‘TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'.
Mungkin itulah perumpamaan paling tepat diberikan kepada pemenang ratu cantik,
Khanittha Mint Phasaeng setelah menjuarai tempat pertama dalam pertandingan
ratu cantik. Miss Unsensored News Thailand 2015 anjuran Dermadict pada 25
September tahun lalu. Kemenangan itu sekali gus mengubah nasibnya sebagai
pengutip sampah.
Tiada siapa pernah menyangka, gadis comot, berbau busuk,
kotor, berbaju koyak, berambut kusut, tiba-tiba melangkah penuh anggun, cantik,
malah berkeyakinan tinggi saat meniti pentas peragaan. Ketika namanya diumumkan
juri sebagai pemenang, air mata Mint tidak henti-henti mengalir membayangkan
wajah ibu serta adik-beradik silih berganti dalam keadaan comot dan kotor.
Ironinya, orang yang berjaya datang daripada kehidupan silam
yang menyedihkan. Begitu juga Mint. Hidupnya penuh dengan air mata. Dia juga
hanya dibesarkan oleh ibunya, Orothai Pormaun yang bekerja sebagai pengutip
sampah setelah bercerai dengan bapanya ketika Mint masih kecil.
Ketika berusia 14 tahun, Mint terpaksa berhenti sekolah
semasa di peringkat Mathayom 3. Hidupnya terumbang-ambing tanpa pelajaran.
Namun, Mint tidak pernah kesal kerana dia tahu ibunya susah untuk membesarkan
mereka sekeluarga. Sebaliknya, gadis cantik itu sanggup turun padang berpanas
hujan bersama ibunya mengutip sampah demi sesuap nasi. Bukan itu saja, di usia
yang masih muda, Mint sudah melakukan banyak kerja dalam satu masa. Antaranya,
menjual baju terpakai dan menjadi penari..
Akibat hidup yang kian menyempit, Mint telah dijaga oleh ibu
saudara yang juga tinggal di kawasan berdekatan. Meskipun begitu, Mint tetap
terus bekerja membanting tulang mencari rezeki. Setiap kali selepas habis
menari, Mint akan terus terkejar-kejar mendapatkan ibunya yang berada di
sekitar tempat-tempat pembuangan sampah.
Namun, lebih kurang pertengahan tahun lalu bapa saudara Mint
mencadangkan gadis berusia 17 tahun itu menyertai pertandingan ratu cantik.
Pada pandangan bapa saudaranya, mungkin itu peluang baik untuk Mint mengubah
nasib keluarganya. Ternyata tanpa diduga, Mint yang sebelum itu tidak pernah
menyertai mana-mana pertandingan 'Catwalk' terbukti berjaya merangkul gelaran
ratu cantik Miss Unsensored News Thailand 2015.
Malah, namanya menjadi viral serta-merta selepas tanpa segan
silu mengaku sebagai anak seorang pengutip sampah yang hidup melarat. Perkara
itu sebenarnya tidak pernah diwar-warkan oleh Mint ketika dalam pertandingan.
Akan tetapi, selepas gambar ratu cantik itu sujud di kaki ibunya di hadapan
deretan tong-tong sampah, benar-benar meruntun hiba hati pembaca menyebabkan
namanya terus'boom!'.
Begitu pun, nama Mint bukan hanya terkenal di negaranya
sahaja, bahkan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, Eropah dan beberapa buah
negara lain. Semuanya kerana ketaatan, kemurnian serta kehidupan gadis cantik
itu mengakui latar belakang kehidupannya bersama keluarga di bandar itu.
sudahlah cantik, berhati murni pula.
Meskipun begitu, siapa sangka bidalan 'disangka panas sampai
ke petang rupanya hujan di tengah hari' selalu terjadi. Nikmat yang di kecapi
hanya sementara apabila beberapa minggu selepas dinobatkan sebagai pemenang,
pihak penganjur tiba-tiba menghubunginya untuk menarik balik gelaran ratu
cantik. Perkara itu bukan hanya memeranjatkan Mint, bahkan semua peminat di
negara terbabit.
Menurut saudara Mint, Know, penarikan gelaran ratu cantik
disebabkan penipuan maklumat ketika mengisi borang penyertaan dahulu. Dalam
borang berkenaan, Mint menulis dia belajar hingga tamat Mathayom 6 sedangkan
ratu cantik itu hanya belajar sehingga tahap Mathayom 3 sahaja.
Pada awalnya pihak penganjur menerima panggilan dari sebuah
universiti yang mahu menaja biasiswa untuk Mint menyambung pelajaran. Namun,
selepas disemak, ternyata Mint tidak menghabiskan persekolahannya menyebabkan
gelaran itu terpaksa ditarik balik, katanya. Oleh itu, pihak penganjur meminta
Mint memulangkan semula BAHT 30,000 atau RM3,600 yang dimenanginya dalam
pertandingan itu.
Bagaimanapun, Mint mengakui, wang kemenangan itu telah
diagihkan kepada keluarganya untuk membeli keperluan hidup. Justeru selepas
perbincangan lanjut dilakukan, pihak penganjur bersetuju menjadikan wang itu
sebagai hadiah untuknya malah turut membenarkan Mint menyimpan mahkota
kemenangan. Akan tetapi, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula kalung
sutera yang diterimanya.
Kesal atas apa yang terjadi, Mint telah memohon maaf secara
terbuka kepada pihak penganjur atas kesilapan yang dilakukan. Akui Mint, borang
permohonan itu sebenarnya telah diisi oleh bapa saudaranya. Namun, tetap
mengaku salah kerana tidak menyemak semula borang berkenaan sebelum
menghantarnya kepada penganjur program.
Sumber : Majalah Infinity
Penulis : Nurul Fadhlin Che Ismail
Sumber : Majalah Infinity
Penulis : Nurul Fadhlin Che Ismail
No comments:
Post a Comment