Ibnu Mas'ud r.a.berkata: "Pada suatu waktu ketika baginda Rasulullah S.A:W. sedang menunaikan sembahyang dekat Ka'bah, kebetulan Abu Jahal dan kawan-kawannya duduk dekat situ. Dan kebetulan pula kelmarinnya ada orang menyembelih unta di situ.
Abu Jahal berkata: 'Wahai sahabat-sahabatku, siapakah di antara kamu yang sanggup mengambil perut unta dan meletakkan di atas bahu Muhammad (S.A.W.) ketika dia sujud.'
Kemudian pergilah salah seorang dari mereka mengambil perut unta yang terdapat dekat situ, lalu mereka pun meletakkan perut unta di atas bahu Rasulullah S.A.W. ketika beliau sedang sujud."
Ibnu Mas'ud berkata lagi: "Setelah itu mereka ketawa terbahak-bahak dan aku tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berdiri sahaja melihatnya. Kalaulah aku sanggup sudah tentu aku buang perut unta itu dari bahu Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. tidak mengangkat kepala sebaliknya beliau terus berada dalam sujud sehingga ada orang yang pergi memberitahu Fatimah . Ketika itu Fatimah masih budak-budak lagi.
Setelah Fatimah datang, lalu dibuangkan perut unta tersebut dari bahu Rasulullah S.A.W. Kemudian Fatimah menghampiri Abu Jahal dan kuncu-kuncu lalu Fatimah memaki kesemua mereka itu. Setelah selesai Rusulullah S.A.W. menunaikan sembahyang maka beliau pun mengeraskan suara dengan berdoa, beliau membaca doa tiga kali dan apabila beliau meminta beliau meminta tiga kali. Rasulullah S.A.W. berkata: "Allahumma 'alaika bi Quraisy."
Ketika Abu Jahal dan kuncu-kuncunya mendengar Rasulullah S.A.W. berdoa, mereka berhenti dari ketawa kerana takut akan doa beliau. Rasulullah S.A.W. berdoa: "Allahumma 'alaika bi Abi Jahal bin Hasyim, wa 'Utbah bin Rabia'ah. wa Syaibah bin Rabi'ah, wal Walid bin 'Uqabah, wa Umayyah bin Khalaf, wa 'Uqbah bin Abi Mu'ith (Doa Rasulullah S.A.W. untuk membinasakan mereka itu)."
Ibnu Mas'ud ada menyebut nama orang yang ketujuh dalam kumpulan itu, tetapi perawi lupa namanya.
Kata Ibnu Mas'ud lagi: "Demi Allah yang telah mengutus Muhammad S.A.W. dengan yang hak, sesungguhnya aku melihat kesemua orang-orang yang disebutkan nama mereka dalam doa beliau itu kesemuanya mati tergeletak dalam perang Badar. Kemudian mayat-mayat mereka itu diseret ke dalam lubang di Badar itu."
Wahai saudara-saudaraku jangan sekali-kali kita ingat bahawa Rasulullah S.A.W. berdoa supaya membinasakan mereka disebabkan beliau hendak membalas dendam, sesungguhnya dalam diri Rasulullah S.A.W. tidak ada satu ruang pun untuk membalas dendam pada sesiapa pun. Sebab-sebab Rasulullah S.A.W. mendoakan supaya mereka itu binasa hanya Allah dan RasulNya sahaja yang tahu.
Janganlah kita membaca sesuatu cerita itu kemudian kita mempunyai sangka buruk, mereka yang menyangka buruk terhadap Rasulullah S.A.W. adalah mereka itu bapa syaitan. Sifat sabar yang ada pada diri Rasulullah S.A.W. tidak akan terdapat pada diri sesiapa pun di dunia ini. Oleh itu bila kita membaca cerita begini syaitan akan menganggu kita, kita hendaklah bertekad dalam hati kita bahawa tidak ada walau satu titik pun dalam diri Rasulullah itu sifat balas dendam.
Semoga Allah S.W.T. menjauhkan kita semua dari dirasuk oleh syaitan dengan memburuk-burukkan peribadi Rasulullah S.A.W.
Sebaik-baik akhlak itu ialah akhlak Rasulullah S.A.W., sebaik-baik cara hidup itu adalah cara hidup yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...
No comments:
Post a Comment