Pages

Sunday, December 27, 2015

DARI TONG SAMPAH KE PENTAS PERAGAAN...


‘TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'. Mungkin itulah perumpamaan paling tepat diberikan kepada pemenang ratu cantik, Khanittha Mint Phasaeng setelah menjuarai tempat pertama dalam pertandingan ratu cantik. Miss Unsensored News Thailand 2015 anjuran Dermadict pada 25 September tahun lalu. Kemenangan itu sekali gus mengubah nasibnya sebagai pengutip sampah.

Tiada siapa pernah menyangka, gadis comot, berbau busuk, kotor, berbaju koyak, berambut kusut, tiba-tiba melangkah penuh anggun, cantik, malah berkeyakinan tinggi saat meniti pentas peragaan. Ketika namanya diumumkan juri sebagai pemenang, air mata Mint tidak henti-henti mengalir membayangkan wajah ibu serta adik-beradik silih berganti dalam keadaan comot dan kotor.

Ironinya, orang yang berjaya datang daripada kehidupan silam yang menyedihkan. Begitu juga Mint. Hidupnya penuh dengan air mata. Dia juga hanya dibesarkan oleh ibunya, Orothai Pormaun yang bekerja sebagai pengutip sampah setelah bercerai dengan bapanya ketika Mint masih kecil.

Ketika berusia 14 tahun, Mint terpaksa berhenti sekolah semasa di peringkat Mathayom 3. Hidupnya terumbang-ambing tanpa pelajaran. Namun, Mint tidak pernah kesal kerana dia tahu ibunya susah untuk membesarkan mereka sekeluarga. Sebaliknya, gadis cantik itu sanggup turun padang berpanas hujan bersama ibunya mengutip sampah demi sesuap nasi. Bukan itu saja, di usia yang masih muda, Mint sudah melakukan banyak kerja dalam satu masa. Antaranya, menjual baju terpakai dan menjadi penari..

Akibat hidup yang kian menyempit, Mint telah dijaga oleh ibu saudara yang juga tinggal di kawasan berdekatan. Meskipun begitu, Mint tetap terus bekerja membanting tulang mencari rezeki. Setiap kali selepas habis menari, Mint akan terus terkejar-kejar mendapatkan ibunya yang berada di sekitar tempat-tempat pembuangan sampah.

Namun, lebih kurang pertengahan tahun lalu bapa saudara Mint mencadangkan gadis berusia 17 tahun itu menyertai pertandingan ratu cantik. Pada pandangan bapa saudaranya, mungkin itu peluang baik untuk Mint mengubah nasib keluarganya. Ternyata tanpa diduga, Mint yang sebelum itu tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan 'Catwalk' terbukti berjaya merangkul gelaran ratu cantik Miss Unsensored News Thailand 2015.


Malah, namanya menjadi viral serta-merta selepas tanpa segan silu mengaku sebagai anak seorang pengutip sampah yang hidup melarat. Perkara itu sebenarnya tidak pernah diwar-warkan oleh Mint ketika dalam pertandingan. Akan tetapi, selepas gambar ratu cantik itu sujud di kaki ibunya di hadapan deretan tong-tong sampah, benar-benar meruntun hiba hati pembaca menyebabkan namanya terus'boom!'.


Begitu pun, nama Mint bukan hanya terkenal di negaranya sahaja, bahkan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, Eropah dan beberapa buah negara lain. Semuanya kerana ketaatan, kemurnian serta kehidupan gadis cantik itu mengakui latar belakang kehidupannya bersama keluarga di bandar itu. sudahlah cantik, berhati murni pula.

Meskipun begitu, siapa sangka bidalan 'disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari' selalu terjadi. Nikmat yang di kecapi hanya sementara apabila beberapa minggu selepas dinobatkan sebagai pemenang, pihak penganjur tiba-tiba menghubunginya untuk menarik balik gelaran ratu cantik. Perkara itu bukan hanya memeranjatkan Mint, bahkan semua peminat di negara terbabit.


Menurut saudara Mint, Know, penarikan gelaran ratu cantik disebabkan penipuan maklumat ketika mengisi borang penyertaan dahulu. Dalam borang berkenaan, Mint menulis dia belajar hingga tamat Mathayom 6 sedangkan ratu cantik itu hanya belajar sehingga tahap Mathayom 3 sahaja.

Pada awalnya pihak penganjur menerima panggilan dari sebuah universiti yang mahu menaja biasiswa untuk Mint menyambung pelajaran. Namun, selepas disemak, ternyata Mint tidak menghabiskan persekolahannya menyebabkan gelaran itu terpaksa ditarik balik, katanya. Oleh itu, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula BAHT 30,000 atau RM3,600 yang dimenanginya dalam pertandingan itu.


Bagaimanapun, Mint mengakui, wang kemenangan itu telah diagihkan kepada keluarganya untuk membeli keperluan hidup. Justeru selepas perbincangan lanjut dilakukan, pihak penganjur bersetuju menjadikan wang itu sebagai hadiah untuknya malah turut membenarkan Mint menyimpan mahkota kemenangan. Akan tetapi, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula kalung sutera yang diterimanya.


Kesal atas apa yang terjadi, Mint telah memohon maaf secara terbuka kepada pihak penganjur atas kesilapan yang dilakukan. Akui Mint, borang permohonan itu sebenarnya telah diisi oleh bapa saudaranya. Namun, tetap mengaku salah kerana tidak menyemak semula borang berkenaan sebelum menghantarnya kepada penganjur program.

Sumber : Majalah Infinity
Penulis  : Nurul Fadhlin Che Ismail 

No comments:

Post a Comment