Pages

Thursday, December 14, 2017

AN-NASR SURAH TERAKHIR DITURUNKAN...

Video bacaan surah An-Nasr

Turun Pada Hari Tasyrik

Surah an-Nasr merupakan surah terakhir yang diturunkan berdasarkan beberapa hadis. Menurut Imam Nasa'i, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Abbas al-Sahabi, beliau (Ibn Abbas) bertanya kepada Ibn 'Utbah, "Wahai Ibn 'Utbah, tahukah engkau, apakah surah terakhir yang diturunkan?" Ibn 'Utbah menjawab, "Ya, aku tahu,"lantas membacakan Surah an-Nasr. Lalu dinyatakan oleh Ibn Abbas dengan katanya, "Benar." (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa surah terakhir yang diturunkan ialah Surah an-Nasr. Surah ini diturunkan sewaktu hari-hari tasyrik iaitu antara 11 hingga 13 Zulhijjah. la diturunkan sewaktu Baginda SAW melaksanakan haji yang diistilahkan dalam sejarah peradaban Islam dan sirah Rasul sebagai haji wada' atau haji perpisahan kerana inilah kali terakhir Rasulullah ' SAW mengerjakan ibadah haji. Rasulullah SAW wafat selepas beberapa minggu/bulan Baginda kembali ke Madinah.

Kenyataan ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazar dan al-Baihaqi daripada Ibn 'Umar dengan katanya: "Surah ini diturunkan ke atas Rasulullah SAW pada pertengahan hari-hari tasyrik. Justeru, Baginda mengetahui bahawa ia adalah simbolik kepada Perpisahan. Maka Baginda mengarahkan tungganganya yang dinamakan al-Qaswa', agar bergerak mencari tempat yang strategik untuk memberi khutbah kepada manusia yang bersamanya pada waktu itu. Di sinilah baginda mengucapkan khutbah terakhirnya yag masyhur itu. Dalam khutbah tersebut Baginda menggariskan secara kasar garis panduan bagaimana seharusnya manusia hidup selepas ketiadaannya nanti.

Dalam satu hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi, daripada 'Ikrimah dan Ibn Abbas, Ibn Abbas berkata: "Apabila turunnya Surah an-Nasr ini maka Baginda SAWmemanggil anak kesayangannya, Fatimah r.a. dan bersabda: 'Wahai anakku Fatimah, Sesungguhnya ayahanda melihat dengan turunnya ayat ini maka sekarang adalah merupakan saat-saat terakhir ayahanda bersamamu sebelum kematianku.' Kemudian Fatimah r.a. menangis dan setelah beberapa ketika kemudian dilihat beliau tersenyum. Beliau berkata setelah tersenyum, Aku diberitahu oleh ayahandaku mengenai saat kewafatannya (dengan turunnya Surah an-Nasr, kemudiaan Rasulullah SAW bersabda dengan berkata, 'Sabarlah wahai anakandaku Fatimah kerana sesunguhnya anakanda nanti merupakan individu pertama yang akan mengiringiku'. Lantas Fatimah r.a. berkata 'justeru, aku tersenyum'."

Fatimah r.a. menangis kesedihan kerana beliau akan ditinggalkan oleh ayahandanya, Rasulullah SAW namun setelah diberitakan bahawa beliaulah orang pertama dari kalangan keluarga dan juga Sahabat-sahabat Baginda yang akan mengiringi Baginda, maka kesedihan bertukar dengan kegembiraan.

Demi Allah, benar bahawa sesungguhnya tiada kesedihan dan dukacita yang paling tinggi selain daripada kewafatan Rasulullah SAW. Justeru, individu yang menyintai Allah dan Rasul-Nya akan berusaha menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutannya, sunnah Rasulullah akan diturutinya dan sirah Rasulullah akan ditatapinya. Namun, bagi individu yang angkuh dan sombong, lagi jahil dan dungu pastinya tidak menganggap sunnah dan ajaran Rasulullah SAW sebagai sesuatu yang bernilai lagi berharga.

Apa gunanya hidup selepas kewafatan Baginda sekiranya sunnah Baginda tidak kita ikuti? Apa nilainya nafas kehidupan yang diberikan andainya ajaran Baginda kita kesampingkan? Namun persoalan-persoalan ini hanya diinsafi dan diketahui jawapannya bagi individu-individu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Tiada lagi satu surah yang lengkap diturunkan setelah turunnya surah ini. Oleh itu, ia dikira sebagai surah terakhir yang diturunkan. Terdapat beberapa ayat diturunkan selepas surah Ini, namun satu surah yang lengkap ialah Surah an-Nasr ini. Manakala ayat terakhir yang diturunkan ialah daripada Surah al-Baqarah ayat 281: "Dan takutlah kamu kepada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukan dan mereka tidak sekali-kali dizalimi."

Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa ayat terakhir ialah daripada Surah al-  Ma'idah ayat tiga, kebanyakan jumhur ulama berpendapat bahawa ayat 281, Surah al-Baqarah itu adalah yang terakhir. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment