Pages

Monday, December 23, 2013

HARTA KARUN NAZI MASIH TERBENAM DI TASIK TOPLITZ...


SUATU pagi dalam bulan Februari tahun 1945, Ida Weisenbacher, gadis berusia 21 tahun daripada golongan petani masih lena dibuai mimpi. Tidurnya dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu pada pukul 5.00 pagi.

Bila pintu dibuka, sekumpulan tentera Nazi sudah tercegat di depan rumahnya di kawasan terpencil berdekatan pergunungan Alpien di Austria."Sediakan kereta kudamu. Bawa kami ke tasik!" arah tentera itu.

Tidak berani membantah, gadis itu menurut saja arahan. Setelah kereta kuda disediakan, para tentera itu memindahkan puluhan kotak dari trak mereka ke atas kereta kuda tersebut. Diiringi tentera, Weisenbacher diarah membawa kereta kudanya yang sudah penuh muatan ke arah sebuah tasik tidak jauh dari rumahnya. Jalannya kecil dan berliku. Trak besar tidak muat untuk memasuki jalan itu. Hanya kereta kuda yang boleh melaluinya.

Bukan sekali, tetapi tiga kali gadis itu ulang alik dari tasik ke rumahnya bagi membawa puluhan kotak-kotak rahsia tersebut. Weisenbacher juga menyaksikan bagaimana tentera Nazi membuang kotak-kotak itu ke dalam tasik, tenggelam dan lenyap daripada pandangan.

Ingin ditanyakan apakah isinya, tetapi dia tidak berani. Sejak itulah bermula spekulasi mengatakan tasik itu menyimpan harta karun yang disembunyikan oleh pihak Nazi.

Di manakah tasik rahsia Nazi itu?

Tasik Toplitz...

Lokasinya agak terpencil. Jauh ke dalam hutan di bahagian barat Austria. Disebut sebagai Tasik Toplitz, ia dikelilingi hutan tebal berserta cenuram dan gunung mati. Sewaktu Perang Dunia Kedua, tasik ini dijadikan markas untuk menjalankan pelbagai ujian ketenteraan oleh tentera Nazi.. Di kawasan tasik sepanjang dua kilometer dengan lebar 400 meter ini, para saintis melakukan pelbagai ujian dan eksperimen melibatkan bahan letupan.

Sewaktu perang meletus, pihak Nazi berjaya menguasai sebahagian negara Eropah. Mereka merampas segala harta seperti wang dan emas kepunyaan bank-bank negara dan membawanya pulang ke Jerman.

Kononnya, segala barangan berharga seperti emas telah dileburkan, lalu dibentuk menjadi jongkong. Dikatakan harta rampasan inilah yang digunakan Nazi untuk membiayai perang yang dilancarnya.

Apabila tentera Nazi dipimpin diktator Adolf Hitler mula mengalami kekalahan, pihak tentera diarah untuk memindahkan sisa harta-harta Nazi ke serata tempat.

Justeru tidak hairanlah apabila Hitler berjaya dikalahkan tentera Berikat dan Soviet, hanya sebahagian kecil harta Nazi yang berjaya ditemui. Jutaan harta rampasan yang lain tidak dapat dikesan.

Usaha mencari harta karun Nazi tidak pernah padam...

Lalu bermulalah pelbagai pencarian harta karun Nazi. Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan adalah Tasik Toplitz. 

PADA tahun 1959, sebuah penerbitan majalah di Jerman menghantar penyelam ke tasik ini. Mereka temui peti, namun bukan berisi emas. Hanya mata wang paun tetapi wang palsu! Turut ditemui beberapa dokumen penting. Salah satunya berkaitan 'Operasi Bernhard' yang dirancang Hitler. la adalah operasi untuk melemahkan ekonomi pihak musuh dengan memalsukan mata wang mereka. Dan wang palsu inilah digunakan untuk membiayai perang. 

Dikatakan, lebih kurang hampir lima bilion paun berjaya dipalsukan melalui operasi ini. Rancangan Hitler berjaya apabila bank Inggeris ketika itu terpaksa menarik mata wangnya daripada pasaran dan terpaksa mereka bentuk mata wang baru. 

Selain itu, beberapa pencarian lain turut pernah mengorbankan para penyelam di tasik yang berkedalaman lebih 100 meter itu. Setelah seorang penyelam terkorban di dasar tasik itu pada tahun 1969, kerajaan Austria telah melarang segala aktiviti carian harta karun di sekitar Tasik Toplitz. 

Larangan itu sebenarnya ada maksud tersirat. Austria kemudian melancarkan operasi 'Camouflage Curtain', iaitu pencarian besar-besaran di dasar tasik untuk mencari harta karun Nazi yang tersembunyi. 

Ratusan tentera mengawal ketat kawasan itu agar tidak dicerobohi sewaktu pencarian dijalankan. Ditemui 18 peti berisi wang paun palsu bersama plat logam yang digunakan untuk mencetak wang tersebut. 

Selebihnya, yang dijumpai adalah sisa-sisa roket dan senjata. la tidak menghairankan kerana tasik itu pernah menjadi markas ujian tentera Nazi dulu. 

Akhirnya, operasi itu dihentikan pada Disember 1983. Menurut pihak kerajaan Austria, seluruh tasik itu telah diteroka dan disahkan sudah 'kosong'. Oleh itu, segala pencarian lain adalah dilarang sama sekali. Tetapi, siapa peduli? 

Seorang pakar biologi pernah meneroka tasik ini untuk menjalankan kajian hidupan di dasarnya. la turut menemui beberapa peti yang juga berisi wang palsu berserta peralatan ketenteraan. 

Sebuah perusahaan terkenal yang pernah melakukan pencarian artifak di kapal Titanic juga pernah melakukan pencarian di Tasik Toplitz pada tahun 2000. Menggunakan teknologi moden, sebuah kapal selam dihantar menjelajah dasar tasik. Pun sama, hanya peti berisi wang palsu ditemui. 

Penemuan wang palsu itu sedikit pun tidak pernah meluputkan kepercayaan bahawa ada harta karun Nazi di tasik tersebut. Apatah lagi apabila seorang penyelam menemui teko daripada emas di tasik itu pada tahun 2003. Teko dengan lambang Jerman itu dikatakan bernilai 100 ribu dolar. la menguatkan lagi dak waan kisah harta karun yang terbenam di situ. 

Sebenarnya, tiada siapa yang tahu jumlah sebenar harta Nazi yang hilang. Sekadar anggaran, mungkin ia bernilai 25 trilion dolar. Agak luar biasa untuk jumlah harta rampasan yang hilang.

Tetapi, ia bagaikan satu impian yang tidak pernah pudar buat pencari harta karun Nazi. Walaupun kebanyakan carian menemui kegagalan, mereka tidak pernah putus asa. Masih setia mengejar misteri harta karun tersebut. 

Apa yang pasti, hanya Hitler yang lebih mengetahui tentang harta-harta yang dikumpulkan semasa kekuasaannya. Dan rahsia itu berkubur apabila pemimpin diktator itu bertindak membunuh diri pada 30 April 1945.
Dipetik dari Mastika 9/2013

3 comments:

  1. Tahniah....info begini tinggi nilainya...info sejarah yg jarang di temui...bravo Mr. Bloger....

    ReplyDelete
  2. Bagus... En Aj..... seronok membaca cerita berdasarkan perang dunia ke dua ni..

    ReplyDelete
  3. terima kasih en jamil & anonymous diatas komen anda. kisah2 sejarah memang seronok dibaca apatah lagi ketika ia berlaku kita masih belum dilahirkan didunia. Banyak kisah2 sejarah telah diubah oleh org2 yg tidak btggungjwb atas kpntingan sendiri. seeloknya berjumpalah dgn pakar sejarah untuk mndpt kisah sbnar

    ReplyDelete