Pages

Sunday, December 27, 2015

MADU WARNA WARNI...

Madu berwarna-warni yang ditemui pada tahun 2010...

BENARKAH wujud madu yang dikatakan berwarna-warni? Agak-agaknya, jika dijual di pasaran, warna apa yang menjadi pilihan ramai?  Maklum saja, keunikan sesuatu perkara boleh menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk mendekatinya. Silap-silap, ada yang melabelkan madu ini sebagai salah satu makanan 'hipster'.

Adakah ia benar-benar wujud? Bagaimana rupa bentuk madu ini? Untuk pengetahuan anda, madu warna-warni ini pernah wujud pada tahun 2012 di kawasan penternakan lebah di Ribeauville, Perancis. Awalnya, perkara ini hanya menjadi buah mulut masyarakat setempat kerana berasa teruja dengan warna madu yang terhasil. Betapa tidak, selama hidup, hanya menemui madu berwarna coklat cair dan kuning gelap. Jadi, apabila ternampak cecair manis ini dalam warna berlainan, pasti siapa pun akan teruja.

Sudah tentu para pembaca ingin mengetahui warna apa yang dikatakan pelik ini bukan? Keunikan madu ini terhasil dalam dua warna utama iaitu biru dan hijau. Namun begitu, penternak lebah turut menjumpai cecair manis berwarna kuning cair dan coklat kemerahan gelap pada sarang serangga tersebut.

Keadaan itu menyebabkan timbul kesangsian terhadap piawaian madu ini. Apakah ia mematuhi standard kualiti yang ditetapkan atau berbahaya kepada manusia? Dari sudut fizikal, warna madu itu cukup cantik dan ia sudah boleh menarik perhatian pembeli namun penternak tidak berani berbuat apa-apa kerana belum ada dalam sejarah mereka menemui madu sebegitu.

Menurut cerita para penternak lebah di kawasan berkenaan, cecair yang dikeluarkan oleh serangga itu bukanlah madu biasa. Hasil siasatan yang dilakukan oleh mereka membawa kepada penemuan bukti sebenar.

Mengejutkan, kumpulan lebah yang diternak rupa-rupanya memilih sebuah kilang industri penghasilan coklat sebagai lokasi persinggahan harian. Kedudukan kilang coklat yang terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan penternakan memudahkan rutin harian serangga kecil itu. Sisa cecair gula-gula coklat yang berada di ruang terbuka telah menarik minat serangga ini untuk mengumpulkan nektar daripadanya. Maka, tidak hairanlah apabila zat manis yang terhasil pada sarang lebah yang ditemui memiliki warna yang berbeza dengan rona madu yang biasa kita temui.

Apakah kaitan gula coklat dengan penemuan madu pelik...

Sebelum itu, golongan penternak lebah di Ribeduville telah mengalami kerugian tinggi akibat kematian serangga tersebut semasa musim sejuk. Jadi, situasi madu berwarna unik ini sekali lagi menimbulkan polemik. Justeru Presiden Persatuan Pemeliharaan Lebah, Alain Freih mendedahkan keputusan kimia madu berwarna-warni ini.  Ahli kimia mengesahkan madu itu mempunyai kualiti rendah.

Alain freih menunjukkan madu pelik 
yang terhasil pada papan sarang lebah...

Maka, dengan sebulat suara mereka sepakat untuk memaklumkan kes tersebut kepada pihak perusahaan coklat berkenaan. Atas faktor tanggungjawab, kilang coklat ini bertindak menyimpan kesemua sisa manisan berwarna-warni ke dalam bekas tertutup. Selain itu, kawasan perindustrian itu turut dibersihkan bagi mengelakkan kedatangan semula 'tetamu kecil' ini. la sekaligus menyelesaikan masalah.

Sementara itu, penghasilan madu unik ini bukanlah pertama kali berlaku. Sebaliknya, sejenis madu berwarna merah telah ditemui awal pada tahun 2010 di Red Hook, Brooklyn, Amerika Syarikat. Menurut salah seorang penternak lebah, Cerise Mayo, penemuan tersebut dipercayai berpunca daripada jus ceri maraschino yang dihasilkan oleh kilang berhampiran. Awalnya, dia dan rakan-rakan berasa sukar untuk mempercayainya. Bagaimanapun, selepas sampel cecair merah tersebut dianalisis oleh pakar pemeliharaan lebah New York, ternyata ia berpadanan dengan jus buah yang dinyatakan.

Kehadiran cecair berwarna ini bukan sesuatu yang menggembirakan semua orang. Kekecewaan jelas terpancar di kalangan para penternak terbabit. Situasi aneh yang sepatutnya memberi pulangan kepada mereka rupanya hanyalah mimpi ngeri. Mereka terpaksa berdepan dengan hasil yang merosot ekoran cecair merah yang terdapat dalam sarang bukan nektar. la diklasifikasikan sebagai cecair yang tidak menepati ciri yang ditetapkan. Lebih mengecewakan lagi apabila ujian kimia menunjukkan cecair itu mengandungi rasa logam selain rasa manis yang terlalu jika dibandingkan dengan madu asli.

Madu berwarna-warni, unik atau menakutkan...

Insiden yang berlaku pada 2010 dengan 2012 cuma berbeza daripada zat manis dalam kandungan sarang sahaja. Ujian piawaian tetap menolak hasil cecair berwarna-warni ini untuk dikategorikan sebagai madu yang boleh dijual kepada orang ramai. 

No comments:

Post a Comment