Pages

Sunday, August 4, 2019

AIR TELAGA BUAT ORKID BERBUNGA MERIAH...





Orkid Tanaman Yang Nampak Mudah Tetapi Sensitif Terhadap Perkara Remeh. 

Laman yang dikunjungi penulis pernah dipaparkan di majalah LAMAN Impiana pada 2OlO. Namun, setelah 7 tahun berlalu kami bertandang lagi untuk melihat perkembangan terkini laman pasangan romantis Hj. Omar dan Hjh. Siti Hajar yang terletak di Sungai Buloh ini. 

Banglo dan halaman rumah
yang dihiasi dengan berjenis-jenis pokok...




"Struktur yang terbina sejak 2010 masih kekal dan dalam keadaan baik tanpa sebarang pertambahan baru. Yang banyak berlakunya perubahan adalah di laman", ujar pemilik membuka bicara.

Jika dahulu kunjungan LAMAN Impiana memperlihatkan rimbunan tanaman tropika yang menghijau, kali ini hanya 50% daripada tanaman kekal. Selebihnya adalah tanaman orkid pelbagai warna dan spesies mengambil alih menceriakan keseluruhan gaya landskap yang digarap sendiri oleh pemilik. Bila ditanyakan kenapa perlunya rombakan sedemikian, ini yang dinyatakan oleh pemilik. 

"Sedangkan dalam rumah pun kita kerap merubah kedudukan perabot, ganti langsir dan sebagainya untuk nampak lebih menarik dan tidak membosankan, Ini kan lagi laman yang menyambut kepulangan kita", tambah pemilik menjelaskan. 

Tn. Haji Omar dan Pn. Hajjah Siti Hajar yang merupakan pasangan suami isteri sehati sejiwa berganding bahu dalam menanam dan memelihara tanaman orkid di kediaman mereka...


Apa yang pasti, kini orkid menjadi identiti kepada kediaman ini kerana minat pemilik terhadap orkid tidak pernah padam malah makin bercambah Dari depan pintu pagar hingga ke laluan masuk ke rumah, orkid menjadi elemen menyambut tetamu yang hadir ke sini.

Menurut pemilik, rombakan landskap yang dilakukan dengan dominasi orkid baru mencecah usia 2 tahun. "Orkid antara tanaman yang kita nampak sahaja mudah, tapi sebenarnya penjagaannya perlu dilakukan secara harian untuk memastikan ia berbunga lebat. jika tidak, tanaman ini menjadi lokek bunga," tambah pemilik lagi. 



Bagi pemilik yang merupakan seorang pesara, tiada apa lagi yang ingin dilakukan di siang hari selain bermanja dengan orkidnya. Malah aktiviti ini ternyata memberi manfaat dari segi kesihatan. Rutin penyelenggaraan yang dilakukan secara harian kebiasaannya bermula di awal pagi sekembalinya dari solat subuh sehingga menjelang tengah hari. Keutamaan orkid adalah pada siramannya. Tidak seperti tanaman yang lain, orkid akan tertekan jika airnya berlebihan. Oleh itu, siraman perlu dilakukan di awal pagi dan untuk kali kedua menjelang pukul 3 atau 4 petang. 


Kenapa waktu ini dipilih untuk tujuan siraman? "Siraman di awal pagi membolehkan pokok melakukan aktiviti aktifnya seperti fotosintesis dan penyerapan nutrien berjalan lancar. Manakala pukul 3 atau 4 petang pula bagi mengelak air siraman bertakung menjelang lewat petang. Jadi sebelum matahari melabuhkan tirainya, air siraman tadi dapat di sejat dengan baik. Jika tidak, akar orkid tidak tahan kepada air yang bertakung terutamanya dari air klorin," jawab pemilik. 

Di satu sudut, pemilik menunjukkan sebuah telaga yang digali nya. Ini lah sumber air tanpa klorin yang digunakan untuk menyiram tanaman di laman terutamanya orkid. Ini lah rahsia utama pemilik yang tidak semua orang mampu perolehi. Selain itu dari segi teknikalnya, diperhatikan, setiap orkid ditanam di dalam planter box yang dibina dari batu bata dan bongkah batu yang dikumpulkan sendiri. Ini memudahkan pemilik untuk menyediakan sempadan orkid agar nampak lebih kemas. 



Musim panas adalah waktu yang paling mencabar buat peminat orkid. Bukan sekadar risiko tanaman mudah layu, bunga yang tidak menjadi juga yang paling dirisaukan. Namun perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangat pemilik. Belaian dan terapi yang diberikan secara rutin mampu memberi pemulihan total kepada tanaman.

"Sinaran matahari turut memainkan peranan penting untuk penghasilan bunga orkid. Oleh sebab itu, beberapa batang pokok yang di tanam di bawah naungan sukar berbunga walaupun menerima pembajaan dan penyelenggaraan yang sama. Untuk anak pokok yang baru disemai atau pun batas pokok yang baru dipotong dan diperkemaskan, lapisan jaring pertanian dengan ketelusan cahaya 50% perlu diletakkan sehingga pokok stabil," terang pemilik yang memang pakar dalam tanaman orkid.

Dari segi pembajaan pula, tiada pengkhususan atau baja istimewa yang digunakan pemilik. Hanya baja ringkas yang dibeli dari nurseri iaitu baja bunga dan baja penggalak tumbuhan. Pun begitu selesai memotong rumput di laman yang luas ini, pemilik akan mengumpulkan sisanya dan dijadikan sebagai sungkupan kepada batas orkid.



"Sisa potongan rumput yang dijadikan sebagai sungkupan mampu mengekalkan kelembapan dan meningkatkan humus di dalam batas tanaman. Di samping itu juga, rumput yang mempunyai sifat cepat menyerap nutrien menjadi baja organik secara tidak langsung kepada orkid. Dengan kaedah ini juga saya mampu mengurangkan kadar pembakaran dan pembuangan sampah dari laman ini," ujarnya lagi.


Blogger berkesempatan melawat
 kediaman mereka tahun 2018 dan
telah mengabadikan beberapa keping
gambar kenangan...




Melihat pasangan ini galak berkongsi cerita mengenai laman mereka, jelas menunjukkan masing-masing memainkan peranan berbeza namun penting dalam membina laman ini. Usia pencen bukan lah penghalang untuk pemilik berkebun dan melakukan tugasan berat. Malah itu yang menjamin kesihatan pasangan ini. "Setiap inci ruang laman diperhalusi dan diperkemaskan untuk memastikan laman yang tersedia sesedap mata memandang dan tidak mengundang ancaman lain terutamanya buat si cucu yang gemar melakukan aktiviti di laman.

Lagi perkongsian gambar-gambar yang terdapat di laman mereka.







































Artikel dan gambarnya dipetik dari Majalah Impiana Vol 217 Jan/Mac 2018.
Lain-lain gambar dikongsi dari facebook beliau Omar Jais dengan izin.

8 comments:

  1. Wow. Tn. Hj dan Mak Haji. cantiknya halaman dah mcm taman. Bolehkah saya berkunjung?

    ReplyDelete
  2. Cantiknya pokok okid Tn. Haji, Terpegun I tgok.

    ReplyDelete
  3. owh..abg kandung cik Mat rupenye...

    ReplyDelete
  4. Salute Tn. Hj dan Kak Hj tu. Cantik sungguh pemandangan laman. Terpersona saya tengok.

    ReplyDelete
  5. Ya Allah cantik Nye
    Indah Nye ciptaan Tuhan
    Tahniah pada pemilik nye

    ReplyDelete