Pages

Tuesday, September 20, 2016

KISAH ZUBAIDAH WANITA KAYA...


Kisah srikandi yang mempunyai kehebatan dan kemuliaan wanita bernama Zubaidah binti Ja'far. Dikatakan tiada seorang wanita pun yang telah memiliki kedudukan dan pangkat, kekayaan dan kemewahan, kekuasaan dan keupayaan, darjat tinggi dan pengaruh seperti mana yang dimiliki olehnya.

Dia adalah isteri kepada Harun Ar-Rasyid dan juga ibu kepada khalifah Al-Amin. Bahkan Zubaidah dijadikan sebagai wanita mithali yang bersemangat dan lambang kewanitaan pada zaman kerajaan Abbasiyah.

Zubaidah telah berkahwin dengan Harun Ar-Rasyid pada zaman pemerintahan ayahnya yang terkenal dengan gelaran Al-Mahdi, dan juga atas nasihat daripada ibunya, Alkhaizuran. Perkahwinannya bersama Harun Ar-Rasyid merupakan perkahwinan paling meriah dan mewah disebabkan oleh kekayaan dan ketinggian darjat yang dimiliki oleh Zubaidah serta keluarganya. Pada hari perkahwinannya itu ramai orang dibahagi-bahagikan dengan pinggan mangkuk berisi emas dan juga perak serta wangi-wangian seperti misk dan anbar.

Zubaidah sendiri pada hari perkahwinannya telah dipakaikan dengan perhiasan barangan kemas dan mutiara yang tiada tandingan cantik dan mewahnya. Tidak ada lagi wanita lain yang dapat menandinginya pada waktu itu. Dikatakan ayahandanya mengeluarkan belanja besar demi memastikan majlis perkahwinan anaknya meriah dan dapat dirasai oleh penduduk di situ. Di samping itu, mereka mahu menjamu semua masyarakat dan diharapkan mendapat manfaat daripada majlis tersebut.

Pengaruh...

Dikatakan Zubaidah seorang wanita yang mempunyai akal cerdas, pendapatnya sentiasa dihormati. Dia juga antara wanita yang fasih dan banyak menghafal syair dan gurindam. Zubaidah juga mempunyai kebolehan dan pintar dalam menggubah syair dan sentiasa bersedia untuk berdebat dengan golongan lelaki dalam pelbagai bidang pembelajaran dan seni. Di samping itu Zubaidah juga terkenal dengan rupawan dan cerah kulitnya. Dia menjadi kesayangan Harun Ar-Rasyid dan diletakkan di tempal yang tinggi lagi mulia.

Zubaidah mempunyai pengaruh besar di dalam urusan pentadbiran negara. Akan tetapi para ahli sejarah tiada menyebutkan peranannya dalam bidang ini, selain dari pengaruhnya yang ketara sekali dalam hal pelantikan anaknya Al-Amin untuk memegang teraju Khalifah sesudah kewafatan ayahnya. Pengaruhnya yang lain banyak diceritakan dalam lapangan kegiatan masyarakat di bidang ekonomi dan ilmu pengetahuan.

Dia terkenal sebagai seorang yang tidak kedekut membelanjakan harta untuk kegiatan kebajikan ketika hayatnya masih ada. Dia Juga meninggalkan pengaruh yang berkesan kepada umum daripada projek-projeknya untuk kebaikan rakyat dalam bidang perkhidmatan dan pembangunan.

Selain itu diceritakan juga Zubaidah mempunyai pengaruh besar dalam bidang ekonomi dan juga ilmu pengetahuan. Apa yang paling penting, Zubaidah memberikan jasa yang amat besar kepada penduduk di Makkah di atas sumbangan yang tidak terhingga diberikan olehnya. Hal ini terjadi ketika Zubaidah mengerjakan haji di Baitullah pada tahun 186 hijrah dan dia mendapat tahu kesusahan yang ditanggung oleh penduduk Makkah untuk mendapatkan air minum.

Menyedari kesusahan yang ditanggung oleh seluruh penduduk itu, Zubaidah tanpa berlengah terus menjemput pemegang amanahnya dan menyuruhnya supaya mengundang semua arkitek dan para pekerja dari merata negara lalu dia berkata kepada mereka; "Laksanakan projek air minum ini walaupun akan menelan perbelanjaan apa saja!"

Ketika itu telah datang arkitek-arkitek dan para pekerja yang pakar ke Makkah. Mereka lalu menyambungkan mata-mata air dari gunung sekitarnya dan terutamanya dari gunung Hunain lalu membuat saluran dalam batu hingga sampai air ke Makkah untuk diminum orang-orang yang datang mengerjakan haji. Projek ini menelan belanja sebanyak 1,700.00 dinar dan dibiayai oleh Zubaidah.

Projek Air...

Di dalam deskripsi oleh Al-Yafi' dalam bukunya mengenai projek ini, bahawa kesan-kesannya masih ada hingga kini dan ia merupakan sebuah bangunan besar yang luar biasa. la menarik perhatian orang-orang yang lalu lintas di situ dari Makkah untuk menuju ke Mina. la umpama sebuah bangunan kukuh di tengah-tengah gunung dan sukar ditafsirkan keindahan telaganya itu.

Digambarkan, air akan turun dari situ menuju ke suatu tempat di dalam bumi, sangat dalam, anak tangganya banyak sekali dan tidak boleh sampai di dasarnya melainkan menerusi semacam lif yang akan membawanya ke bawah. Tempat itu sangat gelap sekali sehingga ramai orang takut untuk turun bersendirian di situ pada siang hari apatah lagi pada malam hari.

Jasa Zubaidah ini dikenang oleh penduduk Makkah hingga sekarang. Dan ia menjadi kegunaan seluruh penduduk Makkah. Dan sedekah yang diberikan oleh Zubaidah itu menyenangkan banyak pihak dan memudahkan juga mereka yang datang mengerjakan haji.

Tiada siapa menyangka yang Zubaidah sanggup membelanjakan hartanya sedemikian banyak untuk tempat yang tidak diduduki olehnya.

Itulah salah satu keistimewaan wanita bernama Zubaidah.

1 comment:

  1. Terbaik AJ..Dgn adanya info2 spt ini dpt memberi manfaat yg berguna..goodluck

    ReplyDelete