Video bacaan Surah Abasa ayat 1 - 42
dengan irama Jiharkah oleh
adik Nuril Maulia dari Mufid Media...
TAFSIR AYAT 1 - 6
(Teguran kepada Nabi s.a.w)
Dalam surah ini, Allah ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa di Akhirat nanti, semua kita akan nafsi, nafsi – sibuk dengan diri sendiri sahaja, sudah tidak sempat hendak tengok orang lain atau tolong orang lain.
Oleh itu, kita kena beringat dari sekarang. Kena fikirkan keselamatan diri sendiri dan bersedia untuk menghadapinya. Jangan berharap ada orang yang akan tolong kita nanti di sana. Waktu itu tidak ada yang bertanya tentang keluarga mereka waktu itu. Kita akan berharap kepada amalan diri kita sahaja dan kita akan bersendirian.
Oleh itu, di dunia ini pun kita biasakan kena duduk bersendirian sekali sekala untuk mengingat perkara ini, sebelum terjadi yang sebenarnya di akhirat nanti. Sebab itu disyariatkan amalan iktikaf di masjid semasa Ramadhan untuk kita ingat tentang perkara ini. Kerana sewaktu iktikaf itu kita akan duduk bersendirian, tanpa ada hubungan dengan ahli keluarga dan kawan-kawan kita. Sudah tidak sibuk hal dunia lagi. Ianya adalah sebagai satu latihan untuk kita.
Di awal surah ini kita akan baca bagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah ditegur oleh Allah ﷻ kerana kesilapan yang baginda telah lakukan. Kita kena jelaskan perkara ini dari awal lagi supaya kita tidak salah anggap kepada Nabi ﷺ pula – nauzubillahi min dzaalik. Jangan sekali-kali kita ada anggapan yang buruk terhadap Nabi ﷺ kita.
Nabi ditegur kerana tidak menghiraukan panggilan seorang sahabat yang buta. Kita kena faham yang waktu itu, Nabi ﷺ bukan pilih kasih tapi baginda waktu itu sedang berdakwah kepada pemuka-pemuka Mekah. Yang datang kepada baginda untuk mendapatkan ilmu itu adalah Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه, sepupu Khadijah رضي الله عنها. Dia datang dan dia tidak tahu ada pemuka Mekah bersama dengan baginda kerana beliau itu seorang yang buta.
Apabila dia datang dan bertanya-tanya kepada baginda, seolah-olah beliau mengganggu majlis Nabi ﷺ. Dan waktu itulah Nabi ﷺ berpaling dan bermuka masam kerana sahabat itu datang tidak kena masanya. Dan baginda berfikir waktu itu Abdullah رضي الله عنه sudah pun beriman dan lain kali boleh datang untuk diajar lagi, cuma waktu itu tidak sesuai kerana baginda sedang berdakwah kepada pemuka-pemuka Quraisy.
Akan tetapi Allah ﷻ tetap tegur Nabi ﷺ, kerana dalam majlis mana pun, baginda tidak boleh asingkan sesiapa pun, semua kena dibenarkan datang dengar apa yang baginda sampaikan.
Dan inilah salah satu pelajaran yang kita boleh ambil dari surah ini. Kalau kita jadi seorang guru nanti, janganlah kita beza-bezakan antara anak murid kita nanti. Tidak kira apa kedudukan mereka pun. Sebagai contoh, katakanlah ada anak raja hendak belajar, tetapi dia hendak belajar sendiri, tidak mahu bercampur dengan anak orang lain. Ini tidak boleh dan kita tidak boleh layan.
Ini telah pernah terjadi kepada ulama besar kita Imam Bukhari رحمه الله. Waktu beliau sudah terkenal, ada raja hendak hantar anak dia belajar, tetapi dia mahu dibuatkan satu majlis pembelajaran lain yang tidak bercampur dengan orang lain. Imam Bukhari رحمه الله kata tidak boleh kerana wahyu kena diajar sama rata kepada semua orang.
Kerana jawapan begitu, raja itu marah sampai halau Imam Bukhari رحمه الله dari negaranya. Imam Bukhari رحمه الله tidak kisah untuk keluar kerana banyak negara lain yang sudah minta beliau datang mengajar ke negara mereka. Dalam perjalanan ke negara lain itulah yang beliau mati dalam perjalanan. Maknanya, Imam Bukhari رحمه الله pun pernah dihalau hanya kerana tidak mahu mengajar khusus kepada orang lain.
Jadi, tidak boleh kita hendak bezakan antara orang untuk kita mengajar wahyu Allah ﷻ dan oleh kerana perbuatan Nabi ﷺ berpaling dan bermasam muka itu dari seorang sahabat yang buta, Allah ﷻ telah tegur Nabi ﷺ dalam surah ini. Ini adalah sebagai pengajaran untuk kita.
Terdapat beberapa perhubungan dengan surah sebelum ini. Dalam Surah an-Naaziat, Allah ﷻ telah sebut tentang dua jenis manusia – yang derhaka dan yang takut dengan Allah ﷻ dan kerana itu dia menahan nafsunya. Dan dalam Surah Abasa ini juga akan disebut tentang dua golongan. Kita akan belajar tentang golongan yang tidak kisah tentang agama dan yang kedua adalah mereka yang hendak belajar dan membersihkan dirinya dari kekotoran syirik.
Kembali kepada teguran Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah satu perkara sensitif tentang Nabi Muhammad ﷺ, jadi kita kena berhati-hati. Dalam surah yang lain, kita diajar adab dengan Nabi ﷺ. Pernah ada sahabat yang ditegur kerana cara mereka yang tidak beradab dengan Nabi ﷺ.
Bayangkan ini bukan orang lain yang tegur tetapi mereka ditegur oleh Allah ﷻ sendiri dan ini dalam Surah al-Hujurat. Maknanya penting sangat menjaga adab dengan Nabi ﷺ sampaikan Allah ﷻ sendiri yang tegur sahabat dalam Al-Qur’an! Begitulah kedudukan Nabi kita di sisi Allah.
Kita sekarang tidak hidup bersama Nabi ﷺ jadi adakah pengajaran tentang adab ini penting? Tentu sekali ianya penting! Kita masih juga kena jaga adab kita dengan Nabi ﷺ walaupun baginda tidak bersama dengan kita. Dan memang ada yang tidak beradab dengan baginda Nabi ﷺ, sampaikan mereka tidak pandang pentingnya apa yang dilakukan oleh Nabi ﷺ, apa yang diajar oleh Nabi ﷺ, apa yang Nabi ﷺ suruh kita buat dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, mereka tidak hormat hadis, sunnah dan sebagainya. Mereka tidak pegang apa yang disampaikan dalam hadis itu sebagai penting. Mereka baca hadis yang menyebut apa yang Nabi ﷺ lakukan dan sampaikan itu macam baca novel sahaja. Mereka tidak terkesan dengan apa yang mereka baca.
Dan ini tidak patut kerana Nabi ﷺ itu Rasul kita dan kita kena ikut apa yang baginda ajar dan lakukan. Segala apa yang baginda lakukan itu adalah perkara yang penting dan kita kena ikut. Kerana Nabi ﷺ menjadi contoh tauladan kita. Kita kena sanjung Nabi Muhammad, Rasulullah ﷺ .
Akan tetapi, dalam masa yang sama pula, ada juga yang hormat terlebih sampai naikkan kedudukan baginda terlalu tinggi sampai ke tahap mensyirikkan Nabi Muhammad ﷺ dengan Allah ﷻ. Mereka sampai kepada tahap menganggap Nabi Muhammad ﷺ itu bukan manusia biasa.
Sebagai contoh, ramai dari kalangan masyarakat kita yang percaya kepada konsep ‘Nur Muhammad’, iaitu mereka kata: perkara pertama yang dijadikan adalah Nur Muhammad dan apa sahaja yang benda dalam alam ini adalah asalnya dari Nur Muhammad itu.
Dan mereka sampai kata Nabi ﷺ itu bukanlah manusia biasa, tapi baginda adalah ‘Nur’. Dan macam-macam lagi cara bagaimana manusia terlalu mengagungkan baginda sampai kepada tahap syirik. Ini semua adalah kerana jahil dan tidak faham konsep yang sunnah.
Jadi, kita dapat lihat bahawa ada dua ekstrim dalam perkara ini. Kita tidak mahu merendahkan baginda dan dalam masa yang sama, kita tidak mahu terlalu mengangkat kedudukan baginda pula melebihi yang sepatutnya. Oleh itu, kita kena tahu bagaimana hendak mencari jalan yang tengah. Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan belajar dan terus belajar supaya kita dapat faham konsep ini.
Satu perkara yang kita kena ingat sebelum kita teruskan dengan tafsir surah ini, pegangan Ahli Sunnah adalah: setiap Nabi tidak berdosa. Mereka itu adalah ‘maksum’ maksudnya bebas dari melakukan dosa. Setiap Nabi عليه السلام dipelihara oleh Allah ﷻ dari melakukan dosa.
Dan inilah pegangan kita dan jangan lari dari pegangan ini. Jadi, dalam kita belajar bagaimana Allah ﷻ menegur Nabi ﷺ, kita kena faham bahawa bukanlah Allah ﷻ tegur kerana Nabi ﷺ berdosa. Baginda hanya tersilap sahaja.
Ayat 1:
Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro dan Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat ini sehingga ke ayat 10. Ia berkenaan Adab Berdakwah.
عَبَسَ وَتَوَلّىٰ
Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,
‘Dia’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi ﷺ. Dan lafaz ‘abasa’ boleh bermaksud berkerut muka, bermasam muka. Dan kemudian baginda berpaling. Kejadian ini merujuk kepada perbuatan Nabi ﷺ terhadap Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه yang datang kepada baginda.
Baginda waktu itu sedang berdiskusi dan berdakwah kepada pemuka/ketua Quraisy. Jarang baginda dapat berbuat begini kerana selalunya mereka menentang dan mengejek baginda. Jadi bila dapat peluang bercakap dengan mereka, baginda hendak ambil peluang itu dan memberi tumpuan.
Dalam riwayat ada disebut yang baginda waktu itu sedang berdakwah kepada Utbah bin Rabiah, Abu Jahal dan lain-lain. Waktu itu baginda nampak macam mereka memang sedang mendengar apa yang baginda cakap.
Satu masalah yang baginda kena jaga adalah: orang kafir yang berkedudukan tinggi tidak mahu dikaitkan dengan orang yang lemah dan rendah kedudukan dalam masyarakat. Perkara ini bukan berlalu pada zaman Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi zaman Nabi-nabi lain عليهم السلام pun. Jadi keadaan itu sedang berlaku waktu itu dan Nabi ﷺ hendak kena jaga sensitiviti itu juga.
Pemuka Quraisy berlagak sampai tidak mahu duduk-duduk dengan orang-orang miskin, jadi kalau mereka nampak Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه itu, tentu mereka rasa tidak selesa dan akan pergi sahaja dari bercakap dengan Nabi ﷺ. Nabi ﷺ tidak mahu itu berlaku. Jadi baginda tidak mahu melayan Abdullah رضي الله عنه waktu itu. Jadi ada sebab kenapa baginda lakukan apa yang baginda telah lakukan. Jadi kita kena faham konteks dulu.
Dan baginda sentiasa mencari jalan untuk dakwah. Dan baginda nampak ini adalah salah satu cara yang akan menyebabkan Islam akan berkembang dengan cepat. Kerana kalau para pemimpin itu masuk Islam, tentu ramai lagi masyarakat Arab Mekah akan masuk Islam. Jadi baginda tengah dapat peluang maka baginda hendak ambil peluang itu sepenuhnya.
Jadi apabila seorang Muslim yang buta datang, baginda bermasam muka dan tidak mengendahkannya. Baginda merasakan yang orang buta itu mengganggu baginda sedang berdakwah. Tambahan pula dia sudah seorang Muslim. Jadi penekanan baginda waktu itu adalah kepada mereka yang baginda hendak masukkan dalam Islam.
Tambahan pula mereka adalah pemuka Quraisy. Kalau mereka masuk Islam, maka akan banyaklah nanti yang akan mengikuti mereka. Oleh itu kalau kita lihat dari segi logik, tidak salah apa yang baginda lakukan. Ada strategi yang bermain dalam kepala baginda dan itu adalah untuk kebaikan Islam juga.
Tambahan pula, Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه itu seorang yang buta, jadi tidak nampak pun Nabi ﷺ bermasam muka dan berpaling. Bukanlah Nabi ﷺ berkata apa-apa. Tentu sekali dia tak perasan pun apa yang Nabi ﷺ lakukan, jadi dia tidaklah terasa dalam hatinya, bukan?
Akan tetapi Allah ﷻ tetap tegur Nabi ﷺ kerana kayu ukur yang diletakkan kepada seorang Nabi ﷺ itu amat tinggi, tidak sama macam orang lain. Kerana itu kalau ada benda kecil pun Allah ﷻ akan tegur perbuatan Nabi ﷺ. Sedangkan perkara itu kalau kita yang buat, tidak salah pun. Dan ia memang tidak salah, tetapi kepada Nabi ﷺ, walaupun tidak salah, Allah ﷻ sudah tegur. Ini adalah kerana kayu ukur kita tidak sama; sebagai contoh, solat malam adalah sunat untuk kita, tetapi wajib untuk baginda.
Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه seorang yang buta, jadi dia tidak nampak wajah dan tindakan Nabi ﷺ waktu itu. Apabila dia menyapa baginda dan baginda tidak layan, dia tidak nampak yang baginda tidak mahu melayannya waktu itu. Jadi dia menegur lagi Nabi ﷺ berulang kali untuk baginda mengajarkannya ilmu Islam. Sebab dia sangka Nabi ﷺ tidak dengar dan dia cakap lagi kuat.
Tambahan pula, kalau buta, dia akan menguatkan lagi suaranya hendak bagi orang lain dengar. Biasanya orang buta akan buat begitu kerana deria mata mereka tiada. Sebenarnya dia datang berjumpa Nabi ﷺ kerana hendak minta baginda ajar dia. Dan dia panggil baginda berkali-kali pula. Jadi ianya mengganggu Nabi ﷺ yang sedang berdakwah.
Teguran dari Allah ﷻ ini juga adalah satu lagi hujah mengatakan yang Nabi ﷺ tidak menulis sendiri Al-Qur’an seperti yang dituduh dari dulu sampai sekarang. Fikirkan, kalau baginda yang tulis sendiri, takkan baginda akan tegur diri baginda sendiri, bukan?
Tetapi baginda amat bersyukur kerana mendapat teguran itu. Kerana selepas itu, setiap kali baginda bertemu dengan Abdullah رضي الله عنه, baginda akan panggil beliau dengan panggilan yang menghormati beliau. Kerana kepada baginda, oleh sebab beliaulah, baginda ditegur dalam Al-Qur’an. Apabila datang Abdullah bin Ummi Maktum رضي الله عنه berkunjung kepadanya, baginda selalu mengatakan, “Selamat datang orang yang menyebabkan Rabbku menegurku kerananya,” lalu baginda menghamparkan kain serbannya sebagai tempat duduk Abdullah bin Ummi Maktum رضي الله عنه.
Mungkin baik kalau kita jelaskan lagi maksud ‘abasa’. Ia lain dengan lafaz kalaha – iaitu rasa terganggu sangat sampai gigit gigi. Lafaz abasa ini adalah rasa terganggu tetapi setakat kerut dahi sahaja, tidak sampai ke muka pun. Maknanya sedikit sangat.
Walaupun sedikit sahaja, tetapi Allah ﷻ tetap tegur baginda kerana baginda dijadikan sebagai contoh dalam banyak perkara. Sebagai Nabi, sebagai suami, sebagai sahabat, sebagai bapa dan sebagainya. Salah satunya sebagai pemimpin kepada orang mukmin. Seorang pemimpin kena sayang kepada pengikut. Dan kalau pemimpin tunjuk rasa tidak suka kepada pengikut, tentu mereka pun tidak suka dan akan menjauhkan diri.
Tetapi Nabi ﷺ mempunyai akhlak yang amat mulia dan baik sekali. Dalam hal Nabi ﷺ, semua para sahabat rasa merekalah yang Nabi ﷺ paling sayang kerana cara baginda melayan mereka. Baginda layan mereka dengan begitu hebat sekali sampaikan semua sahabat terasa dekat dengan baginda. Kita pun tidak mampu buat macam itu. Tetapi kita kena cuba untuk mengikuti akhlak baginda setakat yang kita boleh.
Jadi, walaupun Nabi ﷺ berkerut dahinya, tetapi Abdullah tidak nampak, bukan? Jadi kenapa Nabi ﷺ kena tegur juga? Kerana mungkin ada orang miskin dan lemah yang lain ternampak. Takut-takut nanti mereka akan rasa rupanya Nabi ﷺ melebihkan orang yang ada kedudukan. Jadi Allah ﷻ menjelaskan dalam surah ini, mengatakan yang Allah ﷻ tidak merendahkan mereka.
Allah ﷻ beritahu yang mereka selalu dipandang tinggi oleh Allah ﷻ sampaikan Allah ﷻ mengingatkan baginda untuk menghormati mereka juga. Allah ﷻ suruh baginda berlembut dengan para sahabat, tidak kira kedudukan mereka di dunia. Kalau Nabi ﷺ bersikap keras dengan mereka, tentu mereka akan lari dari baginda dan mereka akan tinggalkan Islam selama-lamanya.
Sampaikan dalam Surah Ali Imran, baginda disuruh bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara-perkara yang penting macam hendak pergi berperang dan sebagainya. Inilah cara kepemimpinan yang tinggi yang Allah ﷻ sendiri ajar kepada baginda.
Walaupun ayat ini adalah teguran kepada Rasulullah ﷺ, tetapi lihatlah bagaimana Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ- dengan lembut sekali. Allah ﷻ tidak kata “kamu bermasam muka”, “kamu berpaling” tapi Allah ﷻ berfirman: dia, dia… kerana Allah ﷻ tidak cakap tepat dengan Nabi ﷺ. Maknanya itu adalah menegur dalam nada lembut.
Kerana kalau cakap terus kepada seseorang, itu tanda marah benar. Kita dapat tahu perkara ini kalau kita faham susunan Bahasa Arab. Ia adalah satu seni yang dipanggil balaghah. Jadi dari bahasa pun kita dapat ambil pengetahuan yang Allah ﷻ bersifat rahmah kepada Nabi ﷺ.
Ayat 2:
Kenapa baginda bermasam muka?
أَن جاءَهُ الأَعمىٰ
kerana telah datang seorang buta kepadanya.
Lelaki buta yang datang itu adalah Abdullah ibn al-Maktum رضي الله عنه, sepupu kepada Khadijah رضي الله عنها isteri Rasulullah ﷺ. Jadi dia ada kena mengena dengan Nabi ﷺ dari pertalian perkahwinan.
Beliau adalah antara yang terawal masuk Islam. Jadi Abdullah رضي الله عنه ini bukan orang lain dengan Nabi ﷺ. Ada satu hadis yang biasa kita dengar yang menyebut nama beliau:
قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنْصُورٍ الرَّمَادِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، حَدَّثَنَا يُونُسُ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ: قَالَ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عمر: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: “إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى تَسْمَعُوا أَذَانَ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ”. وَهُوَ الْأَعْمَى الَّذِي أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ: (عَبَسَ وَتَوَلَّى * أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى) وَكَانَ يُؤَذِّنُ مَعَ بِلَالٍ. قَالَ سَالِمٌ: وَكَانَ رَجُلا ضريرَ الْبَصَرِ، فَلَمْ يَكْ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَقُولَ لَهُ النَّاسُ-حِينَ يَنْظُرُونَ إِلَى بُزُوغِ الْفَجْرِ-: أذَّن
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Al-Laits, telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Syihab yang mengatakan bahawa Salim ibnu Abdullah telah meriwayatkan dari Abdullah ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. pernah bersabda: Sesungguhnya Bilal azan di malam hari, maka makan dan minumlah kamu hingga kamu mendengar seruan azan Ibnu Ummi Maktum. Dia adalah seorang buta yang disebutkan oleh Allah. dalam firman-Nya: Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. (‘Abasa: 1-2) Tersebutlah pula bahawa dia menjadi juru azan bersama Bilal. Salim melanjutkan, bahawa Ibnu Ummi Maktum adalah seorang buta, maka dia belum menyerukan suara azannya sebelum orang-orang berkata kepadanya saat mereka melihat cahaya fajar subuh, “Azanlah!”
Allah ﷻ gunakan lafaz جاءَ dalam ayat ini dan bukan أتى, kerana lafaz جاءَ lebih kuat, maknanya dia datang dengan bersungguh-sungguh. Dia berkata: “berilah aku petunjuk”. Atau, “Wahai Rasulullah, ajarilah aku dengan apa yang telah Allah ﷻ ajarkan kepadamu.”
Ayat 3:
وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ
Bagaimanakah kamu hendak tahu, barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa),
Nabi ﷺ ditanya dalam ayat ini: mana kamu tahu, mungkin dia akan dapat ilmu dan beramal dan dapat membersihkan jiwanya dengan perantaraan wahyu itu. Dia hendak jadi orang yang baik, buang yang buruk. Tetapi kamu berpaling darinya pula.
Tetapi, apakah cara untuk baginda dapat tahu? Kerana baginda tidak dapat baca hati manusia. Ayat ini adalah sebagai hujah untuk mempertahan Nabi ﷺ. Maknanya, Allah ﷻ pertahankan Nabi ﷺ untuk mengatakan yang Nabi ﷺ tidak bersalah sebenarnya. Allah ﷻ pertahankan baginda dengan jelaskan kenapa Nabi ﷺ tidak tahu.
Kalau Nabi ﷺ tidak tahu, bagaimana Nabi ﷺ hendak dipersalahkan? Dan bukanlah tugas Nabi ﷺ untuk melihat ke dalam hati manusia. Nabi ﷺ juga manusia dan sebagai manusia, baginda tidak dapat hendak mengagak apakah di dalam hati manusia. Lelaki buta yang datang itu, baginda tidak tahu sama ada dia hendak membersihkan dirinya atau tidak.
Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini yang Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه itu datang untuk membersihkan jiwanya. Dan dari ayat ini, kita boleh lihat bahawa tujuan kita belajar bukanlah untuk kita tahu sesuatu supaya jadi pandai, lebih dari orang lain, tetapi hujungnya adalah untuk membersihkan hati kita. Itulah tujuan belajar dan kalau lain dari yang ini, amatlah malang sekali.
Kita kena ingatkan diri kita, kita bukan belajar untuk dapatkan ilmu supaya kita jadi pandai, tetapi yang pentingnya untuk bersihkan diri kita. Perbetulkan tujuan kita belajar agama. Kerana mungkin ramai yang belajar untuk jadi pandai sahaja, untuk dapat sijil untuk cari makan dengan mengajar, untuk berdebat dengan orang, untuk merendahkan orang lain, untuk dipuji kerana pandai dan macam-macam lagi. Itu semua adalah tujuan yang salah.
Dalam ayat ini, lafaz يَزَّكّىٰ digunakan. Dalam bahasa Arab, ianya tidak dalam wazan yang lengkap. yang lengkap adalah يَتزَّكّىٰ (yatazakka). Apabila ada pengurangan dari wazan asal, maknanya ada pengurangan dari segi makna untuk menunjukkan yang ianya tidak sempurna.
Maknanya, pembersihan jiwa itu tidaklah sempurna. Dan ini memang benar kerana kalau sekali berjumpa dengan Nabi ﷺ, tidaklah dapat bersihkan hati terus. Memang adalah dapat sedikit tetapi pembersihan jiwa memerlukan usaha dari orang yang hendak membersihkan jiwanya. Tidaklah jumpa Nabi ﷺ boleh terus bersih jiwa. Bukanlah baginda boleh bersihkan hati orang. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja.
Ayat 4:
أَو يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكرىٰ
atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?
Peringatan yang dimaksudkan adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Abdullah Ummi Maktum رضي الله عنه mahu mendapatkan ilmu wahyu dari Nabi ﷺ. Sifat Al-Qur’an sebagai pemberi peringatan kepada manusia disebut dalam ayat ini. Ianya adalah satu peringatan yang kuat dan yang besar sekali.
Oleh itu, jangan pandang ringan pembelajaran wahyu dari Al-Qur’an ini. Abdullah رضي الله عنه datang kerana ingin mendapat pengajaran dari Al-Qur’an dan dari peringatan itu akan memberi manfaat kepada dirinya.
Tetapi yang boleh manfaat itu hanyalah kepada mereka yang mahu mendapat peringatan, yang berusaha. Kerana kalau seseorang itu mahu, memang akan mendapat peringatan. Oleh itu, kita kenalah berusaha untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an ini dengan bersungguh-sungguh. Kena berusaha kerana bukanlah ianya senang, tetapi tidaklah ia susah sangat sampai kita tidak boleh untuk memahaminya.
Kadangkala hendak mencari guru mengajar pun sudah susah. Tapi ingatlah yang usaha kita itu pun akan dapat pahala. Lagi susah kita berusaha untuk mendapatkan ilmu, lagi tinggi pahala. Malangnya, ada orang yang guru mengajar di sebelah rumah pun dia tetap tidak datang ke kelas.
Ayat 5:
أَمّا مَنِ استَغنىٰ
Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup,
Lafaz استَغنىٰ bermaksud seseorang yang lalai, cuai dan rasa serba cukup tidak perlukan apa-apa bantuan pun. Seumpama seorang yang kaya sangat sampai tidak kisah dengan duit pun.
Kata-kata ini merujuk kepada pemuka-pemuka Quraisy yang merasakan mereka tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantu mereka. Allah ﷻ bandingkan sifat mereka dengan Abdullah Ummi Maktum رضي الله عنه yang memang mahu membersihkan diri dia dan dia telah pergi kepada Nabi ﷺ untuk mendapatkan ilmu wahyu.
Sedangkan pemuka Quraisy itu mereka rasa mereka sudah cukup, semua sudah ada. Tetapi hanya mereka sahaja yang rasa macam itu, padahal mereka memang memerlukan bantuan dalam hal agama.
Orang yang rasa diri sudah cukup itu memang susah untuk diajar. Kalau manusia itu rasa mereka ada kekurangan, tidak semua mereka tahu, maka mereka akan buka telinga untuk dengar pendapat dan ilmu dari orang lain lagi. Begitulah zaman sekarang, banyak ustaz dari lepasan universiti atau pondok atau pesantren yang sudah belajar agama. Tetapi mereka tidak belajar aliran sunnah, maka banyak masalah yang mereka tidak kemas lagi.
Tetapi oleh kerana mereka ada pelajaran agama, mereka tidak dapat terima apabila ada orang yang beritahu perkara lain dari apa yang mereka telah belajar. Mereka rasa mereka sudah pandai, tidak boleh diajar lagi, maka mereka berterusan dalam fahaman agama mereka yang tidak semestinya benar.
Pemuka Quraisy itu memang datang jumpa Nabi ﷺ tetapi bukan hendak belajar, tetapi cuma hendak berdebat. Atau hendak dengar-dengar sahaja dulu. Mereka itu sifatnya sombong untuk menerima kebenaran. Kerana mereka sangka diri mereka sudah besar, sudah pandai. Begitulah juga, sekarang pun ada juga manusia yang suka berdebat, bertanya-tanya bukan hendak belajar, tetapi hendak berdiskusi, isi masa kosong sahaja.
Akan tetapi baginda tidak tahu pun dalam hati mereka. Samalah macam Nabi Musa عليه السلام yang tidak tahu pun dalam hati Firaun, maka baginda terus dakwah sahaja kepada Firaun seperti yang disuruh. Apabila mereka datang, baginda ambil peluang untuk secukup-cukupnya. Tapi kerana baginda tidak tahu apa yang dalam isihati mereka, maka sekarang Allah beritahu kepada baginda kedudukan perkara yang sebenar.
Ayat 6:
فَأَنتَ لَهُ تَصَدّىٰ
maka kamu melayaninya.
Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ: kepada mereka (yang sudah rasa cukup), kamu layan pula. Dan bersungguh-sungguh pula kamu melayannya. Ini adalah kerana lafaz صَدّىٰ bermaksud ‘lantunan’ seperti bola yang dilantun (kita baling dan ia datang balik).
Oleh itu صَدّىٰ bermaksud pergi dan kemudian pergi lagi. Allah ﷻ sebut tentang Nabi ﷺ yang tetap pergi kepada pemuka Quraisy berkali-kali. Ini macam seorang penjual bola yang sentiasa melantun berkali-kali bolanya kerana ingin menjual bola itu kepada seseorang.
Allah ﷻ tidak suka Nabi ﷺ macam itu. Allah ﷻ mahu Nabi ﷺ mengajar kepada mereka yang hendak belajar sahaja. Macam pemuka Quraisy, kalau sudah diberi dakwah, tetapi tidak mahu juga untuk terima dan belajar, jangan lagi dicari-cari mereka. Allah ﷻ sudah beritahu yang mereka itu sombong, rasa mereka serba cukup. Jadi tidak perlu terhegeh-hegeh mencari mereka lagi.
Oleh itu, nampak rendah maruah Nabi ﷺ dan Islam kalau baginda buat begitu. Dalam lafaz صَدّىٰ ini, nampak Nabi ﷺ sahaja yang pergi mencari dan mengadap mereka, ajak mereka berkali-kali untuk terima agama tauhid, tetapi mereka tidak balas pun. Jadi, nampak terdesak pula.
Allah ﷻ tidak mahu Nabi ﷺ terdesak memerlukan mereka untuk masuk Islam. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ berhenti dari buat begitu. Memang Nabi ﷺ kena dakwah kepada mereka, tetapi kalau mereka tidak mahu, biarkan sahaja. Mereka yang rugi, jangan pula terhegeh-hegeh hendakkan mereka.
Akan tetapi, kita telah sebutkan sebelum ini, sebenarnya Nabi ﷺ hendak sangat mereka beriman supaya semakin ramai yang beriman dengan agama yang benar. Niat baginda memang baik.
Sumber : Celik Tafsir
terbaik pakcikkk
ReplyDeleteMenarik 👍🏻👍🏻
ReplyDelete