Pages

Tuesday, December 2, 2014

MAJLIS GOTONG ROYONG MEMASAK BUBUR ASSYURA...

Setiap tahun, tanggal 10 Muharram, umat Islam (biasanya orang Melayu) yang masih kuat mengamalkan tradisi keagamaan akan menyambut Hari Assyura. Tradisi turun temurun yang dilakukan ialah membuat dan memasak bubur Assyura. Biasanya ia dilakukan secara bergotong royong.

Bubur Assyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharram. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura.

Mengimbau zaman kanak-kanak di hari Assyura, aku masih ingat lagi, arwah emak adalah orang yang paling sibuk apabila tibanya Hari Assyura. Sebagai ketua, ia bersama jiran-jirannya seramai 4 atau 5 orang akan berpakat dan berkongsi sejumlah wang untuk membeli bahan-bahan bagi memasak Bubur Assyura ini. Tempat memasak biasanya dilakukan di kawasan lapang di hadapan rumah kerana ramai yang akan menjadi penonton terutamanya kanak-kanak riang. 

Apabila bubur telah masak, ia akan diagih-agihkan kepada jiran-jiran yang lain. Aku sangat suka memakan bubur Assyura kerana rasanya yang sedap dan enak lebih-lebih lagi kalau arwah emak yang buat. Pada aku, bubur Assyura yang arwah emak buat rasanya tidak sama macam orang lain buat sebab ramuannya tak sama kerana mereka suka mencampur ramuan yang berlebih-lebihan dan terkeluar dari spek asal.

Itulah nostalgia yang kami adik beradik tidak dapat lupakan. Kenangan bersama arwah emak dan ayah semasa kami kecil sentiasa segar dalam ingatan.

Waktu itu, tidak pernah terlintas di fikiran aku, sempena apakah bubur Assyura itu dibuat? Adakah ia satu amalan keagamaan atau sekadar adat bangsa? Ketika aku di sekolah menengah, guru-guru turut menganjurkan acara gotong-royong memasak bubur Assyura dengan memilih satu tarikh dan hari yang sesuai supaya ia tidak mengganggu sessi pembelajaran kami. Oleh kerana ia mendapat sambutan dari semua pihak termasuk ibu bapa lalu ia dijadikan acara tahunan.

Dari apa yang aku pernah dengar, bubur Asyura  dibuat sempena mengambil kisah Nabi Noh a.s. semasa peristiwa banjir besar dan juga kisah bahteranya.

Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Judi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :

“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. 

Maka berkatalah Nabi Nuh a.s: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Selain dari kisah Nabi Noh a.s, Peristiwa Assyura juga berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s., Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi Muhammad s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: "Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah". (Riwayat Bukhari).

Membuat bubur Asyura ini kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Assyura, buatlah bubur Assyura. Tetapi elakkan  kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.

Sempena kedatangan 10 Muharam 1436H, kami warga kerja Syarikat telah berpakat untuk mengadakan acara gotong royong memasak bubur Assyura, acara yang dibuat ini adalah yang pertama kalinya dan tidak melibatkan Pengurusan Syarikat. Ia dibuat secara santai dan relaks. Pada asalnya, staf terdiri dari anak-anak Kelantan sahaja yang berpakat sesama mereka untuk membuat program ini, tetapi apabila staf yang lain tahu, mereka pun nak ikut turut sama dan kehendak mereka sangat dialu-alukan ibarat kata pepatah Melayu, ""Kecik tapak tangan, nyiru kami tadahkan"

Pada hari Sabtu 22 November 2014, bertempat di kawasan 'parking' motosikal, maka berlangsunglah acara gotong royong memasak Bubur Assyura ini. Kehadiran staf yang ramai telah menjadikan acara ini sangat meriah dan tidak hairanlah apabila ada yang mengesyurkan supaya program sebegini  dijadikan acara tahunan.

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam pada program gotong royong itu.


Kehadiran ramai staf menjadikan acara gotong royong 
memasak bubur Asyura ini sangat meriah...

Tugas-tugas memotong bahan-bahan masakan sedang dibuat...

Tn. Hj. Ahmad Salleh (kanan) bersama seorang lagi petugas 
sedang mengacau bubur di dalam kuali...

Cik Oya tetap bergaya dan maintain ayu, 
walaupun di mana saja ia berada...

Sambutan dari orang muda sangat dialu-alukan....

Dari kiri: Abdullah Sohaini, Ali Sidek dan Rafia Ol Husni yang turut
mengambil bahagian. Biasanya kalau hari cuti macam ni, mereka biasanya
akan menghabiskan masa dirumah samada dengan mengaji al-Quran 
membaca kitab-kitab, atau menolong isteri memasak di dapur...



Dari senyum simpul Puteri Waslina tu, 
kami dah tahu yang bubur Asyura ni mesti sedap...



En. Noslan (kiri) pun turut menyumbang tenaga dalam acara ini...

Semua gambar-gambar dalam program ini disumbangkan oleh Zack (kiri)...

Dikatakan yang idea mengadakan program ini diilhamkan oleh 
En. Abdullah Othman (Pak Lah) yang pakai baju biru tu...




Diantara bahan-bahan yang mesti ada...
















Diantara Mek Kelate yang hadir ialah Pn. Azahani dari Bhg. Usahawan Desa....








Bubur yang sudah masak akan diletakkan di dalam daun pisang 
sebelum diagihkan kepada semua staf...

Kehadiran En. Mohd Fauzi Pengurus Besar Kumpulan (PBK) Hal Ehwal Peserta
 menambahkan lagi kemeriahan program ini...


No comments:

Post a Comment