Pages

Monday, March 30, 2015

RAJIN DAN USAHA TANGGA KEJAYAAN...

Gambar hiasan...
Siapa sangka, Amir yang gagal di dalam pelajaran akhirnya 
dapat membina sebuah rumah banglo hasil usaha gigih beliau bekerja
tanpa mengenal erti penat dan jemu....

Ikuti kisahnya yang aku nukilkan 
seperti di bawah ini.    

Aku dan Amir berkawan baik sejak kecil, walaupun kami sebaya, tetapi fizikal kami berbeza sedikit. Amir berbadan tegap dan agak tinggi manakala aku pula kurus sahaja. Walaupun di kampung, ramai rakan-rakan sebaya yang lain tetapi aku dan Amir tidak pernah berpisah. Di mana ada aku, di situ pasti ada Amir. Hobi, menu masakan dan sukan yang kami ceburi juga sama menyebabkan persahabatan kami semakin erat.

Di bidang pelajaran, aku cerdik sikit dari Amir, di dalam setiap peperiksaan penggal dan akhir tahun yang kami duduki, aku biasanya dapat nombor berbelas manakala Amir pula biasanya mendapat nombor puluh, tapi kami tidak pernah berpisah kelas. Satu kelebihan Amir yang tiada padaku adalah Amir pandai melukis dan berimagenasi. Di dalam kelas, ketika guru tiada, Amir banyak menghabiskan masa dengan melukis dan melakar apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Jika buku latihan aku dan kawan-kawan yang lain dipenuhi dengan kerja-kerja latihan yang guru beri, tetapi buku Amir penuh dengan gambar-gambar yang dilukisnya. Guru-guru pula sudah penat memberi nasihat namun nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Pernah ia menunjukkan kepadaku lukisannya yang berbentuk komik seperti yang berlambak dijual di pasaran masakini seperti Dragon Ball, Detektif Conan, Naruto dan sebagainya. Bila aku melihat buku komik yang ditunjukkan itu, aku yakin suatu hari nanti ia akan menjadikan minatnya itu sebagai profesyennya di masa hadapan.

Bagi aku pula, pada ketika itu, aku pun tak tahu apa bidang pekerjaan yang boleh aku ceburi kerana aku tidak minat di bidang kemahiran dan hanya akan berbekalkan segulung sijil sahaja. Dengan sijil itu nanti mungkin dapatlah aku bekerja di pejabat-pejabat Kerajaan.

Komik Naruto...

Komik Detektif Conan...

Komik Dragon Ball...
Ketiga-tiga lukisan seperti inilah yang sering 
Amir lukis di dalam kelas ketika tiada guru mengajar...

Pada tahun 1976, kami menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk menentukan nasib samada dapat naik ke tingkatan 4 atau sebaliknya. Pada masa tu, mana-mana murid yang gagal di dalam peperiksaan SRP, mereka terpaksa meninggalkan alam persekolahan dan mula mencari pekerjaan walaupun umur baru nak mencecah 16 tahun. Tak macam sekarang, walaupun murid-murid gagal dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang setaraf dengan SRP kami dahulu tapi mereka akan dapat juga menyambung pelajaran ke tingkatan 4 samada di sekolah yang sama atau memasuki Sekolah Menengah Vokasional.

Semasa keputusan peperiksaan SRP diumumkan, aku sangat bersyukur kerana lulus di dalam peperiksaan tersebut walaupun dengan markah yang cukup-cukup makan sahaja dan dapat menyambung pelajaran ke tingkatan 4. Tapi aku merasa sedih kerana Amir telah gagal dan terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Dalam pertemuan kami semasa mengambil keputusan peperiksaan itu, Amir memberitahu aku yang ia tidak minat lagi untuk belajar dan ingin mencari pekerjaan sahaja untuk membantu ibu bapanya.     

Setahun telah berlalu. Selepas tamat tingkatan 4, aku memasuki tingkatan 5 pula dan akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang lebih besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menentukan nasibku samada dapat memasuki Universiti atau sebaliknya. Tapi aku tidak mengharapkan apa-apa pun jauh sekali untuk memasuki universiti berdasarkan tahap pelajaranku yang sederhana. Pada aku, jika dapat pangkat 3 pun, itu dah dikira bagus dan jika bernasib baik dapatlah peluang kerja di Jabatan Kerajaan walaupun berpangkat rendah.

Langkah pertama Amir bagi mengisi masanya supaya tidak terbuang dengan sia-sia, ia telah memohon untuk mengikuti kursus dengan Jabatan Pertanian. Permohonannya berjaya dan ia telah di tempatkan di Institut Pertanian di Perak. Aku agak terkejut juga dengan keputusan Amir itu kerana sepanjang persahabatan kami, aku jarang melihat Amir membantu ayahnya mengusahakan kebun di belakang rumah tetapi sebaliknya ia banyak menghabiskan masa dengan melukis kerana itu minatnya sejak dahulu.. Pada anggapanku ia sepatutnya memohon untuk memasuki kelas melukis atau menjadi pelukis jalanan sahaja sementara menanti suatu pekerjaan yang lebih baik. Tetapi itu tidak berlaku pada Amir.

Selepas tamat latihan di Institut Pertanian selama enam bulan dan memperolehi sijil, ia tidak pula memohon pekerjaan di Jabatan Pertanian tetapi sebaliknya ia memohon pekerjaan di kilang yang terletak berhampiran dengan bandar tempat tinggal kami.   

Satu sifat terpuji yang ada pada Amir, ia rajin memohon pekerjaan. Jika ada iklan jawatan kosong yang disiarkan di akhbar tempatan, ia akan memohonnya walaupun kelayakan akademik yang ada padanya tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti yang dikehendaki.

Setelah hampir dua tahun ia bekerja di kilang tersebut, nasib akhirnya menyebelahi beliau apabila ia berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai Pelayan Pejabat di sebuah Jabatan Kerajaan di negeri Perak dan bekerja dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh. Berkat berjimat cermat beliau menyimpan wang, beliau akhirnya dapat membeli sebuah motosikal Honda Cup C70 untuk beliau berulangalik ke tempat kerja di mana sebelum ini ia hanya menggunakan sebuah basikal buruk peninggalan ayahnya.

Satu hari ketika pulang dari kerja, ibunya telah menghulurkan sepucuk surat kepadanya yang diterima dari posmen siang tadi. Setelah membuka dan membaca surat tersebut ia lantas memeluk ibunya dan mengucap syukur kerana ia telah diterima bekerja dengan sebuah Jabatan Kerajaan di Kuala Lumpur sebagai Kerani Rendah. Dengan jawatannya yang baru ini secara tidak langsung telah menaikkan sedikit taraf hidupnya.

Pada peringkat awal ia datang ke Kuala Lumpur, ia menumpang tinggal di rumah abangnya yang telah berkeluarga di Kampung Baru dan dari situ ia berulang alik ke tempat kerjanya di Sentul, Kuala Lumpur.

Ketika umurnya meningkat 25 tahun, Amir telah menyuarakan hasrat hati kepada ibunya di kampung untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya Mahani yang berasal dari Batu Gajah, Perak. Mahani, gadis pilihannya itu telah ditunjukkan kepada kedua ibubapa serta abang-abangnya yang lain. Pihak keluarga tidak membantah dan tertarik dengan keramahan gadis tersebut. Sikap sopan santun yang ada padanya serta pandai mengambil hati keluarga menyebabkan kedua ibu bapa Amir tidak berbelah bahagi untuk menerima Mahani sebagai menantu mereka.

Majlis perkahwinan mereka telah dilangsungkan secara sederhana tetapi meriah. Kaum keluarga serta sanak saudara yang hadir dimajlis perkahwinan kedua mempelai itu semuanya memuji kerana ketika duduk di atas pelamin, kedua-duanya nampak secucuk dan sepadan ibarat kata pepatah melayu "seperti pinang dibelah dua"...

Selepas seminggu bercuti, Amir membawa isterinya Mahani berpindah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, bekas pegawai Amir, iaitu Encik Nazri yang pernah menjadi ketuanya dahulu dan telah lama bertukar ke Kuala Lumpur mempelawa Amir dan isterinya untuk tinggal bersama mereka di sebuah rumah banglo quarters Kerajaan yang terletak di Jalan Duta. Encik Nazri dan isterinya Asmah yang belum dikurniakan seorang anakpun walaupun telah hampir empat tahun berkahwin sangat gembira jika Amir dan Mahani setuju tinggal bersama mereka kerana di samping rumah yang diduduki sangat besar untuk mereka berdua sahaja, sekurang-kurangnya jika Amir dan isterinya  tinggal bersama, dapatlah mengubati kesunyian Asmah yang kerap tinggal bersendirian ketika Nazri bertugas di luar daerah. Untuk tidak menghampakan pasangan tersebut, Amir dan isterinya bersetuju untuk tinggal bersama-sama di rumah tersebut .

Setelah hampir dua bulan berlalu, suatu hari, Mahani menyuarakan hasrat hati kepada suaminya Amir untuk bekerja. Katanya ia merasa jemu tinggal di rumah seorang diri ketika mereka semua keluar bekerja. Walaupun Amir mampu menyara isterinya, tetapi kerana kasihan melihat Mahani yang sentiasa termenung maka Amir telah membenarkan isterinya untuk bekerja.  Di dalam satu  temuduga terbuka yang dihadiri oleh Mahani di sebuah hospital swasta, ia telah berjaya dan ditawarkan bekerja sebagai jururawat. Sebelum diserap ke jawatan tetap ia perlu menjalani latihan selama tiga bulan terlebih dahulu. Dengan perasaan gembira dan penuh syukur, Mahani bersetuju menerima tawaran tersebut.

Masa terus berlalu, kesihatan Mahani tidak menentu, kepalanya kerap pening dan tekak terasa mual, setelah diperiksa oleh doktor lalu disahkan bahawa beliau kini sedang mengandung dua bulan. Berita yang baru diterima itu sangat menggembirakan hati Amir. Ia menasihatkan isterinya supaya banyak berehat.

Genap sembilan bulan mengandung, Mahanipun bersalin dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang sangat comel dan parasnya saling tak tumpah macam paras mereka berdua.

Selepas habis tempoh berpantang, Mahani selalu tidak sihat, dia kerap alami turun darah dan sering dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Selain Hospital Besar Kuala Lumpur, beliau juga menerima rawatan di hospital Ipoh ketika ianya berlaku semasa balik bercuti di kampung.

Oleh kerana, penyakit yang dialami Mahani tidak dapat diubati, maka doktor mengsyorkan supaya peranakannya diikat bagi mengelakkan penyakit turun darah itu terus berlaku. Setelah perbincangan dibuat dan tiada pilihan lain maka Amirpun bersetuju dengan cadangan doktor tersebut. Cuma satu sahaja yang terkilan di hati Amir. Dia perlu menerima hakikat bahawa isterinya tidak boleh mengandung lagi dan anak yang telah dilahirkan itu akan menjadi anak tunggal mereka.

Selepas beberapa tahun berlalu, En. Nazri telah bersara dari perkhidmatannya dan akan menyerahkan semula rumah banglo quarters yang diduduki mereka kepada Kerajaan. Enam bulan sebelum En. Nazri bersara, Amir, isteri dan anaknya yang sebelum ini tinggal bersama mereka telahpun berpindah ke rumah baru yang dibeli melalui Pinjaman Perumahan Kerajaan di Kepong. Pada masa itu Mahani tidak lagi bekerja kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Di samping itu ia ingin memberikan perhatian terhadap anak yang baru dilahirkan.     

Semenjak berhenti kerja, Mahani banyak menghabiskan masa dengan belajar memasak, segala jenis masakan dicubanya, buku-buku resepi kini memenuhi rak di ruang tamu rumahnya. Selain resepi masakan moden, masakan tradisional juga turut mendapat tempat di hatinya.

Atas keyakinan itu, suatu hari di Hari Raya Aidilfitri tahun 1982, Mahani berhajat untuk mengadakan rumah terbuka dan meminta suaminya Amir untuk menjemput semua kawan-kawan setugasnya datang ke majlis yang diadakan itu. Menu utama yang dihidangkan ialah Laksa, Mee Kari, Bihun/Mee Sup, Bihun/Mee Soto serta kuih muih yang semuanya dibuat sendiri oleh Mahani tanpa bantuan sesiapapun. 

Majlis yang julung-julung kali diadakan itu sungguh meriah, Semua hadirin yang datang, memuji masakan Mahani yang sungguh enak dan sedap itu. Ada di antara mereka yang mengsyurkan supaya Mahani membuka restoran atau paling tidakpun membuka sebuah warung sahaja kerana mereka yakin suatu hari nanti Mahani akan menjadi seorang tauke restoran yang berjaya.   

Walaupun kata-kata yang diucapkan itu biasa sahaja, tetapi bagi Mahani, ia sangat memberi kesan. Jika diamati apa yang dikatakan oleh mereka itu memang ada betulnya. Hidup di bandaraya Kuala Lumpur ini, kita mesti berani merebut peluang, jalan yang sudah dibuka itu tidak perlu lagi difikirkan dan perlu tindakan segera. Apa yang akan berlaku nanti, kita berserah sahaja kepada Allah. Itulah yang terngiang-ngiang di telinga Mahani.    

Setelah berfikir semasak-masaknya, Mahani menyuarakan hasratnya kepada Amir supaya mencari tapak untuk mereka memulakan perniagaan makanan. Modal permulaan tidak perlu risau kerana ianya sudah disediakan oleh Mahani hasil berjimat cermat semasa beliau bekerja dahulu. Cadangan perniagaan ialah pada waktu petang kerana ianya tidak mengganggu waktu kerja Amir.

Hasil usaha yang bersungguh-sungguh itu, Amir melalui seorang rakannya berjaya mendapat sebuah tapak berniaga di pasar malam. Bermula pada saat itu mereka mula menjalankan perniagaan menjual makanan seperti laksa Penang, Mee Kari, bihun sop dan sebagainya. Tak cukup dengan sebuah pasar malam sahaja, sebaliknya Amir berusaha untuk mencari tapak-tapak pasar malam yang baru jika dia mendengar ada yang akan dibuka. Pada tahun-tahun 1980an, perniagaan pasar malam masih baru dan tidak ramai lagi mereka yang mengambil peluang ini. Lagipun banyak kawasan-kawasan perumahan yang baru siap dibina, jadi pembukaan pasar malam di kawasan itu tidak mustahil akan diujudkan. Jadi peluang beginilah yang mesti direbut oleh mereka-mereka yang bijak mencari peluang.

Untuk memberikan tumpuan pada perniagaannya, Amir telah berhenti kerja kerana mendapati perniagaannya sudah mula menampakkan hasilnya. Perniagaan makanan yang mereka usahakan tidak pernah mengalami kerugian teruk. Walaupun adakala makanan tidak habis dijual kerana faktor ekonomi pelanggan yang 'sesak' di tengah bulan atau dihujung bulan, tetapi sekurang-kurangnya modal pusingan tidak hilang.

Berkat ikhlas dan jujur di dalam perniagaan dan masakan yang disediakan pula sedap dan memenuhi cita rasa pelanggan, kini Amir dan Mahani boleh berbangga kerana mereka adalah di antara orang-orang yang berjaya di bidang perniagaan makanan dan sudah mempunyai pelanggan tetap. Perniagaan mereka telah diperluaskan lagi dengan memberikan perkhidmatan katering kepada pelanggan-pelanggan yang ingin menempah makanan untuk majlis-majlis khenduri doa selamat, tahlil, hari jadi dan sebagainya.

Perniagaan berkonsepkan pasar malam telah mereka tinggalkan kerana telah berjaya memiliki beberapa buah rangkaian restoran di Kuala Lumpur dengan berbagai-bagai jenis masakan ala Timur dan Barat yang menjadi kesukaan dan kegemaran pelanggan masakini. Untuk itu, beberapa orang tukang masak dari negara jiran yang berkenaan telah dibawa masuk untuk bekerja di restorannya.  

Satu perkara yang diimpikan oleh Amir semasa ia tinggal di rumah banglo quarters kerajaan bersama En. Nazri semasa beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur dahulu ialah ingin memiliki sebuah rumah banglo milik sendiri. Berkat hasil usaha gigih beliau bekerja tanpa mengira penat dan lelah bersama isterinya yang banyak membantu menjayakan hasrat dan cita-citanya itu maka hasrat untuk memiliki sebuah rumah banglo siap dengan kolam renang dengan landskapnya yang cantik telah berjaya didirikan. Di samping itu  Amir juga memiliki beberapa buah kereta mewah kesayangannya.

Di samping kejayaan di dunia, Amir juga banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan di kawasannya. Dia juga merupakan seorang bendahari masjid dan sering menghulurkan bantuan jika terdapat apa-apa kekurangan di masjid tersebut.   

Siapa sangka, Amir yang satu ketika dahulu gagal dalam bidang akademik kini menjadi seorang usahawan yang berjaya dan jika difikirkan balik ketika beliau mula tiba di Kuala Lumpur dahulu tanpa ada sebarang bekalan yang dibawa dan mengharungi hidup di bandaraya Kuala Lumpur yang penuh pancaroba ini, akhirnya beliau berjaya membuktikan kata pepatah Melayu yang sering diungkapkan iaitu "RAJIN USAHA TANGGA KEJAYAAN".

Aku diantara sahabatnya yang sentiasa berdoa dari jauh ini sangat berbangga dengan Amir. Walaupun ia telah berjaya tetapi ia tidak pernah lupa kepada aku. Setiap kali ia pulang ke kampung, ia akan mengunjungiku untuk bertanya kabar dan kami akan bercerita kisah-kisah lama terutama ketika kami di zaman kanak-kanak.


Ketika kisah ini dinukilkan, Amir dan isterinya Mahani sekarang berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadat Umrah dan Ziarah dan akan kembali ke tanah air sedikit hari lagi.

Kisah ini aku ceritakan untuk memberikan suntikan semangat kepada mereka-mereka yang merasakan diri sudah gagal dan kecewa di dalam hidup akibat kecundang di bidang akademik. Memang diakui bahawa dengan pelajaran yang tinggi sahajalah akan dapat menjamin kesenangan kehidupan di dunia tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana selain otak yang cerdas, manusia juga diberikan tulang empat kerat untuk bekerja dan jika menggunakan tulang empat kerat itu dengan sebaik-baiknya maka kita akhirnya akan berjaya.

Itulah yang telah dapat dibuktikan oleh Amir....

6 comments:

  1. Sesungguhnya Hidayah itu milik ALLAH.....dan stiap kesulitan itu ada kemudahannya.Surah ASY-SYARH,ayat 5 dan 6.

    ReplyDelete
  2. Masih segar dlm ingatan btapa insan yg ta brapa ceria nak blajar sentiasa mcari ruang mencuri tulang....slepas balik dari sekolah,beg sekolahnya trus dilempar bawah katil dan esoknya nak kesekolah barulah beg itu diambil semula..dan abangnya sentiasa ceria membawanya menaiki basikal stiap pagi dan ptg tanpa jemu...nak monteng sekolah pasti ta upaya krana ayah agak garang,namun bagitu kuasa ALLAH tlah merobah sgala2nya.....itulah apa yg dikatakan HIDAYAH itu miliknya,dan dia berkuasa memberi hidayahnya pada insan yg terpilih.

    ReplyDelete
  3. Allah s.w.t. telah menjanjikan bahawa 90% keuntungan adalah dari perniagaan...

    ReplyDelete
  4. Ni ceta btol ke?...
    Restoran tu ujud ke?

    ReplyDelete
  5. Ok jgak cerita ni...
    Mesejnya jelas & sempoi....

    ReplyDelete
  6. Hehe.. mcm familiar jek cte ni...♥♥♥

    ReplyDelete