Pages

Wednesday, June 13, 2012

MITOS IKAN PUYU---

Sisi mistik kaburi manfaat





SAAT Siti Patimah Mohammad masih kecil, beliau sering mendengar kisah yang disampaikan bapanya tentang mitos ikan puyu. Antara cerita yang masih segar dalam ingatannya ialah fungsi ikan itu ketika wanita hendak bersalin.

"Orang dulu-dulu bungkus ikan puyu yang masih hidup dalam kain. Kemudian, mereka gantung pada pintu rumah waktu perempuan melahirkan anak. Ikan tersebut dibiarkan di situ sehingga ia kering.

"Saya kurang jelas kegunaan ikan tersebut tapi apa yang diberitahu ia dapat mengelakkan benda jahat daripada mengganggu proses kelahiran.

"Biasalah, zaman dahulu orang tua banyak pantang larang dan mungkin ia kepercayaan mereka bagi mengekang gangguan makhluk halus. Sejauh mana kebenarannya saya sendiri tidak pasti," bersahaja nada wanita berusia 58 tahun itu ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Sambil memperbetulkan umpan berupa cengkerik pada mata kailnya, Patimah tidak henti-henti berkongsi kisah menarik tentang ikan yang dilabelkan 'ikan longkang' oleh kebanyakan orang itu. Menurutnya, beliau sendiri kurang mengambil berat sisi mistik puyu yang digembar-gembur masyarakat. Baginya, adalah lebih baik sekiranya ciri-ciri positif hidupan air itu yang diperbesarkan.

Tambah Patimah, tidak ramai orang di negara ini memilih puyu sebagai lauk, malah ada tanggapan yang menyifatkan pilihan itu sebagai pelik. Namun bagi beliau, puyu yang dimasak gulai lemak kuning mampu menambat selera siapa sahaja yang tidak pernah merasai keenakan ikan air tawar itu.

"Saya sudah mengenali ikan puyu ini sejak kecil lagi. Mungkin kerana saya dilahirkan, dibesarkan dan menetap di sini membuatkan ikan tersebut tidak asing dalam menu hidangan keluarga saya.

"Tambahan pula, kawasan kami dikelilingi sawah padi dan tali air iaitu lubuk paling sesuai buat puyu membiak. Sejak dahulu, saya gemar menangkap puyu tidak kira di sawah ataupun di parit kecil.

"Walaupun sudah bergelar warga emas, saya masih kerap memancing puyu di longkang hadapan rumah saya ini. Selalunya saya memancing untuk tempoh beberapa jam bermula dari pukul 2 petang hingga 4 petang. 

"Jika cuaca panas, saya hanya turun selepas pukul 5 petang," tutur Patimah yang mendedahkan waktu tengah hari merupakan jangka masa terbaik menangkap puyu kerana ia tempoh puyu memburu umpan.

Hasil tangkapan beliau kemudiannya dipecahkan mengikut saiz ikan tersebut. Puyu bersaiz besar akan dimasak manakala yang kecil dibela di dalam akuarium atau telaga kecil di belakang rumahnya.
Elak pukau



KAWASAN bendang dan tali air menjadi tempat permainan ikan puyu.

Suami Patimah, Buani Roski, 63, juga penggemar ikan air tawar terutama puyu. Pesara syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu menyifatkan puyu sebagai ikan tahan lasak yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Rasa lemak yang tinggi daripada ikan itu cukup menyelerakan tekaknya.

Berbalik pada kepercayaan misteri yang dikaitkan dengan ikan itu, Buani hanya tertawa kecil saat dijentik persoalan sedemikian. Katanya: "Ikan puyu dan perkara mistik tidak dapat dipisahkan. Ia umpama cerita turun-temurun dalam masyarakat tempatan tidak mengira bangsa.

"Keupayaan ikan puyu sebagai pelindung rumah ialah versi paling kerap didengar. Ramai membela puyu bagi mengelakkan rumah mereka dimasuki pencuri yang menggunakan ilmu pukau," ujarnya.

Mereka yang terikut-ikut akan kepercayaan itu bersandar kepada teori bahawa pukau tidak akan berkesan jika terdapat benda hidup di dalam rumah yang masih berjaga.

"Puyu dikatakan sejenis ikan yang tidak tidur malam. Sebab itulah, kehadirannya di dalam rumah dipercayai boleh membatalkan usaha penjahat yang ingin memukau penghuni sesebuah rumah," jelas Buani mengenai dakwaan tersebut, namun dia lebih percaya pada kuasa dan ketentuan Allah SWT.

Lebih menguji akal logik, ikan yang mampu hidup melebihi 24 jam di atas daratan itu dikatakan sebagai alat mainan yang digemari toyol dan orang bunian!

Dalam penceritaan lain, ciri fizikal ikan yang mampu mencecah usia lima tahun itu juga dipercayai digeruni makhluk halus termasuk syaitan dan jin. Duri tajam yang terdapat pada puyu dikatakan menyekat kebal makhluk tersebut untuk masuk ke dalam rumah manusia.



MASAKAN ikan puyu boleh dipelbagaikan mengikut selera.

Dalam dunia perdukunan, puyu turut menjadi medium memindahkan objek santau yang dihantar kepada seseorang. Santau yang diperoleh mangsa dipindahkan ke dalam badan puyu. Begitupun, ada juga yang menjadikannya sebagai objek untuk menyantau orang lain.

PUYU SAWAH

Seperti yang diketahui umum, kawasan bendang dan tali air menjadi tempat permainan ikan puyu. Selepas tempoh menuai, air menjadi semakin cetek dan ia merupakan waktu paling seronok bagi orang kampung menangkap puyu yang terperangkap di petak-petak sawah.

Bagi Mohd. Yatim Basri, 59, dua petak sawah miliknya di Kampung Sungai Haji Dorani menjadi kawasan ideal buat ikan-ikan air tawar ditangkap. Tiada kolam khas dibuat untuk pemeliharaan ikan tersebut malah beliau menyerahkan sahaja proses pembiakan spesies itu kepada alam semula jadi.

"Budak-budak kecil paling suka menangkap ikan puyu. Masa air cetek, ikan puyu bertaburan dan mudah ditangkap, berbeza pada waktu air dalam.

"Saya masih ingat ketika tahun 1970-an, ikan puyu yang ditangkap dijual pada harga 50 sen sekati atau kini 600 gram (g). Sekarang pula harganya telah melonjak sehingga mencecah RM12 sekilogram.
"Memandangkan rumah saya dikelilingi sawah, aktiviti menangkap ikan itu bolehlah dikatakan kerap. Anak-anak dan cucu-cucu juga tidak terkecuali memancing puyu. Ia enak dimasak sambal atau digoreng," ujar Yatim yang memancing menggunakan batang buluh kecil buatan sendiri.

Sumber : Kosmo 13 Jun 2012

No comments:

Post a Comment