Pages

Saturday, November 29, 2014

MENJEJAKI MAKAM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG...


Sedutan Filem Sultan Mahmud Mangkat DiJulang
yang menunjukkan saat-saat genting di mana Laksamana Bentan
sedang menikam Baginda Sultan ketika sedang dijulang
dan berakhir dengan kemangkatannya... 


Walaupun Kisah Sultan Mahmud Mangkat DiJulang telah hampir 315 tahun berlalu (2014-1699), namun kisahnya sehingga ini masih terus diceritakan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Kisah ini merupakan satu kisah benar dan tragedi yang sangat menyayat hati terutamanya kepada nasib malang yang menimpa Megat Seri Rama atau lebih dikenali dengan nama gelarannya Datuk Laksamana Bentan yang menuntut bela di atas kematian isterinya Dang Anum atas perintah Sultan Mahmud. 

Kisah ini juga telah difilemkan pada tahun 1961 dan ia dijadikan bahan rujukan serta tontonan generasi masa kini untuk dijadikan pengajaran yang sangat berguna, kita juga boleh menyaksikan bagaimana kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan sering dilakukan kepada rakyat sehingga ke hari kiamat.   

Baru-baru ini aku telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi tempat bersejarah ini ketika melakukan lawatan kerja selama 3 hari di Daerah Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, bersama Team Pelupusan Harta Syarikat dari 25 hingga 27 November 2014. Lawatan dibuat di hari terakhir lawatan kami sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.   

 
Papan Tanda Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Turut bersama dalam lawatan ke tempat bersejarah ini ialah Mohd Farizal Awang dari Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Kuala Lumpur, serta Shahrul dan Jaafar dari Pejabat Pengurus Besar Wilayah Johor. 

Menurut Jaafar yang telah berkhidmat hampir 20 tahun di Johor Bharu, inilah kali pertama ia menjejakkan kakinya ke Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang dan Makam Laksamana Bentan di Daerah Kota Tinggi ini mungkin atas sebab-sebab tertentu yang hanya beliau sahaja yang mengetahuinya.

Dengan bantuan penduduk setempat, kami akhirnya dapat menjejaki ketiga-tiga makam bersejarah ini termasuk makam Dang Anum, isteri Laksamana Bentan yang terletak bersebelahan dengan makam suaminya itu.

 Penulis (kiri) bergambar bersama Jaafar 
di atas tangga di pintu pagar masuk ke makam...

Bagi mengimbas kembali tragedi menyayat hati yang berlaku suatu ketika dahulu, maka sudilah kiranya peminat-peminat blog ini membaca kisah yang akan aku ceritakan ini.

Sebenarnya, kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang telah menjadi sebuah legenda yang sangat masyhur. Ini bukannya kisah dogengan, ia kisah benar yang berlaku di Kota Tinggi, pada tengah hari Jumaat tahun 1699. Sultan Mahmud Syah ditikam sampai mati oleh Laksamana baginda sendiri, seorang pahlawan dari Bentan, kepulauan Jawa, bernama Megat Seri Rama. 

Penulis (kiri) bergambar bersama En. Jaafar atas tangga makam 
dan batu tanda pemberitahuan...

Papan Tanda Pemberitahuan...

Kisah Pilu ketika hujan panas hampir reda itu sangat menggemparkan, selain sultan, beberapa orang pengiring baginda turut ditikam oleh Laksamana Bentan yang hilang pertimbangan kerana terlalu marah, setelah isteri beliau yang mengandung anak sulung dihukum bunuh atas arahan sultan, hanya kerana mengidam untuk makan seulas nangka yang diambil dari taman diraja.

Selepas kemangkatan Sultan Mahmud ibni Almarhum Sultan Ibrahim Syah, Sultan Melaka terakhir   (1488-1511), putera kedua baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Johor I pada tahun 1528 dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Selepas peristiwa Sultan Mahmud II, yang lebih dikenali Sultan Mahmud Mangkat DiJulang tahun 1699 itu, Kesultanan Melayu Johor telah diambil oleh Keturunan Bendahara (1699-1816), kemudian beralih tangan kepada keturunan Temenggung Abd. Rahman, Sultan Johor Riau (1816), dan diwarisi oleh Sultan Mahmud Iskandar, Sultan Johor yang telah mangkat baru-baru ini.

 
 Penulis (kiri) dan Shahrul mensedekahkan 
bacaan surah Al Fatihah kepada Al Marhum Sultan Mahmud II...

Perihal tragedi yang menimpa Sultan Johor yang masyhur ini, telah diceritakan terus menerus, lepas satu ke satu generasi sampai ke hari ini. Selepas hampir 4 kurun peristiwa ini berlaku, kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang ini masih menjadi kisah yang sangat diingati oleh penduduk-penduduk asal Kota Tinggi, lebih-lebih lagi orang-orang keturunan Bentan sendiri yang masih takut terkena sumpah jika memijak tanah Kota Tinggi. 

Peristiwa Yang Terjadi...

Catatan sejarah Johor purbalaka ada meriwayatkan tatlaka hujan panas mulai turun mencurah-curah pada hari Jumaat dalam tahun 1699, orang-orang besar Istana telah melarang Sultan Mahmud II, daripada menunaikan sembahyang Jumaat di masjid yang terletak tidak berapa jauh daripada istana baginda. Cakap-cakap orang telah sampai kepengetahuan Datuk Bendahara Tun Abd. Majid, bahawa Laksamana Bentan (Megat Seri Rama) yang baru pulang daripada menjalankan titah sultan menghapuskan lanun-lanun di kepulauan Riau telah mengetahui perihal kematian isterinya (Dang Anum) yang sedang sarat mengandung sulung itu.

Datuk Bendahara khabarnya telah mengadap baginda dalam keadaan basah kuyup untuk menyampaikan rasa tidak sedap hatinya dan menasihatkan baginda supaya tidak keluar daripada Balai Rong seri sebagaimana kebiasaaannya. Baginda juga telah diberi ingatan oleh Bendahara supaya berhati-hati dengan menambahkan bilangan pengawal diRaja semasa berangkat menunaikan sembahyang Jumaat.

Hujan panas masih belum reda, tatkala Sultan Mahmud Syah II berkira-kira untuk berangkat meninggalkan istana buat kali yang terakhir, seorang pengiring baginda telah datang dan menyembahkan sebilah keris untuk dipakai oleh baginda sebagai langkah berjaga-jaga. Baginda turun dari istana dan memasuki usungan yang diangkat oleh empat orang pengiring dengan dikelilingi oleh ramai pengawal istana. Di pertengahan jalan, hujan mulai teduh, tapi masih renyai-renyai, awan agak mendung dan mentari beransur-ansur hilang di balik awan yang muram seolah-olah sedang beradu. Sebagaimana minggu-minggu sebelum itu, baginda akan diturunkan agak jauh dari masjid tetapi pada hari Jumaat yang malang itu, pengawal-pengawal istana baginda berkeras mahukan baginda diusung hingga ke tangga masjid. Dan saat-saat akhir hayat baginda pun tiba, Megat Seri Rama telah hilang pertimbangan, hanya menanti masa untuk menuntut hutang darah.

 Papan Tanda Masjid Al Hadi, Kg. Makam, Kota Tinggi Johor...

 Di Masjid inilah (Masjid Al Hadi) dikatakan berlakunya 
peristiwa Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Tatkala sultan hampir dengan tangga masjid dan masih lagi di atas usungan, Megat Seri Rama dengan tanpa berlengah lagi terus menerkam dan menikam baginda tepat pada perut sultan, darah merah pekat membuak-buak membasahi pakaian baginda sultan dan menitis jatuh di atas tanah, beriringan dengan titis hujan air hujan yang membasahi bumi. 

Sebuah keluhan pilu kedengaran. Baginda mengerang kesakitan, bisa keris yang telah diperasap limau, pantas menyelinap ke segenap urat saraf Sultan Mahmud yang malang itu. Megat Seri Rama bagaikan dirasuk, habis pengawal diraja ditikam, orang ramai yang datang untuk bersembahyang Jumaat pada hari itu bertempiran lari menyelamatkan diri. 

Di saat sakaratulmaut sudah menghampiri, Sultan Mahmud II sempat mencabut kerisnya dan melontarkan ke tanah lalu terkena di hujung ibu jari Megat Seri Rama. Demi kedaulatan raja yang tinggi, luka yang sedikit itu meninggalkan bisa yang bukan kepalang. Laksamana Bentan sempat mengerang hanya seketika sebelum jatuh menemui ajal tidak lama kemudian. Sumpahan seorang sultan yang penuh daulat "Aku sumpah tujuh keturunan Bentan akan muntah darah kalau pijak bumi Kota Tinggi" yang benar-benar terjadi selepas itu apabila jika keturunan Bentan memijak kaki ke tanah Kota Tinggi. Baginda mangkat sebelum diturunkan dari atas usungan.

 Papan Tanda susunan jasad yang dikuburkan disini...
Kubur Sultan Mahmud berkedudukan di nombor tujuh
 (kubur yang besar sekali)...

En. Jaafar membalas dendam dan minta gambarnya banyak dirakam 
untuk menebus kesilapannya yang tidak pernah datang berkunjung 
ke makam ini walaupun telah 20 tahun bertugas di Johor Bharu...

 
Shahrul (kiri), Jaafar dan Farizal bergambar kenang-kenangan 
di Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

 Kawasan tanah perkuburan penduduk tempatan di kawasan berhampiran 
Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...


Kisah sedih ini tercatat dalam Sejarah Johor oleh Tun Sri Lanang sebagai "Sultan Mahmud Mangkat Dijulang" Baginda mangkat dalam usia yang sangat muda iaitu 24 tahun dan menaiki taktha pada tahun 1685. Kemangkatan baginda yang tidak meninggalkan zuriat menyebabkan pembesar Johor pada masa itu bermuafakat untuk melantik Bendahara Tun Habib Abd. Majid menjadi Sultan Johor yang baru dengan gelaran Sultan Abd. Jalil IV (1699-1718) dan semenjak itu berakhirlah titisan zuriat Sultan Mansur Syah, Sultan Melaka yang mengasaskan kesultanan Johor semenjak 1428.

Kisah ini akan kekal menjadi peristiwa yang paling tragis dan akan tetap diingati oleh seluruh rakyat Malaysia.

 Papan tunjuk arah ke Makam Laksamana Bentan...

 
 Batu tanda yang menceritakan secara ringkas kisah tragedi 
Sultan Mahmud Mangkat DiJulang di dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris...

 Batu Nisan Makam Laksamana Bentan....  

 
Penulis sedang membacakan suratul Al Fatihah untuk 
disedekahkan kepada roh Laksamana Bentan dan 
semoga ianya ditempatkan bersama roh para solehin...Amin.

Makam Laksamana Bentan yang banyak berjasa tetapi akhirnya 
mati dibunuh akibat terkena lontaran keris Sultan yang berdaulat 
lalu terkena di ibu jari kakinya dan muntah darah dan akhirnya menemui ajal...

Makam Dang Anum, isteri Laksamana Bentan...
Ia mati dibunuh atas perintah Sultan Mahmud kerana murka 
buah nangkanya ditebuk oleh penjaga kebun Sultan untuk diambil seulas
bagi diberikan kepadanya yang mengidam ketika mengandungkan anak sulung...    

Batu tanda turut diukir kisahnya dalam bahasa Mandarin...  
 
En. Jaafar (kiri) sedang menyatakan sesuatu...
mungkin tentang batu tanda kisah tragedi 
 tersebut kepada Farizal (tengah) dan Shahrul...

Bergambar kenangan di tepi sungai Kg. Makam kira-kira 1/2 km
dari Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Jeti pendaratan di tepi sungai Kg. makam...

Beberapa penduduk tempatan memancing ikan di tepi sungai Kg. Makam...

Pemandangan dari Makam Laksamana Bentan ke bandar Kota Tinggi, Johor...


Team Pelupusan Harta Syarikat bergambar
ketika berada di Daerah Mersing, Johor...

Dari kiri: Boboi, Isorudin, AJ, Abu dan Farizal...

dan kiri sekali Mohd Zikri... 
Tiada dalam gambar ialah Shahrul...

12 comments:

  1. Hanya Allah yang menentukan Amin. Raja sekarang pun ada yang kejam kerana menjual tanah air kepada bangsa asing dan mengenepikan bangsa sendiri.

    ReplyDelete
  2. Rupanya ini kisah benar. Cuma melihat pada filem. Terima kasih informasi ini.

    ReplyDelete
  3. thank you for your info....

    ReplyDelete
  4. Harap diperbetulkan Bentan adalah kepulauan Riau, kepulauan Melayu dalam wilayah Indonesia sekarang, Hang Tuah juga datang dari kepulauan ini.

    Angkatan Laut Melaka juga berpangkalan di Riau bukan di Melaka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. btol ke datuk laksamana hang tuah dari Bentan...bukan dari utara tanah melayu? maaf jika silap

      Delete
  5. terima kasih. menarik perkongsian nie. nnti hrp ade rezki utk ke bumi kota tinggi. amin.

    ReplyDelete
  6. Agak pelik papantanda di sini lebih pada nota panduan adab menziarah makam. Tidak diceritakan atau latar belakang Sultan Mahmud II dan tahun peristiwa berlaku.

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak cete kezaliman sultan malu takut org luar tau

      Delete
  7. bukan ke Sultan Mahmud Syah ada isteri yang namanya cik Pong? dan miliki anak iaitu Raja Kecik?

    ReplyDelete
  8. Sultan macam ni memang patut mati pun,macam jibake

    ReplyDelete
  9. Elok la melaka sekarang jadi republik tiada sultan, mana sejarah sultan bela orang melayu!

    ReplyDelete