Pages

Saturday, August 17, 2019

SIAPA SEBENARNYA PAK CIK YUSOFF?...


Masih saya ingat, hari itu hari Jumaat. Awal pagi lagi saya menerima panggilan dari Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah. Mereka meminta saya bersiap sedia kerana ada jenazah tanpa waris dari hospital itu yang akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Petani sekitar pukul 2.30 petang nanti. 

Saya dimaklumkan, nama individu yang meninggal itu ialah Yusoff bin Ibrahim. Segala urusan kafan dan sembahyang jenazah telah dilakukan oleh pihak hospital. Tanggungjawab saya hanya mengebumikan jenazah. 

Sebagai penyelaras tanah perkuburan, saya hanya menurut arahan. sudah jadi kebiasaan, jika ada jenazah tanpa waris meninggal di hospital tersebut, kebiasaannya jenazah itu akan dikebumikan di sini. 

Selepas mendapat maklumat itu, saya membuat persediaan. Lubang kubur memang sentiasa ada. Sudah ada lima hingga 10 buah liang lahad kosong. Sengaja kami gali lebih awal agar urusan pengebumian lebih mudah dan cepat. jenazah juga boleh dikebumikan pada bila-bila masa terutamanya bila melibatkan jenazah tanpa waris. 

Selesai solat Jumaat hari itu, saya bergegas ke tanah perkuburan. Menanti di sana dua orang pekerja yang akan membantu saya mengebumikan jenazah. 

Lebih kurang pukul 2.30 petang, van jenazah tiba. Sewaktu melihat dari jauh kelibat van itu, saya rasa hairan. Sebabnya, ada berpuluh-puluh buah kereta yang turut mengiringi van jenazah tersebut. Ada kereta mewah, ada juga kereta tempatan. 

Melihat keadaan itu, saya tertanya-tanya sendiri. Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa jenazah itu tidak berwaris. Tapi, mengapa banyak pula kereta yang turut serta mengiringi jenazah? 

Mengikut pengalaman saya, jika itu jenazah yang tidak berwaris, jarang ada orang lain turut serta. Kalau ada pun hanya beberapa kakitangan hospital, pemandu van jenazah, saya dan pekerja di sini saja. 

Belum terjawab persoalan yang bermain dalam kepala, sekali lagi saya terkejut sebaik melihat orang-orang yang yang mengiringi itu keluar dari kereta masing-masing. 

Kesemua yang keluar itu adalah berbangsa India. Tiada seorang pun bangsa Melayu. Jumlahnya lebih kurang 50 orang. Makin bertambah rasa hairan saya.


"Mualaf ke yang meninggal ni?" itu detik saya dalam hati. 

Kemudian, dalam ramai-ramai mereka itu, datang seorang lelaki India kepada saya. Dia memperkenalkan diri sebagai Kumaraguru. Jelasnya, dia merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap jenazah lelaki yang akan saya kebumikan. 

Mendengar pengakuan itu, semakin berkerut dahi saya. Yang meninggal adalah orang Islam, manakala lelaki itu pula bukan Islam. Bagaimana dia boleh mengaku bertanggungjawab terhadap jenazah Islam itu. Apa hubung kaitnya? 

SUNGGUH, saya hairan apa kaitan lelaki India itu dengan jenazah. Saya minta dia ceritakan serba sedikit berkaitan hubungannya dengan arwah. Barulah persoalan saya terjawab. 

Begini cerita Kumaraguru. Memang betul dia dengan jenazah langsung tiada sebarang ikatan persaudaraan. Malah, agama pun berbeza. Dia penganut Hindu manakala jenazah itu pula beragama Islam sejak lahir lagi. 

Hubungan Kumaraguru dengan lelaki itu terjalin beberapa tahun lalu. Katanya, satu hari dia dan isterinya terserempak dengan lelaki berusia 70-an itu di sebuah perhentian bas dalam keadaan tidak terurus. Perhentian bas mana, tidak pula Saya tanya. 

Cerita Kumaraguru lagi, dalam pertemuan itu, Pak cik Yusoff berkata dia tiada waris. Hidupnya sebatang kara dan bergelandangan. Tidur di merata tempat. Makan minumnya sekadar mengharap belas ihsan orang ramai. 

Mendengar kisah itu, timbul rasa kasihan. Atas dasar kemanusiaan dan simpati, Kumaraguru dan isterinya sepakat membawa Pak cik Yusof pulang dan menjaganya. 

Mereka membawa orang tua itu ke rumah dan tinggal bersama lebih kurang tujuh tahun sebelum Pak cik Yusoff meninggal dunia di hospital pada usia 84 tahun kerana sakit tua. 

Lebih menarik bila saya diberitahu, walaupun berlainan agama namun lelaki India itu tidak pernah menghalang Pak cik Yusoff untuk terus mengamalkan ajaran Islam. Malah, Kumaraguru turut mengupah jiran beragama Islam untuk memasak makanan buat lelaki itu sepanjang tinggal bersamanya. Setiap hari Jumaat pula dia mengupah sebuah teksi untuk datang menjemput dan menghantar pulang Pak cik Yusoff bagi bersolat Jumaat di masjid. Segala kos tersebut ditanggung Kumaraguru tanpa mengharapkan sebarang balasan. 

Kata Kumaraguru, sejak dia menjaga Pak cik Yusoff, rezekinya bertambah. Perniagaannya semakin maju hingga keluarganya mampu hidup senang lenang. Kehadiran lelaki tua itu dalam keluarga mereka ibarat membawa rezeki dan tuah. Seluruh keluarga Kumaraguru begitu sayang dengan Pak cik Yusoff. Walaupun berlainan agama dan tiada pertalian darah, mereka melayannya seperti ayah kandung sendiri. 

Sebab itu bila lelaki itu meninggal dunia, ramai saudara-mara Kumaraguru turut mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan sebagai penghormatan terakhir. Malah, saya juga diberitahu segala kos rawatan dan urusan pengebumian Pak cik Yusoff ditanggung oleh keluarga lelaki India tersebut. Saya rasa kagum bila mendengar kisah itu. Walaupun berlainan agama dan bangsa, nyata hubungan sesama manusia tetap terpelihara. Saya turut memuji apa yang dilakukan lelaki India itu terhadap jenazah. Sukar rasanya hendak berjumpa orang seperti Kumaraguru. Selebihnya tentang kisah kehidupan Pak cik Yusoff, saya tidak tahu. 

Selepas pengebumian itu, hanya sekali saya berjumpa dengan keluarga Kumaraguru. itu pun apabila dia hubungi saya meminta izin untuk datang menziarahi pusara Pak cik Yusoff. Bila melihat semua itu, saya tersenyum. Saya yakin memang keluarga India itu benar-benar sayang kepada Pak cik Yusoff. Satu keadaan yang jarang dapat kita saksikan.


Kadangkala saya bertanya sendiri, benarkah arwah ini hidup sebatang kara dan tiada waris sepanjang hayatnya. Atau berkemungkinan dia telah ‘dibuang' oleh keluarganya sendiri dan akhirnya Tuhan datangkan sebuah keluarga yang menyayangi dan lebih menghargai kehadirannya walaupun berlainan agama. 

Siapa sebenarnya Pak cik Yusoff? la terus jadi tanda tanya pada saya hingga kini. 

NOTA: Saya dalam kisah di atas ialah Tuan Zulkifli bin Said, penyelaras tanah perkuburan di Sungai Petani, Kedah.

Dipetik dari Mastika 8/2014

No comments:

Post a Comment