Pages

Friday, December 27, 2013

AKIBAT ILMU GUNA-GUNA, KUBUR DIPENUHI AIR...

Gambar hiasan...

BEGITU ramai kakitangan dalam syarikat Merong Berhad berbuku dan sakit hati pada Mona. Tapi, Mona buat tidak peduli sahaja. Dia tidak kisah kalau semua kakitangan lain membencinya.Yang penting bos tidak membencinya. Begitulah prinsip Mona dalam bekerja. Orang kata Mona kuat bodek bos. Kuat kipas bos. Itu pun Mona tidak peduli. Nak kata, katalah. Yang penting, kerjanya beres.

Sejak Mona bekerja di syarikat korporat gergasi itu, lima tahun lalu, kejaya Mona begitu menyerlah sekali. Daripada Eksekutif Pemasaran dia dinaikkan menjadi Eksekutif Kanan Pemasaran. Kemudian, pernah jadi Pemangku Pengurus Pemasaran bila pengurusnya cuti bersalin. Tidak lama selepas itu, dia dinaikkan pula men­jadi Pengurus Pemasaran. Pengurus Pemasaran sebelum ini, terpaksa ditukarkan ke jabatan lain yang tidak glamor semata-semata kerana bos besar hendak memberi ruang kepada Mona menerajui jabatan yang penting itu. Oleh kerana syarikat Merong Berhad banyak terbabit dalam aktiviti-aktiviti pemasaran, jabatan Mona men­jadi nadi penting kepada syarikat. Jabatan pemasaranlah yang paling banyak memberi keuntungan kepada syarikat.

Sejak itu, kehidupan Mona sekeluarga mula berubah. Daripada tergolong dalam golongan kelas pertengahan rendah, kini keluarganya sudah dianggap kelas pertengahan atas. Daripada tinggal di flat kos rendah dua bilik, mereka berpindah ke apartment mewah tiga bilik, lengkap dengan balkoni, perabot mewah dan hawa dingin. Daripada kereta Proton, kini Mona memandu Honda.

Suami Mona, Azman turut berbangga de­ngan kejayaan isterinya. Dulu, mereka sama-sama susah. Sama-sama bekerja sebagai kerani. Azman kerja kerani di sebuah syarikat komputer. Mona pula bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pemasaran yang kecil dan baru hendak naik. Kerana lebih sepuluh tahun bekerja di syarikat itu, Mona menjadi mahir dalam selok belok pemasaran. Dengan pengalaman itu, suatu hari, Mona mencuba nasib untuk memohon jawatan eksekutif pemasaran Merong Berhad melalui iklan surat khabar. Dengan tidak disangka-sangka, dia berjaya dalam temuduga itu dan seterusnya mula menerokai kerjaya baru dalam bidang pemasaran yang diminatinya.

Azman pula tidak melarang Mona meneruskan kerjaya sehingga ke peringkat tinggi. Walaupun kini jawatan isterinya lebih tinggi daripada dia, Azman tidak kisah kerana Mona tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. Bila Mona sibuk dengan tugas dan asyik mesyuarat sana-sini, Azman akan mengambil alih tugas-tugas Mona di rumah.

Bagaimanapun, tugas menguruskan rumahtangga tidaklah berat kerana dibantu oleh anak-anak perempuan mereka yang sudah meningkat remaja itu. Along belajar di tingkatan lima. Angah di tingkatan tiga dan Usu di tingkatan satu. Hidup mereka tetap bahagia seperti di waktu susah dahulu. Kini, mereka agak senang berbanding dulu. Anak-anak pula boleh mendapat pelajaran yang sempurna, dapat pakai baju lawa dan berpeluang bercuti pada setiap kali musim cuti.

Mona kini menjadi orang kepercayaan Datuk Halim, Pengerusi Merong Berhad. Jika ada projek penting, bos nombor dua atau nombor tiga pasti akan menyerahkan projek itu kepadanya. Kata mereka, ini arahan dari orang atas. Orang atas itu tidak lain tidak bukan ialah Datuk Halim. Kerana baik dengan orang nombor satu dalam syarikat itu, bos-bos lain tidak dapat berbuat apa-apa. Semua projek akan jatuh ke tangan Mona.

Peluang mengendalikan projek-projek penting, menjadikan prestasi Mona semakin menonjol dari hari ke hari. Tiap-tiap tahun, dia akan dapat bonus lebih banyak daripada pengurus-pengurus lain. Selain bonus, Mona juga dapat kereta syarikat, telefon bimbit dan komputer notebook. Orang lain semakin sakit hati melihat pencapaian Mona. Apa tidaknya. Orang lain pun kerja kuat juga. Ada yang kerja separuh mati selama sepuluh tahun. tapi, tidaklah mendapat keistimewaan dan layanan seperti yang diterima oleh Mona.

"Menyampah betul kat si kaki bodek tu," kutuk Rosmah, rakan setugas Mona yang juga berpangkat pengurus.

"Mona?" Tanya Azah.

"Yalah. Siapa lagi.." sahut Rosmah.

"Aku pun menyampah juga. Tapi, aku tak peduli sangat," balas Azah sambil merendahkan suara. Walaupun tidak ada orang di lobi bangunan Merong Berhad yang setinggi 21 tingkat itu, dia tetap bercakap perlahan. Takut kalau-kalau ada orang datang dan terdengar mereka mengumpat Mona.

"Apasal pulak..! Tak berbulu ke biji mata kau tengok dia close dengan chairman?" Tanya Rosmah sambil memandang Azah dengan hairan. Suaranya sedikit meninggi kerana sudah lama memendam rasa benci terhadap Mona.

"Aku tak kisah. Biarlah dia baik dengan bos. Asalkan dia tak kacau periuk nasi kita. Tak ku­tuk kita depan Datuk. Tak hasut Datuk supaya benci kita," jawab Azah.

Rosmah terdiam. Kata-kata Azah itu memang ada kebenarannya. Rosmah berfikir-fikir sendirian. Walaupun, Mona baik dengan big bos, tidak pernah pula dia pijak kepala kawan. Jauh sekali nak tikam belakang kawan. Rosmah berfikir-fikir lagi. Sekali fikir, kagum juga de­ngan kecekapan Mona berpolitiking di pejabat. Orang kata, kalau hendak bodek bos atau cepat naik pangkat, kita kena pandai pijak kepala kawan atau tikam belakang kawan.

Di pejabat, selain rajin keluar makan dengan bos atau rajin puji bos, kena juga rajin menceritakan keburukan kawan-kawan setugas di depan bos. Formulanya, kalau betul-betul nak jadi anak emas bos, perlu main peranan sebagai spy bos di pejabat. Bila dah jadi mata dan telinga bos, barulah senang naik pangkat atau dapat benda-benda yang orang lain tak boleh dapat.

Tapi, Mona tidak pula macam itu. Kawan- kawan setugas yang lain mengakui tidak pernah dianiaya oleh Mona. Sesiapa pun tidak pernah kena main politik oleh Mona. Rosmah sendiri akui bahawa Mona tidak pernah bawa mulut atau mengumpat dirinya atau orang lain di depan bos. Apa lagi untuk memporak-perandakan keharmonian dalam pejabat mereka. Jadi, politiking yang bagaimanakah yang dimainkan oleh Mona? Apa kelebihan Mona sehingga Datuk Halim termakan semua kata-katanya? Gula-gula apakah yang sudah diberikan pada Datuk Halim?

Pintu lif terbuka. Tidak ada orang di dalam. Mereka masuk, lalu menekan butang untuk ke pejabat mereka di tingkat 20.

Berserabut otak Rosmah bila fikir pasal Mona. Cemburu memang cemburu. Dengki pun ada. Tapi, apa nak buat. Mungkin rezeki Mona dapat berbaik-baik dengan Datuk Halim. Sedangkan dia, nak tegur Datuk Halim pun susah. Apa lagi nak masuk bilik orang nombor satu itu sesuka hati tanpa mengira masa.

Kadang-kadang timbul andaian yang bukan-bukan dalam kepala Rosmah. Mona ada hubungan sulit dengan Datuk Halim? Sekali fikir tidak logik kerana Mona tidak lawa.Tak mung­kin Datuk Halim berselera tengok badan Mona yang gemuk pendek dan kulitnya yang gelap itu. Sudahlah gemuk, penampilan pula tidaklah secanggih mana. Pakaian yang digayakan ke peja­bat tidak kena dengan fesyen sekarang. Konon hendak bergaya, tapi nampak pelik kerana Mona tidak ada taste yang baik dalam berpakaian. Lagipun, Datuk Halim dikenali sebagai seorang lelaki yang alim dan setia pada isteri. Semua orang dalam syarikat itu tahu Datuk Halim se­orang family man dan bukan kaki perempuan. Habis? Kenapa Mona mendapat keistimewaan? Rosmah berfikir-fikir lagi. Bermacam-macam andaian menyerang benaknya. Mungkinkah Mona pakai ilmu?

"Apa yang kau menungkan tu?"Tegur Azah apabila melihat Rosmah termenung agak lama.

"Aku tengah fikirlah," jawab Rosmah. Da­lam kepalanya, masih berligar-ligar andaian bahawa Mona pakai ilmu.

"Fikir pasal apa? Pasal Mona lagi?" tanya Azah, tergelak sedikit.

"Aku rasa-rasa... Mona tu pakai ilmulah," kata Rosmah sepontan.

"Ishh... tak baik tuduh-tuduh macam ni.." pintas Azah dengan cepat.

"Habis? Kenapa Datuk sayang kat dia?

Kenapa number two and number three respect dan tak berani kata apa-apa kat dia?" kata Rosmah lagi, dalam suara perlahan.

"Itu aku tak tahulah. Tapi... tak kan sampai sanggup pakai ilmu,"jawab Azah. Walaupun dia menafikannya, dalam hati mulai ragu-ragu. Sekali fikir, logik juga tekaan Rosmah itu.

"Aku rasa iyalah. Bila cakap dengan dia, cuba kau pandang mata dia betul-betul. Sure dia tak berani bertentangan mata dengan kau. Orang kata, orang macam tu, ada pakai-pakai." Beriya-iya Rosmah meyakinkan Azah.

"Emm... mungkin style dia memang macam tu." Azah masih tidak mahu bersangka buruk terhadap Mona. Biarpun menyampah, tidaklah sampai hendak menuduh yang bukan-bukan.

"Aku agak saja. Benda-benda macam ni, memang ada orang buat, kan?" Kata Rosmah.

"Ya. Memang ada orang buat. Tapi..." Lif berhenti di tingkat 18. Pintu terbuka dan tiba- tiba sahaja Mona berada di depan mereka.

Azah terkedu. Dia tidak jadi meneruskan kata-katanya. Rosmah pula sedikit panik kerana sedang mengumpat Mona. Tapi, Mona yang tidak tahu apa-apa itu terus masuk lalu menegur mereka dengan mesra.

"Hai," tegurnya dalam nada riang.

"Hai." Balas Rosmah dan Azah serentak da­lam nada tidak semangat. Mereka masih kelihatan panik kerana hampir-hampir terlepas cakap di depan orang yang sedang dikutuk.

Mona kelihatan menekan angka 21. Ros­mah dan Azah tahu apa tujuan Mona hendak ke tingkat 21. Di tingkat itulah terletaknya pejabat pengerusi Merong Berhad. Jarang-jarang kakitangan seperti mereka dapat naik ke tingkat itu jika tidak ada apa-apa urusan penting. Tapi, Mona kelihatan kerap ke sana.

Lif berhenti di tingkat 20. Rosmah dan Azah keluar. Sebelum keluar, mereka senyum sedikit kepada Mona. Senyuman mereka itu hanyalah satu kepura-puraan. Kemudian, pintu lif tertutup semula.

"Tengoklah tu. Mesti nak pergi ke pejabat Datuk..!" Kutuk Rosmah sebaik sahaja pintu lif tertutup dan bergerak ke atas.

"Biasalah. Orang kuat Datuk..!" sambung Azah, turut mengutuk.

"Berbuku betul tengok dia. Senyum-senyum semacam kat kita. Nak berlagaklah tu..!" Kutuk Rosmah lagi.

"Dah lah tu. Buat bazir air liur aje kutuk dia. Buat dosa kering," balas Azah. "Kalau tak kutuk, tak senang duduk aku dibuatnya. Geram betullah..!!" Gerutu Rosmah sambil melangkah ke pejabat masing-masing. Setelah itu, mereka pun berpisah dan tidak lagi mengumpat Mona.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, terdengar berita mengenai Mona jatuh sakit. Sakitnya agak teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke wad. Beberapa orang rakan sepejabat dan kakitangan bawahannya menziarahinya di hos­pital. Mereka bertanyakan khabar, membawa buah tangan serta bunga. Hanya Rosmah dan Azah tidak berkesempatan pergi. Bukan kerana sengaja tidak mahu pergi. Tapi, kerana sibuk dengan tugas pejabat yang jadi berganda sejak ketiadaan Mona.

Dua hari selepas keluar dari hospital, dia kembali bekerja. Apa sakitnya, tidak pula diketahui. Mona kelihatan lemah. Dia tidak banyak bercakap. Bila orang bertanya, dia hanya kata dia masih belum terima laporan dari doktor. Memang benar doktor sedang membuat diagnosis penyakitnya.

Selepas sebulan kembali ke pejabat, Mona sakit lagi. Bahagian bawah perutnya terasa perit dan memulas-mulas. Ketika itu dia masih di pejabat. Keadaannya agak teruk. Sampai tak boleh bangun dibuatnya. Setiausahanya cepat-cepat membawanya ke hospital. Di hospital, doktor melakukan pemeriksaan segera dan mengatakan bahawa Mona terpaksa dimasukkan ke wad. Kemudian, setiausahanya menelefon suami dan anak-anak Mona. Mereka segera bergegas ke hospital sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada setiausaha itu.

Seminggu kemudian, Mona mendapat la­poran daripada pihak hospital. Sungguh terkejut bila mendapat tahu dia sebenarnya berpenyakit kanser perut. Mona terduduk bila mendengar kata-kata doktor ltu. Tapi, doktor menasihatkan Mona supaya bertenang kerana penyakit itu ma­sih di peringkat awal.Tumor dalam usus perut­nya kecil sahaja. Bagi mengelak tumor itu dari­pada membesar dan merebak ke anggota badan yang lain, doktor menasihatkan supaya Mona segera dibedah. Selepas tumor itu dibuang, ia mungkin tidak merbahaya lagi.

Mona akur dengan saranan doktor. Tumor itu perlu dibuang seberapa segera. Tapi, bagaimana pula dengan perbelanjaan pembedahan yang akan menelan ribuan ringgit itu? Resah juga bila fikirkan soal belanja pembedahan. Kemudian, Mona berjumpa dengan Datuk Halim untuk menerangkan masalahnya. Seperti yang diduga, Datuk Halim bersetuju untuk mengarahkan agar syarikat membayar belanja perubatan Mona walaupun perkara ini tidak terdapat dalam syarat-syarat perjanjian ketika Mona mula-mula masuk kerja dulu. Mona kembali lega. Azman dan anak-anaknya turut lega.Tanpa membuang masa, Mona masuk hospital sekali lagi untuk dibedah. Selepas pembedahan selesai, Mona berehat di rumah. Pihak hospital memberinya cuti sakit selama sebulan.

Bila benar-benar sembuh dan cuti sakit pun dah habis, barulah dia kembali bekerja. Tapi, dua tiga bulan selepas itu, dia sakit lagi. Sakit teruk sehingga terpaksa masuk hospital. Doktor buat pemeriksaan. Malangnya, tak dapat kesan apa sakitnya. Dia keluar dari hospital tanpa mendapat laporan lengkap dari pihak hospital.

Sakitnya datang berulangkali dalam tempoh sebulan atau dua. Doktor sendiri hairan. Mereka cuba mengesan sebarang tumor yang ada dalam anggota badannya yang lain seperti otak, rahim dan payu dara.Tapi, gagal mendapat sebarang tanda-tanda kanser.

Apabila sakitnya berpanjangan dan sentiasa keluar masuk hospital, Azman ingin berikhtiar secara tradisional pula. Dia meminta pertolongan seorang ustaz yang tahu mengenai perubatan Islam. Kemudian, membawa Ustaz itu berjumpa Mona yang terlantar di hospital sejak beberapa hari lalu. Apabila dibawa melihat Mona yang lemah itu, Ustaz segera memegang kepalanya dan membacakan doa. Ketika doa dibacakan, tiba-tiba sahaja Mona terus menggelupur. Azman panik melihat keadaan isterinya itu.

"Kenapa Mona..? Kenapa..?" Kata Azman, sambil memegang lengan Mona. Tapi, Mona terus menggelupur dan meronta-ronta dengan kuat sehingga pegangan Azman terlerai.

"Kenapa dengan isteri saya, Ustaz..?" tanya Azman, begitu cemas. Selama ini, belum pernah dia lihat Mona berkeadaan seperti ini.

"Saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Saya akan buat air penawar untuknya," kata Ustaz itu.

Kemudian, Azman memanggil jururawat. Jururawat bergegas datang. Kemudian, datang pula doktor. Doktor kata, Mona mungkin mengalami gangguan emosi.

Lalu Mona diberi suntikan ubat penenang bagi meredakan tekanan emosi yang dihadapinya. Selepas itu, barulah reda sedikit. Kemudian, Mona menjadi lali dan terus tertidur dengan nyenyak.

Esoknya, Ustaz datang lagi bersama Azman. Anak-anaknya turut datang untuk melihat ibu mereka. Ustaz memberikan air penawar untuk Mona. Mona segera minum. Tapi, selepas meneguknya beberapa kali, Mona menjadi lemah. Dan dengan tidak semena-mena, dia rebah di katil. Mona pengsan. Anak-anaknya terjerit se­dikit kerana panik melihat Mona pengsan.

"Mama..! Mama..!" panggil Usu yang agak manja dengan mamanya itu. Usu cuba mengejutkan Mona yang pengsan.

"Mama..!" Panggil Angah pula. Azman cuba menenangkan anak-anaknya.

Kemudian, menampar-nampar lembut pipi Mona. Tapi, Mona masih tidak bergerak. Along segera membetul-betulkan kedudukan mamanya agar baring dengan lebih selesa di katil.

"Kenapa jadi macam ni, Ustaz..?" tanya Azman, agak bingung melihat peristiwa yang agak ganjil itu.

Ustaz hendak berkata sesuatu tapi kelihatan teragak-agak. Ustaz itu seperti sedang berfikir bagaimana hendak memberitahu Azman perkara yang sebenarnya.

"Kita tengok apa jadi bila dia sedar nanti...," kata Ustaz itu. Sebenarnya, Ustaz itu sudah mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada Mona. Tapi, belum berhasrat untuk memberitahu Azman.

"Ustaz..."

Belum sempat Azman hendak berkata-kata sesuatu kepada Ustaz, Along pula menjerit dengan gembira.

"Mama dah sedar..! Mama dah sedar..!"

Mona membuka matanya perlahan-lahan. Dia tidak memandang sekelilingnya iaitu ke arah anak atau suami. Sebaliknya, memandang ke atas tepat pada siling. Anak matanya bulat terbeliak. Tapi tidak bergerak-gerak.

"Mama, mama pengsan tadi," Usu menghampirinya sambil cuba memberitahu apa yang berlaku sebentar tadi. Namun, Mona tidak menjawabnya walau sepatah pun. Kemudian, tanpa diduga, Mona menjerit dengan kuat. Keadaannya seperti dalam ketakutan. Matanya ter­beliak. Tubuhnya terketar-ketar. "Mama, kenapa ni....?" tanya Usu, hairan. Tapi, Mona menolak anak itu dengan kasar. Usu terpelanting ke belakang. Mujur Along sempat menyambar Usu. Jika tidak tentu Usu jatuh terduduk di lantai. Wajah masing-masing hairan melihat kelakuan luar biasa Mona itu.

"Mona..! Apa dah jadi ni...!!??" Tengking Azman sambil mencengkam kedua-dua lengan Mona dengan kuat. Tapi, seperti semalam, Mona meronta-ronta sambil menjerit. Sambil itu, dia berkata-kata sesuatu. Tapi, tidak jelas biji butirnya. Entah apa yang disebutnya, tidak seorang pun mengerti.

Ustaz segera membaca doa untuk menenangkan Mona. Tapi, Mona masih kuat meracau. Jururawat bergegas ke situ. Seperti sema­lam, Mona diberi suntikan ubat penenang sehingga dia tertidur untuk tempoh yang agak lama.

Kerana Mona perlukan rehat, doktor menasihatkan agar Azman dan anak-anaknya pulang sahaja ke rumah.

Di rumah, tanpa didengari oleh anak-anak­nya, Ustaz berbincang dengan Azman mengenai keadaan Mona. Dengan berhati-hati, Ustaz memberitahu bahawa Mona mungkin mengamalkan ilmu yang tidak baik. Azman terkejut besar mendengar penerangan Ustaz itu. Dia tidak sangka sama sekali bahawa isterinya boleh bertindak seperti itu.

"Saya tak tahu, Ustaz. Sungguh saya tak tahu," katanya dengan air mukanya yang keruh dan sedih. Fikirannya kini bercelaru. Sudahlah terpaksa menjaga isteri yang sakit, kini, timbul pula andaian berkemungkinan isterinya mengamalkan ilmu tidak baik.

"Bila dia balik nanti, Azman tanyalah dia elok-elok." Ustaz memberi saranan. Azman mengangguk dengan air muka yang jelas menunjukkan dia dalam keadaan bingung dan buntu.

Beberapa hari kemudian, Mona dibenarkan pulang. Doktor mengatakan tidak ada apa-apa masalah dari segi fizikal. Setakat ini, tidak ada sebarang penyakit mahupun tumor dikesan. Kemudian, doktor membuat kesimpulan ba­hawa Mona mengalami gangguan emosi yang teruk. Doktor menyuruh Azman membawa Mona berjumpa pakar sakit jiwa.

Namun, apabila berjumpa pakar sakit jiwa, pakar itu tidak dapat mengesahkan bahawa Mona mengalami gangguan emosi. Ketika disoal oleh pakar itu, Mona dapat menjawab dengan baik. Daripada pengamatan pakar itu, emosi Mona berada dalam keadaan stabil dan tenang.

Azman hairan apabila membaca kenyataan pakar sakit jiwa itu. Ganjil benar penyakit isteri­nya. Doktor kata isterinya tak sakit apa-apa. Pakar sakit jiwa pun kata emosi isterinya baik. Kemudian, Azman teringat saranan Ustaz. Lalu dia pun bertanya pada Mona untuk meminta kepastian.

"Abang kata saya pakai ilmu... Kenapa abang tuduh saya macam tu... Abang tak percaya saya..???" Mona melenting bila Azman bertanyakan soalan itu.

Kemudian, mereka bergaduh. Mona tidak mengaku yang dia ada mengamalkan ilmu yang salah dan bertentangan dengan agama. Sebaliknya, menuduh Azman curiga dan tidak menyayanginya lagi.

"Abang sengaja cari salah Mona..!! Abang dah tak sayangkan Mona lagi..!!"

Tidak cukup dengan itu, Mona menuduh Azman ada perempuan lain. Dikatanya Azman sengaja mencari alasan untuk meretakkan rumahtangga mereka.

"Astaghfirullah hal azim. Kenapa kau merepek ni, Mona..??" Marah Azman. Tapi, Mona tidak mahu mengaku kalah. Mulutnya yang la­ser nuklear itu terus menyerang Azman. Akhirnya, Azman pula yang terpaksa surrender.

Bila balik ke pejabat, Mona tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja. Dia asyik sakit-sakit sehingga tidak datang kerja beberapa hari. Lama kelamaan, sakitnya semakin melarat sehingga terlantar di rumah. Kadang-kadang dia rasa lemah-lemah badan. Kadang-kadang terasa urat-urat kakinya menyucuk-nyucuk. Akhirnya, dia tidak lagi pergi kerja.

Datuk Halim yang mengetahui perkara itu menyuruh Azman membawa Mona ke hospital bagi mendapatkan surat cuti. Jika tidak ada surat cuti, nanti orang akan kata Mona makan gaji buta. Tapi, bila ke hospital, doktor kata Mona tidak sakit. Azman menjadi semakin bingung. Oleh itu, tiada jalan lain selain daripada me- manggil Ustaz ke rumah. Azman ingin berikhtiar untuk berubat secara Islam. Tapi, Mona tidak suka. Dia seperti benci pada Ustaz yang datang untuk merawatnya.

"Mama, kenapa mama tak suka Ustaz tu datang rumah kita?" Tanya Along kepadanya.

"Benci..! Mama benci....!" balas Mona

sambil mencebik.

"Tapi, dia nak mengubat Mama," sambung Along lagi.

"Tak suka..! Mama tak suka berubat dengan dia..!" Mona masih berdegil.

"Mama, pergilah jumpa dia. Mama nak sembuh, kan?" Pujuk Along. Pun begitu, Mona tetap berdegil. Ustaz juga seperti tawar hati hendak berikhtiar menyem- buhkan Mona. Namun, kerana tanggungjawab, Ustaz tetap berusaha. Dia mencadangkan Az­man membawa Mona menunaikan umrah. Mungkin dengan cara itu, Mona dapat berdoa kepada Tuhan agar menyembuhkan penyakitnya dengan segera.

Azman akur. Sejak berkenalan dengan Ustaz, dia sendiri cenderung untuk membuat amal ibadat dan mempelajari agama. Jika sebelum ini, ibadatnya cuma lebih kurang sahaja, kini semakin bertambah.

Ketika buat umrah, Mona asyik sakit-sakit sahaja. Amal ibadat langsung tidak dipedulikan. Tapi, bila diajak membeli-belah, serta merta Mona jadi sihat dan bersemangat. Sudahnya, Mona tidak dapat apa-apa pun ketika di Mekah. Pulang ke rumah, Mona masih sakit-sakit.

Lama kelamaan, sakitnya semakin teruk. Doktor kata tidak ada harapan. Walaupun masih muda, tapi keadaan tidak ubah seperti orang tua. Nampak uzur dan lemah benar. Along, Angah dan Usu menangis bila diberitahu mama mereka sedang berada dalam keadaan nazak.

Azman pula terpaksa menahan kesedihan. Dia memanggil jiran dan saudara mara membaca surah Yasin. Tapi, bila dibaca Yasin, dia menggelupur dan meracau. Orang-orang sekelilingnya terpaksa juga membaca Yasin sampai habis.

Keadaan seperti itu berterusan sehingga beberapa hari. Oleh kerana nazak begitu lama, saudara maranya tidak lagi membaca Yasin, sebaliknya membaca surah Ar-Ra'dhi bagi memudahkan Mona meninggal dunia.

Ketika berada di ambang maut, Mona jadi tak keruan. Sekejap terasa hendak buang air besar. Sekejap hendak buang air kecil. Kemudian, tak jadi pulak hendak membuang. Sejam sekali, dia menggelupur dan meracau.

Akhirnya, selepas beberapa hari nazak, Mona pun menghembuskan nafas terakhir da­lam keadaan yang begitu perit. Bila sudah me­ninggal, Azman meminta Ustaz sembahyangkan Mona dan membaca talkin. Seorang Ustazah juga dipanggil untuk memandikan Mona. Urusan mandi bermula jam 10.00 pagi. Ahli keluarga lain menunggu-nunggu mayat Mona diuruskan. Along, Angah dan Usu masih menangis tidak henti-henti.

Azman pula menangis dalam hati. Kemudian, jam menunjukkan pukul 11.00. Mayat Mona masih belum selesai dimandikan. Mereka menunggu lagi. Pukul 12.00 tengahari. Jam antik di ruang tamu berdenting halus sebanyak dua belas kali. Orang ramai tertanya-tanya. Kenapa mayat Mona belum siap lagi? Keadaan dalam rumah mulai panas. Tetamu yang datang menziarahi mayat semakin ramai. Tapi, mayat tidak juga siap-siap. Kemudian, jarum bergerak ke angka satu. Rancangan hendak mengebumikan mayat itu pada pukul 12.00 tengahari terpaksa ditangguhkan sehingga lepas Zuhur.

Lepas masuk waktu Zuhur, barulah mayat itu siap dimandikan. Orang dalam rumah tertanya-tanya. Tapi, Ustazah yang menguruskannya diam sahaja. Oleh itu, tidak ada orang yang tahu apa yang terjadi sehingga mengambil masa yang lama.

Lepas disembahyangkan, jenazahnya di bawa ke tanah perkuburan.Tapi, sebelum diturunkan ke liang lahad, mereka dapati kubur itu dipenuhi dengan air. Penggali kubur dan beberapa orang menawarkan diri untuk menimba air itu sehing­ga kering. Dalam hati, orang berasa agak pelik. Bukan kerana tidak pernah jumpa kubur dipe­nuhi air sebegitu. Pernah. Tapi, waktu itu musim hujan lebat dan tanah menjadi lecak. Tapi, sekarang bukan musim hujan. Sudah hampir dua minggu, kawasan itu tidak ditimpa hujan.

"Kenapa banyak sangat air, Ustaz," tanya seseorang kepada Ustaz.

"Biasalah. Mungkin tanah di sini lembut,"kata Ustaz, cuba menyembunyikan sesuatu. Tidak tergamak dia hendak mengaibkan keluarga Mona di depan orang. Keadaan kubur yang penuh air itu mungkin peringatan Allah kepada orang-orang seperti Mona. Kuburnya jadi begitu kerana dia tamak. Kerana mahukan macam-macam ganjaran daripada syarikat, Mona sanggup pakai ilmu untuk membolehkan bos besar dengar dan menurut cakapnya. Ustaz tahu Mona amalkan ilmu tidak elok kerana dia "melawan" bila dirawat secara Islam.

Dia menggelupur dan meracau bila dirawat menggunakan ayat-ayat Quran. Tentang kanser perut yang dialaminya, mungkin juga kerana dia makan rezeki yang didapati secara tidak elok. Atau kerana pernah memberi Datuk Halim makan benda-benda yang tidak elok untuk membuatkan ilmunya "menjadi". Walaupun ilmunya menjadi, dia masih tidak dapat melawan takdir Allah. Takdir Allah ialah dia meninggal dunia dalam usia masih muda dan akibat penyakit yang tidak diketahuinya. 

Dipetik dari buku
Wajah-wajah mayat... 

No comments:

Post a Comment