Pages

Tuesday, December 29, 2015

GUANTANAMO MEMBAWA TERRY KEPADA ISLAM...

Siapa yang tidak tahu dengan Teluk Guatanamo di Cuba? Pastinya bagi yang sering mengikuti perkembangan dunia Islam mengenali dengan jelas tempat ini. Di sinilah berdirinya bangunan penjara yang sangat mengerikan dengan penjagaan yang begitu ketat dan terkawal.

Bangunan yang dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) bertujuan memenjarakan para tokoh dan mujahidin Islam yang dianggap sebagai manusia paling berbahaya di dunia sebagai pengganas.

Sebahagian besar daripada tahanan di penjara ini adalah Muslim, dengan latar belakang yang pelbagai berasal dari Negara Iraq dan Afghanistan serta kepulauan Arab. Di penjara ini jugalah dunia telah dikejutkan dengan pelbagai kisah penyeksaan, penghinaan, pembunuhan dan pelbagai lagi bentuk kezaliman yang dilakukan terhadap banduan-banduan hanya kerana mereka membawa satu identiti... Islam.

Mereka yang menjadi penghuni di dalam bangunan ini dipandang jijik, dihina dengan layanan melangkau fitrah seorang manusia hatta sekalipun seekor haiwan. Itulah nasib yang diterima oleh mereka yang bergelar banduan di penjara ini.

Walaupun begitu, mujur sebahagian besar masyarakat dunia memandang dengan reaksi negatif kewujudan penjara Guatanamo. Tuntutan agar penjara ini ditutup mengalir deras terhadap kerajaan AS sehingga Presiden AS, Barrack Obama menyambut baik tuntutan tersebut.

Sekalipun dilingkari dengan kisah-kisah yang jelik dan pahit dari penjara tersebut, namun masih terdapat lagi beberapa kisah indah yang menjadi penawar bagi umat Islam. Kisah yang berlaku terhadap salah seorang pengawal penjara, Terry Holdbrooks menjadi satu yang bermakna pada dirinya.

Kehidupan para tahanan banduan dalam penjara itu sememangnya memberi kesan dan pengaruh yang besar dalam hidup Terry yang pada mulanya hidup terumbang-ambing, sementalah lagi kedua-dua ibu bapanya yang berpisah sejak dia berusia tujuh tahun.

Dilahirkan di Phoenix, Arizona iaitu salah sebuah negeri di Amerika Syarikat dan terkenal dengan gurunnya pada 32 tahun yang lalu, dia sama sekali tidak pernah mendengar tentang Islam. Apatah lagi mengetahuinya sebagai sebuah agama.

Ini kerana dia tidak pernah kenal tentang kewujudan tuhan selama membesar di sana. Kehidupan junkies yang dilaluinya saban waktu telah membawanya kepada dunia yang penuh dengan maksiat.

Memasuki usia dewasa seusai pendidikan menengah, dia memohon kerja sebagai tentera kerana timbul kesedaran untuk berubah. Akhirnya dia diterima menyertai badan beruniform tersebut tetapi ditugaskan ke Guatanamo pada tahun 2003. Ketika itu usianya baru 19 tahun.

Walaupun itu merupakan tugasan yang pertama sebagai tentera, Terry tetap menerimanya sekalipun tahu tempat tersebut merupakan tempat paling berbahaya kerana dihuni oleh manusia paling buruk di antara yang terburuk.

Hal ini disebabkan dia sebelumnya telah menyaksikan rakaman video peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan umat Islam membuat serangan terhadap bangunan World Trade Center.

Dia juga turut berasakan di penjara itu nanti akan bertemu dengan orang-orang yang AS anggap sebagai musuh yang kejam dan berbahaya. Di benak fikirannya hanya satu, dia pasti bertemu dengan pemandu Osama bin Laden, jurumasaknya serta orang-orang yang akan membunuhnya jika mereka punyai peluang dan kesempatan.

GUANTANAMO AKU DATANG...

Sampai sahaja di Guatanamo, seribu pertanyaan dan persoalan berlegar di benak fikirannya. Ketika itu buat pertama kalinya, dia bertemu dengan seorang tahanan yang usianya baru menjangkau usia 16 tahun. Tahanan tersebut menyatakan bahawa dia sama sekali tidak pernah melihat laut dan tidak pun mengetahui yang bumi ini berbentuk bulat. Lalu timbul persoalan adakah anak muda itu tahu tentang rencana dunia gagasan pemerintah As iaitu 'War of Terror' (gerakan global memerangi pengganas).

Daripada persoalan kecil yang timbul itu akhirnya membawa satu perubahan yang besar dalam hidupnya. Perlahan-lahan dia Cuba mengenali Islam yang mula bercambah dalam jiwanya. Ketika para pengawal lain menyibukkan diri dengan alkohol dan gambar porno, Terry banyak memanfaatkan waktunya untuk berinteraksi dengan tahanan yang selama ini dianggap oleh pemerintah AS sebagai pengganas.

Dengan bermodalkan senyuman, membuatnya cepat ramah dengan warga penghuni Guatanamo hingga dia dikenal sebagai pengawal yang baik. Terry mula membicarakan soal latar belakang politik, etnik, moral, agama dan juga budaya mereka. Hasil daripada diskusi itu memberinya banyak pencerahan. Dan daripada para warga Guatanamo inilah, dia mulai mendapatkan informasi tentang Islam secara mendalam.

Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan dia mengalami kejutan budaya kerana selama ini dia tidak tahu sama sekali tentang Islam apatah lagi konsep ketuhanan.

Setahun sebagai pengawal penjara ia telah mengubah hidupnya secara total. Satu malam, Terry memberanikan diri berjumpa dengan jeneral penjara buat kali kedua menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.

Terry tidak puas hati kerana pertemuan pertamanya dengan jeneral penjara, hasratnya ditolak mentah-mentah. Namun untuk kali kedua, dia mahu berbicara panjang lebar.

"Dengar adik! Adakah awak faham perkara ini akan mengubah keseluruhan hidup awak? Awak tidak boleh lagi minum arak, merokok dan makan babi. Melakukan persetubuhan di luar nikah, serta menonton porno. Awak kena belajar bahasa Arab, perlu solat lima kali sehari, belajar agama dan perlu ikut segala yang disuruh Allah. Bukan itu sahaja, awak tidak boleh lagi bersama kami di sini, rakan dan keluarga awak pasti akan membenci dan hidup awak akan susah," amaran Jeneral.

Suatu petang pada 29 Disember 2003, setelah hampir setahun mengkaji dan memahami tentang Islam, dia akhirnya membulat tekad dengan membuat satu keputusan yang sangat besar mengucapkan syahadah. Dengan disaksikan beberapa orang rakan, Terry akhirnya kembali kepada fitrah seorang manusia.


Seorang tahanan yang menjadi mentornya selama di sana telah memimpin upacara sederhana pengucapan syahadahnya. Lantas dengan ucapannya itu dia memutuskan untuk tidak lagi melakukan segala jenis maksiat termasuk kebiasaannya mengambil minuman keras yang selama ini menjadi rutinnya.

Terry berasakan ia seperti lahir kembali seusai kalimah syahadah meniti di bibir. Dengan pengislamannya, maka dia menukar namanya kepada Mustafa Abdullah. Baginya sesuatu itu tidak mudah buatnya, apalagi untuk mendirikan solat lima waktu di penjara Guatanamo. Namun begitu ia tidak membuatnya menyerah bahkan bertambah mantap untuk tetap kukuh berada dalam Islam.

Sesaat dia merasa dirinya terlalu kerdil di hadapan tahanan Guatanamo. Lantas hatinya berbisik, selama aku bergelar pengawal penjara, berasa malu bertimpa-timpa.

Walaupun tubuh mereka berada di balik jeriji besi, akan tetapi sebenarnya para tahanan itu jiwanya jauh lebih merdeka dariku. Aku ni fizikalnya bebas tetapi jiwa terpenjara dengan peraturan tentera. Sampai bila...?"


Terry bergambar bersama isteri tercinta...

Pada musim panas tahun 2004, Terry berasakan dirinya tidak lagi sesuai untuk berada di Guatanamo lalu meninggalkan tempat tersebut dengan berhenti sebagai tentera. Kini dia sudah pun berkahwin dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Teologi Islam. Harapan dan tekadnya hanya satu semoga satu masa nanti Amerika akan menjadi lebih baik dan menjadi pemangkin kepada sinar Islam.

Sumber : Al Islam
Susunan : Mohd Azrin Wahid

No comments:

Post a Comment