Pages

Sunday, August 4, 2019

PEREMPUAN SERBA PUTIH DI JERAI BETINA...


POKOK besar itu sudah tiada. Tunggulnya pun sudah tidak kelihatan lagi. Tapi apabila berulang-alik melalui jalan Banggol Jerai ini, saya sering teringatkan pokok besar itu. Saya juga akan teringat pada Aini, Pak Hamzah, Fatimah dan cerita-cerita itu.

Cerita apa? Saya mulakan dengan kisah ini.

Cerita Aini, sekitar pukul 9 pagi, dia membonceng ayahnya. Mereka mahu ke kampung sebelah untuk mengambil upah memanjat pokok petai. Biasanya mereka mengambil dan mengutip petai sehingga lewat petang. Petai itu ayah Aini, Pak Hamzah, bahagikan sama rata dengan empunya pokok, kemudian menjualnya di kedai berhampiran.

Langit mula bertukar warna ketika Pak Hamzah dan Aini bergerak pulang. Memandangkan jarak ke rumah masih jauh, Pak Hamzah memecut motosikalnya dan semasa melalui kawasan berbukit, suasana semakin dingin.

Ketika berada di tengah-tengah laluan berbukit, enjin motor tiba-tiba mati dan tidak dapat dihidupkan. Pak Hamzah meminta anak perempuannya itu turun dan mereka menolak motosikal.

Mujur tidak lama kemudian, enjin motosikal berjaya dihidupkan. Pak Hamzah bagaimanapun meminta Aini jangan naik dahulu kerana bimbang nanti tidak lepas pula naik bukit tinggi. Dia akan menunggu di depan.

Aini berjalan mendaki bukit itu. Tapi sewaktu melangkah, Aini terasa seperti ada sesuatu yang sedang mengekorinya. Telinganya bagaikan terdengar langkah seseorang di belakangnya.

Aini segera menoleh. Apa yang dilihatnya cukup menakutkan. Ada seorang wanita berpakaian serba putih sedang membawa payung dan mendukung seorang bayi. Dan... wanita itu sedang bergerak ke arahnya!

Siapa dia? Aini cuba melihat wajahnya, tapi terselindung di sebalik rambut yang panjang dan kusut. Pelik, bagaimana ada perempuan bawa bayi di tengah belukar pada waktu senja begini? Manusia, atau...

Macam lipas kudung Aini berlari mengejar motosikal ayahnya dan terus melompat naik. Sebaik sahaja duduk di kerusi dan memaut pinggang ayahnya, Aini menoleh ke belakang. Wanita itu dilihat menyusup masuk ke dalam perdu buluh.

"Kenapa ni?" Pak Hamzah terkejut apabila Aini melompat naik ke atas motor.

"Tak ada apa. Jom pak, kita balik!" Aini cuba menahan air mata. Tubuhnya menggigil. 

Setibanya di rumah, Aini terus berlari masuk mendapatkan ibu dan kakaknya sambil menangis teresak-esak. Bila ditanya, dia hanya menggeleng. Segelas air diberikan, kemudian barulah Aini dapat menceritakan apa yang berlaku. Cerita itulah yang kemudiannya disampaikan kepada saya. 

Wanita berpakaian serba putih yang diceritakan Aini itu muncul hampir dengan sebatang pokok besar. Di situlah pada suatu hari selepas maghrib, Fatimah bersama anak bongsu dan juga adiknya berjalan menuju ke rumah saudara mereka yang mengadakan kenduri. 

Sekeliling gelap dan sunyi. Api daripada pelita minyak tanah pula meliuk-liuk mengikut arah angin. Fatimah sedaya-upaya mengawal api itu supaya tidak padam. Kalau padam, nanyalah. Fatimah melangkah dalam keadaan tangan kanan memegang pelita manakala tangan kiri memimpin tangan anak bongsunya yang berusia 11 tahun. Adiknya tak lepas daripada memegang hujung bajunya. 

Jalan kampung yang kecil dan belum berturap membuatkan kawasan yang di kelilingi hutan itu terasa begitu menyeramkan. Tiada bintang yang kelihatan di dada langit. Langkah mereka semakin laju. 

Ketika mahu melalui sebatang pokok besar, Fatimah mula berasa tidak sedap hati. Angin tiba-tiba bertiup dari serata arah. Desirannya kuat kedengaran. Langkah mereka semakin dipercepatkan. Daripada berjalan, bertukar kepada berlari anak. 

"Kak, dengar tak?" tiba-tiba adiknya bertanya. 

"Jangan tegur..." bisik Fatimah. 

Ya, Fatimah juga dengar. Selepas saja melintasi pokok besar itu, dia dengar langkah mereka diekori. Bila mereka berhenti, bunyi itu turut berhenti. Ini sudah masuk kali ketiga. Adiknya tiba-tiba memaut lengannya dan hampir saja pelita terlepas daripada tangan! 

"Mu kenapa? Nasib baik tak jatuh pita selek ni, tidak bergelaplah kita!" Suara Fatimah sedikit meninggi. 

"Bunyi apa tu kak?" "Syhhh.." Fatimah menyuruh adiknya mendiamkan diri. Jangan tegur apa-apa! 

Daripada takut, akhirnya bertukar menjadi marah apabila bunyi langkah itu semakin kuat. Seperti hanya beberapa langkah saja di belakang. Seolah-olah sengaja mahu menakutkan mereka! 

Datang keberanian, lantas Fatimah menoleh ke belakang sambil menghalakan pelita. Kosong! Tiada sesiapa di belakang mereka. Namun baru saja Fatimah mengalih pandangan ke hadapan dan melangkah, bunyi itu, kedengaran lagi. 

"Apa tu kak?" Si adik bertanya lagi. Suaranya bergetar. 

Fatimah yang sudah naik marah, lantas menjawab dengan kuat, "HANTU!". 

Sengaja dia meninggikan suara supaya didengar makhluk yang mengekori mereka. 

"Hah? Hantu?" Semakin kejap lengan Fatimah dipaut. 

Selepas Fatimah kata begitu, bunyi itu serta-merta hilang! 

JENTOLAK

SUDAH tiga hari bunyi jentolak kedengaran dari arah jalan berbukit. Fatimah maklum, pihak kerajaan mahu menebang pokok besar itu bagi membesarkari jalan. Dia tahu, pokok itu bukan pokok biasa. Ada 'sesuatu' yang tinggal di situ. Malah bentuk pokok itu mirip bentuk tubuh seorang wanita. Itulah pokok jerai betina. Besar dan lain daripada pokok lain.  

Fatimah melihat suaminya mengayuh basikal memasuki halaman rumah. 

"Dari mana?" 

"Tengok dema nak tebang pokok jerai tu. Tak boleh-boleh lagi. Semua yang digunakan langsung tak berhasil. Macam ada yang tak kena." 

Fatimah terdiam. "Habis tu, tak jadilah buat jalan?" 

"Tadi "semua bincang dan sepakat nak buat kenduri. Mohon doa supaya dipermudahkan. Moga apa yang tertinggal, dikembalikan ke tempat asal," suami Fatimah berkias. 

"Bila nak dibuat kenduri tu? Di mana?" 

"Lepas zuhur esok. Seberang jalan pokok jerai tu." 

Selepas beberapa hari kenduri diadakan, kerja menebang pokok jerai betina pun dijalankan. Dengan izin Allah, ia berjaya ditumbangkan. Pada tahun 1984, jalan tanah merah itu pun disodok. 

Tiga puluh lima tahun sudah berlalu, kini laluan tanah merah sudah bertukar ke jalan tar. Bekalan elektrik sudah memenuhi rumah-rumah di kawasan sekitar. ' Juga terdapat gerai makan di situ, tidak jauh dari tapak pokok jerai betina. 

TUTUP 

"Berani ya mak cik berniaga malam-malam macam ni?" tanya seorang anak muda yang menjadi pelanggan terakhir kedai makan yang kecil itu. 

"Nak berniaga, kenalah berani walaupun sini tapak asal pokok yang mak cik ceritakan tadi." 

Pemuda itu mengangguk sambil mengagumi keberanian mak cik itu. "Sekejap ya mak cik, saya ambil duit. Tertinggal dalam kereta pula beg duit." Dia bangun lalu menuju ke kereta. Mujur ada kedai yang masih buka untuk dia mengisi perut sebelum tiba di rumah orang tuanya di Klian Gunung. 

"Mak cik..." 

Namun suara pemuda itu terhenti dan terbuntang matanya melihat keadaan kedai yang kini gelap. Malah ada tanda kedai ditutup di hadapan kedai. 

Angin tiba-tiba menerjah kasar. Hangat. Tanpa membuang masa, pemuda tersebut terus masuk ke dalam kereta dan segera meninggalkan tempat itu! 

(Affieyza Isahak, Kulim, Kedah. Kejadian di atas berlaku di Ijok, Batu Kurau, Perak. Lokasi kejadian ini sekarang dinamakan Banggol Jerai. Pita Selek - Lampu Suluh.)

Dipetik dari Mingguan Malaysia, Ahad 4 Ogos 2019
Pengarang : Zulkarnain Zakaria. 

1 comment:

  1. Keren. Tulisannya ngena bgt.

    Kalau berkenan mohon krisannya dong kak untuk tulisanku di  Cerita Alister N. Makasih 🙏🙏

    ReplyDelete