Monday, January 23, 2017

KAUM YANG DIBINASA (KAUM POMPEII)...

Kota Pompeii adalah sebuah kota moden yang muncul sekitar abad ke-7 SM di Greece. Kota ini terletak di Teluk Napoli, dalam wilayah Campania, Itali.

Kehidupan para pemimpin Rom dan penduduk Pompeii penuh dengan aktiviti kemaksiatan yang sangat berleluasa. Kota itu memiliki banyak pusat maksiat dan pelacuran, sehinggakan penduduknya tidak dapat membezakan antara pusat hiburan biasa dan tempat pelacuran.

Suatu hari, ketika penduduk sedang meraikan perayaan dewa api Romawi, gunung berapi Vesuvius yang terletak beratus-ratus kilometer dari kota Pompeii meletup dengan tiba-tiba, lalu memuntahkan lavanya.

Gunung Vesuvius...

Gunung ini merupakan simbol kemegahan negara Itali terutama bagi kota Naples. Gunung yang 'membisu' sejak 2,000 tahun lalu ini juga dikenali sebagai The Mountain of Warning' iaitu 'Gunung Peringatan'.

Kota Pompeii terletak di sebelah kiri Gunung Vesuvius, manakala sebelah kanannya pula kota Naples.

Lava dan debu panas daripada letusan besar Gunung Vesuvius itu telah mensasarkan kota Pompeii sehingga menenggelamkan kota itu sedalam beberapa kaki. Kejadian yang berlaku selama dua hari itu turut melenyapkan penduduknya dalam timbunan debu selama 1,600 tahun. Bahkan turut menghancurkan tiga buah kota lain di sekitarnya, iaitu Herculanem dan Stabie.

Stabie...

Stabie merupakan sebuah bandar Rom kuno yang terletak berhampiran bandar Castellammare, kira-kira 4.5 km sebelah tenggara Pompeii. Kedudukan kota ini hanya 16 km dari letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 M.

Pada asalnya, bandar ini merupakan sebuah pelabuhan kecil, tetapi dimusnahkan oleh Lucius Cornelius Sulla semasa Perang Itali atau Perang Sekutu. 

Bandar ini dibina kembali dan menjadi pusat peranginan terkenal dalam kalangan para pembesar Rom

Namun, kota Pompeii itu ditemui kembali pada tahun 1748 M, manakala kota Herculanem dijumpai pada tahun 1738 M.

Ditemui juga bangunan berserta lukisan dinding dan senibina kuno. Bahkan beberapa jasad penduduk yang ditimpa azab turut ditemui.

Dalam timbunan debu itu, ditemui penduduk yang bertukar menjadi batu. Beberapa pasangan ditemui dalam keadaan sedang melakukan aktviti maksiat termasuklah hubungan sesama sejenis (homoseksual).

Kebanyakan jasad manusia yang ditemui membatu itu menunjukkan ekspresi muka dalam keadaan terkejut dan tidak bersedia dengan kejadian yang datang secara tiba-tiba itu.

Dipercayai para penduduk sedang melakukan pelbagai aktiviti kebiasaan mereka ketika kejadian itu. Turut ditemui ialah sebuah keluarga yang sedang menjamah makanan dalam keadaan membatu. Banyak juga yang ditemui dalam keadaan mengaibkan.

Kejadian ini merupakan satu peringatan daripada Allah swt untuk umat terkemudian, sehinggakan Allah swt mengekalkan sisa kejadiannya sehingga ke hari ini.

Jika diteliti, kisah kaum Pompeii ini begitu mirip dengan kaum Nabi Lut as, iaitu kaum Sodom dan Gomorah. Bahkan turut dinyatakan dalam al-Quran, namun tidak secara khusus. Keadaan mereka ini berkait dengan surah Yasin, ayat 29 yang bermaksud,

“Kebinasaan mereka hanyalah dilakukan dengan satu pekikan yang dahysat, maka dengan serta-merta mereka semua sunyi sepi tidak hidup lagi.”

Tujuan Allah swt mengekalkan mayat-mayat mereka yang membatu dan kesannya yang masih boleh dilihat di Naples, Wilayah Campania, Itali adalah sebagai peringatan dan iktibar supaya umat terkemudian tidak mengulangi kesilapan dan keingkaran yang sama.

Renungan...

Kebinasaan manusia itu disebabkan oleh enam perkara, iaitu 

1 Lemahnya cita-cita untuk akhirat, 

2. Tubuhnya tergadai disebabkan syahwatnya, 

3. Berasakan hidupnya masih panjang, 

4. Mengutamakan keredaan dan kesenangan manusia, 

5. Kurang memerhatikan suri tauladan daripada kehidupan orang terdahulu, 

6. Mengikuti hawa nafsunva dan meninggalkan sunnah Nabi 
(Dzun Nun al-Mishri,Tokoh Sufi)

Surah yang mempunyai kaitan dengan kaum Pompeii;
Al-Fathir (42-43), Yasin (29) dan Al-Qamar (31).

KAUM YANG DIBINASA (ASHABUL RASS)...

Ashabul Rass' merujuk kepada suatu kaum yang menyembah patung berhala di salah sebuah perkampungan di Yamamah iaitu Falaj, sebuah penempatan kaum Tsamud.

Asal-Usul Penyembahan Patung...

Menurut Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan al-Naqqasy, penduduk Rass ini mempunyai sebuah telaga yang dijadikan sebagai sumber minuman serta menyuburkan tanaman.

Penduduk Rass ini diperintah oleh seorang raja yang adil dan baik hati. Setelah raja ini meninggal dunia, penduduk berasa amat sedih.

Kemudian, syaitan telah menyamar sebagai raja itu lalu berdiri di hadapan penduduk dan berkata, "Aku belum mati lagi. Tetapi jika kalian mahu melihataku, buatkanlah ukiran (bermaksud membuat patung berupa raja tersebut) dan aku tidak akan mati untuk selamanya."

Penduduk Rass berasa gembira lalu dibuatnya ukiran seperti yang diarahkan, kemudian diadakan upacara korban lalu mereka menyembahnya. 

Manakala menurut pendapat Ibnu Abi Hatim dan cendekiawan muslim lain mengatakan, penempatan penduduk Ashabul Rass itu terletak di Azerbaijan.

Selain itu, pendapat lain mengatakan perigi tersebut milik kabilah Tsamud sehinggalah mereka dikenali dengan nama 'Ashabul Rass'.

Ashabul Rass...

Perkataan 'Ashabul Rass' hanya disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran.

Dari segi bahasa, 'ashab' bermaksud pemilik. Manakala 'rass' bermaksud telaga atau perigi yang dikelilingi dengan batu-batuan dan kering airnya.

Sesetengan riwayat mengatakan, kaum ini pernah diturunkan seorang utusan bernama Hanzalah bin Shinwan/Shofwan. Namun, ada pula pendapat lain mengatakan utusan itu adalah Nabi Syuaib as.

Menurut pendapat lain, dikatakan bahawa penduduk Rass ini menyembah pohon sanobar yang diberi nama 'Syah Dirakht' bermaksud 'Raja Pohon'. Mereka yakin dan menganggap pohon ini sebagai 'Tuhan Kehidupan'.

Pohon ini ditanam di setiap perkampungan. Pada setiap bulan, mereka akan mengadakan upacara perayaan besar-besaran mengikut ajaran mereka. Semua penduduk akan keluar menuju ke arah pohon sanobar ini dengan membawa binatang korban, menyembelih dan kemudian membakarnya.

Ketika asap pembakaran itu menjulang ke langit, mereka akan bersujud, menangis dan berdoa.

Suatu hari, utusan ini datang kepada penduduk Rass ketika sambutan perayaan itu hampir tamat. Mereka diseru agar meninggalkan ajaran tersebut dan beriman kepada Allah swt.

Namun, penduduk di situ tetap enggan beriman kepada Allah swt. Lalu utusan itu berdoa kepada Allah swt supaya penduduk Rass diberi pengajaran atas keingkaran mereka.

Tidak lama kemudian pohon sanobar vang mereka sembah itu mulai layu dan kering. Penduduk menjadi marah dan terkejut.

"Lelaki ini telah menyihir Tuhan kita!” Kata seorang lelaki dalam kalangan penduduk Rass itu.

Penduduk yang lain pula berkata,

“Sungguh, Tuhan kita telah marah kepada kita apabila lelaki ini mengajak kepada kekafiran, ayuh kita tinggalkan dia!”

Utusan yang datang untuk memperingatkan mereka akan kebatilan disambut dengan cercaan, hinaan bahkan diperlekehkan pula oleh penduduk itu.

Lalu, para penduduk yang ingkar itu masing-masing bersepakat untuk membunuh utusan tersebut. Ada yang mencadangkan agar utusan itu dihumban ke dalam perigi, kemudian, lubang perigi itu ditutup dengan batu yang besar.

Namun, dalam kalangan penduduk yang ingkar itu, terdapat seorang lelaki berkulit hitam yang beriman kepada Allah swt. Pekerjaan hariannya ialah mengumpulkan kayu bakar di hutan, kemudian menjualnya di pasar.

Hasil jualan tersebut akan dibeli makanan dan minuman untuk diberi kepada utusan yang berada dalam perigi itu.

Suatu hari, ketika dalam perjalanan ke pasar, lelaki itu berasa amat mengantuk, lalu dia tertidur. Diriwayatkan bahawa lelaki itu ditidurkan oleh Allah swt selama tujuh tahun. Namun, lelaki itu menyangka dirinya hanya tidur sebentar.

Setelah terjaga, dia meneruskan perjalanannya ke tempat utusan itu berada. Namun, dia mendapati utusan itu sudah tiada di tempat tersebut.

Pandangan Ahli Tafsir Mengenai Keberadaan Utusan Itu...

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, al-Alusi dan al-Qurtubi, dikatakan bahawa sebelum lelaki itu dibangunkan dari lenanya yang panjang, Allah swt telah mematikan utusan itu.

Menurut Imam Ibnu Jarirat-Thabari, kemungkinan kaum tersebut sudah beriman, setelah Allah swt menurunkan azab kepada nenek moyang mereka. Lalu, mengeluarkan utusan itu dari dalam perigi.

Allah swt membinasakan penduduk Rass ini sedikit demi sedikit. Kawasan penempatan mereka dilanda kemarau yang amat dahsyat. Air perigi yang asalnya digunakan untuk mengairi tanaman dan kegunaan harian berubah menjadi keruh. Allah swt juga memusnahkan tanaman dan ternakan mereka.

Bahkan Allah swt juga memberi balasan, sesiapa yang meminum air dari perigi itu akan menjadi semakin haus. Manakala rumah yang dicuci menggunakan air perigi ini turut rosak sehinggakan kampong mereka musnah keseluruhannya. Akhirnya, penempatan penduduk Rass ini dihuni oleh jin dan binatang liar.

Renungan...

Tiga perkara yang merupakan kemuliaan dunia dan akhirat, iaitu memaafkan orang yang menzalimi dirimu, menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, dan sabar ketika engkau diperlakukan seperti orang bodoh.”

Thursday, January 19, 2017

KAUM YANG DIBINASA (ASHABUL QARYAH)...

Menurut sebahagian ahli tafsir, 'Ashabul Qaryah' merujuk kepada penduduk Antakiyah (Antioch) yang tinggal di Sungai al-Ashi, tidak jauh dari muaranya di Suwaidiah, Laut Tengah.

Antakiyah...

Pada asalnya, Antakiyah berada dalam wilayah Turki semasa empayar Uthmaniyah tetapi terlepas kepada Syria semasa Perang Dunia Pertama. 

Sewaktu zaman Abbasiyah, Antakiyah merupakan pusat wilayah al-Awashim. Kota ini digambarkan sebagai sebuah kota yang indah, mempunyai udara yang segar, berair tawar dan penuh kebaikan.

Antakiyah pernah diperintah oleh seorang raja musyrik yang kejam bernama Anticus bin Anticus. Dia turut menyembah berhala-berhala purba. Allah swt telah mengutuskan dua orang rasul untuk menyebarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa as kepada penduduk negeri ini.

Namun, kehadiran rasul-rasul itu ke negeri tersebut mendapat tentangan yang hebat daripada penduduknya. Mereka dilayan dengan kasar dan biadap sekali. Lalu, Allah swt mengutus seorang lagi utusanNya untuk bersama-sama menguatkan dakwah mereka.

“Sesungguhnya, kami ini diutuskan kepada kalian untuk membawa ajaran yang benar.” Kata salah seorang daripada utusan itu kepada penduduk negeri tersebut.

Menurut al-Qurtubi, tiga orang utusan itu bernama Shadiq, Mashduq dan Syam'un. Manakala ahli tafsir yang lain pula berpendapat tiga orang utusan itu adalah pembantu Nabi Isa as (Hawariyyun).

Penduduk negeri itu menjawab,

“Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatu pun tentang agama yang kamu bawa ini. Sungguh, kalian ini pendusta!

“Tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas dan nyata.” Balas salah seorang utusan itu lagi. "

Kemudian, salah seorang penduduk negeri itu mengancam ketiga-tiga utusan itu dengan berkata,

“Sesungguhnya kami berasa nahas dan malang ini adalah disebabkan kalian. Jika kalian tidak berhenti dari menjalankan tugas dakwah itu, kami pasti akan merejam kalian dan rasakanlah azab seksa dari kami yang tidak terperi sakitnya!”

Sewaktu para utusan itu datang ke negeri itu, musim kemarau telah melanda mereka. Disebabkan itu, mereka menuduh utusan itu sebagai pembawa malang dan musibah.

“Wahai penduduk sekalian, sesungguhnya nahas dan malang yang ditimpa ke atas kalian itu adalah kerana kekufuran kalian sendiri. Patutkah kalian mengancam kami disebabkan peringatan dan nasihat yang diberi?”

Balas utusan itu lagi dengan sabar menghadapi kaum yang angkuh.

“Kalian tidak mahu insaf, bahkan kalian adalah kaum yang melampaui batas!” Tambahnya lagi.

Tiba-tiba, datang seorang lelaki bernama Habib an-Najjar dari hujung bandar dalam keadaan tergesa-gesa.

“Wahai kaumku! Ikutilah para utusan itu.” Kata Habib an-Najjar.

“Ikutilah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedangkan mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjukNya.” Tambahnya lagi.

Habib an-Najjar...

Menurut sesetengah pendapat, Habib an-Najjar merupakan seorang tukang kayu yang miskin. Disebabkan itu beliau digelar, 'an-Najjar' yang bermaksud tukang kayu.

“Wahai Habib, sudahkah engkau menerima agama mereka?” Tanya seorang penduduk kepada Habib an-Najjar.

“Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan aku, dan hanya kepada Dialah aku dan kamu semua akan dikembalikan.” Jawab pemuda beriman itu lagi.

“Patutkah aku menyembah beberapa Tuhan yang lain selain Allah swt? Sudah tentu tidak, kerana jika Allah swt hendak menimpakan aku dengan sesuatu bahaya, Tuhan lain pasti tidak akan dapat memberikan sebarang syafaat dan tidak dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya, jika aku menyekutukan Allah swt, sudah tentu aku berada dalam kesesatan yang nyata.” Tambahnya lagi.

“Kini, dengarkanlah pengakuan keimananku. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Allah swt. Oleh itu, dengarkanlah nasihatku ini.” Kata Habib an-Najjar lagi menegaskan pendiriannya, sekaligus membela ketiga- tiga utusan tersebut.

Mendengarkan pengakuan tersebut, para penduduk berasa terkejut dan marah. Lalu, mereka menendang lelaki soleh itu dan menginjak-injaknya. Dikatakan isi perutnya terkeluar melalui telinga dan mulut sehingga pemuda itu mati syahid kerana mempertahankan keimanannya.

Di saat detik terakhir sebelum beliau syahid, pemuda itu diperlihatkan oleh Allah swt akan nikmat syurgaNya. Lalu, beliau sempat berkata,

“Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui kurniaan Allah yang dilimpahkanNya kepadaku, berkat keimananku kepadaNya, iaitu aku telah beroleh keampunan atas dosaku dan aku dimasukkan ke dalam syurga dengan ganjaran yang berlipat ganda dan tergolong dalam kalangan yang beroleh kemuliaan di sisiNya. Seandainya mereka mengetahui hal ini, tentu mereka akan beriman.”

Disebabkan keingkaran dan keengganan menuruti ajaran yang dibawa para utusan itu, serta perbuatan zalim ke atas Habib an-Najjar, akhirnya penduduk negeri itu dibinasakan oleh Allah swt hanya dengan satu pekikan kuat yang sangat dahsyat sehingga menyebabkan suasana menjadi sunyi sepi, lalu semua penduduknya mati bergelimpangan.

Begitulah balasan yang diterima oleh penduduk negeri itu akibat mengingkari kebenaran utusan Allah swt. Mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkan seruan tersebut. Maka, benarlah sesungguhnya, kebatilan itu akan dilenyapkan dengan kebenaran.

Renungan...

Kamu adalah satu roh baru yang mengalir dalam urat nadi umat ini. Lantas, kamu menghidupkannya dengan al-Quran. Kamu adalah satu cahaya baru yang memancar dan akan menghancurkan kegelapan dengan mengenal Allah swt. Kamu adalah suara-suara lantang yang melaungkan kembali dakwah Rasulullah.

KAUM YANG DIBINASA (KAUM TUBBA')

Menurut Sayyid Qutb, yang dimaksudkan dengan kaum Tubba' adalah orang-orang Himyar yang tinggal di Yaman, Ketuanya, bernama Abu Karb As’ad bin Malaki Karb yang berasal dari puak Humairi.

Nama ‘Tubba” juga adalah gelaran yang diberikan kepada raja-raja Himyar atau penguasa Yaman. Raja Tubba' beriman kepada Allah tetapi kaumnya sangat ingkar sehingga melampaui batas.

Asalnya, Raja Tubba' ini merupakan seorang lelaki yang soleh manakala menurut Ibnu Abbas beliau adalah seorangg nabi.

Kerajaan Himyar...

Sebelum kedatangan Islam, penduduk Arab selatan lebih bertamadun. Mereka berjaya mendirikan beberapa kerajaan besar seperti Saba' dan Himyar.

Kerajaan Himyar muncul sejak kerajaan Saba' mulai lemah. Kelemahan itu memberi peluang kepada kerajaan Himyar berkembang pesat, hingga akhirnya menguasai kerajaan Saba'. 

Kekuasaan mereka bertambah luas sehingga ke Iraq dan Bahrain. Kerajaan ini juga mempunyai armada yang besar untuk membawa dagangan dari India, Tiongkok, Somalia dan Sumatera ke pelabuhan sekitar Yaman.

Pembinaan empangan adalah faktor utama yang membawa kemajuan kepada kerajaan ini. Namun ekonominya menjadi lemah setelah empangan itu pecah.

Raja Tubba' juga menjadikan kota Zufar sebagai ibu kota dan pusat pemerintahannya.

Kota Zufar...

Kota ini merupakan pusat perdagangan gaharu. Semasa pemerintahan Raja Tubba', kota ini dijadikan sebagai ibu kota tetapi kini ianya adalah sebuah pesisir yang berada dalam wilayah Kesultanan Oman, di selatan Yaman.

Orang Tubba'...

Orang Tubba' yang terkenal ialah Hasan bin As'ad bin Abi Karb. Beliau hidup pada abad ke-10 SM. Beliau telah mengembangkan wilayah kekuasaannya ke pelbagai tempat.

Di bahagian utara, beliau berjaya meluaskan kekuasaannya sehingga ke Syam (Syria) dan di bahagian timur sehingga ke Turkistan. Beliau juga berjaya menguasai Samarkand.

Selain itu, ada juga pendapat lain mengatakan bahawa Raja Tubba' adalah orang pertama yang menutup Kaabah dengan kain.

Peradaban kerajaan Himyar yang didiami oleh kaum Tubba' sangat maju. Salah satunya adalah empangan air yang berteknologi tinggi. Namun, setelah banyak kejayaan dicapai dan negara mereka dilimpahi kekayaan, kaum Tubba' mula ingkar dengan perintah Allah, lalu diturunkan azab oleh Allah hingga mereka binasa.

Al-Quran tidak membicarakan secara terperinci mengenai azab atau kebinasaan yang ditimpakan ke atas kaum Tubba' ini. Dikatakan kaum Tubba' ini dimusnahkan dengan runtuhnya empangan air, sama seperti yang berlaku ke atas kaum Saba'.

Tahukah Anda?...

Asal-usul masyarakat Arab terdiri daripada beberapa suku.

Antaranya;

1. Arab Ba'idah - Bangsa Arab yang telah lenyap di muka bumi. Mereka pernah mendiami daerah Mesopotamia, tetapi disebabkan serangan Raja Namrud dan kaum yang berkuasa di Babylon hingga Mesopotamia selatan pada tahun 2000 SM, suku bangsa ini berpecah ke pelbagai daerah. Antara kabilah yang termasuk dalam kelompok ini adalah kaum Ad, Tsamud, Ghasan dan Jad.

2. Arab Aribah - Mereka berasal dari keturunan Bani Qahtan yang menetap di tepi Sungai Eufrat, kemudian berpindah ke Yaman. Terdapat dua puak Bani Qahtan yang terkenal iaitu Jurhum dan Ya'rub.

Puak Ya'rub pula terbahagi kepada dua golongan besar iaitu Kahlan dan Himyar. Manakala suku kaum yang mahsyur dari puak Kahlan ialah al-Azd. Dari sini, muncul pula suku Aus, Khazraj dan keturunan Jafnah berbangsa Ghassinah menguasai Syam.

Manakala kerajaan yang terkenal adalah kerajaan Saba' yang muncul pada abad ke-8 SM dan kerajaan Himyar pada abad ke-2 SM.

3. Arab Musta'ribah - Mereka mempunyai darah campuran daripada keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim dengan suku Jurhum. Mereka digelar Musta'ribah bermaksud 'menjadi Arab' atau 'peranakan Arab'.

Ini kerana Nabi Ismail yang bukan berketuiunan Arab telah mengahwini seorang wanita dari suku Jurhum. Kelompok ini digelar sebagai 'Bani Ismail bin Ibrahim Ismail (Adaniyyun)'.

Renungan...

“Al-Haq iaitu Allah tidak terhijab oleh sesuatupun, dan tidak mungkin adanya sesuatu yang dapat menghijab Allah. Sebaliknya, kamulah yang telah terhijab sehingga tidak dapat melihat adanya Allah”

Wednesday, January 18, 2017

KAUM YANG DIBINASA (KISAH NABI NUH A.S.)

Gambar hiasan...

Asal-usul Nama Nabi Nuh

Nama Nabi Nuh adalah Nuh bin Lamik bin Metisyalih bin ldris. Imam al-Kisa'i berkata, "Nama sebenar Nabi Nuh adalah Abdul Ghaffar atau Yasykur."

Menurut satu pendapat, Nabi Nuh dinamakan sebagai 'Nuh' kerana baginda melihat anjing yang mempunyai empat mata. Lalu baginda berkata, "Anjing ini sangat buruk dan menjijikkan."

Kemudian, anjing tersebut berkata pada Nabi Nuh,

"Wahai Abdul Ghaffar, engkau menghina ciptaan atau yang Mencipta? Jika hinaan itu kau tujukan kepada ciptaan, maka jelas memang demikian adanya. Namun, jika hal itu ditujukan padaku, maka aku enggan memilih untuk menjadi anjing. Jika hinaan tadi ditujukan kepada Pencipta, maka hinaan itu tidaklah layak, kerana Dia Maha Berkehendak atas apa-apa yang dikehendakiNya."

Disebabkan kata-kata tersebut, maka Abdul Ghaffar pun tidak henti-henti menangis atas kesalahannya itu. Maka dinamakannya dengan panggilan, 'Nuh' yang bermaksud 'menangis'.

Nabi Nuh A.S merupakan Rasul ketiga dalam turutan 25 orang Rasul terpilih, selepas Nabi Idris dan Nabi Adam, manakala bagi turutan para nabi, ada pendapat mengatakan Nabi Nuh merupakan nabi keempat setelah Nabi Adam, Nabi Idris dan Nabi Syits.

Pengutusan Nabi Nuh a.s. sebagai pembawa risalah kepada umatnya berlaku tatkala umurnya menjangkau 480 tahun. Ketika itu Jibril ditugaskan oleh Allah untuk memberikan perkhabaran tersebut kepada Nabi Nuh.

Jibril datang padanya lalu berkata:

“Aku adalah utusan Tuhan semesta alam, datang kepadamu membawa risalah. Sungguh, Allah telah mengutusmu untuk umatmu”. 

Hal ini sejajar dengan firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan perintah), 'Berilah kaummu peringatan sebelum datang padanya azab yang pedih”. 

Jibril memakaikan pakaian mujahidin, melilitkan serban dan memberinya tali pinggang 'saiful azmi' lalu berkata:

“Berilah peringatan kepada musuh Allah bernama Darmasyil bin Fumail bin Jij bin Qabil bin Adam”

Diceritakan bahawa Darmasyil merupakan seorang raja yang zalim. Juga merupakan manusia pertama yang menghasilkan arak dan meminumnya, manusia pertama bermain judi, dan membuat baju dengan emas. Dia bersama-sama kaumnya menyembah lima berhala yang bernama Wadd, Suwa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr seperti yang disebut dalam al-Quran.

Lima berhala ini dikelilingi oleh 1,700 berhala yang lain. Berhala yang disembah ini turut dibuatkan rumah yang diperbuat daripada batu marmar berwarna-warni. Setiap rumah mempunyai panjang dan lebar yang mencecah 1,000 hasta.

Setiap berhala itu turut dilengkapi dengan kerusi-kerusi emas dan perhiasan mewah. Berhala-berhala itu turut dijaga oleh petugas yang akan melayaninya siang dan malam.

Juga, diadakan hari raya untuk meraikan berhala-berhala tersebut. Mereka akan menyalakan api sekitar berhala, mempersembahkan binatang korban, lalu sujud memuliakannya.

Pada hari tersebut turut didendangkan alunan muzik, gong, pesta tarian sambil meminum arak. Malah pesta seks juga turut diadakan dengan para wanita diperlakukan seperti haiwan.

Pada hari raya tersebut, Nabi Nuh keluar menuju ke arah kaumnya dan berdiri di atas bukit, lalu berkata dengan sekuat tenaganya,

“Wahai kaumku, kedatanganku ini adalah atas perintah dari Tuhan semesta alam. Aku mengajak kalian untuk menyembah hanya kepadaNya dan meninggalkan penyembahan terhadap berhala-berhala itu!”

Seruan Nabi Nuh itu bergegar sehingga terdengar di setiap penjuru, dari hujung barat hingga hujung timur. Sejurus selepas itu, ditakdirkan oleh Allah berhala-berhala itu jatuh dari kerusi masing-masing. Semua pembesar kerajaan terkejut bahkan Raja Darmasyil juga turut pengsan lantaran seruan itu.

Setelah sedar, raja bertanya kepada orang sekelilingnya,

“Suara apakah itu? Salah seorang daripada mereka menjawab,

“Itu adalah suara seorang lelaki bernama Nuh. Dia adalah orang gila yang akalnya sudah tidak waras lagi.”

Lalu, raja memerintahkan tenteranya membawa Nabi Nuh menghadapnya. Ketika Nabi Nuh berada di hadapannya, raja pun bertanya,

“Siapakah engkau?”

Lalu Nabi Nuh menjawab:

“Aku ialah Nuh, utusan Tuhan semesta alam. Aku datang ke sini membawa risalah agar kalian semua beriman kepada Allah dan meninggalkan semua Berhala itu.

Lalu raja berkata:

“Jika engkau gila, aku akan mengubatimu. Jika engkau fakir, aku akan mencukupkan harta untukmu dan jika engkau orang yang terbelenggu dengan hutang, aku akan melunasi semua hutangmu.”

Nabi Nuh menjawab:

“Aku tidak gila, tidak fakir juga tidak terbelenggu dengan hutang. Aku adalah utusan Tuhan semesta alam.”

Nabi Nuh merupakan utusan Allah yang pertama termasuk dalam golongan 'Ulul Azmi'. Allah mengutusnya kepada kaum Qabil, kaum yang sangat keterlaluan menyembah berhala.

Nabi Nuh menyeru kaumnya untuk berikrar dengan kalimat, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nuh adalah Utusan Allah. Tatkala mendengar ucapan itu, raja menjadi murka lalu berkata:

“Sekiranya hari ini bukan hari raya, pasti aku akan membunuhmu secara kejam.”

Maka setelah peristiwa itu, bermulalah episod perjalanan dakwah Nabi Nuh ke atas kaumnya. Baginda tidak berputus asa untuk menyeru kaumnya yang degil itu,

“Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang nyata bagi engkau, agar engkau tidak menyembah selain Allah. Aku benar-benar khuatir engkau akan ditimpa azab pada hari yang sangat menyedihkan.”

Pemimpin kafir dalam kalangan kaumnya pula berkata:

“Kami tidak melihat engkau, melainkan hanyalah seorang manusia biasa seperti kami dan kami tidak melihat orang yang mengikutimu, melainkan orang yang hina serta mudah mempercayaimu. Kami juga melihat engkau tidak memiliki suatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami menganggap engkau pendusta.”

Demikianlah orang kafir mendustakan kerasulan Nabi Nuh. Pemimpin kafir kaumnya itu berkata lagi,

“Sesungguhnya, kami memandang engkau berada dalam kesesatan yang nyata.”

Lalu Nabi Nuh menjawab,

“Wahai kaumku! Aku tidak sesat bahkan aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan seluruh alam. Aku menyampaikan kepadamu amanat Tuhanku, memberi nasihat kepadamu dan aku mengetahui daripada Allah apa-apa yang engkau tidak ketahui.”

Walaupun mendapat tentangan yang hebat, Nabi Nuh tetap bersabar menghadapi kerenah kaumnya selama 950 tahun. Tujuannya hanya satu iaitu untuk menyeru mereka menyembah Allah, Tuhan sekalian alam dan tidak menyekutukanNya dengan apa jua sekalipun.

Baginda juga turut mengingatkan kaumnya akan segala anugerah dan nikmat yang mereka perolehi itu semuanya datang dari Allah.

Nabi Nuh berkata kepada kaumnya,

“Wahai kaumku! Apa pendapatmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan aku diberi rahmat dari sisiNya, sedangkan rahmat itu disamarkan bagimu. Apakah kami akan memaksa engkau untuk menerimanya, padahal engkau tidak menyukainya?

“Wahai kaumku! Aku tidak meminta harta daripadamu sebagai imbalan atas seruanku. Imbalanku hanya daripada Allah dan aku tidak sekali-kali akan mengusir orang yang beriman. Sungguh, mereka akan bertemu dengan TuhanNya, dan sebaliknya aku memandangmu sebagai kaum yang jahil.”

Sambung Nabi Nuh lagi,

“Wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku daripada azab Allah, jika aku mengusir mereka? Tidakkah engkau mengambil pengajaran?”

“Aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa aku mempunyai gudang rezeki dan kekayaan daripada Allah. Aku juga tidak mengetahui yang ghaib, dan tidak pula mengatakan bahawa sesungguhnya aku adalah malaikat.”

“Juga tidak mengatakan kepada orang yang dipandang hina oleh penglihatanmu, 'Bahawa Allah tidak akan memberikan kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui apa-apa yang ada pada diri mereka.' Sungguh, jika demikian aku benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim.”

Sungguhpun Nabi Nuh gigih berdakwah kepada kaumnya, namun yang beriman hanyalah sekitar 80 orang sahaja. Manakala selebihnya masih menentang, malah mempermainkan seruan tersebut.

Mereka berkata,

“Wahai Nuh, sungguh engkau telah berbantah dengan kami. Engkau juga telah memanjangkan bantahanmu terhadap kami. Maka, datangkanlah kepada kami azab yang engkau ancamkan, jika engkau termasuk dalam kalangan orang-orang yang benar.”

“Hanya Allah yang akan mendatangkan azab kepada kalian, jika Dia kehendaki. Kamu semua tidak akan dapat melepaskan diri.” Jawab Nabi Nuh.

Oleh sebab sikap kaumnya yang sering menentang seruan dakwahnya, Nabi Nuh mengadukan hal tersebut kepada Allah.

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam.Tetapi seruanku itu tidak menambah iman mereka, justeru mereka lari dari kebenaran. Sesungguhnya, setiap kali aku menyeru mereka untuk beriman, mereka memasukkan anak jari ke telinganya dan menutupkan wajah ke bajunya. Mereka tetap mengingkari serta sangat menyombongkan diri.”

Demikianlah kaum Nabi Nuh. Mereka sedikitpun tidak mengendahkan nasihat mahupun seruan baginda. Bahkan mereka saling memberi peringatan kepada sesama mereka,

“Jangan sekali-kali engkau meninggalkan penyembahan Tuhan-tuhan engkau dan penyembahan kepada Wadd, Suwa' Yaghtus, Ya'uq dan Nasr.”

Wadd, Suwa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr pada asalnya adalah nama orang-orang soleh dalam kalangan mereka. Setelah mereka meninggal, kaumnya sangat sedih akan kehilangan itu.

Lalu syaitan membisikkan kepada mereka untuk membuat patung dan dinamakan dengan nama orang-orang soleh tersebut. Patung-patung itu kemudiannya disimpan untuk sembahan pada majlis-majlis perayaan mereka.

Perjalanan dakwah Nabi Nuh cukup mencabar. Seruannya hanya didengari oleh segelintir sahaja. Setiap kali Nabi Nuh menyeru kaumnya menyembah Allah, mereka akan menutup telinga dengan tangan dan melemparkan batu-batu sehingga baginda pengsan.

Pemimpin kaum Qabil silih berganti. Selepas Raja Darmasyil mati, tugasnya beralih kepada anaknya bernama Tubin. Namun, Tubin ternyata lebih kejam. Perjalanan dakwah Nabi Nuh semakin mencabar. Sungguhpun begitu, baginda tetap meneruskan amanah yang dipikulnya.

Hal ini berlanjutan berkurun lamanya sehingga Tubin mati. Setelah itu, beliau digantikan oleh puteranya bernama Togrodus. Disangkakan keadaan kaumnya akan berubah dengan pemerintah yang baru, ternyata tidak. Ini kerana Togrodus lebih kejam dalam pemerintahannya.

Lalu, Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh:

“Ketahuilah, tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang benar-benar beriman sahaja. Oleh itu, janganlah engkau bersedih hati atas apa-apa yang mereka lakukan.”

Kemudian Allah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membuat sebuah bahtera.

FirmanNya,

“Dan buatlah kapal bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami. Dan janganlah engkau bicarakan dengan aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.”

Setelah mendapat perintah tersebut, maka Nabi Nuh pun mula membina kapal seperti yang diwahyukan. Setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewatinya, mereka akan mengejeknya.

Lalu dibalas oleh Nuh, 

“Jika engkau mengejek kami, maka kami pun akan mengejekmu seperti engkau mengejek kami. Kelak, engkau akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakan dan siapa yang akan ditimpa azab yang kekal.”

Demikianlah Nabi Nuh bersabar di atas perlakuan kaumnya dan terus menyambung tugasnya membina kapal tanpa mempedulikan ejekan tersebut.

Maka, setelah kapal tersebut siap dibina, Allah pun berfirman, 

“Muatkanlah ke dalam kapal itu sepasang haiwan (jantan dan betina) dan keluargamu, kecuali orang yang telah terkena ketetapan dahulu dan muatkan pula orang- orang yang beriman.”

Ternyata orang yang beriman dengan Nabi Nuh hanyalah sedikit sahaja. Maka Nabi Nuh menyeru kepada para pengikutnya,

“Naiklah engkau semua ke atas kapal dengan menyebut nama Allah pada waktu berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Dalam surah al-Qamar, ayat 11-12, Allah turut merakamkan detik tersebut.

“Lalu Kami bukakan pintu-pintu langit dengan menurunkan air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi menyemburkan mata-mata air, maka bertemulah air-air itu sehingga meluap menimbulkan keadaan bencana yang telah ditetapkan.”

Dan kami angkut dia (Nuh) ke atas kapal yang diperbuat daripada papan dan paku, yang berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan bagi orang yang telah diingkari (kaumnya).”

Allah menurunkan hujan tanpa henti dan semua mata air di bumi memancarkan air. Lalu keduanya bertemu dan menjadi banjir yang membentuk gelombang dahsyat sehingga mencapai tinggi puncak gunung. Banjir tersebut merupakan antara banjir paling tesar dalam sejarah manusia.

Saat itu, Nabi Nuh memanggil anaknya, Kan'an yang berada di tempat jauh dan terpencil,

“Wahai anakku! Naiklah kapal bersama kami dan janganlah engkau bersama orang-orang yang kafir.”

Lalu anaknya menjawab,

“Aku akan mencari perlindungan di gunung yang dapat menghindarkan aku daripada air bah ini!”

Nuh berkata lagi,

“Tidak ada yang melindungimu daripada azab Allah pada hari ini, selain Allah yang Maha Penyayang.” 

Isteri Nabi Nuh

Nabi Nuh mempunyai dua orang isteri iaitu Amrah dan Wal'ab. Amrah dikurniakan enam orang anak; tiga lelaki dan tiga perempuan iaitu Sam Ham, Yafus, Haswah, Sarah dan Bahyurah.

Wal'ab binti Ajuwel, dikurniakan dua orang anak lelaki; Balus dan Kan'an tetapi wanita ini kembali kepada agama asalnya setelah memeluk Islam. 

Betapa sedihnya Nabi Nuh mengenangkan anaknya Kan'an yang tidak mahu mengikut seruannya. Malah memilih untuk bersama-sama dengan kaumnya yang kafir hingga dia binasa dan tenggelam bersama mereka.

Begitu juga dengan isterinya, turut tenggelam bersama-sama golongan yang kafir kerana menolak ajakan suaminya, menyembah Allah

Kisah isteri Nabi Nuh ini turut diabadikan dalam al-Quran menerusi surah at-Tahrim ayat 10,

Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir, isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami.

“Lalu kedua-dua isteri itu berlaku khianat kepada suami masing-masing, tetapi kedua-dua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikitpun dari azab seksaan Allah. Dan dikatakan kepada keduanya, 'Masuklah engkau berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk ke neraka'.”

Disebabkan keengganan dan kesalahan yang dilakukan, akhirnya mereka ditenggelamkan, lalu dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tidak memperolehi pertolongan selain Allah

Dan Nabi Nuh berkata,

“Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu. Dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang jahat dan tidak tahu bersyukur.”

Allah mendengar rintihan Nabi Nuh itu. Tenyata, apa yang dijanjikan oleh Allah untuk mendatangkan azab kepada kaumnya yang berdusta dan tidak mahu beriman benar-benar berlaku.

Setelah penduduk bumi itu lenyap dan tidak ditinggalkan walau seorang pun kecuali orang-orang yang beriman, maka Allah pun berfirman,

“Wahai bumi! Telanlah airmu dan wahai langit (hujan), berhentilah!”

Kemudian, air pun menjadi surut mengikut perintah Allah. Kapal itu akhirnya berlabuh di atas Gunung Judi.

Gunung Judi

Gunung Judi terletak di Armenia, sebelah selatan bersempadan dengan Mesopotamia.

Kapal Nabi Nuh dijumpai oleh orang-orang terdahulu dalam tamadun Babylon, di Gunung Judi, timur utara Jazirah Ibn Umardi Kurdistan.

la diperbuat dengan menggunakan besi logam, selain daripada kayu. Panjangnya 300 hasta dan lebarnya 50 hasta seperti yang tercatat dalam kitab Taurat.

Dalam peristiwa itu, anak-anak Nabi Nuh yang beriman hanya Sam, Ham dan Jafis.

Sungguhpun begitu, Nabi Nuh tetap memohon kepada Allah untuk menyelamatkan anaknya.

Katanya,

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk dalam kalangan keluargaku. Dan janjiMu itu pasti benar. Engkau adalah hakim yang paling adil.”

Lalu Allah berfirman,

“Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam kalangan keluargamu kerana perbuatannya sungguh tidak baik. Oleh itu janganlah engkau memohon kepadaKu dengan sesuatu yang engkau tidak ketahui hakikatnya. Aku menasihatimu agar engkau tidak termasuk dalam kalangan orang yang jahil.”

Setelah keadaan menjadi reda, maka Allah berfirman lagi,

“Wahai Nuh! Turunlah dengan selamat sejahtera dan penuh keberkatan dari Kami, bagimu dan bagi semua umat mukmin yang bersamamu. Dan ada umat-umat yang Kami beri kesenangan dalam kehidupan dunia, kemudian mereka akan ditimpa azab Kami yang pedih.”

“Demikianlah kisah Nabi Nuh bersama kaumnya yang degil dan tidak bersyukur. Akibat tindakan, kesalahan malah kelancangan kata-kata mereka, Allah telah menunaikan janjiNya dengan menurunkan azab yang luar biasa sehingga akhirnya mereka semua binasa tanpa ada sisa walau satupun. Manakala bagi kaumnya yang beriman, Allah menyelamatkan mereka dari azab tersebut.

Firman Allah,

“Dan sesungguhnya, Kami telah jadikan kapal itu sebagai tanda (pelajaran). Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran? Maka betapa dahsyatnya azabKu dan peringatanKu. Dan sungguh, Kami telah memudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?”

Allah telah membinasakan kaum Nuh ketika mereka mendustakan utusanNya, Nuh. Tatkala tiba bencana banjir Allah telah menyelamatkan Nuh bersama orang-orang yang bersamanya di dalam kapal. Manakala mereka yang kufur dan enggan ikut bersama Nuh ditenggelamkan dalam lautan banjir yang besar.

Renungan

“Sesungguhnya kita tidak dapat memberi hidayah kepada orangyang kita sayangi, tetapi Allah lah yang akan memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”