Pages

Monday, March 30, 2015

RAJIN DAN USAHA TANGGA KEJAYAAN...

Gambar hiasan...
Siapa sangka, Amir yang gagal di dalam pelajaran akhirnya 
dapat membina sebuah rumah banglo hasil usaha gigih beliau bekerja
tanpa mengenal erti penat dan jemu....

Ikuti kisahnya yang aku nukilkan 
seperti di bawah ini.    

Aku dan Amir berkawan baik sejak kecil, walaupun kami sebaya, tetapi fizikal kami berbeza sedikit. Amir berbadan tegap dan agak tinggi manakala aku pula kurus sahaja. Walaupun di kampung, ramai rakan-rakan sebaya yang lain tetapi aku dan Amir tidak pernah berpisah. Di mana ada aku, di situ pasti ada Amir. Hobi, menu masakan dan sukan yang kami ceburi juga sama menyebabkan persahabatan kami semakin erat.

Di bidang pelajaran, aku cerdik sikit dari Amir, di dalam setiap peperiksaan penggal dan akhir tahun yang kami duduki, aku biasanya dapat nombor berbelas manakala Amir pula biasanya mendapat nombor puluh, tapi kami tidak pernah berpisah kelas. Satu kelebihan Amir yang tiada padaku adalah Amir pandai melukis dan berimagenasi. Di dalam kelas, ketika guru tiada, Amir banyak menghabiskan masa dengan melukis dan melakar apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Jika buku latihan aku dan kawan-kawan yang lain dipenuhi dengan kerja-kerja latihan yang guru beri, tetapi buku Amir penuh dengan gambar-gambar yang dilukisnya. Guru-guru pula sudah penat memberi nasihat namun nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Pernah ia menunjukkan kepadaku lukisannya yang berbentuk komik seperti yang berlambak dijual di pasaran masakini seperti Dragon Ball, Detektif Conan, Naruto dan sebagainya. Bila aku melihat buku komik yang ditunjukkan itu, aku yakin suatu hari nanti ia akan menjadikan minatnya itu sebagai profesyennya di masa hadapan.

Bagi aku pula, pada ketika itu, aku pun tak tahu apa bidang pekerjaan yang boleh aku ceburi kerana aku tidak minat di bidang kemahiran dan hanya akan berbekalkan segulung sijil sahaja. Dengan sijil itu nanti mungkin dapatlah aku bekerja di pejabat-pejabat Kerajaan.

Komik Naruto...

Komik Detektif Conan...

Komik Dragon Ball...
Ketiga-tiga lukisan seperti inilah yang sering 
Amir lukis di dalam kelas ketika tiada guru mengajar...

Pada tahun 1976, kami menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk menentukan nasib samada dapat naik ke tingkatan 4 atau sebaliknya. Pada masa tu, mana-mana murid yang gagal di dalam peperiksaan SRP, mereka terpaksa meninggalkan alam persekolahan dan mula mencari pekerjaan walaupun umur baru nak mencecah 16 tahun. Tak macam sekarang, walaupun murid-murid gagal dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang setaraf dengan SRP kami dahulu tapi mereka akan dapat juga menyambung pelajaran ke tingkatan 4 samada di sekolah yang sama atau memasuki Sekolah Menengah Vokasional.

Semasa keputusan peperiksaan SRP diumumkan, aku sangat bersyukur kerana lulus di dalam peperiksaan tersebut walaupun dengan markah yang cukup-cukup makan sahaja dan dapat menyambung pelajaran ke tingkatan 4. Tapi aku merasa sedih kerana Amir telah gagal dan terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Dalam pertemuan kami semasa mengambil keputusan peperiksaan itu, Amir memberitahu aku yang ia tidak minat lagi untuk belajar dan ingin mencari pekerjaan sahaja untuk membantu ibu bapanya.     

Setahun telah berlalu. Selepas tamat tingkatan 4, aku memasuki tingkatan 5 pula dan akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang lebih besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menentukan nasibku samada dapat memasuki Universiti atau sebaliknya. Tapi aku tidak mengharapkan apa-apa pun jauh sekali untuk memasuki universiti berdasarkan tahap pelajaranku yang sederhana. Pada aku, jika dapat pangkat 3 pun, itu dah dikira bagus dan jika bernasib baik dapatlah peluang kerja di Jabatan Kerajaan walaupun berpangkat rendah.

Langkah pertama Amir bagi mengisi masanya supaya tidak terbuang dengan sia-sia, ia telah memohon untuk mengikuti kursus dengan Jabatan Pertanian. Permohonannya berjaya dan ia telah di tempatkan di Institut Pertanian di Perak. Aku agak terkejut juga dengan keputusan Amir itu kerana sepanjang persahabatan kami, aku jarang melihat Amir membantu ayahnya mengusahakan kebun di belakang rumah tetapi sebaliknya ia banyak menghabiskan masa dengan melukis kerana itu minatnya sejak dahulu.. Pada anggapanku ia sepatutnya memohon untuk memasuki kelas melukis atau menjadi pelukis jalanan sahaja sementara menanti suatu pekerjaan yang lebih baik. Tetapi itu tidak berlaku pada Amir.

Selepas tamat latihan di Institut Pertanian selama enam bulan dan memperolehi sijil, ia tidak pula memohon pekerjaan di Jabatan Pertanian tetapi sebaliknya ia memohon pekerjaan di kilang yang terletak berhampiran dengan bandar tempat tinggal kami.   

Satu sifat terpuji yang ada pada Amir, ia rajin memohon pekerjaan. Jika ada iklan jawatan kosong yang disiarkan di akhbar tempatan, ia akan memohonnya walaupun kelayakan akademik yang ada padanya tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti yang dikehendaki.

Setelah hampir dua tahun ia bekerja di kilang tersebut, nasib akhirnya menyebelahi beliau apabila ia berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai Pelayan Pejabat di sebuah Jabatan Kerajaan di negeri Perak dan bekerja dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh. Berkat berjimat cermat beliau menyimpan wang, beliau akhirnya dapat membeli sebuah motosikal Honda Cup C70 untuk beliau berulangalik ke tempat kerja di mana sebelum ini ia hanya menggunakan sebuah basikal buruk peninggalan ayahnya.

Satu hari ketika pulang dari kerja, ibunya telah menghulurkan sepucuk surat kepadanya yang diterima dari posmen siang tadi. Setelah membuka dan membaca surat tersebut ia lantas memeluk ibunya dan mengucap syukur kerana ia telah diterima bekerja dengan sebuah Jabatan Kerajaan di Kuala Lumpur sebagai Kerani Rendah. Dengan jawatannya yang baru ini secara tidak langsung telah menaikkan sedikit taraf hidupnya.

Pada peringkat awal ia datang ke Kuala Lumpur, ia menumpang tinggal di rumah abangnya yang telah berkeluarga di Kampung Baru dan dari situ ia berulang alik ke tempat kerjanya di Sentul, Kuala Lumpur.

Ketika umurnya meningkat 25 tahun, Amir telah menyuarakan hasrat hati kepada ibunya di kampung untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya Mahani yang berasal dari Batu Gajah, Perak. Mahani, gadis pilihannya itu telah ditunjukkan kepada kedua ibubapa serta abang-abangnya yang lain. Pihak keluarga tidak membantah dan tertarik dengan keramahan gadis tersebut. Sikap sopan santun yang ada padanya serta pandai mengambil hati keluarga menyebabkan kedua ibu bapa Amir tidak berbelah bahagi untuk menerima Mahani sebagai menantu mereka.

Majlis perkahwinan mereka telah dilangsungkan secara sederhana tetapi meriah. Kaum keluarga serta sanak saudara yang hadir dimajlis perkahwinan kedua mempelai itu semuanya memuji kerana ketika duduk di atas pelamin, kedua-duanya nampak secucuk dan sepadan ibarat kata pepatah melayu "seperti pinang dibelah dua"...

Selepas seminggu bercuti, Amir membawa isterinya Mahani berpindah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, bekas pegawai Amir, iaitu Encik Nazri yang pernah menjadi ketuanya dahulu dan telah lama bertukar ke Kuala Lumpur mempelawa Amir dan isterinya untuk tinggal bersama mereka di sebuah rumah banglo quarters Kerajaan yang terletak di Jalan Duta. Encik Nazri dan isterinya Asmah yang belum dikurniakan seorang anakpun walaupun telah hampir empat tahun berkahwin sangat gembira jika Amir dan Mahani setuju tinggal bersama mereka kerana di samping rumah yang diduduki sangat besar untuk mereka berdua sahaja, sekurang-kurangnya jika Amir dan isterinya  tinggal bersama, dapatlah mengubati kesunyian Asmah yang kerap tinggal bersendirian ketika Nazri bertugas di luar daerah. Untuk tidak menghampakan pasangan tersebut, Amir dan isterinya bersetuju untuk tinggal bersama-sama di rumah tersebut .

Setelah hampir dua bulan berlalu, suatu hari, Mahani menyuarakan hasrat hati kepada suaminya Amir untuk bekerja. Katanya ia merasa jemu tinggal di rumah seorang diri ketika mereka semua keluar bekerja. Walaupun Amir mampu menyara isterinya, tetapi kerana kasihan melihat Mahani yang sentiasa termenung maka Amir telah membenarkan isterinya untuk bekerja.  Di dalam satu  temuduga terbuka yang dihadiri oleh Mahani di sebuah hospital swasta, ia telah berjaya dan ditawarkan bekerja sebagai jururawat. Sebelum diserap ke jawatan tetap ia perlu menjalani latihan selama tiga bulan terlebih dahulu. Dengan perasaan gembira dan penuh syukur, Mahani bersetuju menerima tawaran tersebut.

Masa terus berlalu, kesihatan Mahani tidak menentu, kepalanya kerap pening dan tekak terasa mual, setelah diperiksa oleh doktor lalu disahkan bahawa beliau kini sedang mengandung dua bulan. Berita yang baru diterima itu sangat menggembirakan hati Amir. Ia menasihatkan isterinya supaya banyak berehat.

Genap sembilan bulan mengandung, Mahanipun bersalin dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang sangat comel dan parasnya saling tak tumpah macam paras mereka berdua.

Selepas habis tempoh berpantang, Mahani selalu tidak sihat, dia kerap alami turun darah dan sering dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Selain Hospital Besar Kuala Lumpur, beliau juga menerima rawatan di hospital Ipoh ketika ianya berlaku semasa balik bercuti di kampung.

Oleh kerana, penyakit yang dialami Mahani tidak dapat diubati, maka doktor mengsyorkan supaya peranakannya diikat bagi mengelakkan penyakit turun darah itu terus berlaku. Setelah perbincangan dibuat dan tiada pilihan lain maka Amirpun bersetuju dengan cadangan doktor tersebut. Cuma satu sahaja yang terkilan di hati Amir. Dia perlu menerima hakikat bahawa isterinya tidak boleh mengandung lagi dan anak yang telah dilahirkan itu akan menjadi anak tunggal mereka.

Selepas beberapa tahun berlalu, En. Nazri telah bersara dari perkhidmatannya dan akan menyerahkan semula rumah banglo quarters yang diduduki mereka kepada Kerajaan. Enam bulan sebelum En. Nazri bersara, Amir, isteri dan anaknya yang sebelum ini tinggal bersama mereka telahpun berpindah ke rumah baru yang dibeli melalui Pinjaman Perumahan Kerajaan di Kepong. Pada masa itu Mahani tidak lagi bekerja kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Di samping itu ia ingin memberikan perhatian terhadap anak yang baru dilahirkan.     

Semenjak berhenti kerja, Mahani banyak menghabiskan masa dengan belajar memasak, segala jenis masakan dicubanya, buku-buku resepi kini memenuhi rak di ruang tamu rumahnya. Selain resepi masakan moden, masakan tradisional juga turut mendapat tempat di hatinya.

Atas keyakinan itu, suatu hari di Hari Raya Aidilfitri tahun 1982, Mahani berhajat untuk mengadakan rumah terbuka dan meminta suaminya Amir untuk menjemput semua kawan-kawan setugasnya datang ke majlis yang diadakan itu. Menu utama yang dihidangkan ialah Laksa, Mee Kari, Bihun/Mee Sup, Bihun/Mee Soto serta kuih muih yang semuanya dibuat sendiri oleh Mahani tanpa bantuan sesiapapun. 

Majlis yang julung-julung kali diadakan itu sungguh meriah, Semua hadirin yang datang, memuji masakan Mahani yang sungguh enak dan sedap itu. Ada di antara mereka yang mengsyurkan supaya Mahani membuka restoran atau paling tidakpun membuka sebuah warung sahaja kerana mereka yakin suatu hari nanti Mahani akan menjadi seorang tauke restoran yang berjaya.   

Walaupun kata-kata yang diucapkan itu biasa sahaja, tetapi bagi Mahani, ia sangat memberi kesan. Jika diamati apa yang dikatakan oleh mereka itu memang ada betulnya. Hidup di bandaraya Kuala Lumpur ini, kita mesti berani merebut peluang, jalan yang sudah dibuka itu tidak perlu lagi difikirkan dan perlu tindakan segera. Apa yang akan berlaku nanti, kita berserah sahaja kepada Allah. Itulah yang terngiang-ngiang di telinga Mahani.    

Setelah berfikir semasak-masaknya, Mahani menyuarakan hasratnya kepada Amir supaya mencari tapak untuk mereka memulakan perniagaan makanan. Modal permulaan tidak perlu risau kerana ianya sudah disediakan oleh Mahani hasil berjimat cermat semasa beliau bekerja dahulu. Cadangan perniagaan ialah pada waktu petang kerana ianya tidak mengganggu waktu kerja Amir.

Hasil usaha yang bersungguh-sungguh itu, Amir melalui seorang rakannya berjaya mendapat sebuah tapak berniaga di pasar malam. Bermula pada saat itu mereka mula menjalankan perniagaan menjual makanan seperti laksa Penang, Mee Kari, bihun sop dan sebagainya. Tak cukup dengan sebuah pasar malam sahaja, sebaliknya Amir berusaha untuk mencari tapak-tapak pasar malam yang baru jika dia mendengar ada yang akan dibuka. Pada tahun-tahun 1980an, perniagaan pasar malam masih baru dan tidak ramai lagi mereka yang mengambil peluang ini. Lagipun banyak kawasan-kawasan perumahan yang baru siap dibina, jadi pembukaan pasar malam di kawasan itu tidak mustahil akan diujudkan. Jadi peluang beginilah yang mesti direbut oleh mereka-mereka yang bijak mencari peluang.

Untuk memberikan tumpuan pada perniagaannya, Amir telah berhenti kerja kerana mendapati perniagaannya sudah mula menampakkan hasilnya. Perniagaan makanan yang mereka usahakan tidak pernah mengalami kerugian teruk. Walaupun adakala makanan tidak habis dijual kerana faktor ekonomi pelanggan yang 'sesak' di tengah bulan atau dihujung bulan, tetapi sekurang-kurangnya modal pusingan tidak hilang.

Berkat ikhlas dan jujur di dalam perniagaan dan masakan yang disediakan pula sedap dan memenuhi cita rasa pelanggan, kini Amir dan Mahani boleh berbangga kerana mereka adalah di antara orang-orang yang berjaya di bidang perniagaan makanan dan sudah mempunyai pelanggan tetap. Perniagaan mereka telah diperluaskan lagi dengan memberikan perkhidmatan katering kepada pelanggan-pelanggan yang ingin menempah makanan untuk majlis-majlis khenduri doa selamat, tahlil, hari jadi dan sebagainya.

Perniagaan berkonsepkan pasar malam telah mereka tinggalkan kerana telah berjaya memiliki beberapa buah rangkaian restoran di Kuala Lumpur dengan berbagai-bagai jenis masakan ala Timur dan Barat yang menjadi kesukaan dan kegemaran pelanggan masakini. Untuk itu, beberapa orang tukang masak dari negara jiran yang berkenaan telah dibawa masuk untuk bekerja di restorannya.  

Satu perkara yang diimpikan oleh Amir semasa ia tinggal di rumah banglo quarters kerajaan bersama En. Nazri semasa beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur dahulu ialah ingin memiliki sebuah rumah banglo milik sendiri. Berkat hasil usaha gigih beliau bekerja tanpa mengira penat dan lelah bersama isterinya yang banyak membantu menjayakan hasrat dan cita-citanya itu maka hasrat untuk memiliki sebuah rumah banglo siap dengan kolam renang dengan landskapnya yang cantik telah berjaya didirikan. Di samping itu  Amir juga memiliki beberapa buah kereta mewah kesayangannya.

Di samping kejayaan di dunia, Amir juga banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan di kawasannya. Dia juga merupakan seorang bendahari masjid dan sering menghulurkan bantuan jika terdapat apa-apa kekurangan di masjid tersebut.   

Siapa sangka, Amir yang satu ketika dahulu gagal dalam bidang akademik kini menjadi seorang usahawan yang berjaya dan jika difikirkan balik ketika beliau mula tiba di Kuala Lumpur dahulu tanpa ada sebarang bekalan yang dibawa dan mengharungi hidup di bandaraya Kuala Lumpur yang penuh pancaroba ini, akhirnya beliau berjaya membuktikan kata pepatah Melayu yang sering diungkapkan iaitu "RAJIN USAHA TANGGA KEJAYAAN".

Aku diantara sahabatnya yang sentiasa berdoa dari jauh ini sangat berbangga dengan Amir. Walaupun ia telah berjaya tetapi ia tidak pernah lupa kepada aku. Setiap kali ia pulang ke kampung, ia akan mengunjungiku untuk bertanya kabar dan kami akan bercerita kisah-kisah lama terutama ketika kami di zaman kanak-kanak.


Ketika kisah ini dinukilkan, Amir dan isterinya Mahani sekarang berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadat Umrah dan Ziarah dan akan kembali ke tanah air sedikit hari lagi.

Kisah ini aku ceritakan untuk memberikan suntikan semangat kepada mereka-mereka yang merasakan diri sudah gagal dan kecewa di dalam hidup akibat kecundang di bidang akademik. Memang diakui bahawa dengan pelajaran yang tinggi sahajalah akan dapat menjamin kesenangan kehidupan di dunia tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana selain otak yang cerdas, manusia juga diberikan tulang empat kerat untuk bekerja dan jika menggunakan tulang empat kerat itu dengan sebaik-baiknya maka kita akhirnya akan berjaya.

Itulah yang telah dapat dibuktikan oleh Amir....

Sunday, March 15, 2015

TERIMALAH TEGURAN DAN NASIHAT INI DENGAN BERLAPANG DADA

Jangan main kaset bacaan al-Quran dalam masjid... 

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin

KANGAR: Umat Islam dinasihatkan agar tidak memainkan kaset bacaan ayat suci al-Quran di dalam masjid atau surau seperti sebelum waktu solat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, ini kerana Nabi Muhammad SAW sendiri melarang jemaah yang berada di dalam masjid membaca al-Quran dengan suara nyaring, inikan pula jika menggunakan kaset yang bunyinya boleh kedengaran hingga ke luar masjid atau surau.

Beliau menyatakan demikian pada sesi soal-jawab program Semarak Dakwah Ehya' Masjid di Masjid Behor Empiang di sini malam tadi.

Beliau berkata Nabi Muhammad melarang membaca al-Quran dengan suara nyaring dalam masjid kerana ia boleh mengganggu tumpuan jemaah lain yang datang ke masjid untuk beribadah.

"Jika memasang kaset bacaan al-Quran sebelum masuk waktu solat seperti solat Subuh, tentu akan menggangu orang lain di persekitaran masjid atau surau, yang mungkin sedang tidur, dan ini dilarang oleh Islam," ujarnya.

Kepada soalan lain, Asri berkata umat Islam tidak dilarang untuk berqasidah kerana ia merupakan syair, namun liriknya perlu tidak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Mengenai penggunaan alat-alat muzik, beliau berkata terdapat khilaf (perbezaan pendapat) dalam perkara tersebut kerana terdapat ulamak yang membolehkan dan ada yang tidak membenarkannnya.

Namun bagi beliau secara peribadi, beliau berkata ia boleh digunakan jika tidak membawa kepada keruntuhan akhlak. - BERNAMA

Sumber : Sinar Harian... 

Ulasan Blogger : Aku sangat bersetuju dengan nasihat Dr. Maza ini dan aku juga pernah keluarkan satu artikel mengenainya dengan tajuk Azan, Kuliah Agama dan bacaan Al Quran Melalui Pembesar Suara sila klik Klik di sini
AZAN, KULIAH AGAMA DAN BACAAN AL QURAN MELALUI PEMBESAR SUARA

Copy and WIN : http://ow.ly/KfYkt
AZAN, KULIAH AGAMA DAN BACAAN AL QURAN MELALUI PEMBESAR SUARA

Copy and WIN : http://ow.ly/KfYkt
AZAN, KULIAH AGAMA DAN BACAAN AL QURAN MELALUI PEMBESAR SUARA

Copy and WIN : http://ow.ly/KfYkt


--------------------------------------------------------------------------------------- 

Tahukah Anda, Mengapa Bayi Pengemis
Selalu Tidur Dari Pagi Hingga Petang?...


Berhampiran stesen di sebuah bandar besar duduk seorang wanita dengan usia yang tak diketahui. Rambutnya kotor, kepalanya tertunduk dalam kesedihan.

Wanita itu duduk di lantai kotor dan di sebelahnya terletak sebuah beg. Dalam beg itu orang melemparkan duit. Di tangan wanita itu pula, tidur seorang bayi berusia dua tahun. bayi itu juga berpakaian kotor.

Banyak orang yang lalu akan memberikan duit. Kami selalu merasa kasihan pada orang yang kurang bernasib baik. Kami bersedia untuk memberikan orang-orang malang itu kemeja terakhir kami, duit terakhir kami di dalam beg tanpa ragu-ragu.

Aku berjalan melewati seorang pengemis selama satu bulan. Tidak memberikan wang, kerana saya tahu bahawa ini adalah geng yang dikendalikan dan wang yang dikumpul oleh pengemis akan diberikan kepada sesiapa yang mengawal pengemis di kawasan tersebut, orang-orang yang mempunyai banyak harta mewah dan kereta.

Sebulan kemudian, saya berjalan melewati pengemis, ketika itu saya merasa pelik. Saya di persimpangan yang sibuk, menatap bayi, berpakaian seperti biasa yang sangat kotor. Saya menyedari bahawa itu adalah suatu perkara yang pelik, termasuk seorang anak kecil di sebuah stesen yang kotor dari pagi hingga petang.

Bayi itu tidur. Tidak pernah menangis atau menjerit, selalu tertidur, menanam wajahnya di lutut seorang wanita yang disebut ibunya.

Apakah salah satu daripada anda mempunyai anak-anak antara usia 1 hingga 3? Adakah anda ingat bagaimana mereka tidak dapat tidur lebih dari 2 jam pada suatu masa? Namun, anak-anak ini selalu tertidur.SELALU! Oleh kerana itu kecurigaan saya bertambah.

“Kenapa dia (bayi) tidur sepanjang masa?” Aku bertanya kepada pengemis sambil menatap bayi.

Pengemis berpura-pura tidak mendengar pertanyaan saya. Dia menunduk dan menyembunyikan wajahnya di kolar jaket lusuh nya. Saya mengulangi soalan itu. Wanita itu melihat ke atas, melihat saya, seakan kesal dengan soalan saya.

“B * ngs * t”, bibirnya bergumam.

Di belakangku datang seseorang meletakkan tangannya di bahuku. Aku menoleh ke belakang. Seorang lelaki tua itu melihat saya tidak bersetuju: “Apa yang anda inginkan darinya? Kamu tidak melihat seberapa keras kehidupannya ?.” Dia mengambil beberapa syiling dari poketnya dan melemparkannya ke poket pengemis tersebut.

Pengemis itu menunjukkan raut wajah wajah berterima kasih dan kesedihan pada umumnya. Orang itu melepaskan tangannya dari bahuku dan berjalan keluar dari stesen.

Hari berikutnya aku menelefon teman. Dari rakan saya, saya berjaya menemui bahawa pengemis itu adalah suatu perniagaan, walaupun kelihatan spontan, jelas terancang dan diawasi oleh lingkaran organisasi kejahatan.

Anak-anak yang digunakan adalah anak hasil “menyewa” dari keluarga penagih alkohol, atau hasil penculikan.

Saya memerlukan jawapan atas soalan saya – mengapa bayi tidur? Dan saya mendapatkannya. Rakan saya berkata kepada saya dengan suara tenang, “Mereka diberikan heroin, atau vodka”

Aku tercengang. “Siapa yang diberikan heroin atau vodka ?!”

Dia menjawab, “Anak itu, sehingga ia tidak berteriak. Wanita itu akan duduk sepanjang hari dengan dia, bayangkan bagaimana anak itu mungkin bosan?”

Dalam rangka untuk membuat bayi tidur sepanjang hari, ia diberikan vodka atau ubat-ubatan. Tentu saja, tubuh anak-anak tidak mampu mengatasi bahan-bahan keras tersebut. Dan anak-anak seringkali terbunuh. Hal yang paling mengerikan – kadang-kadang anak-anak meninggal selama “hari kerja”. seorang “ibu” harus memegang mayat anak kecil di tangannya sampai malam. Ini adalah peraturan. Dan oleh orang yang lewat akan diberikan beberapa wang ke poket pengemis, dan percaya bahawa mereka melakukan perbuatan baik. Membantu ibu tunggal.

Hari berikutnya saya sedang berjalan di dekat stesen yang sama. Aku membawa identiti kewartawanan, dan sudah bersedia untuk perbincangan serius. sayangnya pembicaraan tidak berhasil. Namun, terjadi hal ini:

Seorang wanita sedang duduk di lantai dan di tangannya seorang anak kecil. Aku bertanya soalan tentang sijil kelahiran kanak-kanak, dan yang paling penting, di mana anak kecil kemarin yang ia diabaikan.

Kelakuan saya diprotes oleh orang yang lalu-lalang. Saya diberitahu bahawa saya sudah gila kerana berteriak pada pengemis miskin dengan seorang anak. Pada akhirnya, saya dibawa keluar dari stesen dalam keadaan hina. Satu hal yang tersisa adalah untuk memanggil polis. Ketika polis tiba, pengemis dengan bayi sudah menghilang.

Bila anda melihat seorang wanita dengan seorang kanak-kanak, mengemis, berfikir sebelum anda menderma. Fikirkan tentang hal itu, jika bukan kerana ratusan ribu pemberi sedekah, perniagaan seperti ini sudah mati. Perniagaan akan mati dan bukan kanak-kanak. Jangan melihat kanak-kanak yang sedang tidur dengan kasih sayang. Lihat seram. Kerana anda membaca artikel ini, anda tahu sekarang mengapa kanak-kanak tersebut tidur di tangan pengemis.

Sila kongsikan artikel ini. Dan ketika anda memutuskan lagi untuk menyumbang kepada pengemis, ingat bahawa amal yang anda lakukan boleh jadi kematian bagi kanak-kanak kecil yang lain.

Sumber : Blog Viraliyat...

Ulasan Blogger : Sikap pemurah dan baik hati orang kita telah menyebabkan Malaysia menjadi syurga kepada para pengemis yang tumbuh macam cendawan selepas hujan. Ketidakpuasan hatiku mengenai mereka telah dikeluarkan dalam blog ini atas tajuk sila klik Mengejar Pengemis.

-------------------------------------------------------------------------------------

Mufti Tegur Ustaz Selebriti...

Harussani (kanan) ketika sidang media yang turut dihadiri
timbalannya, Zamri Hashim di Kompleks Islam Darul Ridzuan, kelmarin.

IPOH – Mufti Perak melahirkan kebimbangan tentang trend pendakwah dan penceramah pada masa kini yang dilihat lebih mempunyai perwatakan sebagai penglipur lara, selain ada di antara mereka menjatuhkan hukum tidak memenuhi syarak.

Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, trend tersebut mampu mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan umat Islam dan terdapat pendengar seakan-akan menanti ‘bahan penglipur lara’ itu yang dibimbangkan tersasar daripada matlamat dakwah untuk meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH.

“Kita lihat hari ini seolah-olah sudah menjadi satu keperluan kepada pendakwah apabila berdakwah atau berceramah, nyanyian dan alunan lagu-lagu semestinya dikumandangkan.

"Malah adakala sampai satu tahap ia menjadi keutamaan ketika berceramah, sehingga terdapat penceramah digelar dengan gelaran tertentu seperti Bollywood dan seumpamanya.

“Ada juga di antara mereka yang menyelitkan unsur humor atau lawak berlebihan sehingga penceramah itu dikenali dengan lawaknya berbanding ilmu disampaikan hinggakan pendengar menunggu lawak penceramah itu daripada menekuni ilmu disampaikan," katanya ketika sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, terdapat juga pendakwah dan penceramah yang tidak hormat kepada fatwa dikeluarkan oleh institusi fatwa negeri dan menyanggah fatwa yang mungkin boleh memberikan kesan kepada pengambilan beliau sebagai seorang lebih berilmu daripada ulama, pendakwah sedia ada.

Harussani berkata, kegopohan dan kegelojohan ketika berdakwah menyebabkan seseorang pendakwah itu tidak cermat mentafsirkan al-Quran, cuai dalam meriwayatkan hadis hingga mencampuradukkan antara riwayat sahih dan tidak sahih selain membawa cerita tidak masuk akal.

“Terdapat kecenderungan pendakwah memberi pernyataan dan ‘fatwa’ songsang berbanding menyampaikan ilmu berdasarkan disiplin digariskan syarak, malah pandangan hukum dikeluarkan adakala tidak melihat kepada urut dan masalah umum.

“Selain itu, ada juga penyataan dikeluarkan tidak berdasarkan kepada ilmu dan pengetahuan agama yang tunas, malah ada juga dilihat cuba meraih populariti berbanding menyampaikan ilmu, adab-adab dan pengamalannya,” katanya.

Beliau turut menegur pendakwah tertentu yang mengambil kesempatan untuk meraih pendapatan hasil daripada tugasan mulia berkenaan dan tanpa segan silu meletakkan harga tertentu untuk memenuhi jemputan ceramah.

“Mereka beralasan dengan alasan tertentu melayakkan untuk menerima bayaran tinggi, malah ada juga menyebut mereka mempunyai tanggungan yang banyak, institusi di bawah jagaannya memerlukan kos tinggi dan sebagainya yang mewajarkan bayaran itu dipenuhi.

“Selain itu, adalah sesuatu yang amat menyedihkan mereka sekadar memenuhi agenda dan program dirangka dan terpengaruh dengan tuntutan keduniaan dan kepentingan diri yang menyebabkan tujuan murni Islam diabaikan,” katanya.

Harussani turut menegaskan bahawa pendakwah dan penceramah yang ingin menyampaikan ilmu agama di Perak perlu meminta kebenaran Jabatan Mufti Perak kerana ia diwartakan dalam warta kerajaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

“Setiap orang yang ingin mengajar agama di Perak mesti ada tauliah dikeluarkan Jabatan Mufti dan ditandatangani oleh Sultan Perak kerana agama Islam adalah di bawah kawalan sultan, maka tidak seorang pun dibenarkan memberi ceramah, syarahan atau mengajar di Perak sekiranya tidak bertauliah.

“Bagi orang luar dari negeri Perak yang mahu menyampaikan ilmu agama di Perak juga mesti ada kebenaran daripada Jabatan Mufti.

“Kita akan lihat kemampuan orang itu atau tauliah diperoleh, barulah kita akan membenarkannya,” katanya.

Menurutnya, enakmen berkenaan berkuat kuasa pada 28 Mac 2013.

Sumber : Utusan Malaysia...

Ulasan Blogger : Tidak menjadi kesalahan kepada Ustaz/Ustazah untuk menyelitkan unsur humor di dalam ceramah mereka. Sekarang ini konsep dakwah telah diperluaskan melalui program seperti Forum, Kem Motivasi, Team Building dan sebagainya yang tidak dibuat di dalam masjid. Jadi konsep yang sebegini sangat sesuai jika ada humor, lawak jenaka dan selingan nyanyian untuk menghibur dan menaikkan semangat peserta.  

Walaubagaimanapun jika kuliah agama yang disampaikan seperti fardhu ain, Feqah, bab hukum hakam dan sirah Rasulullah yang biasa dibuat di dalam masjid dengan kaedah seperti di atas adalah haram hukumnya.

Thursday, March 5, 2015

TIADA TAKZIAH DI BUMI PALESTIN...

Gambar menunjukkan empat pemuda Palestin maut 
dalam satu serangan oleh tentera Zionis Israel...

PADA mata kasar, raungan kesedihan akibat kehilangan keluarga tersayang, sesuatu yang lumrah bagi kebanyakan keluarga di Palestin. Sedih, kerana keluarga yang mereka bina selama ini pergi menghadap Illahi sekelip mata.

Di situ keimanan dan kesabaran teruji. Namun kesedihan itu bukan tanda kalah! Kesedihan itu bercampur dengan air mata kegembiraan. Sedih kerana kehilangan dan terpaksa berpisah dengan orang tersayang buat selama-lamanya namun gembira apabila yang pergi, gelaran syuhada dibawa bersama.

Tempat mereka sudah tentu ada di syurga Allah. Namun yang tinggal, nasib mereka belum diketahui. Lantas, berhadapan dengan ambang maut bukan satu ketakutan. Tiada istilah takut mati di bumi Palestin. Mereka telah lama bersedia untuk itu!


Buktinya, seorang ahli keluarga yang kehilangan keluarga tersayang enggan menerima ucapan takziah. Sebaliknya ucapan itu dilontarkan pula dengan persoalan, "Kenapa kami harus menerima ucapan takziah? Kerana yang mati itu adalah syuhada. Kamu sepatutnya mengucapkan tahniah kerana keluarga kami dipilih untuk mati syahid!" Begitu kata-kata seorang penduduk Palestin kepada Awang Suffian ketika datang menziarahi keluarga yang menjadi mangsa pengeboman Zionis Israel. Begitu jugalah yang terjadi kepada keluarga Addallou yang kehilangan keseluruhan ahli keluarganya. Yang terselamat hanya dirinya yang kebetulan keluar daripada rumah ketika itu serta dua anaknya, seorang belajar di Turki dan seorang lagi tidak tinggal bersamanya.

Kanak-kanak yang tidak berdosa paling banyak menjadi korban 
dalam setiap serangan yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel...

Ketika orang yang datang menziarahinya kesemuanya menangis mengenang nasib keluarga tersebut, Addallou hanya berkata," Saya redha dengan apa yang berlaku. Semuanya syahid dan kita masih tak tahu ke mana nasib kita.""Ternyata ungkapan kata-kata itu memeranjatkan kami. Walhal kami yang datang, tidak seorang pun tidak menitiskan air mata melihat betapa ranapnya sebuah sasaran bedilan Zionis Israel. Namun mereka tidak, Bahkan bangga apabila keluarga mereka dipilih untuk mati syahid," kata Awang Suffian.

Salah seorang bapa mangsa sedang 
di tenangkan oleh saudara mara dan rakan-rakan...

Lantas, ucapan takziah tidak wujud di bumi Palestin. Jangan sesekali memberi takziah kerana mereka tidak pernah meminta lafaz tersebut. Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh mereka ialah bertakbir memuji kebesaran Allah sambil melaungkan "Allahu Akbar", berulang-ulang kali.

"Sedih? Memang sedih.

Dalam dunia ini, siapa yang tidak sedih jika kehilangan keluarga tersayang? Tapi dalam kesedihan itu ada semangat yang kita mungkin tidak mampu untuk melakukannya sebagaimana rakyat Palestin tunjukkan kepada kita," ujar Awang Suffian.

Lagi gambar-gambar yang menunjukkan 
kanak-kanak Palestin yang terkorban...

Melihat atas semangat untuk terus hidup dan berjuang, Aman Palestin berusaha menjalankan pelbagai projek termasuk menyediakan ladang tanaman. Peruntukan sebanyak RM1 juta digunakan untuk kerja-kerja perladangan termasuk membiayai tiga buah telaga serta jalan raya untuk menghubungkan kawasan pertanian dengan pasar. "Seramai 70 keluarga petani terlibat mengusahakan ladang tanaman tersebut. Dan hasilnya dijual di pasar dengan harga yang murah. Menariknya hasil tana­man itu juga dapat dinikmati bersama penduduk di Jabbariyah, utara Gaza.

"Keadaan peperangan yang melanda Palestin, sedikit pun tidak mengubah pola harian kehidupan masyarakat Palestin. Urusan mereka berjalan seperti biasa. Bercucuk tanam, menternak, menjual barangan di pasar dan menangkap ikan menjadi rutin harian kehidupan mereka. Bahkan anak-anak Palestin masih ke sekolah " ujarnya lagi.

Dipetik dari Majalah Al islam Sept 2014...

Wednesday, March 4, 2015

WANITA BERTUKAR GANAS KETIKA TIDUR...

Gambar hiasan...

JODIE Plume berdiri di bucu katilnya dalam kegelapan malam dalam keadaan tubuhnya menggigil ketakutan. Apa yang dilihatnya seketika tadi tampak nyata, namun dia sendiri tidak pasti sama ada benar atau sekadar bermimpi.

Dia nampak bayang-bayang seperti yang terdapat dalam filem seram, datang kepadanya dengan membawa tong mengandungi asid yang menggelegak bersedia untuk dilempaarkan kepadanya.

"Josh! Josh! Bangun! Mereka akan melemparkan asid kepada kita!" Jeritnya kepada suaminya, Josh, yang sedang nyenyak tidur di sebelah.

Josh yang sering mengalami situasi seperti hari-hari sebelumnya langsung tidak terkejut. Malah, dia bangun untuk menenangkan Jodie, yang kemudian kembali terlelap dengan sendiri.

Situasi seperti dibaling tong asid, kejadian rompakan, barang berterbangan di dalam bilik, malah kejadian diganggu hantu sering dihadapi oleh Jodie yang berhalusinasi hampir pada setiap malam.

Wanita ini mengalami sindrom Parasomnia, iaitu sejenis gangguan terhadap tingkah laku yang terjadi ketika sedang tidur sehingga membuatnya kerap terjaga.

Apabila dia tidur, dia akan mengalami satu mimpi ngeri sehingga menyebabkan adrenalin naik memuncak dan mengalami ketakutan amat teruk.

Dia akan berjalan, menggerakkan badan dan menjerit sepanjang gangguan tersebut dalam keadaan tidak sedar, untuk bertindak balas ke atas apa yang berlaku ketika dia sedang bermimpi.

Dalam keadaan tidur, Jodie boleh berjalan, bercakap, melakukan gerak isyarat dan menjerit. Dia tidak sedar sepenuhnya, tetapi sebaliknya bertindak balas kepada dunia mimpi.

Ini bukanlah perkara yang boleh diketawakan atau dibuat main-main, kerana kekerapan terjadi boleh menyebabkan perkara buruk berlaku. Jodie, 30, akan mengalaminya pada setiap malam dan kadang-kala sehingga enam kali pada satu malam.

Pasangan Jodie Plume dan Josh yang 
sentiasa berjaga-jaga walau dalam tidor...


Setiap keadaan akan berlarutan sehingga tempoh yang lama dan menimbulkan situasi yang bahaya kepada diri dan pasangannya.

"Pernah suatu malam saya terkejut apabila Jodie cuba menarik sesuatu keluar dari dalam mulut saya. Dia berkata bahawa saya mengejutkannya kerana ada perompak masuk ke rumah kami mahu mencuri " barang kemas saya.

Saya kemudiannya memasukkan kesemua barang kemas ke dalam mulut saya bagi mengelakkan dicuri.

"Jodie terpaksa mengeluarkannya supaya saya tidak tercekik. Apabila difikirkan kembali, memang sangat menakutkan," kata Josh.

Ada juga keadaan penghidap Parasomnia akan melakukan perkara-perkara pelik dalam keadaan tidur seperti makan, membuat hubungan seks, bercakap dengan nada yang lantang, malah ada yang mampu memberikan ucapan yang panjang lebar ketika tidur.

Beberapa gangguan, seperti berjalan sambil tidur seperti yang dialami Jodie berkaitan dengan keadaan separa sedar dan ramai beranggapan mempunyai kaitan dengan genetik. Ibu dan ibu saudara Jodie sendiri menderita keadaan itu.

Wanita ini berharap pakar perubatan boleh menganalisis corak tidurnya dan membantu dia mengatasinya.

Jodie dan Josh mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diinginkan berlaku.

Mereka membuang kesemua objek tajam seperti gunting dan pisau dari bilik dan cermin juga diletakkan di luar bilik kerana pantulan cahaya akan menyebabkan mimpi ngeri yang dialami Jodie bertambah teruk.

Ujar Jodie, dia gembira kerana mereka sudah boleh membina sebuah keluarga namun dia terlalu takut bagaimana untuk menguruskan bayi yang akan dilahirkan jika tidumya terganggu.

"Adakah saya akan sentiasa bangun? atau lebih teruk lagi bagaimana jika saya bangun dan mencederakan bayi saya? Saya berharap keadaan yang berlaku kepada saya ini boleh dirawat. Paling membimbangkan adakah anak saya juga akan mewarisi penyakit ini nanti?," soalnya.

Parasomnia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia. Ada kes yang menunjukkan penghidap turut mengalami gangguan neurologi seperti penyakit parkinson, strok, dan narcolepsy di mana keupayaan otak untuk mengawal kitaran tidur yang normal akan terjejas. Dipercayai, 10 peratus penduduk di dunia ini mengalaminya.

Dipertik dari Utusan Malaysia
Disusun oleh : Nursyamimi Saidi....