Pages

Tuesday, December 10, 2013

SIAPA SYAITAN?...

Gambar hiasan...

MENURUT penceramah bebas dan juga pengamal perubatan Islam, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, syaitan adalah anak dan keturunan iblis yang sebangsa dengan jin dan diciptakan daripada unsur api. Firman Allah s.w.t di dalam surah ar-Rahman, ayat 15 yang bermaksud: "Dan Dia telah menciptakan jin daripada lidah nyalaan api (yang tidak berasap)."

"Ulama berselisih pendapat tentang permulaan iblis dicipta. Ada sesetengah ulama mengatakan iblis diciptakan 2,000 tahun sebelum kejadian Adam a.s dan ada juga yang berpendapat iblis telah dicipta beribu-ribu tahun lebih awal sebelum lahirnya Nabi Adam as.

"Dalam al-Quran banyak diceritakan tentang syaitan dan iblis. Syaitan disebut sebanyak 102 kali, manakala iblis pula disebut sebanyak 24 kali. Dalam surah as-Sad bermula pada ayat 71 hingga ke ayat 83, ada menceritakan tentang keingkaran iblis untuk sujud kepada Adam a.s. Iblis pada asalnya makhluk yang taat dan patuh kepada suruhan Allah s.w.t telah berpaling ingkar dan kufur kepada Allah s.w.t ketika diperintahkan untuk sujud (tanda hormat) kepada Adam a.s.

"Sikap sombong dan angkuh serta merasakan dirinya adalah lebih baik kerana diciptakan daripada api menyebabkan iblis enggan sujud kepada Adam a.s yang diciptakan daripada tanah. Lantaran disingkirkan dari syurga, lalu iblis memohon kepada Allah s.w.t agar dipanjangkan umurnya dan bersumpah untuk menyesatkan keturunan Adam a.s dan menjerumuskan mereka untuk menjadi penghuni neraka bersama-samanya.

Begitulah asalnya permusuhan antara syaitan dengan umat manusia. "Iblis adalah ketua kepada golongan syaitan dan jin kafir. lblis tidak akan mati sehinggalah sampainya hari kiamat dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah s.w.t, manakala syaitan dan jin pula boleh mati dan boleh beranak pinak. Usia syaitan dan jin lebih lanjut berbanding manusia dan bilangannya pula lebih ramai, melebihi manusia dan syaitan bertindak sebagai tentera iblis dalam misinya menyesatkan umat manusia.

Ketiga-tiga makluk ini, iaitu iblis, syaitan dan jin tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.  Allah s,w.t telah berfirman "Sesungguhnya dia (syaitan) dan konconya dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (Al-A'raf: 27).

Makhluk ini juga mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai." (HR Hakim dengan sanad sahih).

Menurut Dusuki lagi, syaitan boleh menjelma menjadi binatang, ada riwayat mengatakan bahawa sekiranya terserempak dengan anjing berwama hitam mempunyai tompok putih pada dahinya di waktu tengah malam, dikhuatiri anjing itu telah dimasuki oleh syaitan ataupun syaitan itu sendiri menjelma dalam bentuk anjing tersebut.

Menurut Dusuki, kita boleh menghindari syaitan dengan beberapa cara, antaranya ialah dengan melaungkan azan, membaca al-Quran, memperbanyakkan istighfar, melazimi lidah dan hati dengan zikir-zikir seperti zikir ma'thurat dan zikir para nabi dan aulia.

"Berkawanlah dengan orang-orang yang salih, banyak menghadiri majlis ilmu, bertahajud di waktu malam, banyak bersedekah, bersikap tolong­ menolong sesama mukmin antara perkara yang sangat digeruni oleh syaitan. 

"Sebaik-baiknya jangan bertangguh dalam melakukan amalan salih dan buangkanlah tapak syaitan dalam hati, iaitu sifat mazmumah kerana di situlah syaitan akan meresapi ke dalam tubuh dan jiwa manusia, sebaliknya suburkan sifat mahmudah agar diri kita terhindar daripada kejahatan syaitan," katanya.

MANUSIA ADA KEMBAR JIN

Menurut Dusuki lagi, setiap manusia yang lahir ke dunia ini diiringi sejenis makhluk halus (jin) yang dipanggil Qarin. Makhluk ini tidak dianggap sebagai syaitan sebaliknya daripada golongan jin yang suka menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Nabi s.a.w sendiri tidak terkecuali didampingi oleh makhluk Qarin ini. Bagaimanapun Qarin yang mendampingi Nabi telah diislamkan sejak dari awal lahirnya Nabi s.a.w.

Ini dinyatakan sendiri oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada sesiapa di antara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin. Mereka berkata: Walaupun kamu ya Rasulullah?', Baginda menjawab: Walaupun aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat daripadanya (mengislamkannya), maka dia hanya akan memerintahku untuk melakukan perkara yang baik'." (HR Muslim)

"Qarin ini boleh dibentuk sama ada untuk menjadi baik atau jahat. Jika kita bentuk diri kita menjadi orang yang baik dan Muslim yang bertakwa, maka Qarin yang mendampingi akan terdorong untuk menjadi baik dan bertakwa. Jika sebaliknya pula, Qarin yang mendampingi kita akan menjadi lebih jahat daripada kita. 

Bagaimanapun Qarin tidak boleh menguasai diri seseorang yang dalam keadaan normal, melainkan apabila seseorang itu hilang pertimbangan dan berfikiran tidak waras. Itulah punca yang menyebabkan seseorang itu menjadi keras kepala, tidak mendengar kata , malah lebih teruk lagi akan menjadi ganas dan bertindak di luar kawalan disebabkan dirinya dikuasai Qarin," katanya.

  SYAITAN JIN DAN SYAITAN MANUSIA.

SYAITAN boleh dikategorikan kepada dua, iaitu jin dan manusia. Antara syaitan dalam golongan jin termasuklah ifrit. Pada zaman Nabi Sulaiman a.s, ifrit adalah antara golongan jin yang taat dan tunduk kepada Allah s.w.t, tetapi selepas wafatnya Nabi Sulaiman a.s, ifrit berpaling ingkar dan menjadi kufur kepada Allah s.w.t.

"Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa syaitan adalah anak keturunan iblis dan juga jin kafir yang menjadi pengikut iblis bersama-sama menggoda manusia, dan menimbulkan kesesatan dan kebencian sesama umat manusia.

'Perlu diingat, syaitan juga boleh wujud di kalangan manusia. Sebab itu Allah s.w.t meminta kita agar berdoa supaya terhindar daripada kejahatan jin dan manusia', sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Nas, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia Yang menguasai sekelian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang melemparkan bisikan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia."

"Di antara sifat syaitan itu adalah sifat sombong, bongkak, sesat dan cinta terhadap kejahatan. Jin yang bersifat sombong dan bongkak dan cinta kejahatan di kenali sebagai syaitan, manakala manusia yang memiliki sifat-sifat mazmumah tergolong juga dalam kelompok syaitan.

Manusia jahat yang melanggar peraturan dan hukum Allah s.w.t. serta melakukan pelbagai kejahatan, kerosakan dan perbuatan maksiat seperti membunuh, merogol, merompak, menghasut, memfitnah, mengadu domba, memecah-belahkan umat Islam dan berbagai-bagai lagi kejahatan bolehlah digolongkan sebagai syaitan di kalangan manusia.

Syaitan di kalangan manusia itu lebih kepada sikap dan perbuatan jahat manusia yang menyerupai syaitan di kalangan manusia.

"Syaitan di kalangan manusia itu lebih kepada sikap dan perbuatan jahat manusia yang menyerupai syaitan. Sebab itulah ada istilah yang mengatakan sekiranya seseorang itu melakukan kejahatan samalah dirinya itu seperti syaitan.


Oleh: Ahmad Nasaruddin Abdul Rahman
Majalah Iman.

No comments:

Post a Comment