Pages

Sunday, January 19, 2014

TRAGEDI DI PADANG BOLA RAGUT NYAWA AFIQ...


9 April 2011, seperti biasa, Afiq Hamizan Abdul Hamid, 15, menyalami tangan Ibunya saat berangkat ke sekolah. Pagi itu, dia mewakili sekolahnya, SMK Engku Husain, Semenyih dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat (MSSD Hulu Langat) sebagai penjaga gol. Malah sebelum perlawanan berlangsung dia juga sempat membisikkan kepada rakan sepasukan, tidak akan membiarkan pihak lawan membolosi gawang dijaganya demi maruah sekolah. Bersama rakannya, Shahrul, Iqbal dan Angah, mereka menuju ke sekolah sebelum menaiki bas menuju ke SMKA Maahad Hamidiah Kajang tempat berlangsungnya kejohanan sukan bola sepak ini. Tanpa disangka itulah perlawanan terakhir buat Afiq. 
 

Dalam perlawanan pertama menentang SMK Pandan Jaya, pada separuh masa kedua dia berjaya menjalankan tugasnya di posisi penjaga gol. Malah beberapa minit sebelum perlawanan tamat dia sempat menangkap bola daripada masuk ke pintu gol. Namun saat meniarap mendakap bola, pihak lawan menerpa dan tersepak kepalanya. Afiq kesakitan dan dikeluarkan dari padang. Namun sakit yang disangka biasa menjadi tragedi bagi keluarganya apabila anak ketiga dari enam beradik ini meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat pendarahan banyak di kepala.

Membaca berita dari akhbar harian yang melaporkan kematian Afiq mengundang kedatangan MW ke rumah arwah yang terletak di Taman Permai, Semenyih. Baru beberapa minit tiba, rakan sekolah arwah, Iqbal, Shahrul dan Angah muncul.

Kata ibu arwah, Norhayati Ba'atu, 50, anak-anak ini biasanya akan meletak basikal mereka di rumahnya sebelum bersama-sama berjalan kaki kesekolah yang jaraknya hanyalah 200 meter dari rumahnya. Ditanya bagaimana perasaan tiga sekawan itu selepas kehilangan rakan baik, kesemuanya mengakui agak sunyi.

"Kami mula berkawan sejak darjah empat hinggalah sekarang. Afiq seorang yang ceria dan suka bertanya kepada guru jika ada perkara yang tidak difahaminya. Tapi sekarang kami berasa agak sunyi selepas arwah tiada.

Dalam pada itu, ungkap mereka pada hari kejadian selepas pihak lawan tersepak kepala Afiq permainan diteruskan dan pasukan mereka menang 2-0 dalam perlawanan ini.

Namun berikutan tragedi menimpa Afiq, pengetua sekolah mengumumkan menarik diri meski pun layak ke pusingan kedua.

Bercerita lebih Ianjut, jelas ibu arwah, Norhayati dan bapanya, Abdul Hamid Saad, 50 menyuarakan apa yang tersimpan di hati mereka berikutan kematian anak ketiganya itu.

"Saya amat kesal dengan apa yang telah terjadi. Dua orang doktor termasuk seorang darinya pakar HKL mengatakan anak saya dapat diselamatkan jika dihantar awal ke hospital.," katanya ketika ditemui. 

 
Kedua ibu bapa ini kesal kerana 
tindakan lambat pihak sekolah hingga 
nyawa anak mereka terkorban.....


Pemain tersepak kepala anak

Tambah Norhayati, pada hari kejadian, dia dimaklumkan, selepas kepala anaknya disepak dan Afiq diusung keluar padang, dia hanya dibiarkan tidur di khemah tanpa apa-apa tindakan lanjut.

"Afiq hanya dibiarkan tidur di khemah namun saya percaya ketika itu arwah tidak tidur sebaliknya sudah pengsan. Ini berdasarkan penyataan akhirnya ketika saya bertanya apa yang terjadi dan Afiq berkata dia tidak ingat apa-apa.

"Apa yang buat saya lebih kesal, anak saya hanya dihantar ke Klinik Kesihatan Semenyih lebih kurang tiga petang. Ketika saya sampai, hanya Afiq seorang diri tersandar di bangku klinik dan dalam masa yang sama menunggu ambulan datang untuk membawanya ke Hospital Kajang,"imbasnya.

Sementara menunggu ambulan datang, ujarnya dia ada bertanya kepada Afiq tentang apa yang terjadi namun anaknya hanya memberitahu kepalanya sangat sakit.

"Bila saya mahu menyentuh kepalanya dia cuba mengelak. Dia meminta air kerana terlalu haus dan kala itu, saya perhatikan sebelah wajahnya agak pucat dan Afiq pada masa itu hanya mampu menangis.

"Saya juga melihat pandangan matanya agak berlainan. Menyedarinya saya mula berasa risau dan berdebar. Saya pujuk Afiq agar bersabar dan masa yang sama, arwah menangis kesakitan sementara menanti ambulan datang.

"Apa yang buat saya lebih kesal, ambulan milik klinik kesihatan tidak boleh bergerak dan bila diajukan pertanyaan, mereka menyatakan minyak ambulan sudah habis. Saya ada pertikaikan hal ini kerana kata saya, kalau terjadi kes-kes kecemasan sebegini, adakah alasan sebegitu boleh diterima.

"Afiq kemudian dihantar ke Hospital Kajang melalui ambulan milik hospital terbabit. Malah dalam ambulan juga, tiada rawatan diberikan sebaliknya Afiq hanya dibaringkan. Saya bersamanya sementara suami pula pulang ke rumah kerana mahu menguruskan anak-anak yang pulang dari sekolah," kata ibu kepada Amirul Husna, 21, Fatin Farhana, 19, Amar Husaini, 14, Nur Ain Syafiqah, 10 dan Wan Aizat Fitri, 8 tahun. 


Afiq makin lemah

Cerita Norhayati lagi, semasa di dalam ambulan, keadaan anaknya lemah dan sebaik tiba di bahagian kecemasan hospital, Afiq segera diberikan rawatan.

"Bila doktor bertanya apa yang terjadi, saya menghubungi rakannya Shahrul untuk kepastian cerita kerana doktor tidak dapat mengesan mengapa keadaan anaknya sebegitu teruk. Semasa dibawa ke bilik x-ray, keadaannya semakin lemah.

"Sebagaimana diletakkan di atas pengusung, begitulah keadaannya dan ketika di bilik x-ray, Afiq dibantu untuk diletakkan di atas katil. Semasa di hospital, saya perhatikan Afiq memegang plastik hitam yang berisi muntahnya.

"Afiq terus muntah dan semasa keluar dari bilik x-ray pun, dia muntah sekali lagi.

Saya kemudiannya membuat pendaftaran dan selepas kembali mendapatkannya, saya dapati tubuh Afiq semakin lemah.

"Saya memanggilnya "Der" (panggilan di rumah) namun Afiq seperti membisu. Malah jururawat yang bertugas turut memanggil-manggil namanya namun tiada Resfons. Bila melihat keadaannya, hati ibu saya berasa risau, terutama bila tiada langsung sahutan darinya,” katanya sambil tangannya cuba mengesat air mata yang hampir turun tatkala berkongsi kisah sedih anak ketiganya itu.

Ceritanya lagi, mungkin disebabkan mendengar namanya dipanggil acap kali, Afiq seakan tersedar dan terus mengangkat sedikit tubuhnya sedangkan perbuatannya dibimbangi akan menyebabkan dirinya jatuh ke lantai.

"Bayangkan perasaan saya kala itu. Saya berseorangan di saat anak saya bertarung dengan maut. Hendak bertanya lebih lanjut tentang apa yang terjadi, saya tidak pasti. Disebabkan dalam telefon bimbit saya hanya ada nombor kawan anak, maka saya menelefonnya namun saya diberitahu, pihak lawan tersepak kepala anak saya.

"Tetapi seberapa kuat disepak, kenapa cikgu tidak segera membawa arwah ke hospital semuanya menjadi tanda-tanya sehingga sekarang. Kala persoalan demi persoalan bermain di fikirannya saya melihat mesin oksigennya mengeluarkan satu garisan panjang, waktu itu saya sedar ada yang tidak kena dengan Afq.

"Saya mengajar anak terus rmengucap dan bertalu-talu di telinganya tapi keadaan Afiq memang agak parah sehinggalah doktor mengesahkannya dalam keadaan kritikal. Bukan seorang dua doktor mengatakan situasi itu. Sewaktu doktor ketiga datang memberitahu agar dipanggil ahli keluarga dan dibaca ayat suci kepada Afiq saya sudah dapat memahami apa maksudnya," ujar Norhayati sebak.

Degupan jantung terhenti lima kali

Sambungnya ketika itu, menurut doktor pendarahan dalam kepala Afiq terlalu banyak dan ia sukar diimbas kerana keadaannya tidak stabil. Bacaan nadinya juga amat lemah dan ada kalanya jantungnya berhenti selama lima minit.

"Saya menyaksikan Afiq menderita apabila alat diletakkan di dadanya agar jantungnya kembali berdenyut. Sebelum disahkan benar-benar meninggal dunia, lima kali jantungnya terhenti dan saya sebagai ibu tidak sanggup melihat keadaannya terseksa sebegitu,' jelasnya sambil memberitahu lebih kurang jam 3 pagi, anaknya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di otak.

"Dari petang menerima rawatan hingga ke esok pagi, doktor mengesahkan anak tidak stabil dan selagi tidak stabil dia tidak boleh dibawa menaiki ambulan. Lebih kurang jam 6.45 pagi, Afiq dibawa ke bilik pembedahan dan pakar tersebut menjelaskan, adalah menjadi dosa kepadanya jika tidak melakukan sesuatu kerana Afiq masih ada peluang untuk hidup ketika itu biarpun sangat nipis," katanya lagi.

Sebagai ibu, tatkala melihat anaknya begitu menderita, tanpa sedar dia telah mengangkat tangannya berdoa kepada Allah S.W.T agar nyawanya diambil kerana dia tidak sanggup melihat tubuh anaknya ditekan mesin elektrik setiap kali jantung anaknya terhenti.

"Semasa tiba di HKL, doktor menyuruh kami menunggu di luar namun saya berkeras mahu ikut sama. Mungkin doktor faham nyawa anak mungkin tidak lama, dia membenarkan saya berdiri di bahagian kepala anak mengajarnya mengucap," katanya yang berjanji kepada dirinya dia tidak mahu menangis lagi dan pada masa yang sama redha kerana tahu tempat anaknya adalah di syurga Firdausi.

Boleh diselamatkan jika dirawat lebih awal

Dalam pada itu, bapa arwah, Abdul Hamid Saat, yang bekerja sebagai penyelia keselamatan di sebuah bank berkata doktor sudah menjelaskan kepada keluarganya, jika Afiq berjaya dalam pembedahan, ia seperti "ada dalam tiada". 

 
Ini kerana otak anaknya sudah mati dan dia hanya menunggu ajal menjemput. Saat itu dirinya hanya berserah kepada takdir Allah dan nyata Allah menyayangi Afiq.

Dalam pada itu, seperti isterinya dia turut menyuarakan kekesalan hatinya tentang situasi yang berlaku di padang selepas kepala anaknya disepak.

"Guru sekolah ada menemui saya di hospital, namun maaf, saya cakap ketika itu keadaannya tidak sesuai. Ketika itu juga doktor memanggil saya dan bertanya pelbagai perkara tentang anak. Jauh di sudut hati saya memang kesal dengan apa yang terjadi.

“Apa yang saya kesalkan, kenapa guru pengiring tidak membawa anak saya segera ke klinik. Peling dekat dengan sekolah tempat perlawanan adalah Hospital Serdang yang jaraknya hanya 1.5 km dan Hospital Kajang jaraknya pula 2.5 km. Alasan mereka ketika itu, tiada kenderaan,"ujar Abdul Hamid sambil memberitahu sikap masyarakat yang beranggapan mentaliti bila ada darah barulah dikatakan kecederaan adalah sikap yang perlu diubah.

"Orang kita selalu fikir, kalau ada darah, ia baru dianggap kecederaan. Tapi kecederaan kepala biar pun tiada darah tetap boleh membawa maut sebagaimana yang terjadi kepada anak saya," katanya mengakui agak emosi kerana cara dan tindakan pihak sekolah menangani kes anaknya.

"Saya bertanya kepada dua doktor, kata mereka anak saya boleh diselamatkan jika dibawa awal ke hospital. Afiq disepak pada jam hampir 10 pagi dan hanya dibawa ke klinik pada jam 3.57 petang, waktu pendaftaran. Satu jangka masa panjang dan sebab itulah saya sangat kesal," katanya perlahan.

Sering ucap terima kasih

Dalam pada itu kata Norhayati, dalam ramai anak, Afiq adalah anak yang paling menghormati dirinya. Setiap perbuatannya akan disertainya dengan ucapan terima kasih. Malah dia juga seorang yang mengotakan janjinya.

"Dia kotakan janjinya tidak akan memboloskan gawang sekolah tapi akhirnya ini yang anak saya dapat,' katanya perlahan.

Dalam pada itu, pemergian arwah meninggalkan kesan mendalam kepada Amar Husaini, 14 tahun kerana hubungan mereka cukup akrab. Amar lebih banyak termenung. Sebelum ini mereka macam kembar, ke mana pasti berdua. Kalau seorang tidak pergi, pasti keduanya tidak pergi. Malah selepas Afiq tiada, Amar tidak lagi pergi ke kelas tuisyen dan sebagainya," jelasnya lagi.

 


Dipetik dari Mingguan Wanita...

7 comments:

  1. Kejadian sebegini harus menjadi tauladan kpd semua pihak...Alfatihah utk Afiq...moga2 roh beliau ditempatkan bersama org2 beriman...tahniah Mr. Bloger

    ReplyDelete
  2. Tq. en. jamil atas komen anda...kalau ada anak main bola posisi gol keeper harap waspada...

    ReplyDelete
  3. Orang awam harus tahu tanda bahaya trauma kepala (head injury). Paling simple, kalau pesakit mengalami penurunan kesadaran (kurang/tidak respon ketika dipanggil panggil), sakit kepala hebat dan muntah; langsung bawa ke hospital secepatnya. Cedera di otak tidak semestinya ada tanda luka diluar kepala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum En. Farid Ramli...
      Terima kasih atas info dan nasihat yg sgt. berguna dari tuan.
      Sama2lah kita mengambil iktibar dari kisah yg. menyayat hati ini...

      Delete
  4. Wau...selama saya GK sekolah dan Daerah..baru saya tahu risiko menjadi GK

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak salah diposisi manapun kita bermain asalkan kita sentiasa berwaspada didlm setiap tindak tanduk & pergerakan kita. Sentiasa awasi dan beri tumpuan setiap apa permainan atau pekerjaan yg kita lakukan.
      Terima kasih kerana sudi melawat blog saya...

      Delete
  5. Baru sekarang masyarakat nak sedar, pentingnya rawatan... Bila pihak medical yang buat silap, siap masuk FB,masuk media.. Kutuk medical team.. Bila cikgu-cikgu yang lalai, tak jadi huru hara pun... Typical Malaysian.. Kerja mok condemn orang jak.. tapi sik sedar kedirik ya bagus ka sik... Ney endak Malaysia sik pandey maju..

    ReplyDelete