Pages

Monday, December 11, 2017

PENANGAN MI REBUS BATU GAJAH...


Dihidangkan panas dengan mi, cekodok dan tauhu yang banyak cukup mengenyangkan. Limpahan kuahnya yang pekat dan 100 peratus rasa ubi membuatkan hidangan mi rebus disajikan cukup enak dimakan.

Itulah penangan Mi Rebus Batu Gajah yang menjadi juadah utama Ghani Corner, Kiosk 37, Taman Medan, Petaling Jaya.

Mengetengahkan resipi warisan sejak tahun 1960, keenakan Mi Rebus Batu Gajah terletak pada dua bahan utamanya iaitu kuah dan cekodok.

Diusahakan Haslinda, 29, dan adiknya, Mohd Hazeri, 25, yang meneruskan legasi arwah bapa mereka, Abdul Ghani Mat Piah. Haslinda yang lebih mesra dengan panggilan Linda berkata, selain menggunakan resipi daripada arwah ayahnya, kepekatan kuah mi rebus yang melimpah menjadi kunci kepada keenakan hidangan itu.


"Bagi memastikan kuah mi rebus ini pekat dan enak. kami menggunakan 100 peratus ubi tanpa tepung sedikit pun.

"Cekodok yang juga resipi arwah ayah menjadi pelengkap kepada hidangan ini sehingga ada pelanggan sanggup datang dari jauh untuk menikmati keenakan mi kami," katanya.

Kepelbagaian bahan yang dihidangkan bersama mi rebus juga antara faktor ia menjadi pilihan penggemar.

"Sepinggan mi rebus yang dihidangkan turut diletakkan telur rebus, tauhu dan kentang.

"Idea meletakkan bahan tambahan ini dicetuskan arwah ayah supaya pelanggan kenyang selepas menikmati hidangan," katanya.

Berjualan di pasar pagi dan pasar malam di Taman Medan, mereka turut menawarkan ayam, daging dan sotong kepada pelanggan yang mahukan mi rebus berlauk.


Selain Mi Rebus Batu Gajah, Ghani Corner turut menghidangkan Ghani Char Kuetiau Original Penang. Hidangan dimasak sendiri oleh Hazeri, juadah ini diperkenalkan setahun lalu berikutan permintaan pelanggan yang mahukan menu ringkas panas dan sedap.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya mengambil masa sebulan untuk mempelajari cara penyediaan Ghani Char Kuetiau Original Penang mengikut resipi hidangan popular di Pulau Pinang itu.

"Saya juga belajar membuat kicap khas yang digunakan untuk memasak char kuetiau kerana ia menjadi penyedap kepada hidangan ini," katanya.

Beliau turut menyediakan kuetiau goreng udang dan kerang. 

Dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam, Ghani Corner turut menyediakan nasi lemak, rojak pasembur dan rojak mi.

Sumber : Harian Metro
Wartawan : Suliati Asri

No comments:

Post a Comment