Pages

Wednesday, April 30, 2014

TAKBIRATULIHRAM TERAKHIR MAT INDERA...


Baru-baru ini Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencetuskan pendapat apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos 2013 yang lalu, Mohamad turut mendakwa Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada UMNO.

Fakta di atas adalah pendapat dari Mohamad Sabu. Ok, sekarang mari pula kita baca pendapat dan pandangan dari Tn. Hj. Junit iaitu rakan sekampung Mat Indera semasa kejadian tersebut sepertimana yang diceritakan oleh beliau kepada wartawan Mastika edisi keluaran pada Januari 2009 iaitu kira-kira 4 tahun sebelum tercetusnya kontroversi yang dibangkitkan oleh  Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. 


Mohon izin dari Mastika untuk saya siarkan artikel ini...Terima kasih...

PADA suatu malam, seorang lelaki berusia 30-an, bermuka lonjong dan kulit sawo matang mengambil tempat di saf paling hadapan, di belakang Imam Haji Sarbun Haji Mohd Salim. Lelaki memakai baju Melayu Teluk Belanga Johor, berkain pelekat dan bersongkok itu khusyuk menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah di Madrasah Parit Waridjo, Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

Kebetulan sewaktu solat Maghrib itu, pemuda bermuka lonjong itu berdiri di sebelah anak imam berkenaan bernama Junit, berusia 20-an. Junit kenal siapa pemuda lonjong itu. Nama lelaki itu terkenal di kalangan penduduk Batu Pahat.

Orang kampung memanggilnya Mat Indera. Setahu Junit, Mat Indera bersembunyi di Bukit Tempayan berhampiran madrasah itu tidak lama selepas peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong di Muar.

Tetapi selama Mat Indera berjemaah bersama-samanya, Junit tidak pula melihat tanda-tanda keganasan di wajah lelaki itu. Junit juga tidak pernah mendengar sebarang kejadian buruk berlaku di Sri Medan sejak Mat Indera tinggal di Bukit Tempayan. 


 

Rata-rata orang Melayu di Sri Medan tahu Mat Indera dan gerombolannya berada di Bukit Tempayan tetapi mereka tidak pernah melaporkan rahsia itu kepada pihak berkuasa. Junit berpegang kepada pesan orang tuanya, Imam Haji Sarbun.

"Kita sembahyang, sembahyang, jangan cakap pasal komunis!"-

Bermacam-macam versi dan cerita yang didengar Junit tentang Mat Indera. Ada orang mengatakan Mat Indera memiliki ilmu kebal dan kebatinan yang tiada tolok bandingnya. Konon, Mat Indera boleh ghaib dalam sekelip mata jika ada musuh cuba menangkapnya. Khabarnya juga, kehebatan Mat Indera yang seguru dengan Kiai Salleh itu tidak mampu ditewaskan sesiapa.

Malah, Junit sendiri pernah mendengar bahawa kehebatan Mat Indera melebihi ilmu pendekar yang dimiliki Kiai Salleh kerana tingkat amalan kebatinan yang tinggi. Kononnya Kiai Salleh hanya handal dalam persilatan dan ilmu pendekar tetapi Mat Indera lebih arif dalam soal kebatinan dan ilmu ghaib.

Junit pernah mendengar cerita, jika Mat Indera terdesak dikepung musuh, memadai berkelik di sebalik batang pisang sahaja nescaya musuh tidak dapat melihat kelibatnya. Mat Indera juga boleh ghaib hanya dengan memegang sebatang kayu!

Cerita-cerita itu membuatkan Junit menjadi begitu ghairah untuk bertanya kepada Mat Indera sendiri. Benarkah Mat Indera memiliki ilmu kebatinan yang tinggi dan boleh ghaib?

Suatu hari, Mat Indera datang untuk membantu menggergaji kayu di Madrasah Parit Waridjo. Entah macam mana, askar-askar telah mengepung kawasan madrasah tersebut.

Junit tergamam apabila melihat Mat Indera terus memotong kayu dengan menggunakan gergaji tangan. Aneh, Mat Indera tidak bangun atau cuba melarikan diri. Tapi peliknya, askar-askar yang mengepung kawasan itu sibuk mencari-cari Mat Indera sambil bersiap sedia dengan senjata api masing-masing. Kesudahannya askar-askar tersebut bersurai setelah gagal mencari Mat Indera.

Bukti itu disaksikan sendiri oleh Junit dengan mata kepalanya. Mustahil, anggota tentera itu tidak mengenali Mat Indera kerana lelaki itu tercokoh sedang asyik menggergaji kayu di hadapannya. 


Sejak peristiwa itu Junit yakin, Mat Indera memang memiliki ilmu ghaib yang boleh memukau pandangan orang daripada melihat jasadnya.

Bagaimanapun, Junit masih mahu bertanya lanjut dengan Mat Indera sendiri.

Suatu malam, selepas solat Isyak berjemaah, Junit berbual-bual dengan Mat Indera. Segala kemusykilannya terjawab apabila Mat Indera sendiri mengaku bahawa dia ada belajar ilmu kebatinan tetapi hanya sebagai pendinding diri daripada serangan musuh.

"Selagi saya sedar dan waras, InsyaAllah selagi itu musuh takkan dapat buat apa-apa," beritahu Mat Indera.

Tetapi Mat Indera juga memberitahu Junit, segala kehebatan ilmu kebatinan tu hanya digunakan apabila terdesak dan dengan niat untuk menyelamatkan diri, bukan untuk bermegah-megah.

Sejak itu, Junit tidak bertanya lagi kepada Mat Indera tentang ilmu kebatinan walaupun lelaki itu kerap sembahyang berjemaah berimamkan orang tuanya, Haji Sarbun. Junit juga sering terserempak dengan Mat Indera menunaikan solat di surau Paya Baru,

Selama berjemaah dengan Mat Indera, Junit lihat air muka pemuda itu yang bersih dan tenang langsung tidak membayangkan dia seorang pengganas yang sangat dikehendaki British.

Junit pelik, mengapa British menawarkan ganjaran hadiah bernilai RM75 ribu jika dapat menangkap Mat Indera hidup-hidup dan RM25 ribu jika ketua pengganas itu dapat dibunuh. 


Junit tidak melihat sejauh mana keganasan yang dilakukan Mat Indera seperti dicanangkan British itu. Setahunya, Mat Indera mengepung Balai Polis Bukit Kepong pada subuh 23 Februari 1950, hanya untuk mengambil senjata dan peluru sebagai bekalan melawan penjajah, bukannya untuk membunuh anggota polis tersebut yang berbangsa Melayu.

Bukan niat Mat Indera untuk membunuh sebab Mat Indera sendiri pernah menyeru supaya anggota polis itu menyerah diri. Seruan supaya 'surrender', 'buang senapang tak mati', diulang-ulang beberapa kali, tetapi tidak diendahkan.

Mat Indera tahu, polis yang bertugas di balai itu terdiri daripada orang Melayu yang sebangsa dan seagama dengannya. Sebab itulah Mat Indera menyeru supaya menyerah dan letak senjata bagi mengelakkan pertumpahan darah.

Tentulah Mat Indera yang memimpin satu kompeni dengan kekuatan 250 anggota tiada pilihan kecuali bertempur dengan pasukan polis di balai itu yang mempunyai kekuatan satu platun (kira- kira 25 anggota).

Sebab itulah, Junit sendiri tidak merasakan Mat Indera itu seorang pengganas atau ketua komunis yang zalim. Lagi pun saiz badan lelaki itu tiada beza dengan penduduk kampungnya dengan ketinggian 1.69 sentimeter.

Junit dan ayahnya tahu Mat Indera berkubu di Bukit Tempayan selepas peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong di Muar. Di kawasan bukit itu berkubu tidak kurang 20 hingga 30 anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Mat Indera. Tetapi tiada sebarang huru-hara dilakukan dan tiada penduduk kampung yang diusik atau dibunuh secara membabi buta.

Malam itu, 14 Oktober 1952, iaitu selepas dua tahun peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong, Mat Indera seperti selalu bersembahyang di Madrasah Parit Waridjo.

Tetapi, malam itu wajah Mat Indera tidak begitu ceria. Mukanya pucat dan muram. Junit berasa pelik. Selalunya, Mat Indera tersenyum tetapi malam itu, selesai solat Isyak itu dia tunduk dan bergegas balik ke Bukit Tempayan, tempat persembunyiannya.

Rupanya, malam itu sudah tersurat di lohmahfuz, kekuatan Mat Indera punah-ranah. Kekuatan ilmu kebatinan Mat Indera berjaya dilumpuhkan setelah diberi minum kopi bercampur serbuk kecubung yang menyebabkan beliau terus mabuk dan tidak sedarkan diri.

Sebenarnya, malam itu satu operasi khas sudah diatur untuk memerangkap Mat Indera dan orang-orang kanannya supaya turun dari persembunyian mereka untuk berjamu di rumah seorang penduduk bernama Haji Misbah, seorang anggota Home Guard (pengawal kampung) Paya Baru. Selain Misbah, tiga lagi anggota Home Guard turut berada di rumah tersebut iaitu Tukiyo, Pak Bertam dan Panglima Sam.

Junit mendapat tahu, malam itu bukan saja Mat Indera, ramai lagi anggota gerila PKM yang kecundang setelah meminum kopi bercampur serbuk kecubung.

Apabila melihat Mat Indera mengalami keracunan dan mulutnya berbuih-buih, Misbah dan anggota Home Guard terus memberkasnya hidup-hidup. Baki anggota gerila yang masih mabuk terus dibunuh.

Mat Indera dikandar dengan kaki dan tangannya diikat, kepala ke bawah untuk dibawa ke Balai Polis Lama Batu Pahat. Ketika berita Mat Indera ditangkap tersebar luas, ramai yang datang untuk melihat rupa ketua pengganas yang dicanangkan British itu.

Junit tahu, jika tanpa tipu helah dan muslihat, mustahil Mat Indera dapat ditangkap. Junit masih ingat, Mat Indera pernah memberitahunya, dia tidak boleh ditewaskan selagi sedar dan waras. Hanya setelah mabuk dan tidak sedarkan diri, barulah Mat Indera berjaya ditangkap.

Di lokap, pihak Inggeris menggunakan pelbagai kaedah siasatan secara psikologi seperti memujuk Mat Indera supaya memberitahu lokasi persembunyian dan pelbagai senjata polis dan peluru yang dirampas daripada Balai Polis Bukit Kepong.

Pegawai penyiasat berbangsa Inggeris itu sanggup menawarkan pengampunan dan pembebasan sekiranya Mat Indera membantu memberikan segala maklumat diperlukan.

Penjajah juga meminta Mat Indera memberitahu di mana rakan-rakannya seperti Ketua Platun, Atan Karim bersembunyi. Penjajah juga mahukan maklumat tentang gerila lain yang pernah di bawah pimpinannya seperti Darim Jasmani, Musa (Mat Dom Wahid), Tambi Mohral, Bakar Mohral, Radin Awang, Kadir Murueh, Daud Ghafar, Musbah (Awang Sutang), Ariffin, Asmara (Husin), dan Mansor (Mokhtaruddin).

Kesemua nama tadi dikenal pasti terlibat dengan serangan Balai Polis Bukit Kepong. Gerila komunis itu bergiat cergas di kawasan Muar dan Segamat, Batu 4 Bakri, Muar, Kampung Parit Jin dan Jeram Batu, Muar.

Setelah habis segala ikhtiar mendapatkan kerjasama Mat Indera menemui kegagalan, penjajah bercadang menyeret Mat Indera ke mahkamah. Banyak pihak yang menyokong dan bersimpati dengan Mat Indera, membantah tindakan Inggeris itu. Namun tidak dilayan. Inggeris sebaliknya terus membicarakan kes Mat Indera secara tertutup atas alasan menggugat keselamatan negara.

Dalam perbicaraan tertutup itu, hakim berbangsa Inggeris membacakan segala kesalahan Mat Indera antaranya berperang melawan kerajaan British yang dilantik secara sah oleh baginda Ratu England dengan cara kekerasan dan bersenjata dengan tujuan untuk menghuru-harakan negara.

Mat Indera juga dituduh menyerang dan membunuh anggota polis yang sedang bertugas di Balai Polis Bukit Kepong dan merampas senjata pasukan keselamatan dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan yang sah serta terlibat dengan kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan oleh kerajaan.

Selepas dibacakan segala pertuduhan itu, Mat Indera menjerit: "Allahuakbar! Allahuakbar!"

Hakim berbangsa Inggeris kemudian tanpa sebarang keraguan munasabah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas guru agama itu. Hukuman mati itu disifatkan banyak pihak sebagai satu keputusan tergesa-gesa dan pengecut pihak penjajah kerana bimbangkan bantahan rakyat yang mahukan penentang British itu dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Pada pukul 11.00 malam, 30 Januari 1953, Mat Indera akhirnya dijatuhi hukuman tersebut di Penjara Taiping. Namun, sebelum digantung, bekas guru agama itu seperti banduan akhir lain sempat bersembahyang sunat dua rakaat dan membaca al-Quran. Malam itulah takbiratulihram terakhir Mat Indera.

Esoknya, mayat Mat Indera dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jambu Air, Taiping. Ketika digantung, Mat Indera baru berusia 33 tahun.

Nasib rakan baiknya, Atan Karim yang terlibat dengan serangan di Balai Polis Bukit Kepong juga berakhir di tali gantung. Kesemua rakan Atan berjaya dibunuh!

Pada hemat Haji Junit @ Haji Abdullah Omar, 70, Mat Indera tidak bersalah. Niat Mat Indera sama dengan Datuk Onn Jaafar dan Kiai Salleh, iaitu berjuang menghalau penjajah British dari tanah air ini! Mat Indera mengangkat senjata dan menjadi komunis untuk membebaskan tanah air daripada penjajah.

NOTA: Tujuan Mastika menulis kembali sejarah Mat Indera bukan untuk mengagung-agungkannya, jauh sekali PKM, tetapi untuk melihat kembali sejarah dari perspektif bangsa Melayu yang merdeka daripada penjajahan Inggeris. Mastika mahu pembaca tafsirkan sendiri penglibatan dan perjuangan Mat Indera atau nama sebenarnya Muhamad (S) Ahmad Indera yang berasal dari Peserai, Batu Pahat, Johor ini.

Kami juga mahukan pembaca tafsirkan mengapa Mat Indera yang pernah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolab Agama Parit Setongkat, Muar, kemudiannya terlibat sebagai Abli Jawatankuasa Kesatuan Buruh dan Parti Kebangsaan Melayu se-Malaya (PKMM) tiba-tiba mengangkat senjata melawan penjajah.

Untuk pengetahuan pembaca, sepanjang penglibatan Mat Indera dalam PKM, beliau berjawatan sebagai Ketua Platun dan bergiat cergas di sekitar Jorak, Lenga, Pagoh dan Bukit Kepong serta Bakri di Muar, kampung halamannya.

Al-Fatihah untuk semua pejuang tanah air yang telah meninggal dunia, baik askar Melayu, polis, Home Guard, Special Constable mahupun anggota keselamatan yang lain, juga untuk Mat Indra dan rakan-rakan seperjuangannya yang beragama Islam. – PENGARANG (zulkimie @ yahoo.com)
Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada UMNO.

Read more at http://brojinggo.blogspot.com/2011/08/mat-sabu-komunis-hina-pejuang-negara.html#mISKfcj6z6o7uZsi.99

8 comments:

  1. Apabila kita bersekongkol dengan Kafir maka akhir sekali kita akan sanggup membunuh sesama bangsa Dan agama

    ReplyDelete
    Replies
    1. Samalah macam jadi tali barut penjajah british

      Delete
    2. P. Ramlee yg memegang watak Sarjan Hassan dlm Filem Sarjan Hassan telah membunuh Buang lakonan Salleh Kamil yang menjadi talibarut tentera Jepun...

      Delete
  2. Arwah Mat Indera seorang pejuang Melayu yg sgt terbaik,sejati dan sgt kental pada pandangan saya.tapi sayanglah pada masa tu dia menjadi mangsa keadaan dan diperalatkan oleh pihak yg salah dan duduk dipihak yg salah.tapi apa boleh buat dimasa itu dan sampai sekarang itulah corak pemikiran dan perangai bangsa kita yg sentiasa pentingkan diri yg akhirnya merugikan bangsa kita sendiri.maka ambil lah kisah dan tauladan ini sebagai panduan utk hidup diri kita sendiri dan bangsa kita sendiri untuk dimasa hadapan.

    ReplyDelete
  3. Masa itu Mat Indera tiada pilihan melainkan menyertai PKM bagi membebaskan negara dari penjajah... semoga Allah mengampuni dosa dosanya... aminn

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mudah2an Allah mengampuni dosa Mat Indera atas perjuangannya yag suci membebaskan negara dari Kominis dan talibarutnya.

      Delete
  4. Mat Indera silap dlm memilih wadah perjuangannya bersama kapir komunis. Sad ending

    ReplyDelete