Pages

Monday, August 29, 2016

10 TIPS TINGKATKAN KUALITI ORGAN REPRODUKTIF LELAKI...

Gambar hiasan...

Ramai kalangan lelaki menyangka kemampuan mereka bersetubuh sebagai pengukur kepada kesuburan. Ramai juga yang tidak peka terhadap tahap kesuburan sehinggalah mereka berhadapan dengan masaalah seperti tidak dapat menghamilkan isteri. Lebih menakutkan jika golongan lelaki ini terus tunduk dengan keegoan dengan menuduh isterilah yang mandul tanpa menyedari kelemahan diri sendiri sebagai punca utama. 

Masalah kesuburan yang berpunca daripada lelaki ialah kegagalan melakukan seks penetratif dan kemampuan ejakulasi. Tanpa ejakulasi, air mani tidak dapat masuk ke dalam faraj dan sperma tidak dapat bertemu telur. Air mani ialah campuran cecair dari pundi prostat, pundi seminal, pundi cowpers, pepundi dalam salur kencing, cecair dari pundi epididimis dan sperma dari kilang sperma.

Selain ejakulasi, faktor yang perlu diambil kira ialah air mani mengandungi sperma, bilangan sperma mencukupi dan sperma aktif serta berbentuk normal. Buah zakar yang sihat mampu menghasilkan 70 ribu sperma seminit atau 200-300 juta sperma dalam 24 jam.

Jika lelaki itu mempunyai bilangan sperma yang kurang, ini petanda masalah kepada kilang spermanya. Mereka perlu melakukan pemeriksaan buah zakar dan mengukurnya dengan alat pengukur Orkodometer untuk menyukat isi padu buah zakar. Jika saiz kurang daripada 10 mililiter, kemungkinan kilang tidak aktif.

Selain itu, pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti jika salur ven berpintal atau varikosel yang boleh menyebabkan kilang terdedah kepada kepanasan dan bahan toksik akibat kemendapan darah.

Rawatannya ialah dengan mengikat salur ven yang berpintal. Jika isi padu buah zakar normal, ujian susulan, termasuk ujian hormon kesuburan, perlu dilakukan. Jika hormon kesuburan rendah atau rendah tapi dalam lingkungan normal, ubat penyubur akan diberi dan tiga bulan kemudian ujian air mani diulangi untuk mengenal pasti keberkesanan rawatan.

Berikut adalah tip yang dapat membantu meningkatkan isipadu air mani iaitu:.....

I.  Jangan kerap bersetubuh kerana lebih acap anda mencapai ejakulasi, isi padu air mani makin berkurangan dan cair. Ejakulasi selang tiga hari, air mani lebih mantap.

2.  Elak tabiat merokok dan minum minuman keras. Kedua-dua perkara itu merendahkan tahap hormon testosteron yang mustahak untuk fungsi optimum pundi yang menghasilkan air mani.

3.  Lakukan senaman secara berkala. Lakukan senaman kegel atau kemut, iaitu mencengkam otot lantai pelvis atau otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing.

4.  Makan makanan berkhasiat yang mengandungi kurang lemak, tinggi khasiat protein, sayur-sayuran dan kekacang. Semua itu sesuai untuk kesihatan sperma dan kandungan air mani. Kurangkan makanan pedas dan berempah.

5.  Elakkan buah zakar terdedah kepada kepanasan. Kepanasan menjejaskan kilang sperma. Pakai seluar dalam longgar seperti seluar pendek boxer' dan elakkan mandi sauna atau merendam badan dalam air panas.

6.  Kurangkan berat badan jika didapati meningkat. Peningkatan lemak perut mengganggu kestabilan hormon testosteron.

7. Belajar mengurus tahap tekanan secara positif melalui yoga dan bortakafur kerana tekanan memberi kesan negatif kepada kesihatan badan.

8.  Dapatkan urutan badan yang menyegarkan supaya otot selesa dan badan tenang serta mudah berinteraksi secara seksual dan memberi is padu air mani yang lebih.

9.  Makan makanan tambahan dan herba yang dapat membantu meningkatkan isi padu air mani dan bilangan sperma. Kekacang membantu meningkatkan sperma manakala zink dapat memantapkan kilang sperma.

10. Lakukan hubungan seksual sebelah pagi atau petang kerana ketika itu mudah mengalami pemanasan yang dapat membina kecergasan pundi yang menghasilkan air mani. Jika lakukan seks sebelah malam, tahap keaktifan badan menurun dan rangsangan kurang, jadi pengeluaran air mani juga kurang.

KEBURUKAN CARA PEMAKANAN MODEN...

Gambar hiasan...

Gaya hidup manusia moden pada masa ini yang banyak mengambil makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan ringan dan makanan segera serta kurang melakukan senaman boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kronik serta masalah obesiti di kalangan masyarakat.

Jika kita lihat dari aspek perkembangan manusia sejak ratusan ribu tahun dahulu, manusia pada zaman itu mencari makanan secara semula jadi yang berunsur kepada tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan yang diburu atau diternak. Makanan manusia zaman dahulu sangat kaya dengan nutrien- nutrien penting yang membolehkan mereka hidup dengan sihat.

Sebagai contoh, masyarakat yang tinggal di Lembah Hunza yang berdekatan dengan Afghanistan boleh hidup sehingga usia 120 tahun dan ke atas. Diet mereka ialah dengan memakan makanan organik seperti bijirin, buah-buahan, yogurt dan sedikit daging. Selain itu, kajian juga mendapati ramai orang-orang Jepun di Okinawa yang mengamalkan diet seimbang yang berasaskan sayuran dan makanan laut seperti ikan mampu mencapai usia 100 tahun.

Sejak abad ke-20, manusia mula mengambil banyak bahan-bahan bijirin yang diproses seperti tepung gandum putih, nasi putih dan makanan yang diproses dari sumber itu seperti roti putih, kek dan sebagainya.

Bahan yang telah diproses ini mengandungi kandungan glukosa yang tinggi dan seterusnya boleh meningkatkan kandungan glukosa tinggi dan memerlukan hormon insulin yang banyak untuk menyeimbangkan kandungan glukosa di dalam darah. Akibatnya pengeluaran insulin menjadi kelam-kabut dan tidak teratur, seterusnya menyebabkan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser. 

Penghasilan insulin daripada pankreas...

Hormon insulin manusia dihasilkan oleh pankreas iaitu salah satu organ terpenting di dalam tubuh badan manusia. Karbohidrat yang diambil oleh kita boleh menyebabkan pankreas terpaksa bekerja keras untuk mengeluarkan insulin bagi menyeimbangkan kandungan gula di dalam darah manusia.

Jika keadaan ini berterusan untuk satu tempoh yang agak lama, pankreas akan mengalami kehausan dan seterusnya penyakit kencing manis akan terjadi akibat tingginya peratusan gula di dalam darah. Diet manusia moden sekarang adalah amat berbeza dengan manusia pada zaman dahulu kerana kandungan karbohidrat yang diproses amat tinggi. Semakin banyak jumlah karbohidrat yang telah diproses di dalam tubuh badan semakin banyak jumlah insulin yang diperlukan oleh tubuh badan.

Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah dengan cara mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi serta mengamalkan pemakanan yang seimbang kerana karbohidrat dicernakan menjadi gula dengan pantas di dalam darah dan menyebabkan pankreas terpaksa bekerja keras untuk mengeluarkan insulin dalam kuantiti yang banyak.

Lemak di dalam makanan...

Makanan moden pada masa ini banyak yang mengandungi lemak tepu yang tinggi yang boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh badan jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Ramai kalangan kita yang menggemari makanan yang mengandungi lemak yang tinggi tanpa mengendahkan keburukannya kepada tubuh badan, Pengambilan lemak tepu di dalam makanan ini seharusnya dikawal kerana ia boleh menyebabkan penyumbatan salur darah. Bagi memastikan kelancaran salur darah, makanan yang mengandungi lemak yang tepu seharusnya dikawal.

Walau bagaimanapun tidak semua jenis lemak memberikan kesan negatif kepada tubuh badan kita. Pengambilan minyak dari jenis cecair seperti minyak kelapa dara, minyak sawit, minyak bunga matahari, minyak zaitun dan sebagainya adalah baik untuk kesihatan jantung.

Diet seimbang...

Diet yang seimbang amat perlu agar seseorang itu mampu hidup dengan sihat dan menghadapi kehidupan dengan gembira. Pengambilan makanan yang seimbang boleh dilakukan dengan mengambil kombinasi makanan yang mengandungi lemak, karbohidrat dan protein secara sama rata. Pengambilan diet makanan yang mengandungi lemak dari jenis cecair dan karbohidrat yang mudah dihadam adalah pilihan yang amat baik untuk diet yang seimbang.

Selain daripada itu kita juga perlu mengamalkan gaya hidup keseluruhan yang sihat untuk mencapai kesihatan dan kesejahteraan yang optimum iaitu dengan meminum air yang cukup iaitu sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas sehari, bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan cara senaman aerobik, joging, berjalan kaki, berenang dan sebagainya. Senaman akan meningkatkan kadar metabolisme dan membantu tulang, sendi dan otot sentiasa dalam keadaan yang sihat. Kita juga perlu menghindarkan amalan-amalan yang tidak sihat seperti merokok, meminum minuman beralkohol dan terlalu banyak terdedah kepada pancaran ultralembayung matahari.

Artikel ini ditulis oleh :

Thursday, August 25, 2016

PENANGAN JAMPI DARA SUNTI...

Gambar hiasan...

Amran kacak dan bergaya. Penampilannya segak. Berjawatan sebagai Ketua Balai Polis, menjadikan dia lelaki yang digilai. Sedar dirinya menjadi pujaan ramai wanita, Amran selalu mempertahankan setianya. Dia sangat menyayangi isteri dan lima orang anaknya.

Dalam ramai-ramai anggota polis wanita, ada seorang bernama Julia yang sangat suka pada Amran. Julia memiliki personaliti menarik. Dia cantik dan periang. Walau sering digoda lelaki, hati Julia sudah terpaut pada Amran. Walaupun cintanya tidak bersambut, Julia tetap mahukan Amran.

Personaliti Amran yang tidak suka bersosial, cabaran buat Julia. Nyata lelaki itu sukar didekati. Julia hampir putus asa. Akhirnya Julia mengambil jalan singkat. Dia menemui seorang pawang untuk mendapatkan minyak pengasih. Minyak pengasih untuk mengikat kasih Amran. Minyak pengasih dari dagu anak dara sunti yang ajal dalam kemalangan.

Terngiang-ngiang di telinga Julia pesan pawang. "Jika mahu minyak ini berkesan, masukkan setitis demi setitis ke dalam minuman lelaki itu. Sedikit demi sedikit dia akan melupakan orang yang lekat di hatinya."

Sejak itu, Julia rajin membuatkan kopi untuk semua pekerja di balai. Kopi untuk Amran paling istimewa. Julia berjaya melaksanakan misinya setelah Amran memberikan respons.

Sarina, isteri Amran, merasakan ada yang tidak kena pada suaminya. Dulu, jika tidak bertugas, Amran akan menghabiskan masa bermain dengan anak-anak. Kini, jangankan bermain, pantang anak buat silap sikit, teruk mereka dimarahi Amran. Pada Sarina pula, Amran bagaikan tidak mahu memandang wajahnya. Ada-ada saja punca yang menjadi perbalahan mereka.

Sarina mengesyaki suaminya bermain kayu tiga. Dia kepingin tahu siapakah yang telah membuatkan suaminya berubah hati. Segal-galanya menjadi mudah apabila Amran tertinggal telefon bimbitnya. Beberapa mesej daripada Julia membongkar cerita.

Suatu malam, tidur Sarina terganggu kerana diseru. Sekilas, Sarina melihat bayangan lembaga hitam berambut panjang. Lembaga itu bagaikan memberi amaran supaya Sarina menjauhkan diri daripada Amran.

Menyedari sesuatu yang buruk, Sarina segera mengajak Amran bertemu Pak Kamil, lelaki tua yang tinggi amalannya. Dalam perjalanan ke rumah Pak Kamil, tayar kereta dipandu Amran pancit. Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan cakaran pada tayar keretanya. Kerosakannya teruk. Selain itu, Amran dan Sarina juga mendengar suara mengilai wanita.

Menurut Pak Kamil, ada pihak yang tidak suka dengan menghantar hantu raya untuk menakut- nakutkan mereka. Tahulah Amran, selama ini ada orang sudah mengenakannya. Tidak mahu membiarkan diri terus hanyut dengan permainan halus itu, Amran minta dirawat. Dengan bantuan Pak Kamil, Amran berjaya dipulihkan.

Sementara Julia telah dimasukkan ke wad sakit mental kerana menangis dan ketawa tanpa sebab. Julia juga sering ketakutan kerana dakwanya ada lembaga hitam mengekori dan mahu mencekiknya.

Dipetik dari Mingguan Wanita 8/2015

Sunday, August 21, 2016

PERISTIWA ANEH DI TANAH PERKUBURAN...

Gambar hiasan...

Pagi itu hujan turun renyai-renyai. Kedinginan suasana mencengkam hingga ke tulang. Kelihatan susuk tubuh terbongkok-bongkok memikul cangkul di sebuah tanah perkuburan.

Dalam usia menginjak senja, Pak Mat masih lagi bertenaga meneruskan pekerjaannya sebagai penggali kubur. 

“Ada dua buah kubur sahaja lagi yang perlu disiapkan. Sempat rasanya ni," bisik Pak Mat di dalam hati.

Bertemankan lampu minyak tanah, Pak Mat meneruskan kerja-kerjanya tanpa bantuan dari sesiapapun. Lebih kurang setengah jam menggali, hidung Pak Mat disaji dengan bauan yang cukup harum. Sudah tiga hari dia mengalami peristiwa tersebut namun tetap tidak diendahkan. Baginya semua itu adalah perkara biasa yang harus dilalui oleh seorang penggali kubur sepertinya.

Jam di tangan menunjukkan waktu 4:30 pagi. Biarpun kepenatan namun Pak Mat berpuas hati kerana berjaya menyiapkan kerjanya lebih awal dari yang diingini. Dia merenung lubang kubur yang telah digali. Masih ada yang perlu dikemaskini, bisiknya di dalam hati. Dia berkira-kira untuk pulang ke rumah dahulu sebelum menyambung kerjanya kembali. Lagipun, dia telah dimaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor nanti.

Perjalanan pulang ke rumah cukup memenatkan. Mujurlah ada Hafiz, anak muda kampung yang sudi menumpangkannya. Dia sajalah yang boleh diharapkan berbanding yang lain. Meskipun tiada ikatan persaudaraan namun Hafiz sangat mengambil berat akan dirinya yang hidup sebatang kara.

"Lambat balik hari ni Pak Mat. Banyak ke kubur yang perlu di gali? Kalau sakit janganlah paksa diri. Rehat sahaja di rumah. Bila dah sihat, barulah kerja semula. Lagipun buat apa nak menyusahkan diri, pencen Pak Mat kan ada lagi. Gunakanlah. Rasanya cukup untuk menampung perbelanjaan sehari-hari," nasihat Hafiz bersungguh-sungguh.

Prasangka buruk...

Pak Mat mengangguk lemah. Tak kuasa dia mendengar kata-kata tersebut lagipun boleh dikatakan hampir setiap hari dia dihidangkan dengan nasihat yang sama. Fikirannya menerawang ke tempat lain. Kejadian yang berlaku di tanah perkuburan pagi tadi masih segar di ingatan.

"Bau apalah yang mengganggu aku pagi tadi. Wanginya lain benar. Rasanya sepanjang menjadi penggali kubur tak pernah aku terhidu bau macam tu. Mungkin orang baik-baik yang nak meninggal agaknya," bisik Pak Mat sendirian.

Lamunan terhenti seketika tatkala kereta Hafiz tiba di hadapan rumahnya. Selepas berjabat tangan dia kemudiannya menghulurkan empat keping not RM50 kepada Pak Mat untuk dibuat belanja.

"Duit apa pula ni Hafiz. Banyak sangat, lagipun aku tak suka berhutang dengan orang. Susah nak membayarnya nanti," ujar Pak Mat dengan wajah yang curiga.

"Saya tak suruh bayar pun. Pak Mat ambillah, buat belanja. Lagipun saya dah niat nak bagi, takkan nak buruk siku pula. Bukannya banyak, dua ratus ringgit je. Sekali-sekala buat amal jariah apa salahnya. Manalah tahu esok lusa meninggal dunia, ada juga pahala sedekah yang boleh dibawa bersama," jelas Hafiz dengan senyuman terukir di bibirnya.

Huluran wang diambil dengan wajah yang keliru. Pak Mat berbisik sendiri di dalam hati. Tidak pernah Hafiz berkelakuan begitu. Biasanya jumlah wang yang diberi tidaklah sebanyak yang diterima hari ini. Wajahnya juga kelihatan berbeza dari hari-hari sebelumnya. Situasi yang berlaku pada Hafiz mengundang seribu satu macam kemusykilan di hatinya. Prasangka buruk yang menerjah mindanya segera dibuang jauh-jauh. "Mungkin perasaanku sahaja," pujuk Pak Mat.

Merungkai persoalan...

Akibat kepenatan, Pak Mat terlepas sesi pengebumian. Sedar-sedar sahaja jam sudah menunjukkan ke angka tiga. Selesai membersihkan diri dan menunaikan kewajipan pada Ilahi, Pak Mat bergegas keluar menuju ke kedai Pak Mail. Dia perlu mendapatkan jawapan siapa yang telah dikebumikan. Setibanya di sana, kelihatan Osman, Madi dan Zainal sedang rancak berborak. Perlahan-lahan Pak Mat menghampiri kumpulan berkenaan bagi merungkai satu demi satu persoalan yang terbeban di fikiran.

"Kau tak tahu ke Mat. Satu kampung dah heboh kau baru nak tanya aku hari ini. Yang meninggal tadi Hafiz; anak Hassan yang duduk kat hujung kampung ni," jelas Madi sambil tangannya rancak menunjuk ke sana sini.

"Kau jangan main-main Madi. Aku baru tumpang kereta dia pagi tadi. Elok je kami bersembang. Tak nampak pula macam orang sakit," ujar Pak Mat tegas.

"Takkan aku nak tipu soal hidup mati ni Mat. Kalau kau tak percaya tanyalah Zaidi, Osman dan Bakar. Mereka semua ada masa jenazah dikapankan. Warisnya kata dia meninggal lepas solat Subuh, atas tikar Sembahyang. Bersih je wajahnya Mat. Sejuk mata aku melihatnya," cerita Madi sungguh-sungguh.

Pak Mat termenung seketika. Kemusykilan yang dihadapi bertambah lagi dan kali ini dia semakin tertanya-tanya siapa yang berbicara dan menumpangkannya balik pagi tadi. Tiba-tiba dia teringat akan duit RM200 ringgit yang diterima dari Hafiz. Dengan penuh debaran, Pak Mat menyeluk poket seluar. Paling mengejutkan wang itu masih ada. "Benarkah yang aku temui tadi Hafiz, tapi," persoalan itu tak dapat diteruskan oleh Pak Mat.

Sumber : Mingguan Wanita 9/08

Wednesday, August 17, 2016

NAJIS DADAH HANCURKAN KEBAHAGIAAN...

Gambar hiasan...

Selepas ibu dan ayahnya bercerai, hidup Azli seperti layang-layang putus tali. Dia tidak tentu arah, sukar bagi Azli menerima kenyataan ini. Tambahan pula selepas bercerai, Azli tinggal bersama ayah dan ibu tirinya. Sikap ibu tiri yang suka mendera perasaan membuatkan Azli tidak betah duduk di rumah.

Selepas tamat sekolah aku melepak dengan teman-teman, di sinilah aku mengenal rokok. Mulanya sekadar suka-suka dan mahu melepaskan tekanan namun di sini aku temui keseronokan. Dari rokok, aku berjinak-jinak pula dengan dadah. Deritaku lenyap seketika tatkala khayal akibat pengaruh dadah. Begitulah hidupku sehingga tamat sekolah.

Aktiviti tidak sihat ini masih terbatas kerana aku tidak mempunyai wang untuk membeli dadah dalam kuantiti banyak. Namun selepas bekerja, aku semakin menjadi-jadi. Aku mengalami ketagihan yang agak teruk. Semua ini akhirnya dihidu oleh ayah. Akibatnya aku dihantar ke pusat pemulihan swasta dengan harapan aku dapat sembuh daripada ketagihan.

Siapa sangka di sinilah aku mengenali Amira, gadis yang turut mengalami masalah sama seperti aku. Melihat wajahnya saja, hatiku sudah terpikat. Rupa-rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Dia juga menyukaiku. Kami saling jatuh cinta dan setelah mendapat restu keluarga, kami berkahwin setelah keluar dari pusat pemulihan.

Aku berjanji pada Amira untuk meninggalkan najis dadah, begitu juga dia. Kami mahu melupakan episod duka dalam hidup kami, sebaliknya mahu membina kehidupan yang lebih baik. Biarlah yang lalu menjadi kenangan dalam hidup kami. la adalah panduan buat aku dan Amira memperbaiki diri untuk menempuh kehidupan baru.

Perkahwinan kami sangat membahagiakan. Amira benar-benar menepati janjinya untuk berubah. Amira berusaha menjadi isteri solehah. Melihatkan kesungguhannya, aku juga bertekad mahu berubah menjadi yang terbaik buat wanita yang aku cintai.

Namun janji hanya tinggal janji. Sukar untuk aku memisahkan diri dengan dadah. Aku hanya mampu mengawal diriku seketika sahaja. Begitu kuat penangan dadah hingga sukar untuk aku melupakannya.

Lepas Gian...

Tanpa pengetahuan Amira aku kembali bergaul dengan teman-teman jalanan. Aku sering memberi alasan membuat kerja sambilan sedangkan aku asyik melepaskan gian dengan teman-teman.

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Amira mengetahui perbuatan terkutuk yang aku lakukan bersama teman-teman. Dia bersabar dan mengawal emosi walaupun aku tahu dia begitu marah kepadaku. Aku berjanji kepadanya untuk berubah.

Semenjak itu Amira memantau pergaulanku kerana dia tidak mahu aku kembali menagih. Katanya, jika dia boleh melakukannya, aku juga boleh. Langkah pertama yang aku lakukan dengan menjauhkan diri daripada teman-temanku. Seharusnya sejak dahulu lagi aku menjauhi mereka yang boleh menghancurkan hidupku tetapi nyata aku salah membuat perhitungan.

Tapi diriku sendiri masih gagal mengawal nafsu. Ketika Amira keluar bekerja, aku mengambil cuti semata-mata untuk melepaskan gian sendirian di rumah. Walaupun pelbagai cara aku lakukan untuk menutup perbuatanku tetapi benarlah, masakan mungkin bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru. Kegiatanku ini tetap dapat juga dihidu Amira. Inilah kali pertama aku melihat air mata jatuh ke pipinya. Mungkin sukar baginya menerima keadaanku. Hatinya terluka kerana ditipu berkali-kali.

Amira memintaku membuat pilihan sama ada aku meninggalkan dadah atau kami bercerai. Mana mungkin aku lepaskan wanita yang amat aku sayangi. Demi Amira, aku kembali mendaftarkan diri ke pusat pemulihan dadah.

Mohon Cerai...

Aku muhasabah diri dan berdoa agar berubah. Walaupun sudah puas aku berusaha namun aku masih gagal mengawal diri. Sukar benar untuk aku memisahkan diri daripada dadah. Banyak kaedah dan terapi telah aku lakukan demi membuktikan cinta aku kepada Amira tetapi nyata najis yang telah terpalit pada tubuhku ini sukar untuk dijauhi.

Kecewa dengan diriku, Amira tekad memohon cerai. Aku enggan melepaskan Amira namun dia sudah tidak sanggup hidup denganku. Kata Amira aku bagaikan mayat hidup. Dia tidak mahu membina masa depan dengan lelaki sepertiku.

Malah Amira tidak mahu mempunyai anak dengan aku. Sungguh, aku merasa sangat sedih mendengar butir bicara yang terbit daripada mulut wanita yang amat aku sayangi.

Walaupun perit, aku terpaksa melepaskan Amira. Semangatku semakin goyah menyebabkan aku kembali ke jalanan menagih dadah. Kali ini lebih teruk penangannya. Dek dadah, aku menjadi gelandangan. Di mana sahaja aku boleh tidur untuk merebahkan badan. Aku lupa aku masih punya keluarga. Dalam diam, aku diperhatikan seorang wanita tua yang wajahnya seperti ku kenali. Seperti aku amat mengenalinya tetapi aku kurang pasti sama ada tekaanku benar.

Saat wanita ini menyentuh tanganku, air matanya mengalir laju. Benar ya Allah, wanita ini ibuku yang telah sekian lama terpisah. Selepas bercerai, ibu membawa diri ke selatan. Dia menangis tersedu-sedu melihat keadaan diriku. Aku malu bertemu dengan ibu dalam keadaan begini.

Ibu tidak merasa jijik denganku. Dia memelukku dan kemudian mengajakku pulang ke kampungnya. Aku mengikut ibu tanpa banyak bicara.

Di kampung, aku dirawat secara tradisional oleh pengamal perubatan. Dia menggunakan herba dan latihan fizikal untuk memulihkan kesihatanku dan mengatasi masalah ketagihan yang aku alami. Ternyata sukarnya untuk aku pulih. Aku berlawan dengan perasaanku sendiri.

Tekad Berubah...

Syukur kepada Allah, selepas tiga bulan aku kembali menjalani hidup seperti insan normal yang lain. Ibu, insan yang paling gembira, malah dia bersyukur melihatkan perubahan diriku. Kali ini aku bertekad menjadi anak yang membahagiakan ibu. Atas saranan ibu, aku juga menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi awam.

Berkat usaha dan doa ibu, aku menjadi insan yang berjaya. Belum sempat aku membalas jasa ibu, wanita ini kembali ke rahmatullah. Aku berasa sangat sedih namun aku berjanji dengan diri tidak sesekali menyentuh najis itu lagi.

Hari ini genap setahun ibu meninggal dunia, aku juga sudah empat tahun bergelar duda. Entah mengapa hati ini begitu merindui Amira. Aku mencarinya, teringin sekali aku menatap wajahnya. Tidak sukar aku menjejakinya kerana dia masih menetap di kawasan tempat tinggal lama kami. Namun aku tidak berani bertentang mata dengannya. Aku hanya mampu melihat bekas isteriku dari jauh.

Pada wajahnya terpancar kebahagiaan. Penuh seri. Dia kini bahagia bersama suami baru, malah lebih mencuit hatiku apabila mengetahui Amira juga sudah menjadi ibu. Aku tumpang gembira melihat bekas isteriku bahagia.

Bukan salah Amira tetapi aku yang bersalah kerana gagal menjadi suami soleh. Aku masih sendirian meneruskan sisa hidup ini. Hatiku tertutup rapat, bukan serik tetapi aku belum temui wanita yang dapat membuka pintu hatiku.

Dipetik dari Mingguan Wanita 7/2015...

Tuesday, August 16, 2016

SESAT JALAN TANPA PENGHUJUNG...

Gambar hiasan...

Waktu malam memang ditunggu oleh Saleh. Sebaik sahaja habis kerja, dia akan terus bertemu dengan Kamal dan Ali, dua orang rakan baiknya sejak sekolah rendah lagi. Mereka bertiga memang akrab sejak kecil. Malam ini mereka berjanji untuk bertemu setelah seminggu tidak berjumpa.

Walaupun masing-masing mempunyai kerja yang berbeza di pekan tempat mereka dilahirkan, namun apabila ada masa terutamanya pada waktu malam mereka akan berjumpa. Malam ini mereka berjanji untuk bertemu di pusat karaoke.

Walaupun pekan kecil tempat tinggal Saleh hanya memiliki sebuah pusat karaoke tetapi itu tidak pernah menghalang Saleh keluar bergembira bersama rakan-rakannya. Dia tidak kisah walaupun terpaksa menghabiskan lebih separuh daripada gajinya untuk berbelanja ketika mengunjungi pusat karaoke itu.

Sebelum Maghrib, Saleh sudah bersiap sedia untuk keluar rumah. Belum sempat azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan, Saleh sudah tergesa-gesa menunggang motor buruknya menuju ke pusat karaoke tersebut.

Tepat pukul 7.30 malam sudah pasti Saleh akan berada di pintu masuk pusat karaoke. Malah dia juga adalah orang yang paling awal antara mereka bertiga yang tiba di pusat karaoke. Tetapi pada malam tersebut Saleh merasakan perjalanan singkat dari rumahnya ke pusat karaoke seakan panjang daripada kebiasaannya.

Dia melalui jalan biasa tetapi jalan yang dilalui seperti tidak ada penghujungnya. Dipecutnya juga motor buruknya tetapi Saleh tetap tidak nampak jalan biasa ke pekannya. Sudah lebih 25 tahun Saleh berulang-alik dari rumahnya di kampung ke pekan sejauh tujuh kilometer, tetapi dia tidak pernah merasakan perjalanan itu jauh.

Puas dia melihat ke bahagian kiri dan kanan jalan bagi memastikan dia berada di jalan yang betul. Tetapi apa yang dilihatnya agak menghairankan. Dia yakin jalan yang sedang dilaluinya itu bukan jalan yang biasa yang selalu dilaluinya. Saleh berasa dirinya seperti berada di tempat yang tidak dikenalinya.

Di tepi jalan kawasan kampung memang dipenuhi hutan. Saleh selalu juga masuk hutan itu tetapi kali ini dia merasakan hutan di kiri kanannya bukanlah hutan yang biasa dimasukinya. Hutan ini lebih semak dengan pokok-pokok tinggi. Tanpa sebarang kenderaan yang melaluinya, kesunyian yang dirasakan Saleh memang berbeza dari hari-hari biasa.

Berpatah Semula…

Dipecutnya juga motor buruknya, namun dia tetap juga tidak dapat keluar dari jalan yang sedang dilaluinya itu. Hatinya mula kecut. Mulutnya cuba untuk membaca ayat-ayat al-Quran tetapi tidak ada satu pun ayat-ayat suci itu keluar daripada mulutnya. Saleh mula berpeluh ketakutan.

Apabila merasakan tidak ada jalan keluar, Saleh cuba berpatah balik semula ke rumahnya. Diikutnya jalan dia datang itu tadi tetapi setelah setengah jam dia menunggang, dia tetap tidak dapat menjumpai jalan pulang ke rumahnya. Dia berpatah semula dengan harapan dia dapat menuju semula ke pekan. Tetapi setelah setengah jam menunggang, dia tetap tidak dapat menjumpai jalan ke pekan.

Minyak motornya habis. Dengan hati yang berat dan penuh rasa takut, Saleh memberhentikan motornya di tepi jalan. Agak menyeramkan apabila terpaksa berhenti di tepi hutan tebal tetapi Sateh memberanikan diri kerana sudah tidak ada jalan lain.

Disebabkan tidak mahu berada di tepi hutan, Saleh menolak motor. Penat menolak, dia berhenti berehat. Begitulah yang dilakukan oleh Saleh sepanjang jalan yang gelap. Badannya penat tetapi setelah sejam dia tetap tidak dapat menjumpai jalan ke kampung mahu pun ke pekan.

Akibat keletihan akhirnya Saleh terduduk di tepi jalan, kemudian tertidur. Begitulah juga keadaan Saleh sewaktu ditemui oleh Kamal dan Ali yang mencarinya selepas mereka tidak bertemu di pusat karaoke seperti yang dijanjikan. Mereka menemui Saleh tidur bersebelahan motornya di tepi jalan berhampiran pekan pada keesokan harinya. Mereka hairan Saleh tidur di situ sedangkan pekan hanya satu kilometer sahaja lagi.

Terus mereka mengejutkan Saleh. Terkejut Saleh apabila melihat Kamal dan Ali berada di sisinya. Mulutnya tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur kerana bertemu mereka. Saleh terus mengajak Kamal dan Ali balik ke rumahnya.

Sejak dari hari itu, Saleh sudah tidak suka keluar pada waktu malam berseorangan. Dia hanya akan keluar malam jika Kamal dan Ali menjemputnya dahulu, kemudian barulah mereka keluar bersama

Dipetik dari Mingguan Wanita 7/2015...

Monday, August 15, 2016

PERHIASAN DIRI TEMPAT PERSEMBUNYIAN SAKA...

Gambar hiasan...

Setiap bulan Asfar akan ke rumah yang disewa oleh beberapa orang gadis yang terletak di pinggir ibu kota. Dia ke sana tiada lain hanya untuk mengutip sewa bulanan daripada mereka.

Mereka masih bergelar pelajar dan jika terlambat sehari dua, Asfar dan isterinya Mirah tidak pernah ambil kisah, janji mereka masih melunaskan pada bulan itu juga.

Setiap kali Asfar ke sana, ada seorang penyewa bernama Ina yang sering memberikan wang sewa kepadanya. Tapi setiap kali ke sana ada saja perkara yang diadu. Lama kelamaan, Asfar menjadi rapat dengannya. Mungkin kesilapan Asfar apabila menerima pelawaan Ina untuk keluar minum bersama.

Tanpa dia sedari, Ina sebenarnya ada menaruh hati terhadap dirinya. Pada hal Ina sendiri tahu pemilik rumahnya itu sudah ada isteri dan anak-anak Asfar langsung tidak sedar Ina ada menaruh hati terhadapnya.

Hari demi hari perhubungan mereka semakin intim. Asfar tidak menolak ajakan cinta yang dihulurkan Ina. Tanpa pengetahuan isterinya, Asfar menjalin hubungan dengan Ina. Bermula dari situ kehidupan bahagia Asfar mula bercelaru. Apabila sampai ke pengetahuan isteri, Asfar tidak mampu mengelak. Dia berterus terang bahawa dia mahu memperisterikan Ina. Dengan berat hati isterinya mengizinkan Asfar berkahwin demi mengelakkan suami tersayang terjebak dengan maksiat.

Tiga bulan berkahwin, Mirah isteri pertama Asfar dapat rasakan sesuatu yang pelik berlaku pada suaminya. Dia jarang pulang ke rumahnya dan jika pulang ada sahaja yang tidak kena hingga menjadi bahan pergaduhan. Paling memeranjatkan hampir licin wang simpanan Asfar. Duit gaji sering kali tidak mencukupi dan perbelanjaan anak-anak sudah semakin terabai. Asfar juga seperti menurut sahaja kata-kata Ina seolah-olah sudah 'diikat' oleh isteri mudanya itu.

Suatu malam, selepas solat tahajud, Mirah terlena di atas sejadahnya. Ketika itulah dia diberi petunjuk agar mengambil kembali Asfar daripada cengkaman Ina. Dia termimpikan Asfar dalam keadaan sengsara seolah-olah ada sesuatu yang mengikutnya ke mana sahaja Asfar pergi. Disebabkan itu jugalah jika pulang ke rumah Mirah, Asfar jadi tidak senang duduk dan mahu lekas pulang berjumpa Ina.

Ilmu Penunduk...

Terjaga daripada mimpi esoknya Mirah berjumpa seorang ustazah yang juga rakannya. Ustazah Ainon meminta Mirah membawa Asfar berjumpa dengannya.

Puas dipujuk akhirnya Asfar mahu mengikut Mirah kerana dia sendiri berasa tidak sihat sejak kebelakangan ini. Benar, dia 'dikunci' oleh Ina dan berkemungkinan isteri keduanya itu ada membela sesuatu untuk kepentingan diri sendirinya.

Ustazah Ainon meminta Asfar membawa Ina ke rumahnya agar mereka boleh terus bersemuka dengan Ina. Jenuh dipaksa Ina berkeras tidak mahu mengikut Asfar. Tetapi dengan izin Allah Asfar dan Mirah berjaya memaksa Ina berjumpa Ustazah Ainon.

Di situlah terurai segala-galanya. Rupa-rupanya barang kemas yang dipakai oleh Ina yang tidak pernah sekalipun dibukanya itu adalah tempat dia membela saka. Dia menggunakan 'benda halus' untuk menundukkan Asfar dan mengikis segala harta benda milik Asfar. Di hadapan Asfar dan Mirah, Ustazah Ainon meminta dia membuka perhiasan di badannya itu. Ina enggan membukanya lalu Asfar berkeras merentap rantai di leher Ina. Tapi tidak semena-mena Ina terus jatuh pengsan.

Dari situlah Ustazah Ainon dapat bercakap dengan saka yang menghuni badan Ina. Rupa-rupanya selama ini Asfar telah ditundukkan dengan jampi serapah Ina di dalam air minuman Asfar. Apabila mengetahui semua perkara itu, Asfar tidak mahu meneruskan perkahwinannya bersama Ina. Tidak sanggup untuk dia menggadaikan kebahagiaan hidupnya selama ini. Tetapi Ina tidak mahu mengalah. Dia 'menghantar' segala jenis peliharaannya itu untuk mengganggu Mirah hingga menyebabkan madunya itu tidak dapat berjalan. Namun kuasa Allah SWT melebihi segala gala.

Pun begitu Mirah tidak pernah mengalah pada semua perkara yang dilakukan sehinggalah Ina sendiri yang putus asa lantas menghilangkan diri tanpa khabar berita. Setelah beberapa lama, Mirah melakukan rawatan perubatan Islam akhirnya dia pulih. Tanpa Ina mereka meneruskan kehidupan dan kembali bahagia seperti sebelumnya.

Dipetik dari Mingguan Wanita 12/2014...

DIGANGGU MAKHLUK PELARIS RESTORAN...

Gambar hiasan...

Kepada mereka yang suka makan di luar, sila ambil iktibar dari kisah ini. 

Seperti kebiasaannya, selesai solat berjemaah di masjid, Sabri dan Amri akan pulang dan melewati taman permainan di hujung jalan menuju ke rumah. Dua orang pelajar universiti ini selalunya hanya berjalan kaki pergi dan pulang dari masjid. Tapi malam itu, mereka balik lambat kerana menjamu selera terlebih dahulu. Tanpa disangka, perjalanan pulang kali ini bukan mereka berdua, tetapi ditemani suatu entiti yang tidak dikenali.

Kebetulan, angin malam yang dingin membuatkan Sabri mempercepatkan langkah. Bukan kerana seram atau takut, sebaliknya dia memang terasa sejuk disapa angin lalu. Berlainan pula dengan Amri yang sejak berada di restoran sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Selera makannya terhenti, perasaannya seram sejuk dan bulu romanya merinding.

Sabri perasan ada sesuatu yang pelik dengan tingkah laku teman sebiliknya itu. Amri bukan sahaja tidak lalu makan, malah dia jadi pendiam. Sepatah ditanya, sepatah dijawabnya. Sabri bingung melihat keadaan Amri yang serba tak kena.

"Amri, engkau sakit ke? Kenapa senyap seribu bahasa dari tadi. Makanan pun sikit engkau jamah. Pelik aku, sedangkan mi kari itu makanan kegemaran kau, kan..." Sabri cuba memecah kesunyian.

Amri membiarkan saja pertanyaan Sabri berlalu ditiup angin.

Tiba-tiba Sabri terkejut. Amri berteriak kuat.

"Pergi engkau dari sini, jangan kacau kamil" Berulang kali Amri menghalau.

Sabri kecut perut dan menggeletar seluruh tubuhnya. Dia cuba mempercepatkan lagi langkah setelah melihat Amri lebih laju berjalan. Tiba-tiba Amri mematikan langkah. Matanya memandang tepat ke arah taman permainan itu. Sabri turut menoleh ke arah yang ama. Tiada sesiapa di situ tetapi dia hairan, bagaimana buaian di taman berayun laju?

Dalam kesamaran cahaya bulan, Sabri dapat melihat mulut Amri terkumat-kamit. Entah apa yang dibaca Sabri tidak tahu. Apa yang pasti Sabri dapat merasakan ada sesuatu sedang berlaku dan tiba-tiba bulu roma turut merinding.

Amri mengarahkan Sabri pulang dulu. Diingatkan juga agar Sabri berzikir dan mengingati Allah. Tanpa bersoal, Sabri berlari laju. Dia hanya ingin cepat pulang dengan selamat. Namun Sabri tetap risau keselamatan Amri.

Rupa-rupa, Amri dapat mengesan makhluk halus yang mengekori mereka. Ilmu itu diperoleh melalui ajaran arwah bapanya. Walaupun berkemahiran melihat benda-benda ghaib, Amri tidak pernah memberitahu sesiapa waima kepada Sabri, kawan karibnya.

Sebelum ini Amri memang tidak pernah memperdulikan apa yang dilihat, asalkan dirinya tidak diganggu. Namun apa yang dilihatnya sebentar tadi, membuatkan dia mengambil keputusan melakukan sesuatu. Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Rupa-rupanya ketika makan tadi, Amri dapat mengesan ada makhluk yang dijadikan pelaris oleh pemilik restoran itu. Penampilan makhluk pelaris itu memang dahsyat. Berambut panjang, mata merah menyala, punya taring tajam dan air liurnya menitis dalam pinggan mangkuk pelanggan di kedai itu.

Amri mahu menyelamatkan orang lain agar tidak memakan makanan yang dihidangkan kerana bercampur dengan benda-benda kotor.

Kehadiran Amri di restoran menyebabkan pemiliknya marah, lalu meminta 'orang suruhannya' mengekori Amri. Disebabkan Amri ada pendinding diri, makhluk itu beralih kepada Sabri. Sebab itu Amri menyuruh Sabri pulang cepat. Dia berharap Sabri sempat sampai ke rumah yang sudah dipagari dengan ayat al-Quran.

Dalam debar Amri berharap Sabri selamat sampai di rumah. Setibanya Amri di rumah, dia mendapati pintu rumah tidak bertutup dan lampu tidak dipasang. Dia memanggil Sabri, tiada sahutan. Dicarinya Sabri di segenap ruang dalam rumah. Akhirnya Sabri ditemui di dapur sedang memegang pisau. Pergelangan tangan Sabri sudah berdarah dan matanya merah.

Amri mendekati Sabri sambil menepuk di belakang kawannya itu. Berbekalkan ayat al-Quran, akhirnya Sabri dapat direbahkan. Sabri yang pengsan kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Dipetik dari Mingguan Wanita 4/2015

Sunday, August 14, 2016

SUKAR MELUPAKAN CINTA LAMA...

Gambar hiasan...

Kisah yang ingin saya kongsikan mungkin agak remeh bagi sesetengah orang. Namun pada diri saya, ia amat memberi kesan kepada perasaan dan emosi.

Sehingga kini saya masih tidak dapat melupakan bekas teman lelaki ketika di bangku sekolah. Meskipun kini sudah berjaya melanjutkan pengajian di universiti awam, saya tetap merinduinya.

Dia kini sudah mempunyai teman baru selepas hampir empat tahun putus cinta dengan saya. Tapi saya masih merinduinya dan ingin kembali bersamanya. 

Bunyinya agak mustahil dan saya tak tahu kenapa sukar melupakannya. Disebabkan perasaan rindu yang kuat, saya sering mengikuti perkembangannya di Facebook meskipun kami tidak berhubung.

Saya sering melihat gambarnya yang dikongsikan, sekali gus menguatkan ingatan terhadapnya. Pernah dulu kami berhubung di media sosial, namun selepas itu dia mengambil keputusan tidak berhubung lagi. Saya sendiri tidak pasti dengan perasaan ini. Bolehkah puan membantu saya mendapatkan kepastian? Mencari Jawapan...Kuala Lumpur...


Putus cinta adalah perkara yang menyakitkan bagi semua orang. Cara menanganinya juga berbeza bergantung kepada faktor luaran dan dalaman.

Sakitnya putus cinta lebih terkesan bagi mereka yang diputuskan tanpa penjelasan mahupun kerelaan berbanding orang yang memutuskan ikatan percintaan itu.

Cara penerimaan putus cinta juga berbeza. Ada menganggapnya takdir, ada juga menyalahkan takdir. Memang ia memerlukan tempoh untuk pulih daripada sakit hati dan untuk melupakannya.

Kebanyakannya sukar untuk melupakannya, malah berharap ingin kembali seperti dulu menjalin sebuah hubungan harmoni dan romantik. Impian anda untuk kembali bersamanya adalah reaksi perasaan dalaman yang ada pada diri anda. Ia memberitahu anda ada sesuatu yang belum selesai antara anda dan kenangan itu, bukan dengan bekas teman lelaki.

Apa yang perlu diperincikan ialah antara anda dan kenangan silam. Sesuatu perlu diperhalusi satu persatu termasuk merungkai apakah yang menyukarkan anda melupakannya. Adakah kerana sikapnya yang terlalu sempurna sehingga anda berasakan hidup seperti tidak lengkap tanpanya?

Atau kenangan manis yang pernah tercipta antara anda dan dirinya membuatkan anda masih dibayangi kebahagiaan itu?

Jika benar, anda masih perlu jujur dengan diri sendiri. Adakah hidup anda pasti menjadi lebih baik jika bersamanya semula? Namun kenapa anda boleh putus cinta dengannya? Cuba fikirkan hal ini.

Mungkin saat ini anda belum mampu untuk berfikir kerana masih berharap akan kembali bersamanya. Tetapi ada satu alasan jelas yang belum anda ketahui kenapa tidak rela putus cinta dengannya.

Mari kita perincikan kenapa anda tidak rela putus dengannya. Jika alasan sebenarnya bukan kerana masih sayang, adakah alasannya disebabkan anda belum menemui cinta lain? Atau kerana anda berasa tidak yakin memulakan perhubungan cinta baru? Jika terlalu ingin memilikinya dan berharap menjadi pasangannya, ia mungkin membuatkan tidak rela melihat dia bersama orang lain.

Ini bukan perasaan saying anda kepadanya, melainkan obsesi atau kebergantungan emosi yang disertai rasa posesif serta cemburu pada kenangan yang sudah berlalu.

Tanpa disedari, selama ini hanya anda yang tidak rela putus dengannya. Perasaan itu wujud kerana terlalu ingin memiliki cinta dia sepenuhnya.

Anda tidak sanggup melihat dia bersama teman lain meskipun kini anda maklum dia sudah mempunyai teman baru.

Perasaan kebergantungan emosi itu semakin kuat kerana anda membenarkan diri terus menerus mengikuti perkembangan dirinya. Anda seperti menidakkan kebenaran perhubungan anda. Oleh itu, impian untuk kembali bersamanya terus dipupuk sehingga anda lupa ia membawa pergi lebih jauh daripada realiti. Sebaliknya, jika anda benar-benar ikhlas untuk memulakan perhubungan dengannya, kenal pasti apakah tindakan yang anda lakukan untuk memulakan pcrhubungan. Anda bagaikan tidak merelakan perpisahan itu.

Bagi memulihkan kekeliruan ini, sebaiknya anda menilai semula perpisahan itu. Punca dan situasi yang mengakibatkan perpisahan. Jika perpisahan itu berlaku atas kerelaannya saja tetapi bukan anda, keperluan untuk meneruskan perhubungan itu mungkin tiada bagi pihaknya. Jika dia tidak bahagia dengan anda, dia berhak memberi penjelasan dan selepas itu orang lain berhak memilikinya.

Selepas membuat penilaian hal berbangkit berkaitan perpisahan yang dulu, tibalah masanya untuk anda memberi fokus kepada diri sendiri.

Membebaskan diri daripada terus dibelenggu kenangan silam mungkin agak sukar kerana perpisahan itu sudah lama berlaku. Tambahan pula, sepanjang perpisahan itu, selidik sama ada si dia pernah mencuba utuk kembali menjalinkan hubungan cinta dengan anda. Jika sikapnya seperti nekad dengan perpisahan, anda perlu bersedia menerima kenyataan.

Tindakan awal yang boleh dilakukan ialah dengan mengehadkan masa anda untuk terus mengikuti perkembangannya. Cuba kurangkan kekerapan masa itu supaya anda ada ruang untuk mencipta memori baru. Buang atau musnahkan apa saja barang kenangan bersamanya jika ia membuatkan anda terus terikat pada kisah silam.

Wujudkan persekitaran yang baru. Jika anda sering terganggu dengan lagu-lagu cinta bersamanya, segera tidak mendengar lagu itu. Ia hanya menjerat emosi sendiri sedangkan dia kini sedang berbahagia dengan teman baru.

Seterusnya, berani untuk mengatakan tidak kepada kenangan yang menjerat perasaan anda. Cipta kebahagiaan dengan kehidupan seharian menerusi pergaulan sosial serta tanggungjawab dipikul.

Anda perlu mengisi masa lapang dengan aktiviti lain lebih berfaedah supaya jiwa kembali ceria, harmoni dan tidak terikat dengan kenangan silam yang mungkin menghalang potensi diri ke arah lebih baik. Membenarkan diri untuk mengenal rakan baru juga memberikan peluang berinteraksi dan berkenalan dengan orang lain.

Dalam tempoh itu, pastikan pergaulan anda sentiasa mengikut batasan agama. Yang terakhir, hormati perasaan sendiri. Anda sebenarnya berhak meraih kebahagiaan meskipun bukan dengan dirinya. Sedar atau tidak, kebahagiaan anda kini terbatas hanya kerana terikat pada kisah silam yang sudah lama dilupakan bekas teman lelaki. Kembali kepada realiti dan teruskan usaha untuk kehidupan lebih bermakna.

Dipetik dari Harian Metro 15 Ogos 2016.

Thursday, August 11, 2016

SAYONARA SEORANG ISTERI YANG BERNIQAB...

Gambar hiasan...

Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?” Tanya saya pendek.”

"20 tahun," jawab lelaki berbangsa India itu juga ringkas.

"Semua keluarga turut masuk Islam?"

"Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu bapa saya," jawabnya sambil tersenyum. 

Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang hati melihatnya.

"Yang paling akhir?"

"Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu."

"Alhamdulillah!"

"Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu."

Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.

"Masih sedih..." kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.

"Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak."

Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.

"Mengapa tuan gembira?"

"Panjang ceritanya..."

Kerana Akhlaknya


Saya memberi isyarat berminat untuk mendengar kisahnya. Mungkin kerana itu dia mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya.

Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita berniqab yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.

"Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnyapun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya."

"Bagaimana menyatakannya?"

"Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat."

"Belum Islam?"

"Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya."

"Subhanallah, menarik. Bagaimana reaksinya?"

"Dia menjawab, bakal suami saya hanya seorang Muslim. Saya tahu, itu syaratnya. Lantas saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah, beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir."

"Dia beri cukup masa untuk berfikir?"

"Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam.

Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai."

"Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?" tusuk saya.

"Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita."

"Begitu mudah?"


Terbuka Walau Tertutup


"Tidak juga. Saya berfikir lama. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkan seorang wanita begitu 'terbuka' ketika wajahnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya. Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dalam dirinya yang menjadikan dia begitu."

"Berapa lama?"

"Hampir dua tahun."

"Dia sabar menunggu?"

"Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?"

"Wah! Itu cinta pertama?"

"Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya. Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik."

"Perkahwinan meriah?"

"Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria."

Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya, "itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita ibu."

"Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan."

Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat? "Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga anak kami hafiz."

"Bertuah. Insya-Allah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?"

"Tidak boleh. Maaf, tidak boleh."

Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Pantas saya bertanya, "mengapa?"

"Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan kemudian dia meninggal..."


Pergi Sudah Separuh Jiwa


Terkejut. Daripada rasa terkilan, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangan srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.

Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya, Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi, separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan.

Hamka pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya, beliau meluahkan:

"Kau tahu Irfan, ayah dan umi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi ayah melupakan kebaikan umi. Itulah sebabnya apabila datang ingatan ayah terhadap umi, ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, apabila ingatan ayah kepada umi itu muncul begitu kuat, ayah lalu segera mengambil air wuduk. Ayah solat Taubat dua rakaat. Kemudian ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan fikiran dan kecintaan ayah semata-mata kepada Allah," jawab ayah.


Kematian Terindah


"Tetapi satu kematian yang indah." Tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.

"Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?"

"Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar-benar tenat.

Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali lalu terus menghembus nafas yang terakhir."

"Begitu mudah?"

"Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah."

"Al-Fatihah," ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al-Fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui kematian dengan sebaik-baiknya. 'Wanita itu telah mengislamkan suaminya, melahirkan anak-anak yang baik', bisik hati saya.

"Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan lama bergaul dengannya."

"Wah, mudahnya!"

"Tetapi ada juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun ajaibnya, masih isteri saya juga yang menjadi sebab keislaman ibu bapa saya."


Mustajab Doa Anak


"Bagaimana?" tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal ibu bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isterinya saling berkait.

"Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara."

Saya benar-benar saspens. Menanti dengan penuh minat.

"Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada ibu saya," katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.

"Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia baru ibu tuan memeluk Islam?"

"Ya," jawabnya pendek.

"Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan?" tanya saya, mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.

"Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada ibu bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu bapanya meninggal dunia, bahkan semasa ibu bapanya itu masih hidup lagi. Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca al-Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu bapa saya."

Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca al-Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.

"Jadi tuan ikut saranan itu?"

"Ya. Saya ikut."

"Berapa lama?"

"Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan membaca al-Quran saya doakan ibu bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya. Dia meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya."

"Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. Insya-Allah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan dalam kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti."

Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri sudah mampu memikat. Itulah mesej di sebalik sayonara seorang isteri yang berniqab.

Dipetik dari Majalah Solusi

Tuesday, August 9, 2016

KENCING TIDAK PUAS BUKAN MASALAH RINGAN...

Gambar hiasan...

Lebih daripada 50 peratus lelaki berusia 45 tahun dan 90 peratus lelaki berusia 53 tahun mengalami masalah berkaitan dengan kencing tidak tus. Kebanyakan daripada mereka beranggapan ia disebabkan faktor usia yang semakin meningkat bukan penyakit yang perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doctor segera.

Disebabkan itulah ramai kalangan lelaki keberatan untuk mendapatkan bantuan profesional. Namun masalah ini akan jadi lebih berat sekiranya tidak dirawat. Ada banyak jenis penyakit yang boleh menyebabkan masalah berkaitan dengan kencing tidak tus. Antaranya ialah Benign Prostatic Hyperlasia (BPH), prostatitis, cystitis, kanser prostat, urethral stricture dan bladder disorders.

GEJALA...

Antara gejala seseorang itu menghidap penyakit berkaitan dengan masalah kencing tidak tus ialah kerap kencing. Contohnya kencing setiap 30 minit atau kurang terutamanya pada waktu malam. Kebiasaannya jumlah air kencing yang keluar adalah sedikit. Rasa ingin buang air kencing datang secara tiba-tiba, pancutan air kencing tidak banyak walaupun diteran dengan kuat.

Sebab utama kepada semua masalah berkaitan kencing tidak tus ini adalah berpunca dari BPH, iaitu keadaan di mana kelenjar prostat membesar dengan cepat namun ia bukan kanser. Punca BPH sehingga hari ini tidak diketahui tetapi para pengkaji mendapati BPH semakin kerap berlaku apabila usia lelaki itu meningkat. Sebahagiannya mungkin disebabkan oleh perubahan hormon berlaku pada lelaki yang semakin berumur. Selepas akit baligh, kandungan hormon testosteron turun, manakala hormon lain seperti prolaktin, estradiol follicle-stimulating dan lutenizing naik. Hormon-hormon ini menggalakkan penukaran testosteron kepada dihydrotestosteron (DHT). DHT adalah hormon yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya BPH.

BPH adalah ketumbuhan bukan barah yang paling kerap berlaku di kalangan kaum lelaki. la berlaku apabila bilangan sel di dalam prostat mula bertambah dan menyebabkan kelenjar prostat menjadi lebih besar. Pembesaran ini berlaku secara beransur-ansur dalam masa yang agak lama. Sebab itu ramai penghidapnya tidak sedar masalah ini sehingga prostat menjadi besar dan menimbulkan simptom yang berkaitan terutama selepas berusia 50 tahun.

KELENJAR PROSTAT...




Prostat adalah organ yang terletak di bawah pundi kencing, berbentuk seperti donat yang mengelilingi saluran kencing. Prostat sebahagiannya terbentuk daripada serat-serat otot. Kelenjar prostat ini menghasilkan air mani, manakala otot-ototnya itu akan menolak cairan Ini semasa ejakulasi. Selain itu, otot-otot ini bekerjasama dengan otot pundi kencing untuk mengawal pengaliran air kencing.

Dalam kes BPH, prostat yang semakin membesar akan menekan saluran dan pundi kencing. la menyebabkan air kencing di dalam pundi kencing tidak dapat dikeluarkan secara berkesan. Keadaan ini mengakibatkan pesakit berusia membuang air kencing lebih kerap dan menghadapi pelbagai masalah seperti dinyatakan.

KESAN BPH...

Sekiranya BPH tidak segera dirawat, ia boleh menyebabkan masalah seperti sukar tidur dan menjejaskan konsentrasi semasa bekerja. Selain itu, masalah BPH dikhuatiri menyebabkan air kencing naik semula ke buah pinggang melalui saluran kencing yang menyebabkan kerosakan buah pinggang kekal. Air kencing dalam pundi kencing yang tidak dibuang, terdedah kepada risiko jangkitan kuman meningkat memburukkan lagi masalah BPH.

Tekanan yang berpanjangan ke atas pundi kencing semasa proses membuang air kencing boleh menebalkan dinding pundi kencing, melemahkan otot-ototnya dan menyebabkan pundi kencing tidak berfungsi.

RAWATAN...

BPH tidak boleh disembuhkan melainkan dengan cara pembedahan, di mana tisu yang terlebih dibuang. Cara paling lazim dan berkesan untuk merawat BPH ialah pembedahan. Antara pembedahan yang disyorkan termasuklah: Reseksi Transurethral Prostat atau Transurethral Resection of the Prostate (TURP). Dalam pembedahan ini, pesakit akan dibius dan doktor memasukkan alat khas ke dalam uretra melalui zakar.

Pembedahan Insisi Transuretral Prostat atau Transurethral Incision on the Prostate (TUIP) boleh dijalankan jika prostat tidak terlalu besar. Sejenis alat akan dimasukkan ke dalam uretra untuk membuat satu atau dua potongan pada prostat. Hasilnya tekanan pada uretra akan berkurangan dan pesakit lebih mudah kencing.

Pembedahan Prostatektomi Terbuka (Open Prosatatectomy). Prostatektomi Terbuka boleh digunakan jika prostat sudah menjadi sangat besar di mana sebahagian daripada bahagian dalam prostat akan dibuang.

PENCEGAHAN...

Antara punca yang mempercepatkan lagi BPH adalah kurang mengamalkan gaya hidup sihat. Contohnya mengambil makanan tinggi kolestrol dan karbohidrat, merokok dan mengambil alkohol, kurang senaman dan kerap menghadapi tekanan. Oleh itu, amalkan langkah pencegahan seperti amalan berikut:-

1. Berhenti merokok dan pengambilan alkohol.

2. Kurangkan pengambilan daging dan lemak haiwan kerana kandungan lemak tepu yang tinggi dikaitkan dengan risiko kanser prostat.

3. Tambahkan pengambilan sayur-sayuran hijau yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat.

4. Ambil omega-3 dan omega-6 penting untuk pertumbuhan hormon lelaki.

5. Minum lapan gelas air kosong sehari untuk membuang toksin.

6. Melakukan senaman secara rutin untuk meningkatkan perjalanan darah ke Bahagian prostat.