Pages

Sunday, August 22, 2021

PENANGGAL IRINGI KELUARGA DI TANAH PERKUBURAN...

HUJUNG minggu itu aku bersama keluarga pergi melawat seorang makcik yang tinggal di satu daerah di utara, Perak. Kebetulan pula makcik aku baru sahaja kematian suami setelah hampir setahun arwah menderita dengan pelbagai penyakit kronik.

Hampir setengah hari juga kami sekeluarga menghabiskan masa di rumahnya. Dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah ke tanah perkuburan kerana di samping ziarah pusara arwah dapat jugalah kami sedekahkan bacaan yasin untuknya.

Tanah perkuburan di kampung itu terletak berhampiran ladang kelapa sawit dan jaraknya agak jauh dari jalan besar. Kalau nak sampai ke situ terpaksa berjalan kaki lebih kurang 10 minit.

Selepas ayah meletakkan kereta di bahu jalan besar, kami berjalan melalui jalan kecil tanah merah ke arah perkuburan. Aku lihat jam di tangan, sudah hampir jam 6.30 petang. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib. Suasana di sekitar pun sudah beransur gelap.

Kami bentang tikar dan baca surah yasin di sebuah wakaf berdekatan kubur arwah. Suasana ketika itu cukup sepi. Yang kedengaran hanyalah suara kami bersilih ganti mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Sedang khusyuk membaca, tiba-tiba rimbunan semak berhampiran bergoyang kuat seperti ada binatang buas yang meranduknya. Kami sekeluarga berpandangan, namun mulut masih meneruskan bacaan yasin. Dalam hati kami risau juga. Manalah tahu kalau ada binatang buas atau babi hutan yang muncul..

Ketika hampir menamatkan bacaan yasin, tiba-tiba kedengaran sesuatu di bumbung zink pondok kami berteduh. Seolah-olah ada ribuan batu-batu kecil menghujani bumbung tersebut. Pelik. Aku tinjau ke langit. Cuaca baik dan tidak ada pula hujan. Sedang kami leka bermain dengan perasaan masing-masing, tiba-tiba sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi kuat dari semak tersebut.

Kali ini jelas kedengaran bunyi ranting kayu yang seolah-olah sedang dipatahkan. Sekali lagi kami berpandangan. Aku lihat ayah bergegas bangkit dan menggulung tikar sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu.

"Dah, cepat jirus air dan tabur bunga. Lepas ni kita balik, hari pun dah gelap, takut kalau ada binatang buas pula." kata ayah sedikit keras.

Kami lantas buat apa yang disuruh. Bunyi kuat berhampiran semak berdekatan masih jelas kedengaran. Aku juga berasa cuak. Sebaik selesai mengemas barang, cepat-cepat kami angkat kaki siap untuk beredar. Ayah beri isyarat untuk bergerak pulang.

Kami berhati-hati menyusuri lorong kecil menuju ke jalan besar. Lebih kurang 50 meter kami melangkah meninggalkan tanah perkuburan, tiba-tiba hidung aku terhidu bau yang amat busuk. Aku ingat hanya aku seorang saja menghidu bau itu, rupa-rupanya kami semua menghidu bau yang sama.

"Hah, cepat sikit jalan. Tak ada-apa. Itu bau sawit busuk je." kata ayah sambil mengepit tikar di celah ketiaknya.

Aku, kakak dan adik berjalan di hadapan, manakala emak dan ayah di belakang. Adakalanya kami bertolak- tolakan sesama sendiri kerana dalam fikiran ada tersemat perasaan takut yang sukar digambarkan. Aku jeling ayah. Mulutnya masih berkumat-kamit membaca sesuatu.

"Jalan terus. cepat sikit. Jangan toleh-toleh dah," kata ayah kepada kami.

Aku tersentak bila dengar arahan keras ayah. Jantungku berdegup kencang. Hati tertanya-tanya kenapa ayah berkata demikian. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

"Jalan...jalan cepat sikit," kata ayah sedikit cemas sambil memaut lengan emak di belakang. Hati berdetik penuh persoalan. Pasti ada sesuatu yang dilihatnya sehinggakan beria-ia dia menyuruh kami meninggalkan kawasan tersebut dengan tergesa-gesa.

Sebagai anak lelaki, jiwaku cukup memberontak ingin tahu. Lalu dalam keadaan kelam kabut itu aku memberanikan diri untuk toleh ke belakang. Sebaik sahaja aku memalingkan muka, alangkah terkejutnya apabila mataku terpandang sesuatu yang yang tidak pernah ku duga sama sekali. Di belakang ayah aku nampak satu kepala tanpa tubuh sedang terawang-awang di udara. Wajahnya cukup mengerikan. Rambutnya putih dan panjang mengerbang. Isi perutnya terkeluar merah berjuntai. Makhluk tersebut hanya berlegar-legar di belakang ayah, seolah-olah mengekori kami sepanjang perjalanan keluar dari tanah perkuburan itu.

Tanpa berlengah aku melangkah pantas untuk sampai cepat ke kereta. Sebaik sampai di jalan besar, ayah bergegas menghidupkan enjin dan berlalu pergi meninggalkan kawasan itu.

Sekali lagi aku toleh ke arah lorong kecil menuju ke tanah perkuburan tadi. Walaupun hari sudah gelap, namun aku masih nampak dengan jelas kelibat makhluk tersebut yang masih berlegar-legar berterbangan berhampiran deretan pokok kelapa sawit di situ.

Ketika dalam perjalanan pulang, emak dan adik perempuanku bertanya kepada ayah tentang apa yang berlaku. Kenapa ayah meminta supaya kami berjalan cepat dan tidak toleh ke belakang. Namun ayah tidak menjawab pertanyaan mereka. Sebaliknya dia menyuruh mereka bertanyaku.

"Cuba tanya Along apa yang dia nampak tadi. Sebab ayah perasan dia toleh ke belakang," kata ayah sambil tangannya erat memaut stereng. Ibu, kakak dan adik memandangku dengan seribu persoalan.

"Along nampak apa tadi di belakang ayah?" Tanya ibu kepadaku.

"Iya, Along tengok tadi. Along ada nampak .. .err... err…err” kataku sedikit gugup. Along nampak apa?" Tanya adikku seakan tidak sabar menunggu jawapan.

"Along nampak hantu penanggal berlegar-legar di belakang ayah," kataku sedikit gugup.

Semua yang berada di dalam kereta ketika itu diam membatu.

Dipetik dari Mingguan Malaysia Ahad 22 Ogos 2021
Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
roshihan.annuar@mediamulia.com.my

No comments:

Post a Comment