Filem Lancang Kuning terbitan Tahun 1962. Semasa penggambaran filem ini dibuat Pengarahnya M. Amin berdepan dengan berbagai halangan dan gangguan makhluk halus. ikuti kisahnya dibawah...
M. AMIN BERTARUNG DENGAN HANTU LAUT
Pengarah veteran, Mohamed Amin Haji Ikhsan, 77, lebih dikenali sebagai M. Amin, masih belum mampu melupakan kisah sedih dan gembira ketika sentuhan awalnya mengarah filem Lancang Kuning pada tahun 1962 di Singapura. "Saya bukan saja terpaksa bertarung dengan hantu laut secara ghaib, bahkan saya hampir mengangkat kaki meninggalkan studio Cathay Kris Filem Production dan menerima tindakan dibuang kerja. "Sampai ke hari ini saya masih ingat, pada waktu itu saya benar-benar kecewa. saya patah hati kerana filem sulung arahan saya itu selain didakwa pihak pengurusan tidak bermutu, kononnya ia langsung tidak boleh disunting," ujar M. Amin.
Menurutnya, hampir seminggu dia berkurung diri di dalam rumah pada waktu siang dan secara senyap-senyap pada waktu malam, dia menyunting filem Lancang Kuning di studio ikut pintu belakang. Katanya, seorang sahabatnya berketurunan India, P B Johan membantunya menyunting filem itu sehingga selesai. Kemudian beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan. "Sementara menanti keputusan, saya sudah berkira-kira mencari pekerjaan lain, termasuklah sebagai kelasi kapal. Ini disebabkan selain filem saya tidak diterima, jawatan saya sebagai pengarah dan gaji diturunkan secara spontan." Jelas M. Amin bersungguh-sungguh.
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini kemudian menyebut: "Mungkin Tuhan telah melorongkan rezeki saya di dunia lakonan, selang seminggu kemudian, satu petang saya dijemput dengan kereta ke studio menghadiri satu majlis keraian. Dengan hati yang berat saya terpaksa akur." "Rupa-rupanya majlis itu diadakan untuk meraikan saya. Pihak pengurusan menganggap filem Lancang Kuning filem terbaik pernah dihasilkan oleh Cathay Kris pada waktu itu." jelasnya yang pernah dianugerahi Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1993. Menurut M. Amin, bukan itu saja, malah Lancang Kuning juga berjaya ditayangkan ke tahap box office. Barisan pelakon filem itu termasuklah Latifah Omar sebagai Telani digandingkan dengan Nordin Ahmad sebagai Datuk Alang Yahya.
Sebelum itu M. Amin bercerita, sepanjang di lokasi penggambaran, terutama dalam adegan ketika Lancang Kuning hendak di lancarkan ke laut, pelbagai kejadian aneh terjadi. Beliau diganggu hantu laut. Bagaimanapun M. Amin dapat menghalangnya secara ghaib juga.
Saya bukan dukun, namun mengikut petua orang tua-tua, saya terpaksa lakukan apabila terdesak . Latifah yang saya tanam separuh badannya didalam pasir bagi membolehkan lancang lalu diatas perutnya, secara tiba-tiba menggigil. Mukanya pucat seperti mayat. "Sebenarnya, saya tidak bermaksud hendak melancarkan lancang benar-benar di atas perut Latifah. Saya gantikan dengan dummy perut kambing dan darah supaya nampak benar-benar hidup." "Penggambaran terpaksa di hentikan sekejap. Saya membasuh muka Latifah dengan air penawar sebelum penggambaran disambung semula." katanya mengingati kisah lama. M. Amin juga menyebut, sebenarnya sebelum penggambaran filem Lancang Kuning yang dibuat di tepi pantai di belakang studio Cathay Kris, dia telah meminta seorang kakitangan disitu membacakan doa selamat dan tolak bala sebagai ikhtiar mengelakkan gangguan.
M. Amin mula terbabit secara langsung dalam arena lakonan setelah menamatkan perkhidmatan sebagai guru undang-undang polis di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur selama lima tahun bermula pada tahun 1946. Beliau berhijrah ke Singapura untuk mencari pekerjaan sehingga terbabit dalam satu uji bakat di studio Jalan Ampas. Namun begitu, M. Amin gagal dalam ujian tersebut. Menurutnya, ketika hendak meninggalkan studio, beliau terserempak dengan pengarah L. Krishnan dan menawarkan dia berlakon dalam filem Bakti sebagai pelakon tambahan. "Saya juga dilantik sebagai guru bahasa. Saya mengajar membaca dan gaji RM50.00 sebulan. Kebetulan ketika itu ramai pelakon masih belum lancar membaca." cerita M. Amin.
M. Amin ketika di Singapura tinggal sebatang kara. Hanya dengan seniwati Kasma Booty tempat dia mengadu dan mendapatkan nasihat apabila berdepan dengan masalah ketika dalam penggambaran. Hanya pada tahun 1952, M. Amin ditawarkan pelakon tetap menjadi hero untuk filem kembar, kemudian diikuti filem pontianak, Cinta Gadis Rimba, Serangan Orang Minyak, Hang Jebat, Siti Zubaidah dan Dang Anum. Bagaimanapun apabila M. Amin berhijrah ke Kuala Lumpur, dia berkhidmat dengan Sabah Filem dan mengarah beberapa filem iaitu Tajul Ashikin, Dua Kali Lima, Penyamun, Si Bongkok, Hapuslah Air matamu, Pendekar, Kisah Seorang Biduan dan Sumpah Semerah Padi.
Sepanjang penglibatannya 48 tahun dalam dunia filem, M. Amin pernah menghadapi peristiwa yang hampir membawa maut ketika menyertai rombongan ke Festival Filem di Taipei pada tahun 1964. Kapal terbang yang sepatutnya saya tumpangi tidak dapat saya naiki. Ini kerana tempat duduk yang saya tempah telah diambil seorang jutawan dari Taiwan untuk berlepas ke Singapura. Bagaimanapun, saya bersama beberapa orang lagi terpaksa menaiki kapal terbang lain untuk penerbangan kedua. Ketika kami diraikan sebelum berlepas, tersebar berita kapal terbang yang sepatutnya kami naiki meletup di udara dan mengorbankan 68 penumpang termasuk anak kapal. "Apabila menerima berita tersebut, saya beristighfar dan bersyukur terselamat daripada nahas." ujar M. Amin.
Disamping peristiwa terlepas daripada maut itu, M. Amin juga pernah mengalami peristiwa lucu. Dia menaiki kapal terbang dari Sarawak ke Kuala Lumpur dengan hanya mengenakan baju tidur. "Masa itu saya berlakon filem Cinta Gadis Rimba di satu lokasi di pedalaman Sarawak. Oleh kerana alat-alat penggambaran semuanya berat-berat termasuk kamera, dibawa dengan rakit. Kami pula berjalan kaki menyusuri sungai. Kebetulan masa itu hari masih pagi. Saya pula masih pakai baju tidur, entah macam mana, secara tiba-tiba dalam sekelip mata saya nampak rakit berpusing-pusing, pendayungnya berusaha mengawal tetapi tidak berjaya. Akhirnya ia terbalik dan semua barang-barang peralatan shooting termasuk kain baju habis tenggelam dan dihanyuti air." "Disebabkan pakaian sudah hanyut, Akhirnya saya balik ke Singapura hanya dengan baju tidur." ceritanya sambil tergelak besar mengingati kejadian yang berlaku pada tahun 1958.
Sumber artikel : majalah PESONA Ogos 2001 Filem di download dari youtube.
No comments:
Post a Comment