Menurut Sayyid Qutb, yang dimaksudkan dengan kaum Tubba' adalah orang-orang Himyar yang tinggal di Yaman, Ketuanya, bernama Abu Karb As’ad bin Malaki Karb yang berasal dari puak Humairi.
Nama ‘Tubba” juga adalah gelaran yang diberikan kepada raja-raja Himyar atau penguasa Yaman. Raja Tubba' beriman kepada Allah tetapi kaumnya sangat ingkar sehingga melampaui batas.
Asalnya, Raja Tubba' ini merupakan seorang lelaki yang soleh manakala menurut Ibnu Abbas beliau adalah seorangg nabi.
Kerajaan Himyar...
Sebelum kedatangan Islam, penduduk Arab selatan lebih bertamadun. Mereka berjaya mendirikan beberapa kerajaan besar seperti Saba' dan Himyar.
Kerajaan Himyar muncul sejak kerajaan Saba' mulai lemah. Kelemahan itu memberi peluang kepada kerajaan Himyar berkembang pesat, hingga akhirnya menguasai kerajaan Saba'.
Kekuasaan mereka bertambah luas sehingga ke Iraq dan Bahrain. Kerajaan ini juga mempunyai armada yang besar untuk membawa dagangan dari India, Tiongkok, Somalia dan Sumatera ke pelabuhan sekitar Yaman.
Pembinaan empangan adalah faktor utama yang membawa kemajuan kepada kerajaan ini. Namun ekonominya menjadi lemah setelah empangan itu pecah.
Raja Tubba' juga menjadikan kota Zufar sebagai ibu kota dan pusat pemerintahannya.
Kota Zufar...
Kota ini merupakan pusat perdagangan gaharu. Semasa pemerintahan Raja Tubba', kota ini dijadikan sebagai ibu kota tetapi kini ianya adalah sebuah pesisir yang berada dalam wilayah Kesultanan Oman, di selatan Yaman.
Orang Tubba'...
Orang Tubba' yang terkenal ialah Hasan bin As'ad bin Abi Karb. Beliau hidup pada abad ke-10 SM. Beliau telah mengembangkan wilayah kekuasaannya ke pelbagai tempat.
Di bahagian utara, beliau berjaya meluaskan kekuasaannya sehingga ke Syam (Syria) dan di bahagian timur sehingga ke Turkistan. Beliau juga berjaya menguasai Samarkand.
Selain itu, ada juga pendapat lain mengatakan bahawa Raja Tubba' adalah orang pertama yang menutup Kaabah dengan kain.
Peradaban kerajaan Himyar yang didiami oleh kaum Tubba' sangat maju. Salah satunya adalah empangan air yang berteknologi tinggi. Namun, setelah banyak kejayaan dicapai dan negara mereka dilimpahi kekayaan, kaum Tubba' mula ingkar dengan perintah Allah, lalu diturunkan azab oleh Allah hingga mereka binasa.
Al-Quran tidak membicarakan secara terperinci mengenai azab atau kebinasaan yang ditimpakan ke atas kaum Tubba' ini. Dikatakan kaum Tubba' ini dimusnahkan dengan runtuhnya empangan air, sama seperti yang berlaku ke atas kaum Saba'.
Tahukah Anda?...
Asal-usul masyarakat Arab terdiri daripada beberapa suku.
Antaranya;
1. Arab Ba'idah - Bangsa Arab yang telah lenyap di muka bumi. Mereka pernah mendiami daerah Mesopotamia, tetapi disebabkan serangan Raja Namrud dan kaum yang berkuasa di Babylon hingga Mesopotamia selatan pada tahun 2000 SM, suku bangsa ini berpecah ke pelbagai daerah. Antara kabilah yang termasuk dalam kelompok ini adalah kaum Ad, Tsamud, Ghasan dan Jad.
2. Arab Aribah - Mereka berasal dari keturunan Bani Qahtan yang menetap di tepi Sungai Eufrat, kemudian berpindah ke Yaman. Terdapat dua puak Bani Qahtan yang terkenal iaitu Jurhum dan Ya'rub.
Puak Ya'rub pula terbahagi kepada dua golongan besar iaitu Kahlan dan Himyar. Manakala suku kaum yang mahsyur dari puak Kahlan ialah al-Azd. Dari sini, muncul pula suku Aus, Khazraj dan keturunan Jafnah berbangsa Ghassinah menguasai Syam.
Manakala kerajaan yang terkenal adalah kerajaan Saba' yang muncul pada abad ke-8 SM dan kerajaan Himyar pada abad ke-2 SM.
3. Arab Musta'ribah - Mereka mempunyai darah campuran daripada keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim dengan suku Jurhum. Mereka digelar Musta'ribah bermaksud 'menjadi Arab' atau 'peranakan Arab'.
Ini kerana Nabi Ismail yang bukan berketuiunan Arab telah mengahwini seorang wanita dari suku Jurhum. Kelompok ini digelar sebagai 'Bani Ismail bin Ibrahim Ismail (Adaniyyun)'.
Renungan...
“Al-Haq iaitu Allah tidak terhijab oleh sesuatupun, dan tidak mungkin adanya sesuatu yang dapat menghijab Allah. Sebaliknya, kamulah yang telah terhijab sehingga tidak dapat melihat adanya Allah”
No comments:
Post a Comment