Pages

Wednesday, October 10, 2018

LAWATAN KE LOBANG JEPANG, BUKITTINGGI, INDONESIA...

Papan Tanda Selamat Datang Ke Lobang Jepang
 terletak di Taman Panorama...

Bergambar ramai di pintu masuk Lobang Jepang...

Dalam lawatan kami seramai 8 orang ke Padang dan Bukittinggi, Indonesia pada 5 hingga 8 Okt 2018 baru-baru ini, salah satu tempat bersejarah yang sempat dilawat adalah ke Lobang Jepang yang terletak di Taman Panorama di Kota Bukittinggi, Sumatera Barat. Jaraknya tidak terlalu jauh dari Jam Gadang yang berada di pusat kota.

Lawatan kami dibuat pada hari ketiga ketika menjelang waktu maghrib dalam perjalanan pulang ke  tempat penginapan kami di hotel Grand Malindo yang terletak berhampiran selepas selesai membuat lawatan ke Lembah Harau, Paya Kumbuh, Tabek Patah, Istana Pagaruyung dan Pariangan Village.


Taman Panorama...

Untuk masuk ke Lobang Jepang ini, Kami ditemani oleh Hendra Kusuma yang bertindak sebagai Pemandu Pelancong. Sebelum kami semua bergerak masuk ke dalam Lobang Jepang, satu taklimat ringkas telah diberi oleh Hendra terutamanya tentang struktur Lobang Jepang yang sangat kompleks.  


Pemandu pelancong kami Pak Hendra Kusuma 
telah memberikan sedikit taklimat ringkas 
mengenai struktur Lobang Jepang...

Memulakan penceritaannya, Hendra memberitahu, lobang Jepang dibina atas arahan Letjen Moritake Tanabe Panglima Division ke 25 Angkatan Darat Tentara Jepun. Lubang perlindungan ini dikatakan mampu menahan letusan bom seberat 500 kg. Pembinaan Lobang Jepang mula dibuat pada bulan Mac 1944 dan selesai pada awal Jun 1946 yang mengambil masa selama lebih kurang 2 tahun 8 bulan dengan kedalaman mencapai 49 meter di bawah permukaan tanah.

Team kami seramai 8 orang sudah bersedia untuk masuk
ke dalam Lobang Jepang yang menyeramkan...

Sebenarnya Lubang ni cahayanya samar-samar sahaja. Semasa merakam gambar, flash mesti berfungsi dengan baik supaya gambar yang dirakam menjadi terang.

Sebanyak 132 anak tangga mesti dituruni
untuk sampai ke bawah









Untuk membina lubang ini, pihak tentera Jepun telah mengerah secara paksa orang-orang yang berasal dari Jawa, Kalimantan dan Sulawesi dan tidak ada orang Bukittinggi yang terlibat mengerjakan lubang ini demi untuk menjaga kerahsiaannya.

Menurut Hendra, Lobang Jepang di Bukittinggi merupakan salah satu lubang yang terpanjang di Asia iaitu lebih dari 6 kilometer dan boleh ditembus melalui beberapa pintu keluar di sekitar kawasan Ngarai Sianok, Jam gadang yang terletak berhampiran Istana Bung Hatta, dan juga di Benteng Fort De Kock yang masuk di wilayah Kebun Binatang Bukittinggi. 

Ketika Lobang Jepang dijumpai buat pertama kalinya pada awal tahun 1950, pintu Lobang Jepang hanya berkeluasan 20 cm dengan kedalaman 64 meter sahaja. Tetapi kerajaan Indonesia telah membuat sedikit pengubahsuaian dengan membina laluan bagi memudahkan orang ramai berjalan masuk ke dalam semasa dia dibuka kepada umum pada tahun 1984. Pengubahsuaian yang dibuat terutama dinding batunya yang ditutup simen sedikit sebanyak telah menghilangkan keasliannya. 

"Pintu masuk utama adalah melalui Taman Panorama dan untuk turun ke dalam kami harus melewati 132 anak tangga yang nantinya akan tembus di tepi jalan dan ianya hanya 1 kilometer untuk sampai ke hotel peninapan kami.

Sambil menelusuri anak tangga, Hendra menceritakan, untuk kemudahan pelancong, lorong Lobang Jepang yang dibuka hanya kurang dari 1,5 kilometer dengan mengambil masa paling lama 20 minit untuk sampai di hujung jalan. 

Ada 21 lorong kecil yang fungsinya bermacam-macam antaranya ruang amunisi, ruang pertemuan, pintu pelarian, ruang penyergapan serta penjara. Namun yang paling menyeramkan adalah ruang dapur yang berfungsi untuk memotong tahanan yang sudah mati dibunuh lalu dibuang melalui lubang air ke bawah.

Penulis bergambar di Ruang Amunisi

Abg Zainal dan Kak Rahmah juga tidak melepaskan peluang
 untuk bergambar di ruang ini...




Hendra memberikan penerangan tentang 
peranan dan fungsi pintu pengintaian...

Penjara ini juga berfungsi untuk memenjarakan 
perempuan-perempuan hamba seks tentera Jepun. 
Mereka tidak diberi makan berhari-hari sehingga banyak yang mati.


Namun yang paling menyeramkan adalah ruang dapur 
yang berfungsi untuk memotong tahanan yang sudah mati dibunuh 
lalu dibuang melalui lubang air ke bawah.

Ruang dapur berada tepat di sebelah ruang penjara. Hendra lalu menunjukkan lubang kecil yang berada di hujung bawah dapur. Tahanan yang telah dibunuh akan dipotong-potong di meja itu lalu potongannya dibuang di lubang ini. Tujuan mayat dipotong adalah supaya tidak tersangkut di lubang yang mengarah ke Ngarai Sianok sehingga jasadnya sukar ditemui. Pak Hendra juga menunjukkan dibahagian tengah atas yang terletak sebuah menara pengintai.



Menurut Hendra lagi sambil menunjuk struktur dinding lubang yang dibuat tidak merata dan berceruk supaya suara dalam lubang tidak bergema. Jika ada tahanan yang disiksa maka suaranya hanya terbatas di lorong ini saja. Begitu juga jika kita melihat dindingnya di mana jika terkena air maka dindingnya akan menjadi semakin kukuh. 






Lina dah terjegil bijik mata tu kenape pulak? 
Entah2 dia terkejut nampak hantu tentera Jepun...  


Hendra telah menunjukkan lubang penjara yang sudah ditutup di bahagian hujungnya. Menurut nya, dulu di sini bukan hanya untuk memenjarakan mereka yang melawan dan tidak mahu bekerja. Penjara ini juga berfungsi untuk memenjarakan perempuan-perempuan sebagai hamba seks tentera Jepun. Mereka tidak diberi makan berhari-hari sehingga banyak yang mati. Pada saat gempa pun, Lobang Jepang tersebut terbukti kuat. Hendra memberi contoh di mana ketika terjadi gempa beberapa tahun lalu, hanya lapisan simen yang runtuh, sedangkan struktur dindingnya tetap kukuh. dalam Lubang ini sekarang telah dipasang alat khusus yang dapat mengesan, jika ada kejadian gempa maka lampu amaran akan menyala. Hal ini adalah untuk memberi amaran dan keselamatan kepada pengunjung supaya sentiasa berwaspada semasa berada di dalam lubang ini



Abg Zainal menunjukkan kekuatannya 
untuk mengampu dan menahan 
bahagian atas Lobang Jepang
"mungkin dia takut runtuh kot..? 




Hendra juga bercerita, ketika Lobang Jepang belum dibuka untuk umum, banyak tengkorak dan peralatan untuk menebuk lubang seperti cangkul dijumpai. Turut dijumpai adalah beberapa peralatan makanan yang terbuat dari tempurung kelapa dan buluh. Menurut Hendra, semua peralatan ini telah dipindahkan ke muzium untuk dibuat pameran.

Pintu masuk Lobang Jepang yang berada di Taman Panorama memiliki pemandangan persekitarannya yang cukup cantik. Bayaran yang dikenakan adalah sekitar Rp 60.000 (RM20) sahaja.

Di akhir penceritaannya, Hendra memberitahu terdapat 3 persoalan yang tidak terjawab hingga kini. Yang pertamanya, kemana mayat-mayat buruh paksa dibuang, kedua, setelah tentera Jepun menyerah kalah, dimanakah mereka melarikan diri atau di mana mayat mereka di tanam sebab tiada tulang-tulang buruh paksa dan tentera Jepun yang dijumpai sehingga ini dan ketiganya, tanah yang dikorek untuk membina Lobang Jepang ini dibuang kemana juga tidak ditemui pada ketika itu.


Penulis bergambar kenangan bersama Hendra Kusuma...

Gambar seekor monyet yang mengintai pelawat 
yang datang ke Taman Panorama berhampiran
 pintu masuk ke Lobang Jepang...

Salah satu hiasan yang terdapat di Taman Panorama...

Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua supaya mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah dengan memelihara negara kita sebagai sebuah negara yang aman damai, rakyatnya yang berbilang kaum hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.

Negara yang lemah akan dijajah dan rakyatnya akan hidup menderita sepanjang hayat.    

1 comment: