Pages

Saturday, May 8, 2021

KISAH SAYYIDINA UMAR R.A. DIBUNUH DI DALAM MASJID...

Amr bin Maimun berkata:" Ketika Umar r. a. mendapat musibah aku berdiri dekat beliau, dekat dengan aku ialah Abdullah bin Abbas. Umar r.a. melalui dua saf dan didapatinya ada saf yang kosong kemudian beliau menyuruh penuhkan ruang saf yang kosong itu, dan merapatkan saf-saf."

Amr bin Maimun berkata lagi: "Ketika Umar r.a. membaca surah Yusuf maka makin banyaklah orang berkumpul. Kemudian aku mendengar kata-kata yang berbunyi: "Dibunuh aku atau aku dimakan oleh anjing." Setelah kedengaran kata-kata itu maka melurulah Abu Lu'luah dengan pisau yang mempunyai dua mata lalu menikam Umar r.a. Sewaktu Abu Lu'luah hendak menikam Umar r.a., dia telah berada dalam saf seolah-olah dia juga hendak sembahyang. Untuk melepaskan dirinya Abu Lu'luah menikam seramai 13 orang yang sedang sembahyang, sembilan dari mereka itu mati. Ada riwayat yang mengatakan tujuh orang yang mati. Umar r.a. ditikam ketika dia hendak memulakan sembahyang.

Apabila keadaan menjadi kelam kabut maka orang kafir ajam yang bernama Abu Lu'luah itu itu cuba melarikan diri, tetapi orang-orang muslim menarik baju jubahnya, apabila orang kafir itu menduga bahawa orang muslim telah melemparkan pakaian jubahnya itu maka dia pun membunuh diri. Umar r.a. memegang Abdurrahman bin Auf dan menyuruh beliau naik menjadi imam, hal ini hanya diketahui oleh orang-orang yang berdekatan dengan di sudut masjid tidak tahu apa-apa. Dan selain itu tidak lagi kedengaran suara apa-apa kecuali ucapan: "Subhanallah, Subhanallah."

Setelah selesai Abdurrahman bin Auf mengimami solat maka orang ramai pun bersurai, mereka tidak tahu apa yang terjadi kepada Umar r.a. Abdurrahman bin Auf menghampiri Umar r.a.

'Kata Umar r.a.: "Wahai Ibnul Abbas, kamu tolong siasat siapakah yang telah menikam aku tadi."

Kemudian Abdurrahman bin Auf pergi, seketika kemudian dia datang kepada Umar r.a. dan berkata: "Wahai Amirrul mukminin , orang yang menikam kamu adalah dari hamba Al Mughirah bin Sya'bah."

Kata Umar r.a.: "Kalaulah dia dibunuh oleh Allah, sesungguhnya aku menyuruhnya yang baik."

Kata Umar r.a. lagi: "Syukur aku kepada Allah S.W.T. kerana aku tidak dibunuh oleh orang muslim."

Al-Abbas banyak sekali berkawan rapat dengan or­ang kafir Ajam di Madinah, berkata Al-Abbas: "Wahai Amirul mukiminin, kalau kamu menghendaki, kami sedia membunuh mereka semua."

Kata Umar r.a.: "Apakah kita hendak membunuh mereka setelah mereka berkata-kata dalam bahasa kamu, apakah mereka mengerjakan solat ke kiblat kamu? Dan mengerjakan haji seperti haji kamu?"

Setelah Umar r.a. berkata demikian maka diamlah mereka buat seketika, Umar r.a. lalu dibawa ke rumah beliau dalam keadaan parah."

Amr meneruskan cerita: "Pada hari itu manusia merasakan seolah-olah telah menimpa satu musibah yang belum menimpa mereka sebelum hari itu. Ada pula yang mengatakan: "Aku sangat takut akan keadaan nasib Umar r.a.". Ada pula yang berkata: "Tidak ada apa-apa yang membahayakan pada diri Umar."

Apabila Umar r.a. berada di rumahnya beliau diberikan oleh para sahabat yang lain meminum air nabiz (yakni sejenis air yang diperbuat dari buah tamar dan ianya tidak memabukkan). Umar r.a. pun meminum air tersebut, tetapi air itu keluar dari perutnya. Kemudian diberikan pula susu, susu juga keluar dari perut Umar r.a. Tahulah para sahabat bahawa Umar r.a. akan wafat.

Oleh kerana keadaan Umar yang makin tenat maka ramailah yang datang menziarahi beliau. Seorang lelaki menghampiri Umar r.a. dengan berkata: "Gembiralah wahai Amirul mukminin dengan khabar gembira dari Allah Azza wa Jalla, engkau telah masuk Islam dengan persahabatan Rasulullah S.A.W., engkau dijadikan wali negeri . Kamu berlaku adil dan mati kamu adalah syahid."

Kata Umar r.a.: "Bagi aku yang demikian itu adalah sudah cukup. Tidak atasku dan tidak bagiku."

Apabila lelaki itu undur ke belakang maka kain yang dipakainya itu telah turun ke bawah, lalu Umar r.a. berkata: "Wahai anak saudaraku, angkatlah kainmu, sesungguhnya itu akan mengekalkan kainmu dan lebih mentaqwakan kepada Tuhanmu."

Setelah itu Umar r.a. berkata: "Wahai Abdullah, sila perhatikan berapa banyakkah hutang-hutang yang aku belum jelaskan?"

Lalu Abdullah pun mengira hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh Umar r.a., setelah mengira beliau pun berkata: " Wahai Amirul mukminin, hutangmu itu ada sebanyak 86,000 dirham."

Kata Umar r.a.: "Kalau harta Umar ini cukup untuk menyelesaikan hutang itu maka kamu selesaikan, kalau hartaku ini tidak cukup mintalah kepada kabilah Bani 'Adi bin Kaab. Kalau harta mereka juga tidak cukup maka mintalah kepada kabilah Quraisy dan janganlah engkau melampaui mereka dengan orang lain dan selesaikan hutangku."

Kata Umar r.a. lagi: "Pergilah kamu kepada Ummul-mukminin 'Aisyah, katakanlah kepadanya bahawa Umar sampaikan salam dan jangan kamu katakan Amirul mukminin, sebab pada hari ini aku bukan lagi Amirul mukminin. Katakanlah bahawa Umar bin Al-Khattab meminta izin untuk dikuburkan bersama kedua temannya." (yang dimaksudkan kedua temannya ialah supaya diizin untuk dikuburkan jenazah Umar di sebelah Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar r.a.).

Setelah Abdullah menerima arahan dari Umar r.a. maka beliau pun pergi ke rumah 'Aisyah , setelah memberi salam dan diizinkan masuk maka Abdullah mendapati 'Aisyah sedang menangis. Abdullah pun berkata Umar menyampaikan salam dan beliau meminta izin dari kamu supaya beliau dapat dikuburkan bersebelahan dengan kedua temannya."

Kata 'Aisyah r.a.: "Wahai Abdullah, sebenarnya aku menghendaki tempat itu untuk diriku , tetapi pada hari ini aku lebih utamakan Umar dari diriku sendiri."

Setelah Abdullah mendapat izin dari 'Aisyah r.a. maka beliau pun kembali ke rumah dan berkata: "Ini Abdullah bin Umar telah datang."

Kata Umar r.a.: "Tolong angkat aku." Lalu Umar r.a. pun diangkat dan disandarkan kepada Abdullah oleh salah seorang para sahabat.

Kata Umar r.a.: "Wahai Abdullah, bagaimana dengan kerja yang aku suruh?"

Kata Abdullah: "Apa yang kamu ingin wahai Amirul mukminin 'Aisyah telah izinkan."

Kata Umar r.a.: "Alhamdulillah, tidak ada sesuatu yang lebih penting padaku dari pada itu, apabila ajalku telah sampai bawalah aku. Kemudian ucapkan salam dan kebumikan aku bersama temanku, kalau tidak diizinkan maka hendaklah kamu membawa aku keperkuburan kaum muslimin."

Anak perempuan Umar yang bernama Ummul mukminin Hafshah datang menziarahi bapanya, Hafshah masuk melihat keadaan ayahnya dan dia menangis. Kemudian kaum lelaki meminta Hafshah masuk ke dalam sedikit sebab kaum lelaki hendak menziarah, Hafshah pun masuk dan menangis. Lalu berkata kaum lelaki pada Umar: "Wahai Amirul mukminin, berilah wasiatmu."

Kata Umar r.a.: "Aku tidak nampak yang lebih berhak dengan urusan ini dari mereka, sewaktu Rasulullah S.A.W. wafat, Rasulullah S.A.W. redha kepada mereka. Lalu dia menyebut: "Ali, Usman, Az-Zubair, Thalhah, Saad dan Abdurrahman." Kata Umar r.a.: "Abdullah bin Umar naik saksi, dan tiada baginya sesuatu dari urusan itu seperti, cara ta'ziah baginya."

Kata Umar r.a.: "Aku wasiatkan kepada Khalifah sesudahku bagi orang-orang muhajirin yang pertama, bahawa diakui mempunyai kelebihan bagi mereka dan jagalah kehormatan mereka. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu agar sentiasa membuat kebaikan bagi orang-orang Ansar yang telah mendiami negeri dan iman sebelum dari kaum muhajirin itu, bahawa ihsan dari mereka diterima dan perbuatan buruk mereka dimaafkan."

Kata Umar r.a. lagi: "Aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan penduduk-penduduk kota bahawa mereka itu kurang baik Islamnya, mereka mengumpulkan harta dan bersikap kasar terhadap musuh. Janganlah ambil pemberian mereka melainkan pemberian dengan hati yang ikhlas. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan terhadap orang-orang Arab desa. Sesungguhnya mereka itu Arab asli dan unsur Islam dan bahawa dia mengambil harta mereka dan diberikan kepada orang- orang miskin di kalangan mereka juga. Aku wasiatkan kepada Khalifah itu supaya setia kepada Allah 'Azza wa jalla dan setia kepada Rasulullah S.A.W. Bahawa diperangi mereka kerana mereka mementingkan hak mereka, dan tidak diberatkan kepada mereka selain menurut kemampuan mereka."

Kata Amr: "Ketika Umar r.a. telah wafat lalu kami membawa jenazah Umar r.a. dengan berjalan kaki, kemudian Abdullah bin Umar memberi salam dan berkata: "Umar A1 Khattab meminta izin." Kemudian 'Aisyah r.a. berkata: "Bawalah dia masuk."

Lalu mereka membawa jenazah Umar r.a. masuk dan dikebumikan bersebelahan denga kedua temannya.

Jibrail A.S. berkata: "Islam itu menangis kerana meninggalnya Umar."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

No comments:

Post a Comment