Wednesday, November 6, 2013

POKOK KRISMAS POKOK DERHAKA?...

Pokok Krimas...

Tiap kali tibanya tarikh 25 Disember pada setiap tahun, maka pokok yang dirimbuni dengan dedaun melebar di awal pangkalnya dan meruncing di hujung pohon, pasti menjadi tarikan mata memandang bukan sahaja kerana dedaunan hijau itu yang memukau pandangan mata, bahkan apabila dihiasi dengan kerlipan cahaya, menambahkan keasyikan melihatnya. Itulah pokok indah yang dikenali dengan nama pokok krismas.

Namun kenapa pokok itu yang dipilih? Terlalu istimewakah pokok tersebut dalam putaran kalendar walhal banyak lagi pokok yang menghijau menghiasi alam muka bumi ini. Allah menciptakan pelbagai jenis pokok dengan pelbagai bentuk dan ukur lilit yang berbeza-beza. Semuanya tidak diciptakan dengan sia-sia bahkan ada kegunaannya.

Sebagaimana pokok yang dihias cantik ini, begitu jugalah pokok-pokok lain yang mempunyai fungsi dan peranan tersendiri. Tapi kenapa pokok hijau yang meruncing itu tetap menjadi pilihan?

Sebelum jawapan ini dijawab, pokok ini juga pernah mencatat peristiwa tragis sehingga membawa gelaran sebagai pokok derhaka! Apa puncanya? Diceritakan, pokok  yang meruncing di hujungnya itu, adalah pokok yang dijadikan sebagai kayu pembakar Nabi Ibrahim a.s. ketika zaman pemerintahan Raja Namrud. Dan kerana atas sebab itu, pokok tersebut dilihat seolah-olah ‘mengkhianati’ seorang yang amat mulia di sisi Allah yang dilantik sebagai nabi.  

Namun di sebalik cerita-cerita yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi, timbul pula persoalan apakah benar pokok itu yang dikatakan sebagai pokok yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Atau ia hanya sekadar dakwaan?

Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, Pegawai Dakwah, Islamic Information Servises and Foundation (IIS) ada jawapannya. Menurutnya, antara pokok Krismas dan pokok derhaka, kedua-duanya tiada kena mengena dengan peristiwa membakar Nabi Ibrahim a.s. suatu ketika dahulu.

Ujarnya, ketika zaman Nabi Ibrahim a.s., pokok Krismas atau pokok pine tidak pernah wujud ketika itu. Apatah lagi, Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di selatan Iraq yang hanya di penuhi dengan pokok buah kurma dan buah zaitun yang tumbuh melata.

Bahkan, dalam ajaran Kristian, tidak ada sebarang tulisan, ajaran mahupun kepercayaan mengenai Nabi Ibrahim a.s. dibakar dengan pokok pine. Pokok ini wujud setelah ribuan tahun Nabi Ibrahim a.s. wafat dan mungkin kisah kayu api yang digunakan bukan berasal dari pokok pine. Sebaliknya ia hanyalah andaian sesetengah orang sahaja.

Engku Ahmad turut berhujah, pokok Krismas juga bukanlah diambil dari nama asal pokok tersebut. Tetapi ia pada awalnya dikenali sebagai pokok pine atau evergreen. Namun setelah tujuh tahun ‘kematian’ Nabi Isa a.s., muncul seorang lelaki yang dikenali sebagai St. Paul mengambil alih tempat Nabi Isa a.s. sebagai pemimpin dan menyebarkan agama Kristian. Ketika itu kebanyakan pengikutnya bukanlah mereka yang berbangsa Yahudi sebaliknya mereka yang tidak mempunyai agama dan tidak pernah menyembah Tuhan sebelumnya.

KENAPA POKOK PINE JADI PILIHAN?

Percaya atau tidak hakikatnya, tiada satu suruhan pun di dalam Bible yang mewajibkan pengikut-pengikutnya menjadikan pokok pine atau Krismas sebagai satu kemestian. Ujar Engku Ahmad, ia jelas sebagaimana yang tertera dalam kitab Bible, dalam Yeremia bab ke 10 ayat ke dua hingga empat yang bermaksud, “Dia berfirman: “Jangan ikut kebiasaan bangsa-bangsa lain, jangan gentar melihat tanda-tanda yang luar biasa di langit, walaupun bangsa-bangsa lain takut.  Agama bangsa-bangsa itu tidak berguna sama sekali. Orang lain menebang sebatang pokok kayu di hutan:’ lalu tukang kayu mengukir batang pokok itu dengan pengukir. Kemudian dihiasi nya dengan emas dan perak. Kayu yang berukir itu ditegakkan dengan paku yang menahannya daripada terjatuh.”

Namun semua itu berubah apabila pada kurun ke tujuh, seorang Paderi yang bernama St. Boneface mengajar penganut agama Kristian tentang kepercayaan agama mereka dengan menggunakan pokok pine sebagai simbol untuk menggambarkan konsep trinity sebagaimana dalam ajaran Kristian. Sejak itu juga mereka percaya lambang tiga segi yang terdapat pada bentuk pokok pine melambangkan Tuhan bapa, Tuhan anak dan juga ruhul kudus. Hal demikian menarik minat bangsa Jerman dan menganggap pokok itu sebagai suci.

Transformasi terus berlaku apabila pada kurun ke 12, Kristian Jerman mula memberikan nama terhadap pokok pine sebagai pokok Krismas. Kepercayaan mereka semakin teguh apabila paderi Martin Luther mula melakukan perubahan dengan menghias pokok Krismas tersebut. Hiasan berkenaan dianggap sebagai bintang-bintang yang menyinari kehidupan mereka ketika di syurga nanti.

Manakala bintang yang diletakkan di puncak pokok tersebut membawa maksud bintang Bethelahem yang muncul ketika Jesus lahir di Bethelahem. Ada juga sesetengah penganut Kristian yang meletakkan patung ‘angle’ pada puncak itu sebagai simbolik malaikat yang menyambut kelahiran Tuhan Jesus mereka.

Sementara itu, mereka juga percaya pokok Krismas adalah pokok syurga lalu menghias pokok syurga ini dengan epal yang dikatakan buah larangan kepada Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa. Namun hari ini buah epal tersebut hanya digantikan dengan hiasan bulat-bulat merah. Pokok yang meruncing di atasnya itu kemudiannya dihiasi pula dengan lampu kelip-kelip, kad-kad ucapan dan sebagainya, demi memeriahkan lagi perayaan Krismas mereka.

Bukan itu sahaja, Marthin Luther turut membawa maksud baru pada lambang trinity yang ada pada pokok berkenaan dengan beranggapan segi tiga itu juga membawa simbol tunjuk ke langit dan terus menghadap syurga.  

Jika begitu, kenapa pula pokok Krismas perlu di letakkan di dalam rumah setiap kali tibanya perayaan Krismas? Menurut kepercayaan penganut Kristian, kelahiran Jesus diiringi dengan bintang dan malaikat. Mereka juga percaya Jesus dilahirkan dalam buaian yang berada di dalam rumah. Justeru pokok tersebut perlu diletakkan di dalam rumah sebagai menandakan buaian Jesus.

JANGAN IKUT CARA AGAMA LAIN

Justeru, apakah kerana kepercayaan itu maka umat Islam dilarang meletakkan pokok berkenaan di dalam rumah atau menanamnya? Menjawab persoalan ini, Engku Ahmad menjelaskan, menanam pokok hiasan seperti pokok pine sempena hari Krismas atau tidak, tidak ada disebut di dalam al-Quran mahupun sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu tidaklah menjadi kesalahan di sisi agama Islam jika menanamnya untuk tujuan lain seperti hiasan landskap, tempat berteduh, mencantikkan kawasan persekitaran dan sebagainya. Namun tegasnya, hukumnya menjadi haram andai pokok pine ditanam untuk memuliakan sambutan hari Krismas.


“Kalau hendak ditanam juga, tanam sahajalah pokok pine itu di luar rumah  ataupun di dalam rumah. Tapi, jangan pula ia dihiasi dengan hiasan-hiasan yang biasa digunakan oleh masyarakat Kristian. Kita bimbang, tujuan asal untuk hiasan itu boleh bertukar menjadi perasaan bermegah-megah dengan kepercayaan penganut Kristian”

Umat Islam perlu mengekalkan identiti, jati diri dan keperibadian mereka.  Apa yang dirisaukan akan menimbulkan fitnah dan tanda tanya daripada masyarakat sekeliling. Tidak semua orang memahami apa yang kita fikirkan. Walau apa sekali pun, niat seseorang itu mesti jelas.

“Tidak salah untuk kita berhias sekalipun menggunakan pokok pine kerana Allah juga sukakan keindahan. Namun jangan pula terikut-ikut akan kepercayaan penganut Kristian dalam meraikan ‘perayaan’ mereka,” ujar Engku Ahmad.

Hakikatnya meniru cara dan gaya hidup apatah lagi apabila membabitkan kepercayaan agama sesuatu penganut selain Islam amat di larang. Hal ini jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis, diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri  r.a. katanya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kamu pasti akan mengikuti sunnah (cara) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal , sehasta demi sehasta. Sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang dhob sekalipun, kamu tetap akan mengikuti mereka. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani?” Baginda bersabda, “Kalau bukan mereka, siapa lagi?” – Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Justeru dalam hal ini Engku Ahmad menasihati khususnya umat Islam agar peka dengan sesuatu isu khususnya yang melibatkan soal pegangan dan kepercayaan lebih-lebih lagi yang menyentuh unsur-unsur persamaan di antara Islam dengan Yahudi dan Kristian. Nasihat Engku Ahmad, ingat pesan Rasulullah s.a.w.  “Hendaklah kamu semua berbeza daripada mereka.”  

SEKILAS LALU TENTANG KEPERCAYAAN 
POKOK KRISMAS OLEH PENGANUT KRISTIAN 


  • Daun yang sentiasa menghijau melambangkan kesuburan alam yang tidak pernah luntur walaupun bukan pada musim sejuk.
  • Hiasan merah setiap kali perayaan Krismas membawa simbolik semangat kerohanian penganutnya. Begitu juga dengan baju yang dipakai oleh 'Santa claus' yang berwarna merah.
  • Dikatakan pokok syurga dan dihiasi dengan pelbagai lampu warna-warni melambangkan keindahan di dalam syurga.

Oleh Nur Hasyimah Othaman
Majalah Al-Islam 10/2012.

3 comments:

  1. Yeremia 10:1-16 (TB) Dengarlah firman yang disampaikan TUHAN kepadamu, hai kaum Israel!
    Beginilah firman TUHAN: "Janganlah biasakan dirimu dengan tingkah langkah bangsa-bangsa, janganlah gentar terhadap tanda-tanda di langit, sekalipun bangsa-bangsa gentar terhadapnya.
    Sebab yang disegani bangsa-bangsa adalah kesia-siaan. Bukankah berhala itu pohon kayu yang ditebang orang dari hutan, yang dikerjakan dengan pahat oleh tangan tukang kayu?
    Orang memperindahnya dengan emas dan perak; orang memperkuatnya dengan paku dan palu, supaya jangan goyang.
    Berhala itu sama seperti orang-orangan di kebun mentimun, tidak dapat berbicara; orang harus mengangkatnya, sebab tidak dapat melangkah. Janganlah takut kepadanya, sebab berhala itu tidak dapat berbuat jahat, dan berbuat baik pun tidak dapat."
    Tidak ada yang sama seperti Engkau, ya TUHAN! Engkau besar dan nama-Mu besar oleh keperkasaan.
    Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, ya Raja bangsa-bangsa? Sungguh, kepada-Mulah seharusnya sikap yang demikian; sebab di antara semua orang bijaksana dari bangsa-bangsa dan di antara raja-raja mereka tidak ada yang sama seperti Engkau!
    Berhala itu semuanya bodoh dan dungu; petunjuk dewa itu sia-sia, karena ia hanya kayu belaka. —
    Perak kepingan dibawa dari Tarsis, dan emas dari Ufas; berhala itu buatan tukang dan buatan tangan pandai emas. Pakaiannya dari kain ungu tua dan kain ungu muda, semuanya buatan orang-orang ahli. —
    Tetapi TUHAN adalah Allah yang benar, Dialah Allah yang hidup dan Raja yang kekal. Bumi goncang karena murka-Nya, dan bangsa-bangsa tidak tahan akan geram-Nya.
    Beginilah harus kamu katakan kepada mereka: "Para allah yang tidak menjadikan langit dan bumi akan lenyap dari bumi dan dari kolong langit ini."
    TUHANlah yang menjadikan bumi dengan kekuatan-Nya, yang menegakkan dunia dengan kebijaksanaan-Nya, dan yang membentangkan langit dengan akal budi-Nya.
    Apabila Ia memperdengarkan suara-Nya, menderulah bunyi air di langit, Ia menaikkan kabut awan dari ujung bumi, Ia membuat kilat serta dengan hujan, dan mengeluarkan angin dari perbendaharaan-Nya.
    Setiap manusia ternyata bodoh, tidak berpengetahuan, dan setiap pandai emas menjadi malu karena patung buatannya. Sebab patung tuangannya itu adalah tipu, tidak ada nyawa di dalamnya,
    semuanya adalah kesia-siaan, pekerjaan yang menjadi buah ejekan, dan yang akan binasa pada waktu dihukum.
    Tidaklah begitu Dia yang menjadi bagian Yakub, sebab Dialah yang membentuk segala-galanya, dan Israel adalah suku milik-Nya; nama-Nya ialah TUHAN semesta alam!

    Ini firmannya...temanya bukan pasal pokok..temanya adalah ALLAH yang hidup dan berhala-hala...maksudnya berhala-hala di sini merujuk kepada orang-orang ramai y menyembah berhala..

    ReplyDelete
  2. rasisme....person who think superior than others

    ReplyDelete