini disebut sebagai 'suara hati' atau intuisi. Suara bukan seperti bunyi radio yang boleh ditutup sesuka hati. la seperti penggera yang akan berbunyi secara automatik untuk memberi amaran sekiranya kita terdedah kepada sesuatu risiko.

Suara hati atau intuisi ini bertindak seperti perisai pertahanan dan sangat setia kepada anda. Apa-apa sabaja yang tidak betul atau tidak serasi dengan ajaran agama atau pesanan keluarga pasti akan menghidupkannya.

Kadangkala anda sendiri tidak tahu kenapa, tetapi setiap kali anda berada hampir dengan lelaki itu, anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tidak menjadi kesalahan jika anda menyiasat dan menentukan secara spesifik kenapa anda merasa begitu tetapi paling penting ialah bagaimana anda bertindak balas terhadap suara hati tersebut.

Tidak kira lelaki atau perempuan mempunyai pengalaman terhindar daripada sesuatu musibah apabila mereka mendengar dan kemudian bertindak balas terhadap suara hati mereka. Soalannya berapa ramai antara kita yang mengambil berat dan bertindak balas suara hati ini? Berapa ramai pula yang kerana ego yang tinggi tidak peduli langsung kepada bisikan ini'.'

Ada pula yang bertanya, "Bukankah elok jika kita boleh siasat dahulu?" Ya. tidak ada salahnya kita menyiasat tetapi lakukannya sebelum amaran itu menjadi kenyataan. Maknanya kila bercakap tentang tindakan segera dengan menyiasat dan membuat keputusan. Jika sekadar menerima amaran dan menunggu amaran seterusnya lagi tanpa melakukan sebarang tindakan maka anda sebenarnya membuka jalan untuk berduka dan menyesal di kemudian hari.

Tindak Balas...

Mari kita lihat satu situasi. Katalah sejak kebelakangan ini suami anda agak berbeza berbanding setahun yang lalu. Jika anda telah hidup dengannya beberapa tahun maka anda mempunyai satu piawai bagaimana dia menjalani kehidupan setiap hari. Sebagai contoh anda tahu nada suara dia semasa bercakap, cara dia berfikir atau waktu dia menerima panggilan telefon. Apabila perkara-perkara piawai ini tersasar sedikit kemungkinan ada sesuatu yang sedang atau telah berlaku.

Kenapa dia mula kurang bercakap dengan anda? Kenapa dia berfikir tentang perkara yang dulu dia kata dia tidak suka? Kenapa sejak dua minggu lepas dia selalu turun ke tingkat bawah bercakap di telefon? Sistem penggera anda berbunyi dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Anda mungkin betul dan anda juga mungkin salah!

Isteri yang baik, sayang dan kenal suaminya luar dan dalam tidak akan membuang amaran ini. Paling penting sekarang bukan terus menunggu amaran-amaran seterusnya tetapi bertindak balas kepada amaran ini.

Setelah mendengar suara hati ini jangan terus berfikir negatif. Seperti yang disebutkan tadi, anda mungkin betul dan anda juga mungkin salah. Ini kerana suara hati itu adalah penggera keselamatan dalam diri anda. la sama seperti sistem penggera atau alarm di rumah. la boleh berbunyi jika ada penceroboh mengopek pintu rumah anda. Tetapi ia juga boleh berbunyi jika pintu depan rumah anda bergoyang ditiup angin semasa hujan lebat di tengah malam.

Jangan terus berfikir dia sedang bermain sarkas di belakang anda. Jangan terus berfikir yang dia sudah ada gadis lain di luar rumah. Jangan terus berfikir begitu. Mungkin juga dia sedang merancang sesuatu yang istimewa untuk mengejutkan anda. Sesuatu yang istimewa dan di luar kebiasaan. Sesuatu yang tidak anda sangka. Ya, sesuatu yang sangat istimewa kerana minggu depan adalah minggu ulang tahun Jubli Perak Perkahwinan anda!

"Laa, kenapa abang tak cakap!?"

Sumber : Mingguan Wanita 6/2015
Penulis  : Dr. Syed Yusainee Yahya ,
Promind Training And Consultant... 

No comments:

Post a Comment