Pages

Wednesday, November 11, 2015

RUMAH HANTU UNTUK DIJUAL...

KISAH seram. kejadian-kejadian mistik di dalam sebuah rumah yang dikatakan berhantu sering menjadi perhatian ramai dan buah mulut di hampir setiap pelosok dunia.

Apabila menyebut mengenai rumah berhantu. pasti ada yang merasa seram sehingga hampir berdiri bulu roma tetapi berapa ramai pula yang sanggup mendekati rumah-rumah berhantu ini malah mencabar diri untuk memilikinya serta menetap terus di situ?

Bagi mereka yang berani berdepan dengan bunyi derapan kaki lembaga menuruni anak tangga pada malam hari atau sudah biasa dengan suara-suara menggerunkan, di Amerika Syarikat (AS) terdapat lima buah rumah berhantu yang boleh dimiliki dan masih berada di pasaran hartanah negara itu.

Rumah Ann Starrett

Rumah Ann Starrett merupakan antara rumah lama yang menyimpan rahsia tersendiri dan pada mulanya, dijadikan sebagai hotel butik mewah dengan bercirikan binaan klasik serta sebuah tangga berbentuk spiral, namun kini dijual sebagai tempat kediaman dengan harga AS$750,000 (RM3.2 juta).

Rumah agam yang mempunyai lapan bilik tidur dan lapan bilik air ini dibina pada 1889 oleh seorang kontraktor bernama George Starrett sebagai hadiah istimewa kepada isterinya.

Mereka yang mendiami rumah ini kemungkinan akan "ditemani" oleh roh Starret dan isterinya kerana ramai yang tinggal berdekatan kawasan tersebut dikatakan sering melihat kelibat pasangan itu berlegar-legar di rumah itu.

Rumah Hampton Lillibridge

Rumah Hampton Lillibridge yang terletak di Saint Savannah, Georgia turut dikatakan mempunyai "penghuni" walaupun kini dijual dengan harga AS$2.4 juta (RM10.2 juta).

Apabila Jim Williams, seorang pakar pemulihan tempatan cuba memindahkan rumah ini ke lokasi baharu di jalan Saint Julian, pekerja yang terlibat dalam usaha pemulihan itu dilaporkan mendengar bunyi ganjil dan pernah melihat seorang lelaki tinggi berpakaian hitam, melalui tingkap bilik tidur rumah ini.

Sejak kejadian itu, kisah mengenai kelibat hantu dan lembaga di rumah yang dibina pada abad ke-18 itu sering didengar sehingga penduduk di kawasan itu menggelarkan rumah tersebut sebagai rumah paling berhantu di Savannah.

Rumah Allyns

Rumah Allyns yang dikatakan agak "keras" menyebabkan kediaman tersebut sering bertukar pemilik dan kini masih lagi dijual dengan harga AS$1.2 juta (RM5.1 juta).

Pada 1885, rumah agam ini dibina oleh sebuah keluarga petani kaya bernama Allyns dan kisah mistik di rumah ini bermula apabila pemiliknya meninggal dunia ketika sedang membaca mel petang di ruang tamu pada Februari 1913.

Sejak kematian pemiliknya itu, rumah tersebut beberapa kali bertukar tangan menjadi rumah penjagaan, kedai perabot termasuk pernah dijadikan sebagai hotel butik.

Rumah Pelancongan McRaven

Dipanggil "kapsul masa di Selatan", rumah pelancongan McRaven yang dibina ketika era perang saudara ini dianggap sebagai kediaman paling berhantu di Mississippi walaupun dijual dengan harga AS$575,000 (RM2.4 juta).

Menurut laman web mcraventourhome.com, sekurang-kurangnya lima orang terkorban berdekatan rumah, ini termasuk pembina bahagian terakhir rumah ini, John H. Bobb yang dikatakan dibunuh dengan cara paling tragis oleh Tentera Persekutuan di hadapan rumah ini.

Salah seorang pemilik yang meninggal dunia ketika melahirkan anak pada 1836 turut dipercayai telah meninggalkan suatu kuasa mistik di rumah tersebut.

Kondominium Dakota

Pada 1980, dunia tertumpu kepada Kondominium Dakota di mana ahli kumpulan muzik The Beattles, John Lennon dibunuh, dan kini harganya mencecah AS$14.5juta (RM62juta). Namun ramai yang menyifatkan bangunan tersebut sudah mempunyai sejarah aktiviti paranormalnya sejak bertahun lamanya dan mendiang Lennon sendiri dikatakan pernan mengakui melihat "hantu wanita sedang menangis" berjalan melepasi dinding bangunan tersebut.

Selepas kematian legenda muzik itu, penduduk sekitar dilaporkan melihat hantu kanak-kanak berlegar-legar di kawasan bangunan tersebut dengan memakai pakaian zaman lampau.

Susunan NAWWAR
Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment