Pages

Wednesday, April 25, 2018

AZAN NABIL TUSUK KALBU...

Video Nabil test suara melaungkan azan
di bilik karaoke yang viral sekarang ni...

Sejak kecil saya memang gemar laungkan azan. Mungkin sebab itu saya dikurniakan kebolehan melaungkan azan dalam lapan taranum (lagu) berbeza. 

"Selain itu sejak usia lima tahun lagi ibu dan ayah sudah ajar saya cara bertaranum serta berzanji," kata Muhammad Nabil Fahmi Yusuf, 21, penuntut Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). 

Bakat remaja itu mendapat perhatian hampir dua juta netizen yang menonton videonya melaungkan azan taranum Makkah dan Nahawand selepas dimuat naik rakannya di Facebook (FB). 

Muhammad Nabil Fahmi kini berkhidmat sebagai bilal separuh masa di masjid berhampiran kediamannya di Batu Pahat. Johor berkata, rakannya tidak memaklumkan kepadanya ketika memuat naik video berkenaan di FB.

Muhammad Nabil Fahmi...

Katanya, dia bersyukur kerana majoriti netizen memberi komen positif, malah ada yang mencadangkan agar dia menjadi bilal sepenuh masa. 

"Selepas video itu tular, saya menerima tawaran sebagai bilal daripada pihak pengurusan beberapa masjid, tapi kena fikir dulu kerana belum habis belajar. 

"Paling mengejutkan ada orang bukan Islam hubungi saya secara peribadi bertanyakan mengenai ca­ra memeluk Islam dan saya akan bantu dia berdasarkan kepada pengetahuan dimiliki," katanya ketika dihubungi. 

Menurutnya, dia melaungkan azan di dalam sebuah bilik di pusat karaoke kerana mahu menunaikan permintaan 10 rakan yang bersamanya ketika itu termasuk seorang yang berketurunan India dikenali sebagai Kumar. 

Menjelaskan mengenai perbuatannya melaungkan azan di dalam bilik karaoke, pemuda itu memberitahu, terdahulu mereka menghadiri majlis tahlil rakan yang meninggal dunia. "Ketika dalam perjalanan pulang kami singgah di pusat karaoke berkenaan kerana rakan termasuk Kumar amat teringin mendengar saya laungkan azan. 

Selepas mendengar azan saya laungkan, Kumar beritahu, dia berasa sayu malah seluruh tubuhnya menggigil. "Saya sebak kerana rakan berada di dalam bilik berkenaan kelihatan insaf selepas mendengar azan, lalu mereka minta saya berkongsi pengetahuan mengenai cara membaca al Quran dan ibadat lain," katanya. 

Anak keempat daripada enam adik beradik itu berkata, bagi membaiki bacaan al Quran dan laungan azan dia kerap merujuk video di YouTube. 

"Insya Allah, jika diberi peluang saya akan kembangkan ilmu dan kebolehan dimiliki kepada orang ramai kerana ini salah satu bentuk dakwah," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment