Pages

Tuesday, October 26, 2010

MAUT GARA-GARA REMOTE CONTROL

Berita Harian 23/10/2010


Tidak ada berita paling sedih yang aku rasakan pada pagi itu melainkan apabila membaca berita kematian penuh tragis adik Muhammad Naili Nafis Zakaria yang berusia 14 tahun berpunca dari berebutkan alat kawalan TV dengan adik bongsunya yang berusia 5 tahun.

Mangsa maut akibat terkena kaca tingkap naco yang diacukan kakaknya 16 bagi menakut-nakutkannya dalam usaha meleraikan pergaduhan itu. (kelik pada gambar untuk berita sepenuhnya).

Maut berada dimana-mana tetapi cara kematian yang tidak disangka-sangka amat menyedihkan. Tindakan seorang kakak yang diberi tanggungjawab oleh ibu bapa semasa ketiadaan mereka untuk menjaga adik-adik adalah satu lumrah dalam kehidupan sesebuah keluarga. Tindakannya meleraikan pergaduhan adik-adik adalah amat wajar dan patut dipuji, cuma nasib sahaja tidak menyebelahinya apabila adiknya maut didepan mata.

Aku tidak dapat membayangkan betapa sedihnya hati seorang kakak yang amat menyayangi adik-adiknya. Sesungguhnya ujian yang diterimanya amat berat dan akan sentiasa menghantui hidupnya.

Nasihat aku kepada kakak mangsa supaya banyak-banyak bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini, sesungguhnya kakak tidak bersalah apa-apa dalam hal ini. Yang pastinya Allah amat menyayangi arwah Muhammad Naili dan semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan diberi ampunan serta rahmat oleh Allah.

Kepada kedua ibu bapa kanak-kanak ini, aku berharap agar dapat menerima ketentuan Ilahi dan menerimanya dengan penuh redha. Usahlah ditangiskan akan perkara yang telah berlaku, perbanyakkanlah amal ibadat dengan penuh ikhlas semoga apa yang telah diambil dapat digantikan dengan yang lebih baik.

ALFATIHAH


Sunday, October 24, 2010

LAGI GADIS MENYESAL KAHWIN LARI KE LOMBOK


"Saya sangat menyesal lari ikut kekasih ke Lombok...
hanya penderitaan tidak terhingga dan keperitan hidup yang dilalui
sepanjang di sana." kata Shafika Marlina Mohd Safie 16.


Gadis dari Telok Intan, Perak itu yang melarikan diri
pada 4 September lalu berjaya dikesan dan dibawa pulang
kira-kira jam 9.45 malam tadi.


Saya harap keluarga dapat memaafkan perbuatan saya
menyusahkan mereka disebabkan terlalu mengikut kata hati.
Hidup berjauhan dengan keluarga memang perit,
saya serik dan amat terasa ketiadaan keluarga," katanya
yang berhasrat meneruskan persekolahan dan melupakan peristiwa lalu.



Begitulah sebahagian dari kata-kata gadis tersebut yang disiarkan oleh Berita Harian keluaran 23 Oktober lalu.


Walaupun sudah beribu kali kisah gadis-gadis kita dibawa lari oleh pemuda Lombok yang datang mencari rezeki disini dipaparkan masih belum menjadi pengajaran kepada mereka.


Bukan nak menyalahkan sesiapa, tetapi ketahui lah para-para gadis sekelian bahawa tiada apa yang boleh dijanjikan oleh pemuda Lombok melainkan hanya kesusahan, kesengsaraan dan penderitaan yang bakal menanti apabila tiba di sana.


Kata-kata lunak, ungkapan cinta dan ayat-ayat 'power' yang digunakan untuk memikat akan lenyap begitu saja apabila sudah bergelar 'isteri' kepada mereka.


"Biar lah anak-anak muda tempatan kita bercakap kasar, tidak romantik, dan tiada kualiti untuk bergelar suami tetapi masih jauh lebih baik berkahwin dengan mereka dari berkahwin dengan pemuda-pemuda yang tidak diketahui asal dan keturunannya itu.


Jika setelah berkahwin dengan pemuda tempatan dan jika kurang bernasib baik dapat seperti perangai diatas, banyak-banyaklah bersabar, banyakkan berdoa dan berusaha membimbing mereka kembali kejalan yang benar dan diredhai Allah. (Walaupun sebenarnya tugas membimbing isteri adalah tugas suami).


Kalau anak muda tempatan tidak berkualiti dan tidak romantik...tak pa...tak pa... (loghat Utara) pakcik-pakcik, duda-duda atau bujang-bujang terlajak kat pejabat kita... atau lain-lain, masih banyak yang sudi untuk melamar dan berjanji untuk menjadi suami yang romantik, penyayang dan penyabar jauh beribu kali baik dari anak-anak muda tempatan atau jejaka Lombok.


Bagi lah peluang kepada mereka....dan renung-renungkan lah....nasihat ku ini.

KAHWIN DUA

Berita Harian 23 Okt 2010

Pertama sekali aku nak ucapkan tahniah kepada Azhar Haidri kerana dapat berkahwin dua dalam tempoh 24 jam gara-gara tidak mahu membantah keinginan ibu bapanya yang ingin supaya beliau mengahwini gadis pilihan keluarga dan gadis idaman hatinya.


Di Negara kita, bukannya mudah bagi orang lelaki nak dapat peluang yang sebegini disebabkan budaya dan adat resam yang berlainan. Disamping itu berkahwin dua dilihat sebagai sesuatu perkara yang macam menjadi satu kesalahan dan perbuatan yang memalukan keluarga.


Walaupun akhirnya mereka dapat juga kahwin, tetapi setelah menempuh berbagai halangan dan dugaan sampai ada yang sanggup menipu isteri, kahwin lari, berkahwin di luar negara atau melalui sindiket.

Paling malang bagi pihak lelaki ialah apabila tindakan nekad dilakukan isteri dengan menyimbah asid keatas suaminya yang ingin berpoligami sehingga cacat seumur hidup, dikerat kemaluannya atau dibunuh akibat isteri tidak dapat menerima hakikat hidup bermadu.


“Akak bukannya tak sokong suami nak kahwin lagi satu, tapi akak yang dah 10 tahun kahwin dengannya tahu akan kelemahan dia dari semua segi,” kata seorang yang berpangkat seorang kakak kepada ku semasa kami menghadiri satu majlis rasmi syarikat.


Aku yang ingin mengorek rahsianya tanpa menunggu lama mengajukan beberapa soalan peribadinya.


“Saya tak paham lah apa maksud akak kata suami lemah dari semua segi tu.” Kata ku sedikit berbisik kepadanya.


“Alah, malas akak nak cerita…buat malu je, lagipun akak malas dah nak pikir, buat pening je…” katanya sambil menghirup minuman.


Walaupun sehingga kini aku tidak mendapat jawapannya, tapi dari apa yang aku ketahui samada melalui pembacaan, pergaulan atau dalam banyak perbincangan, beberapa faktor telah dikenal pasti yang menyebabkan para isteri menentang suaminya ingin berkahwin dua.


  • Isteri menganggap mereka tiada apa-apa kekurangan atau cacat cela yang membolehkan suami memberi alasan untuk berkahwin lagi.
  • Isteri telah bersusah payah dan banyak berkorban dalam membantu suami membangunkan ekonomi keluarga sehingga ketahap selesa sekarang.
  • Kesihatan suami semakin merosot berikutan bertambahnya usia dan hidup banyak bergantung kepada ubat-ubatan.
  • Suami tidak dapat berlaku adil apabila berpoligami dan kebanyakannya akan mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak.
  • Terdapat suami yang tidak berkemampuan dari segi ekonomi dan hanya menyerah kepada isteri dalam menyediakan perbelanjaan keluarga.

Walau apapun alasan yang akan diberikan, tetapi jika seseorang lelaki tu dah nak kahwin lagi maka tiada siapa yang dapat menghalangnya….


Pesan aku kepada bakal-bakal madu cuma satu….iaitu.....


"Sabor je la kak...tak dapek den nak nolongnya...

Sunday, October 17, 2010

APAKAH AYAH MASIH SEPERTI SEMALAM?

Salah sebuah buku
yang mengupas tentang alam kubur.
-gambar hiasan-

Suatu petang selesai solat Asar, Hassan Al-Bashri duduk di bawah pokok kurma di hadapan rumahnya. Tiba-tiba melintas sekumpulan anak muda dari hujung kampung mengusung jenazah.


Di belakang kumpulan itu berduyun-duyun saudara mara mengekorinya. Sementara itu, anak perempuan si mati berjalan di bawah usungan tersebut mengiringi jenazah dengan lelehan air mata. Rambutnya mengerbang dan sesekali dia tersedu-sedu.

Hassan bangkit daripada tempat duduknya dan turut menghantar jenazah hingga ke kawasan perkuburan. Sewaktu berjalan dia terdengar gadis itu merintih:

“Ayah…ayah! Kenapalah malang sangat nasib saya, terpaksa menempuh keadaan begini.”

Mendengar rintihan itu, Hassan mempercepatkan langkahnya lalu menghampiri gadis itu. “Anakku, kau tidak akan dapat menemui ayahmu lagi selepas ini,” kata Hassan kepada gadis itu yang kelihatan terperanjat. Di tenungnya tepat-tepat wajah orang tua yang tak dikenalinya itu.

Melihat gadis itu masih dalam keadaan terpinga-pinga, Hassan mempercepatkan langkahnya mendahului kumpulan pemuda yang mengusung jenazah. Setelah mengimamkan sembahyang jenazah, Hassan terus pulang.

Tinggallah anak gadis si mati di sisi kubur ayahnya. Sekejap dia bersimpuh, sekejap lagi dia berlari. Ketika hari hampir senja barulah dia berjalan pulang. Sewaktu meninggalkan tanah perkuburan itu dia sempat berbisik.

“Ayah, awal pagi esok saya akan datang lagi.”

Keesokan paginya setelah solat Subuh, mengaji dan sembahyang sunat, Hassan duduk menghirup udara pagi di bawah pokok kurma. Sedang tangannya ralit menghitung tasbih, mata pula tidak lepas memandang jalan berpasir yang terbentang di hadapannya, dia ternampak berbalam-balam seseorang sedang berjalan ke arahnya.

“Kemana arah tujuannya, berjalan sendirian di subuh-subuh begini,” bisik Hassan. Semakin lama semakin hampir dan jelas, dia anak gadis si mati yang ditemuinya semalam.

Gadis itu sambil berjalan menangis teresak-esak tanpa menghiraukan Hassan yang sedang memerhatikannya.

“Tentu ada sesuatu yang hendak dilakukannya, baik aku ikut,” bisik Hassan sendirian. Lalu diekorinya gadis itu.

Sampai di hujung jalan gadis itu membelok ke kawasan perkuburan. Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, dia terus menuju ke kubur ayahnya. Gadis itu kemudian merebahkan badannya di atas kubur sementara mukanya disembamkan ke tanah.

Hassan memerhatikan dari jauh. Kemudian dia terhendap-hendap menuju ke sebatang pokok besar berhampiran. Dari celah dahan pokok itu dia mengintai perlakuan gadis tersebut.

Gadis itu sedang meratap memanggil-manggil ayahnya. “Bagaimanalah ayah tinggal dalam gelap sendirian dan tidak ada penghibur?”


gambar hiasan

“Ayah, akulah yang membentangkan tilammu semalam, tapi siapa pula yang membantumu malam tadi. Semalam tangan inilah yang menyelimutkan tubuhmu. Malam tadi siapa pula yang melakukannya.”

“Wahai ayah! Akulah yang mengambilkan minuman, makanan dan menyuapkannya ke mulut ayah, tapi kini siapa pula yang melakukannya?”

“Semalam akulah yang memakaikan bajumu, tapi hari ini siapakah yang membantumu?”

“Ayah… masih terdengar suara ayah memanggil namaku semalam,tapi hari ini suara itu tiada lagi,” katanya mendayu-dayu.

Ratapan anak gadis itu benar-benar menyentuh hati Hassan. Dia keluar perlahan-lahan dari tempat persembunyian dengan harapan kehadirannya tidak akan disedari. Diatur langkahnya penuh cermat menghampiri gadis yang sedang mendakap kubur ayahnya. Bahu gadis itu ditepuknya lembut sebaik menghampirinya.

“Wahai anakku, janganlah meratap sedemikian di atas kubur ayahmu. Mahukah kamu, kalau saya ajarkan ucapan yang harus kamu lakukan?”

gambar hiasan

Gadis itu menoleh dan agak lama dia menatap wajah Hassan. Mungkin dia terkenangkan pertemuannya dengan imam itu semalam. Apabila pertanyaannya tidak dijawab, Hassan mengulanginya sekali lagi. Barulah gadis itu mengangguk sambil mengesat air matanya.

“Katakan begini: “Kelmarin akulah yang menghadapkan ayah ke kiblat. Adakah keadaan ayah masih seperti semalam atau ayah sudah berpaling?”

“Ayah, aku mengapani jasadmu dengan kain putih yang baik. Adakah ia masih baik atau sudah koyak rabak?”

“Semalam sewaktu jasad ayah diturunkan ke liang lahad, ia masih sempurna. Adakah ia masih begitu atau sudah reput dimamah cacing?”

“Wahai ayah, ada ulama mengatakan, setiap yang mati akan ditanya urusan iman. Adakah ayah dapat menjawab setiap soalan?”

“Ulamak berkata lagi, ada yang diberikan Allah kubur yang lapang namun ada pula yang sempit. Bagaimana kubur ayah…sempit atau lapang?”

“Ada pula yang mendapat kain kapan dari syurga dan ada pula yang terimanya dari neraka. Kain kapan ayah dari mana?”

“Kubur itu ibarat taman-taman syurga atau lubang-lubang neraka. Kubur ayah taman syurga atau lubang neraka?”

“Ada kubur yang merangkul si mati seperti ibu merangkul anaknya. Namun ada juga yang menghimpit si mati hingga berselisih tulang rusuk.

“Adakah kubur itu merangkul atau menghimpit ayah?”

“Wahai ayah, orang yang beriman menyesal lantaran kurang melakukan kebaikan, manakala yang jahat pula menyesal kerana sering melakukan kejahatan semasa hidup. Adakah ayah antara ahli kubur yang menyesal kerana kurang melakukan kebaikan atau sering berbuat jahat?”

“Wahai ayah, semalam apabila aku memanggilmu, kau terus menyahut. Tapi hari ini, sudah puas kupanggil, tapi tiada jawapan.”

”Aku tidak akan dapat berjumpa denganmu lagi sehingga datangnya kiamat. Ya Allah…janganlah Engkau halang aku daripada bertemu dengan ayahku di akhirat kelak,” ajar Hassan.

Kemudian anak gadis itu memandang Imam Hassan Al Bashri lalu berkata: “Wahai tuan, terima kasih atas nasihatmu yang baik itu. Sesungguhnya ia cukup menyedarkan aku yang sedang lalai,” jawab gadis itu lalu berhenti menangis.

Saturday, October 16, 2010

MALIM KUNDANG BERASAL DARI KOTA TINGGI

Lagenda Malim Kundang yang derhaka kepada ibunya yang didakwa berasal dari Padang, Indonesia sebenarnya berasal dari Tanahair kita iaitu di Kampung Panchor, dekat sini.

Pengkaji sejarah, Shariff M. Salleh yang merujuk kepada Terombol Tembaga yang dimilikinya berkata Malim Kundang yang disumpah menjadi batu oleh ibunya, bukan satu dongengan tetapi ia memang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita satu ketika dahulu.


Menurutnya, nama Malim Kundang ialah Naza, dilahirkan di Kampung Sungai Panchor, Kota Tinggi. Ibunya orang tempatan manakala bapanya dari Sumatera Barat.

Sejak kecil, bapanya telah meninggal dunia. Oleh kerana rindukan bapanya, beliau sering menziarahi kubur bapanya. Rindu terhadap bapanya itu akhirnya beliau digelar Kundang (rindu), manakala gelaran Malim bermakna nakhoda.


Ketika usianya 17 tahun, beliau meminta izin dari ibunya untuk merantau selama tiga purnama (lebih kurang 3 bulan), bagaimanapun beliau tidak pulang-pulang sehingga lebih 10 tahun.

Beliau dikatakan telah merantau sehingga ke Sumatera Barat. Selama tempoh itu, dari seorang budak kapal beliau akhirnya berjaya menjadi seorang nakhoda yang berjaya.


Beliau kemudiannya berkahwin dengan anak pengusaha kapal iaitu majikanya sendiri. Isterinya bernama Radiah, juga berasal dari Sumatera Barat.

Beliau yang memang mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu dan bapanya, rasa rindu untuk kembali menemui ibunya dan menziarahi kubur bapanya.


Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke Kampung Panchor. Setibanya di hadapan kampung itu, iaitu di Pulau Tembolo (yang masih ada sekarang), beliau pun menurunkan sauh kapalnya. Anak-anak kampung yang sedang menangkap ikan mengenali Malim Kundang lalu memberitahu ibunya bahawa Kundang sudah pulang.

Si ibu yang benar-benar merindui anaknya tanpa melengahkan masa terus pergi menemui anaknya di kapal berkenaan. Beliau dikatakan datang tergesa-gesa tanpa memakai pakaian yang elok.

Akibat keadaan ibunya yang tidak begitu terurus rupanya, Malim Kundang serba salah untuk mengakui itu ibunya, walaupun ibunya beberapa kali memanggil dan meminta kembali ke kampung halamannya. Tambah lagi, beliau malu dengan isterinya yang cantik lagi berada berbanding dengan ibunya yang begitu memalukannya.

Apabila ia enggan mengakui perempuan itu sebagai ibunya, ibunya lalu bersumpah dengan kata-katanya…


“Andainya air susu ini telah diminum oleh anakku Kundang, kau turunkanlah balasan keatasnya ya Allah…derhaka kau…!!!

Setelah disumpah ibunya, beliau segera mengarahkan anak kapalnya agar menaikkan sauh yang didapati tersangkut. Beliau lalu mengarahkan agar sauh itu dipotong. Dengan serta merta sauh itu terus menjadi batu.


Sauh itu dikatakan masih ada hingga kini, walaubagaimanapun ia lebih dikenali oleh penduduk disini sebagai ‘Sauh Acheh’. Tetapi menurut Shariff, sauh itu sebenarnya sauh Malim Kundang.

Sewaktu ditengah lautan dalam pelayaran Malim Kundang kembali ke Sumatera Barat, tiba-tiba kapalnya terkena ribut. Ketika itu beliau menyedari akan menerima balasan atas kesalahan dan sikap derhaka terhadap ibunya. Beliau lalu berpantun:


“Kota Padang Kota Terendam,
Nampak dari Tanjung Perigi,

Sedap terpandang hati terkenang,

Tak sedar merosak ibu sendiri…”


Selepas berpantun, kapalnya dilanda ribut terus pecah dan akhirnya kesemua mereka mati terdampar di Pantai Air Manis, Sumatera Barat. Disitu juga beliau terus menjadi batu akibat sumpahan ibunya.

Di pantai tersebut ketika ini terdapat rupa bentuk batu menyerupai seorang yang sedang menyembah bumi meminta ampun pada seseorang. Disitu juga terdapat peralatan pelayaran seperti tali, kemudi, bekas minuman dan sebagainya yang semuanya menjadi batu.


Dengan penjelasan ini diharap kita dapat membetulkan kembali catatan tentang kisah Malim Kundang ini. Pertamanya ia bukan satu dongeng tetapi ia kisah nyata. Kisah sejarah keluarganya adalah ditempat kita iaitu di Kampung Panchor bukannya di Sumatera Barat.


Sehubungan itu Shariff berkata ia tidak adil dan tidak benar sama sekali apabila orang ramai hari ini mengatakan bahawa lagenda Malim Kundang itu berlaku di Sumatera Barat.

Oleh itu, perlu rasanya satu usaha mengenal pasti dan memajukan kesan tempat tinggalnya di Kampung Panchor. Selain itu, sejarah sauh Malim Kundang juga perlu diperbetulkan dan catatan berkaitan kehidupan nakhoda itu perlu ditulis semula di sini.


Sesungguhnya sejarah bangsa kita memang ada kaitan dengan sejarah dan penduduk di Nusantara, samada di Riau, Jawa mahupun Sumatera.


Dipetik dari majalah Wawancara Mac 1998 (m/s 51-53)

Sunday, October 3, 2010

HARGA SEBUAH POTRET

Seorang lelaki kaya berkongsi hobi dengan anak tunggalnya, mengumpul lukisan karya pelukis agung. Kedua-duanya sanggup mengembara kemana sahaja semata-mata mencari lukisan.


Karya seniman tempatan dan luar negara seperti Picasso, Van Gogh dan sebagainya menghiasi dinding kediaman mewah lelaki berkenaan. Rumah agam yang terletak disebuah ladang luas bagaikan galeri lukisan selepas isterinya meninggal dunia beberapa tahun lalu.


Kedua-dua beranak itu menghabiskan waktu santai mereka menatap koleksi lukisan itu tanpa rasa jemu. Sesekali mereka bersembang mencerita kembali kisah menarik di sebalik setiap lukisan yang ada diantaranya dipenuhi misteri.


Suatu hari sianak memberitahu ayahnya yang dia mahu menyertai pasukan tentera laut.


“Ayah bangga dengan sikap kamu itu,” kata ayahnya.


Sianak terpaksa berpisah dengan ayahnya. Sekali-sekala dia pulang menjenguk ayah yang telah tua serta menikmati semula lukisan yang memenuhi dinding banglo rumahnya itu.


Suatu petang beberapa hari sebelum ulang tahunnya yang ke 69, siayah menerima khabar buruk, anak kesayangannya hilang semasa melakukan operasi mengejar lanun. Tiga hari kemudian, anaknya disahkan terkorban terkena tembakan musuh.


Lelaki tua itu hilang semangat. Sambutan ulang tahunnya takkan seceria tahun-tahun sebelumnya. Beliau keseorangan tanpa adanya teman berbual. Tiada kedengaran gelak ketawa rakan kenalan dan lebih menyayat hati tanpa kehadiran insan tersayang disisi.


Awal pagi itu, sedang lelaki itu duduk termenung di ruang tamu, tanpa sebarang makanan atau minuman di atas meja, pintu rumahnya diketuk beberapa kali. “Siapa agaknya yang datang untuk mengucapkan selamat ulang tahun pagi ini?” getus lelaki tersebut. Sambil berjalan ke pintu, dia terkenangkan anak tunggalnya itu.


“Ah…mana mungkin anak yang mati dapat hidup semula,” bisiknya. “Boleh saya masuk?” kata seorang pemuda yang tercegat di muka pintu. Lelaki tua itu gamam. Pemuda itu, yang pasti bukan anaknya, lengkap berpakaian seragam anggota tentera laut.


“Saya kawan karib anak pak cik,” kata pemuda itu lagi menghulurkan tangan. “Anuar nama saya, rakan sepasukan yang sempat bercakap dengan anak pak cik saat dia terkena tembakan musuh,” berkata pemuda itu sebaik dijemput masuk oleh lelaki tua itu.

“Pak cik, anak pak cik jasanya cukup besar. Dia telah menyelamatkan puluhan nyawa anggota lain sebelum dia sendiri kecundang,” anak muda itu meneruskan ceritanya.


“Saya tahu pak cik sangat sedih hari ini. Tiada siapa datang memberikan ucap selamat seperti selalu. “Biarlah saya berikan ucapan itu. Sudilah menerima pemberian saya ini,” kata pemuda itu memberikan hadiah yang dari tadi dikepit di celah ketiaknya.


“Terima kasih…,” balas lelaki tua itu ringkas, lantas meletakkan hadiah yang berbalut kemas itu di tepi dinding. Dia kelihatan mengesat matanya beberapa ketika. Kedua-dua mereka rancak berbual tanpa menyedari hari menjelang petang. Pemuda itu menjelaskan bahawa dia juga seorang pelukis dan tertarik dengan minat dua beranak tersebut.


“Yang saya hadiahkan itu lukisan karya saya pak cik!” kata pemuda itu. Mendengar penjelasan itu, lelaki tua tadi mengambil semula lukisan tadi lalu mengoyakkan bungkusannya.


“Saya akan gantung potret ini pada dinding bilik tamu ini. Inilah lukisan paling hebat pernah saya lihat sepanjang hidup saya,” ujar lelaki itu mengesat-ngesat matanya tatkala melihat lukisan itu iaitu potret anaknya.


Malam itu, lelaki tua menghabiskan masa mengalihkan beberapa lukisan mahal untuk diganti dengan lukisan pemberian rakan anaknya itu. Dia kemudian duduk di kerusi malas sambil menatap potret anaknya yang hilang itu. Pada riak wajahnya, walaupun itu sekadar lukisan, namun dia semacam dapat merasai kelibat kehadiran anaknya. Dengan rasa bangga, dia memberitahu jiran dan rakan-rakannya, itulah lukisan paling hebat di dunia.


Sejak itu, lelaki tua menghabiskan masa merenung potret anaknya sambil air matanya merembes. Ada kalanya dia lupa makan minum. Akibatnya, kesihatan lelaki tua itu sering terganggu.


Genap usianya 69 tahun, 3 bulan dan 6 hari, lelaki tua yang kesepian itu menghembuskan nafas terakhir dirumahnya. Hanya dua tiga kerat jiran tetangga yang menyaksikan dia menarik nafas akhirnya.


Atas wasiatnya, kesemua lukisan yang terpampang pada dinding banglo mewah lelaki itu dilelong sembilan bulan kemudian, pada hari ulang tahun kelahirannya.


Ini kerana pada hari itulah lelaki berkenaan yang patah hati mendapat semula ‘semangat’ menerusi pemberian lukisan potret anaknya. Hari dinantikan pun tiba. Ruang galeri penuh sesak dengan para pembida yang datang sejak awal pagi.


“Kami memiliki banyak lukisan untuk dilelong. Namun menurut wasiat, proses lelongan mesti bermula dengan bidaan untuk lukisan ini terlebih dahulu,” jerit seorang petugas lelong penuh semangat.


Hadirin kemudian dipertonton dengan lukisan potret anak lelaki tersebut. Galeri yang asalnya bising, langsung senyap tanpa suara. Masing-masing dilihat tidak berminat dan ada yang berkira-kira membida lukisan-lukisan mahal selepas tawaran lelong lukisan potret anak hartawan itu.


“Kita mulakan dan siapa berhajat membuka bidaan pada nilai terendah RM100?” jerit pelelong. Matanya meliar memandang setiap hadirin. Malangnya, setelah beberapa minit menanti, tiada seorang pun berminat. Ramai dilihat berbisik-bisik kemudian membisu.


Seorang pembida bangun bersuara: “Siapa peduli lukisan itu! Lebih baik kita lupakan dan langkau sahaja dengan lukisan lain.”


Hadirin mengangguk-angguk tanda setuju dengan pendapat pembida itu. “Tak boleh! Kita mesti mula dengan lukisan ini dahulu,” tegas pelelong bersuara serius.


Akhirnya, setelah beberapa minit menunggu, seorang anak muda mengangkat tangan. “Boleh tak saya bida lukisan itu pada nilai RM100 kerana itulah sahaja wang yang saya ada.”


“Lagipun abang saya kawan orang dalam potret itu yang bergadai nyawa kerana negara,” ujar anak muda itu sambil para hadirin memandangnya penuh sinis.


“Baiklah, siapa ada bidaan yang lebih tinggi? Soal petugas lelong. Suasana galeri senyap. “Pertama…,kedua…,dan ketiga…Habis!


“Awak kini boleh ambil lukisan ini,” kata pelelong kepada pemuda itu. Hadirin dilihat menarik nafas lega kerana akhirnya ada orang yang sanggup membeli lukisan tersebut.


“Sekarang bolehlah kami membida lukisan seterusnya,” kata pembida lain. Petugas lelong tersenyum dan kemudian memaklumkan bahawa proses lelongan sudah pun berakhir. Ramai terkejut dan tidak berpuas hati.


“Bukankah masih banyak lagi lukisan yang bernilai jutaan ringgit untuk dilelong?” Tanya seorang pembida berang. Suasana di ruang galeri menjadi kecoh.


“Kami mahukan penjelasan apa sebenarnya berlaku?” kata seorang pembida. “Baiklah, memandangkan ramai yang bertegas hendakkan jawapan, saya akan jelaskan…,” hadirin yang tadinya bising kembali senyap semula.


“Menurut wasiat si mati, sesiapa sanggup membeli potret anaknya itu, maka dia berhak mendapat semua lukisan yang ada,” jelas pelelong itu.


“Inilah nilai sebenar lukisan tersebut. Biarpun murah, namun nilainya menyamai semua lukisan yang sedia ada!” ujarnya lagi sambil tersenyum. Hadirin terpinga-pinga!

Saturday, October 2, 2010

KALAU DAH NAMA NYA PUN PEREMPUAN

Misa seorang gadis ayu, cantik dan kaya tetapi bisu. Namun demikian, Azman sudi mengahwininya kerana dia berharap masa depannya lebih terjamin beristerikan perempuan berharta walaupun bisu.


Kemana Azman pergi, dia kerap mendabik dada memberitahu rakan-rakannya tentang dirinya yang bertuah kerana mempunyai isteri cantik dan tidak suka berleter, tapi tidak pula diceritakan yang isterinya itu bisu.


Kebanggaan Azman meningkat jika ada rakan-rakannya yang menceritakan tentang diri mereka di leteri isteri setiap hari.


Bagaimanapun lama kelamaan rasa seronok beristerikan perempuan bisu kian terhakis. Perlahan-lahan rasa bosan menyelinap dalam diri Azman. Mula lah dia membayangkan betapa seronoknya berbual-bual dengan isteri. Menatap kecantikan dan menikmati kekayaan isteri selama-lamanya, tentulah tidak akan ada sudahnya, fikir Azman.


Suatu hari ketika sedang memikirkan keadaan dirinya, tiba-tiba muncul seorang perempuan tua dihadapannya. Perempuan itu berjalan terketar-ketar tetapi tidak bertongkat. Wajahnya tidak menampakkan tanda-tanda garang atau menakutkan.


Mulanya Azman ingin lari tetapi entah kenapa kakinya enggan melangkah. Perempuan tua itu lalu berdiri di hadapannya. Mata mereka bertentangan. “Nenek tahu apa yang sedang kamu fikirkan…” kata perempuan tua itu sambil mengukir senyum.


“Tolonglah selesaikan masalah saya…” kata Azman berdiri dari tempat duduknya sambil menyatakan keinginannya berbual-bual dengan Misa seperti suami lain ketika bergurau senda dengan isteri mereka.


“Ambillah tiga helai daun sirih berwarna kuning di belakang rumah kamu. Sewaktu isteri kamu terlena malam nanti, letakkan ketiga-tiga helai daun sirih itu dibawah lidahnya,” kata perempuan tua itu lagi.


Belum sempat Azman mengucapkan terima kasih, perempuan tua itu hilang dari pandangannya. Malam itu Azman melakukan seperti arahan yang diterimanya. Dia membaringkan tubuh di sebelah isterinya dengan harapan menggunung.


Keesokkan paginya, Azman bangun awal sedikit. Dia mahu berbual panjang dengan Misa. Ditenung wajah isterinya. Di tatapnya puas-puas wajah lembut dan ayu itu beberapa ketika. Kemudian perlahan-lahan digoyang-goyangkan bahunya.


“Kenapa bangunkan saya begitu awal…? Tiba-tiba Azman terdengar isterinya berkata, Azman melompat dari katil, menjerit kegembiraan.


Mendengar jeritan Azman, Misa terbangun, duduk lalu bertanya kepada suaminya kenapa dia berkelakuan begitu.


“Sayang boleh berkata-kata…” kata Azman melompat kembali keatas katil sambil mendakap isterinya. Misa juga terpinga-pinga. Baru dia sedar dirinya sudah boleh berkata-kata. Beberapa lama mereka berpelukkan. Kemudian kedua-duanya berpegangan tangan beredar ke taman.


Azman bertanyakan pelbagai soalan kepada Misa, termasuklah beberapa soalan bodoh. Kedua-duanya ketawa riang, menari sambil berpegangan tangan. Tidak pernah Azman merasa begitu bahagia begini.


Masa terus berlalu. Azman merasakan hidupnya bersama Misa seperti berada di syurga. Sayang Azman kepada isterinya tiada sempadan. Kemana dia pergi, dia akan menceritakan kepada rakan-rakannya tentang Misa yang sudah boleh berkata-kata.


Dalam perbincangan dan bualan, Misa kerap memberi teguran apabila dirasakan perlu bagi membetulkan sikap suaminya. Dinasihatkannya agar Azman menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab.


Bagaimanapun apabila setiap hari isterinya memberikan nasihat, teguran dan sesekali leteran, Azman mula merasa sedikit bosan.


Ada ketikanya, Azman pulang lewat bagi mengelak mendengar leteran isterinya. Keadaan itu menyebabkan Misa bertambah marah dan sebaik melihat muka Azman pasti dileterinya.


Tidak tertahan lagi, suatu hari Azman mencari perempuan tua yang membantunya menyembuhkan penyakit Misa dahulu. Sambil duduk di tempat dia menemui perempuan tua itu, Azman merintih, merayu dan meluahkan rasa kesal hatinya.


“Lebih baik beristeri bisu…! Kata Azman berulang kali di dalam hati.


Tiba-tiba muncul perempuan tua itu. Kali ini wajahnya cukup garang. Tanpa berlengah, Azman memberitahu tujuan dan rasa kesalnya menyembuhkan Misa.


Dengan wajah bengis, perempuan tua itu mengherdik Azman. “Kamulah manusia yang tak akan puas dengan apa yang kamu dapat, kamu tidak akan bersyukur. “Kamu kecewa sebelum ini kerana isteri kamu bisu. Tetapi apabila isteri kamu boleh berkata-kata, sepatutnya kamu gembira.


“Tidakkah kamu tahu, perangai perempuan? Mereka memang suka bercakap. Ada kalanya percakapan itu tidak diperlukan. Itulah perempuan…suka bercakap perkara yang tidak seharusnya dicakapkan. Dahulu kamu sepatutnya gembira apabila berkahwin dengan perempuan bisu. Kamu tidak dileteri dan kamu tidak dinasihati…”


“Kalaulah dah namanya perempuan, memang sukar dihalang daripada bercakap. Terima sajalah kenyataan ini kerana aku sendiri tidak ada kuasa untuk menghalangnya daripada bercakap,” kata perempuan tua itu.


Dengan rasa yang cukup kecewa, Azman mengorak langkah pulang ke rumah. Dia berharap isterinya akan berubah. Perlahan-lahan dia mengatur langkah masuk ke rumahnya. Belum sempat langkah kedua dilakukan, Azman terperanjat mendengar suara isterinya.


“Kenapa terhendap-hendap ni? Tak habis-habis buat perangai. Hari-hari balik lambat…”leter isterinya. Mendengar kata-kata itu, langkah Azman terhenti.


Dia teringat akan kata-kata perempuan tua tadi. Rasa kesal kembali semula ke benaknya.