Pages

Monday, December 14, 2015

MANGSA BENCANA ALAM TRAUMA TERIMA LAYANAN BURUK...

Wanita terbabit sentiasa ketakutan, perlu sokongan psikologi... 

Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan sesuai digambarkan terhadap golongan wanita yang ditindas dan menerima layanan paling buruk apabila berlakunya bencana alam, iaitu gempa bumi di Nepal, baru-baru ini.

Mereka bukannya dikasihani dan dilindungi, tetapi mendapat layanan paling buruk hingga memberi kesan trauma teruk. Bahkan, pada saat getir itu juga, ramai yang mengambil kesempatan melakukan serangan seksual.

Menurut laporan yang dipetik daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Wanita, saban waktu, golongan wanita ini sentiasa berasa dalam ketakutan dan memerlukan pertolongan.

Justeru, menyedari perkara ini perlu ditangani supaya tidak menjadi bertambah serius, PBB Wanita dan kerajaan Nepal bersama beberapa rakan kongsi lain bergabung tenaga menubuhkan pusat pelbagai guna wanita.



Ia bertujuan untuk menangani trauma dan menyediakan sokongan psikososial kepada wanita yang memerlukan bantuan.

Tidak dapat lena

Antara yang berdepan dengan situasi ini ialah Rajani BK (bukan nama sebenar), 26. Sejak kejadian gempa bumi pada 25 April lalu dengan magnitud 7.8 diikuti pada 12 Mei dengan magnitud 7.3, sekali gus memusnahkan Nepal, gadis ini tidak dapat melelapkan matanya dengan lena.


Rumahnya musnah sama sekali dan beliau tidak berdaya untuk tinggal di dalam khemah sementara yang dibina oleh keluarganya disebabkan rasa takut serangan yang mungkin dilakukan oleh bapanya.

Katanya, jika mereka memiliki sebuah rumah, sekurang-kurangnya beliau tahu di mana untuk menyem bunyikan diri daripada bapanya, tetapi apabila di dalam khemah, beliau langsung tidak berasa selamat.

Cedera flzikal

"Pernah suatu pagi, saya duduk di hadapan rumah dan melihat ayah pulang. Sebaik sampai di rumah, dia terus mencaci ibu yang sedang bersiap sedia untuk ke tempat kerja.

"Ketika itu ayah mabuk dan mula mengugut untuk membunuh ibu. Saya cuba untuk campur tangan tetapi ayah mengheret saya ke dinding dan ketika itu saya rasa seperti akan mati," katanya.

Ini bukan kali pertama BK dicederakan secara fizikal oleh bapanya. Malah, dia langsung tidak dapat mengingati bilakah saat bapanya tidak pernah mencederakannya.

BK tinggal di dalam satu komuniti terpinggir di Dalit yang mana ia mewakili 13 peratus keseluruhan populasi daripada 28 juta penduduk Nepal, menurut bancian pada tahun 2011. Dalit memiliki komuniti paling miskin di dalam negara itu dengan 42 peratus berada di bawah paras kemiskinan. Menurut laporan Setiausaha Agung PBB mengenai kesaksamaan gender dalam bencana alam pada tahun 2014, menggariskan bahawa ancaman kemungkinan rogol dan keganasan seksual semakin meningkat ketika bencana alam.

Jumlah wanita trauma meningkat

Kaunselor Psikilogi Sujata Sharma Poudel (kiri), 
menemubual salah seorang wanita tempatan 
di Pusat Pemulihan Wanita di Nepal... 

Perkara itu turut diakui oleh seorang petugas di sebuah pusat pelbagai guna wanita iaitu Prema Poudel. Ia ditubuhkan oleh Pusat Pemulihan Wanita dan disokong PBB Wanita dengan kerjasama Pejabat Kanak- kanak dan Wanita Kerajaan Nepal di Kabhre.

Ia adalah sebahagian daripada tindakan kemanusiaan terhadap bencana yang dialami, baru-baru ini. Katanya, kebanyakan wanita yang tinggal di dalam khemah tidak selamat dan mudah menjadi sasaran.

Tidak dapat dipastikan jumlah mereka tetapi penggerak sosial dan pemberi maklumat memaklumkan jumlah itu semakin meningkat.


"Oleh itu, pusat ini menyediakan beberapa kelengkapan berguna kepada mereka seperti kit maruah, lampu solar, kaunseling trauma, maldumat, rujukan, menjalankan audit keselamatan wanita dan memudahkan pemulihan awal serta menjalankan aktiviti harian," katanya.

Tidak dapat dinafikan bahawa memang terdapat penambahan dramatik dalam jumlah keganasan seksual dan domestik terhadap wanita sejak berlakunya kejadian gempa bumi itu.

Kaunselor psikososial daerah, Ashmita Tamang, menegaskan bahawa bilangan kes keganasan rumah tangga dan seksual yang ditanganinya semakin meningkat.


Katanya, penggerak sosial di dalam pusat pelbagai guna wanita sudah menyebarkan maklumat mengenai perkara ini, termasuklah mendapat bantuan daripada surat khabar tempatan terhadap perkhidmatan yang dijalankan itu.

"Ramai wanita datang kepada kami dengan perasaan tertanya-tanya dan juga ingin mendapatkan kit maruah serta dalam masa yang sama, kita bercakap dengan mereka supaya lebih memahami situasi sebenar," katanya.

Kini selepas beberapa tahun didera, BK akhirnya tidak dapat menahannya lagi dan lari dari rumah ke pusat berkenaan di Kabhre yang terletak 50 kilometer dari timur ibu negara Kathmandu.

Sukarelawan menyusun barangan bantuan kit kebersihan diri 
untuk diagihkan kepada mangsa wanita...

Di situ, sukarelawan psikososial, Srijana Pyakurel dan kumpulannya membawa BK ke tempat yang selamat yang dikendalikan oleh Pejabat Kanak-kanak dan Wanita. BK juga dibawa membuat laporan polis mengenai tindakan bapanya supaya dipenjarakan.

Trauma dahsyat

Menurut Pyakurel, BK berdepan situasi trauma yang dahsyat iaitu memiliki perasaan tidak berdaya dan tidak mempunyai tempat tinggal sejak gempa bumi itu. Ia ditambah lagi dengan penderaan yang dilakukan oleh bapanya hampir seumur hidupnya. "Jadi, apabila dia berada di rumah ini, dia berasa selamat," katanya.

Bangkit Kembali

Bagi BK, apa yang memulihkan perasaan trauma dihadapinya ialah apabila dijaga oleh profesional terlatih dalam petolongan psikososial yang membolehkan beliau menceritakan trauma dihadapinya.

Bantu wanita

Kini, BK sudah menjumpai kembali kekuatannya untuk bersuara dan bersikap lebih tegas. Beliau ingin kembali ke kampung halamannya dan membantu wanita menghadapi situasi berkenaan.

"Saya tidak pernah menamatkan pengajian tetapi mahu membantu wanita di kampung saya untuk kuat menentang apa yang berlaku. Saya ingin memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan dan bantuan akan sampai apabila mereka benar-benar memerlukan," katanya.

Sumber : BH...
Penulis : Saadiah Ismail...

No comments:

Post a Comment