Pages

Wednesday, January 22, 2014

BATU ITU BEROMBAK...



Jika dilihat sekali imbas, sebuah kawasan berbukit di Arizona, Amerika Syarikat, kelihatan seolah-olah seperti lautan yang berwarna keperang-perangan. Namun hakikat sebenarnya ia bukanlah laut, tetapi satu formasi batuan seakan-akan gelombang ombak yang terbentuk berjuta-juta tahun dahulu.

Dikenali dengan nama The Wave, fenomena ini sangat unik kerana pembentukan semula jadi garisan spectacular yang memperlihatkannya seperti batuan berombak. Kerana keunikannya, ia menjadi antara lokasi kegemaran ramai pengembara untuk merasai satu suasana unik yang tidak ada di tempat lain. Malah, The Wave juga turut menjadi lokasi pilihan juru gambar profesional untuk mendapatkan hasil gambar yang menakjubkan.


Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan ahli sains dari Amerika Syarikat, mereka mendapati bahawa fenomena The Wave ini terbentuk daripada batu pasir jenis Navajo Sandstone sejak era dinasour lagi. Gunung pasir ini berubah menjadi gunung batu disebabkan pasir-pasir telah di selaputi kapur dalam jangka masa berabad-abad lamanya sehingga menjadi keras.

Menariknya, pasir-pasir itu dibawa oleh hakisan angin dan hujan sehingga membentuk formasi seperti ombak. Walau bagaimanapun, ia dibawa secara berperingkat dan disebabkan itu, warna pasir di setiap lapisan yang menjadi batu adalah tidak sama. Perkara ini turut dipengaruhi oleh jenis pasir yang di bawa oleh angin mahupun hujan.


Justeru, daripada proses tersebut, akan kelihatan garisan sama ada secara melintang atau menegak. Menurut juru gambar profesional dari Los Angeles Times, Hugo Martin, walaupun ia telah bertukar menjadi batu, namun ia merupakan batu pasir lembut yang mudah rapuh. Kata Martin, sesiapa yang ingin pergi ke sana perlu berjalan dengan berhati-hati supaya tidak berlaku kerosakan atau pecahan pada batu yang boleh mengubah bentuk asalnya. Walau bagaimanapun, untuk sampai ke destinasi ini, hanya boleh berjalan kaki dengan anggaran tiga batu.

 

Baru-baru ini telah berlakunya hujan ribut di kawasan tersebut dan banyak kolam-kolam telah terbentuk. Apa yang menariknya, kolam-kolam itu mengandungi ratusan berudu dan udang-udang kecil. Sehingga kini, tidak diketahui dari mana datangnya haiwan berkenaan. 

Fenomena batu berombak ini bukan sahaja terdapat di Arizona, Amerika Syarikat. Satu daripadanya terletak di Australia Barat yang dikenali sebagai Wave Rock. Proses pembentukannya sama seperti yang berlaku kepada The Wave, iaitu proses hakisan angin dan juga hujan.

 

Walau bagaimanapun, bentuk Wave Rock lebih menarik kerana ia seperti gelombang laut yang terdampar di tanah luas. Ketinggian 'ombak' Wave Rock dianggarkan 15 meter dengan panjang hampir 110 meter. Wave Rock juga dijadikan tempat pesta muzik Wave Rock Weekender yang diadakan sekali setahun.

Kedua-dua kawasan ini sangat terkenal di kalangan juru gambar disebabkan bentuk dan formasi batu pasirnya yang berombak. Selain mempunyai corak dan warna menarik, kawasan batu 'berombak' ini diminati oleh pendaki yang sukakan cabaran lasak.

Sumber : Majalah Infinity 7/2011

No comments:

Post a Comment