Thursday, October 23, 2014

RAHSIA KAYU KOKKA DAN KELEBIHANNYA SEBAGAI PENAWAR...

Pokok Kokka...


Setiap ciptaan Allah subhanahu wa taala mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan yang tersurat dan tersirat. Sinaran matahari dan titisan hujan menyuburkan bumi yang tersimpan padanya pelbagai rahsia unik. Kemudian dari pelbagai ciptaanNya itu disertakan khasiat yang tersendiri. Tiada suatu pun makhluk yang Allah ciptakan di alam ini melainkan bersamanya turut tersimpan seribu satu rahsia. Allah subhanahu wa taala memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat terkandung di dalamnya. Berkat taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha mereka menerokai khazanah Allah subhanahu wa taala lalu menemui pelbagai hasil galian dan tumbuhan semulajadi yang bermanfaat.


Sepertimana yang kita sedia maklum, platinum, emas, dan perak merupakan bahan logam yang paling berharga. Platinum merupakan logam yang paling mahal dan antara kelebihannya adalah kemampuan menyingkirkan haba. Bagi wanita misalnya, emas adalah sangat tinggi nilainya. Antara logam yang bernilai tinggi dalam industri pembinaan pula adalah titanium yang digunakan untuk membina pesawat dan seumpamanya kerana sifatnya yang keras dan ringan. Terdapat pelbagai logam lain yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Namun dalam kebanyakan logam, besi berani atau magnet adalah logam yang paling aneh dan unik. Manakala merkuri atau raksa pula adalah satu-satunya logam dalam bentuk cecair. Subhanallah!!! 


Di dalam kategori kayu pula, kajian saintifik mendapati tongkat Ali mengandungi khasiat sebagai penawar bagi menguatkan tenaga dalam tubuh badan manusia. Terdapat juga aneka jenis akar kayu yang boleh dijadikan ramuan sebagai penawar dan penyembuh penyakit. Kayu Tas pula mempunyai kelebihan sebagai pelindung sepertimana yang digunakan oleh pengendali pertunjukan sarkas bagi menakut dan menundukkan binatang buas. Manakala kayu kokka pula merupakan kayu paling tinggi mutunya dalam segala jenis kayu yang terdapat di muka bumi Allah ini. Kayu kokka telah digunakan sejak zaman Nabi-Nabi terdahulu. Contohnya seperti bahtera Nabi Nuh alaihis salam iaitu dalam pembinaan tiang utamanya, tongkat Nabi Musa alahis salam, tongkat Nabi Syuaib alaihis salam dan diriwayatkan juga tongkat Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam juga diperbuat daripada kayu kokka!!!

Pegangan kita 


Kesemua ciptaan Allah subhanahu wa taala hanyalah merupakan perantaraan semata-mata. Allah subhanahu wa taala jualah yang berkuasa mutlak atas segalanya. Yakin dan berserahlah kepada Allah sahaja secara tuntas. Sekiranya kita meyakini bahawa mana-mana makhluk boleh memberi manfaat dan mudarat secara mutlak maka ini dikenali sebagai 'syirik jalli' ataupun syirik secara terang-terangan. Maka seseorang yang mensyirikkan Allah akan gugurlah imannya dan taubatnya tiada terampun.


Adapun kayu kokka hakikatnya terdapat pelbagai rahsia dan kelebihan sebagai penawar, penyembuh dan pelindung. Apatah lagi jika digunapakai sebagai tasbih. Boleh juga dipakai dalam bentuk cincin dan loket. Kayu kokka juga boleh menjadi lebih tinggi harga dan nilainya dari semasa ke semasa. Kayu kokka wajar dimiliki oleh setiap individu sepertimana perlunya kotak 'First Aid' sebagai persediaan pada saat kecemasan dan darurat.


Falsafah dan konsep penggunaan kayu ini seumpama seorang pesakit yang pening kepala berikhtiar memakan dan 'menggunakan' panadol sekadar dalam agenda berusaha meringan atau menyembuhkan sakitnya. Memanglah; hakikatnya Allah yang menjadi Yang Maha Penyembuh kepada sekalian penyakit.


Begitulah juga penggunaan kokka. Cuma yang berbeda hanyalah metod dan cara penggunaannya. Tambahan pula, cara yang kita guna sebenarnya mengambil berkat daripada barang dan bahan yang pernah digunakan oleh Nabi-Nabi terdahulu sabagai satu pengamalan akan 'sunnah' mereka.

Asal usul kayu kokka


Kayu kokka yang paling baik adalah daripada Turki dan Cyprus. Terdapat juga dari negara-negara lain seperti Nigeria, Iran dan Mesir. Kayu kokka langsung tidak terdapat di mana-mana negara selain daripada negara-negara yang telah disebutkan di sini. Inilah antara faktor yang menyebabkan kayu kokka begitu mahal harganya; disebabkan kurangnya kuantiti kayu ini dipasaran.


Terdapat dua jenis kayu kokka iaitu kokka laut dan kokka darat. Ada kayu kokka yang berwarna kuning bertompok merah, hijau tua dan koko berjalur agak tua warnanya. Ini adalah daripada spesis kokka Iran. Jenis Nigeria pula berwarna hitam apabila telah tua. Kuning tua dan berwarna coklat cerah dikatakan jenis kokka yang betina. Kokka ini juga tidak ditembusi cahaya.


Jenis Mesir mempunyai satu warna sahaja iaitu coklat muda. Harganya murah sahaja dan bukan original. Jenis Turki pula akan senantiasa berkilat walaupun dalam pelbagai suasana. Kebanyakannya berwarna coklat tua dan bercampur hitam dan sedikit kekuningan. Kayu ini juga tidak ditembusi cahaya sekiranya dibelah dua. Inilah yang paling baik dan paling mahal!!!

Rahsia dan kelebihan kayu kokka 


Antara rahsia dan kelebihan kayu kokka menurut pengalaman mereka yang pernah memakainya adalah seperti berikut:

  • Rumah yang memiliki dan menyimpannya akan aman daripada gangguan pelbagai makhluk; insya Allah.
  • Anak menangis tidak dapat tidur; letak di bawah bantal atau rendam ke dalam air lalu diberi minum; insya Allah akan tidur.
  • Sakit gigi-rendam sebahagiannya ke dalam air suam kemudian berkumur dengannya dan minum. Insya Allah sembuh.
  • Sakit kepala, sakit urat atau otot- Gosok-gosokkan ke bahagian yang sakit. Insya Allah lega.
  • Demam, sakit kuning, kerongkong, tongsil, guam dan ruam- Rendam di dalam air lalu diberi minum atau titiskan ke mulut. Insya Allah sembuh.
  • Ibu dalam pantang- Bawa bersama ketika tidur, rendam di dalam air suam dan minum. Insya Allah akan segera sembuh.
  • Termakan santau atau terkena racun serta batu karang- Rendamkan ke dalam air dan diberi minum. Insya Allah sembuh.
  • Sekiranya dipakai pada tubuh badan- Insya Allah akan terhindar daripada binatang liar dan bintang berbisa.
  • Terkena gigitan binatang berbisa- Letakkan pada bahagian yang terkena gigitan. Insya Allah akan hilang segala bisanya.
  • Jika dibawa bersama ketika berjumpa orang zalim- Insya Allah akan tenang dan aman.
  • Sekiranya memakai ketika orang hendak menyusahkan kita- Insya Allah mereka tidak akan terdaya.

Sunday, October 19, 2014

KONSERT HAYAT 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP...

Ketika Ramli Sarip bersama kumpulannya Sweet Charity dari Singapura sedang popular di lewat tahun 1970an, umur aku masa tu dalam lingkungan 19 tahun. Pada tahun 1979, banyak kumpulan-kumpulan muzik lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ini nak menggambarkan betapa banyaknya kumpulan muzik pada ketika itu.

Jika kumpulan muzik yang terkenal seperti Sweet Charity dengan konsep rock dan Black Dog Bone pula dengan lagu-lagu balada dan pop berasal dari Singapura, Di Malaysia pula kumpulan muzik yang terkenal adalah seperti Carefree, Blues Gang dan Alleycats,

Sebelum kumpulan-kumpulan muzik ini muncul, lagu-lagu hiburan yang bermain di corong-corong radio Malaysia pada tahun 1970an banyak di dominasi oleh penyanyi-penyanyi solo dari Indonesia seperti Broery Marantika, Bob Tutupoli, Eddy Silitongga dan banyak lagi, manakala kumpulan muzik pula adalah seperti D'LLOYD, The Mercy's, Fovourites Group, Koes Plus dan sebagainya.

Setelah lahirnya kumpulan muzik ini maka peminat-peminat di Malaysia pun mula beralih arah dan meminati muzik tempatan. Di corong-corong radio pula sudah kedengaran lagu-lagu dari kumpulan muzik tempatan dan di antara lagu hits pada masa itu adalah Rindu Bayangan (Carefree), Apo Nak di Kato (Blues Gang) dan Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycat's). Walaubagaimanapun Kumpulan Sweet Charity dan Black Dog Bone tetap mengungguli seni hiburan di Malaysia.

Kenapa aku berkata begitu? Sebabnya ialah apabila Kumpulan Sweet Charity ataupun Black Dog Bone dari Singapura datang membuat persembahan 'live concert' Di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Kita boleh lihat peminat-peminat dari seluruh pelusuk tanahair dan juga dari Singapura dan Berunai  akan memenuhi stadium. Jika kita berada di luar stadium, kita boleh dengar gegak gempita sorakan peminat-peminat yang ada di dalamnya. Mereka bersorak, bertepuk tangan dan menjerit-jerit bagai histeria apabila penyanyi dan pemuzik yang disanjungi membuat persembahan.

Bagi aku pula, kegilaan pada muzik agak terbatas kerana bukan semua muzik atau lagu yang aku minat. Lagu-lagu rock yang sentimental aku boleh terima walaubagaimanapun yang metal pula bergantung kepada melodi dan iramanya, kalau melodi dan iramanya sedap didengar walaupun sedikit bingit dan disusuli dengan liriknya yang puitis dan berunsur ketuhanan aku boleh terima dan akan menghayati sepenuhnya apabila didendangkan.

Lagu-lagu rock Sweet Charity yang heavy metal seperti Penunggu, Ribut, Batu, Musibah dan banyak lagi tetap segar di ingatan walaupun sudah hampir 30 tahun berlalu. 

Kini Ramli Sarip tidak lagi bersama Sweet Charity dan sekarang bergerak secara solo, banyak album solo beliau dihasilkan dan lagu-lagu popular beliau ialah seperti Keliru, Panah Beracun, Perjalanan Hidup, Istilah Bercinta, Doa Buat Kekasih dan sebagainya. Walaubagaimanapun jasa anggota Sweet Charity tetap tidak dilupakan. Jika ada kesempatan dan ada tawaran untuk membuat konsert, mereka akan bergabung semula bagi mengembalikan nostalgia untuk peminat-peminat setianya termasuklah aku sendiri. 

LATAR BELAKANG KUMPULAN SWEET CHARITY...  

Bagi generasi yang tidak mengenali Ramli Sarip dan juga kumpulan Sweet Charity maka di bawah ini disertakan serba sedikit latar belakang mereka.

Kumpulan Sweet Charity merupakan sebuah kugiran yang mula ditubuhkan di Singapura pada tahun 1967 oleh anggota asalnya iaitu Ramli Sarip (Vokal), Rosli Mohalim (Lewat 70'an Gitar) Joe Salim (Gitar), Wahid Warren (Bass), Syed Hassan Al-Attas (Allahyarham, bass) dan Rahman Sarbani (Drum).

Sweet Charity banyak mengadakan Roadshow dan di Fun Fair di seluruh Singapura dalam tahun 70an-80an dan Sweet Charity jugalah yang mempopularkan muzik rock sehingga mereka dilabel sebagai Deep Purple dan Santana Singapura. 

Kebanyakan kumpulan rock generasi baru seperti Search, Lefthanded dan lain-lain yang seangkatan dengannya menjadikan lagu-lagu Sweet Charity sebagai lagu awal mereka sebelum meneroka jauh ke bidang muzik rock tanahair. Lagu-lagu seperti Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang cukup memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap industri rock yang baru menapak di rantau ini ketika itu. 

Lagu Kamelia (lagu asal  Ebiet G. Ade) telah diberi suntikan irama yang lebih 'keras' dengan suara nyaring dan serak basah Ramli Sarip.

Walaupun membawa imej rock ala Deep Purple tetapi mereka amat kuat berpegang pada agama Islam, pernah terjadi di satu show di Ipoh, seorang promoter konsert telah menyuruh seorang budak menghantarkan arak sebagai hadiah dari promoter, tetapi alangkah terkejutnya budak itu kerana didapati ahli kumpulan Sweet Charity sedang solat @ sembahyang berjemaah sebelum konsert bermula.

Pada tahun 1986, Sweet Charity juga turut membintangi filem yang bertemakan cetak rompak iaitu filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani. Pada tahun yang sama, Ramli Sarip berpisah dengan kumpulan Sweet Charity dan menukar haluan menjadi penyanyi solo dengan album solonya yang pertama - RAMLI SARIP yang popular dengan lagu Panah Beracun.

Anggota-anggota yang lain masih meneruskan kumpulan Sweet Charity sehingga lahirnya sebuah album dengan menampilkan seorang penyanyi wanita bernama Zaitun yang berjudul 'Sweet Charity '88'. 

Walaupun mereka telah lama tidak bersatu, tetapi pada tahun 1996, mereka telah melakukan 'reunion' dan bersama atas nama Sweet Charity dan yang paling masyhur sewaktu di Stadium Negara, KL. Tampil dengan irama rock sejati tetapi masih mengekalkan unsur-unsur kemelayuan sebagai contoh seperti lagu Bulat-Bulat,Jangan Tunggu Lama-Lama, Zakiah dan banyak lagi.
     
KONSERT HAYAT 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP

Pada 17 Oktober 2014, aku bersama isteri berpeluang menyaksikan persembahan Ramli Sarip sempena 45 tahun perjalanan seni beliau yang diadakan di Panggong Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tiket kami berdua yang berharga RM263.00 seorang serta makan malam ditaja oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB).

Kami sangat berbesar hati atas tajaan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai BPMB seperti Asrul, Yani, Fida serta seluruh Bahagian Treasury bank tersebut yang berusaha mendapatkan tiket untuk kami dan lain-lain mereka yang terpilih.  

Pemuzik professional yang mengiringi beliau pada malam itu di ketuai oleh Man Kidal, salah seorang pemain gitar terbaik yang pernah dilahirkan di era 80an, 90an dan sehingga ini.

Turut dijemput membuat persembahan serta mengiringi beliau ialah anggota-anggota asal Sweet Charity seperti Rosli Mohalim (Lead Gitar), Rahman Sarbani (Drum) dan Ahmad Jaafar (Keyboard).

Artis-artis undangan pada malam itu ialah Aris Ariwatan, Dayang Nurfaizah, Jari (peniup trompet dan Seksafone) dan Ahmad Albar penyanyi asal lagu Zakiah dari Indonesia.  

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam pada malam tersebut. Rakaman video tidak dibenarkan oleh Pihak Penganjur atas faktor bussiness. 

Tiket konsert yang berharga RM263.00 seorang...

Banner yang dipasang di Istana Negara tentang konsert yang akan diadakan...

Ramli Sarip sedang membuat persembahan selama lebih dari 2 jam...





Di antara ribuan penonton yang hadir termasuk 
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dan Ratu Rock Ella...




Salina (isteri) bergambar kenangan bersama Ratu Rock Ella...


Penulis bergambar bersama replika Ramli Sarip, lagenda Rock...



Para penonton tidak melepaskan peluang 
untuk bergambar di ruang legar Istana Budaya...



Penulis bersama isteri Salina turut tidak melepaskan peluang 
untuk bergambar bersama...

Penulis bergambar bersama anggota asal Sweet Charity yang terdiri dari 
Rahman Sarbani (Drummer), Rosli Mohalim (Lead Guitar) 
dan Ahmad Jaafar (Keyboard)...

Tuesday, October 14, 2014

ADILA (AKU, DIA DAN LAGU)...



Lagu yang didownload ini adalah salah sebuah lagu yang aku dengar petang semalam di radio dalam rancangan Adila (Aku, dia dan lagu) yang sangat popular sekarang ini.

Salah satu kisah yang menyentuh perasaan adalah seperti di bawah....

Semalam balik kerja memandu kereta sejauh 25km, ikut MRR2. Jalan jem, hujan lebat, boringnya...dengar klasik Nasional rancangan Adila (Aku, Dia dan Lagu). Best juga kisah-kisah lama.

Ada satu kisah tu tak ingat tajuk apa. Ceritanya berkisar tentang kekeluargaan. Seorang Imam dan guru agama mengajar di kampung. Beliau beristeri dua, punya anak lebih kurang 13 orang....Anak yang sulung mengusahakan sawah...Dua orang adiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir. Tapi biasalah dalam setandan kelapa tu tentu ada yang busuk...

Begitulah yang terjadi. Adik yang kecil tak minat nak belajar, tiap pagi, macam pergi sekolah tetapi sebenarnya melencong ke tempat lain bersama kawan-kawan. Aktiviti mereka sepanjang hari adalah mandi sungai, merayau-rayau dan mencuri buah di kebun orang... 

Satu hari, mereka terserempak dengan seorang pakcik yang sedang mengait buah sentol di kebunnya. Buahnya sangat lebat. Budak-budak tadi tak lepas peluang lalu menawarkan diri untuk membantu. Pakcik tu bersetuju, lagipun budak-budak tu jirannya jugak. Apa yang peliknya, pakcik tu hanya ambil sepuluh biji sahaja manakala selebihnya diberi pada budak-budak tadi. Apa lagi gembiralah mereka mendapat buah yang banyak. 

Masa nak bawa balik, timbul masalah kerana mereka tidak membawa bakul. Jadi masing-masing menanggalkan seluar yang dipakai untuk membungkus buah tersebut dan pulang dengan hanya memakai seluar dalam sahaja. 

Dalam perjalanan pulang hujan lebat, tetapi mereka terus berjalan kaki sambil menggendong buah sentol yang banyak itu. Tiba di sebuah warung, rupanya ramai yang berteduh di situ menanti hujan teduh. Di antaranya adalah abang budak tadi. Apabila melihat keadaan adiknya yang hanya memakai seluar dalam dengan menggendong buah sentol. maka terlintas di fikirannya yang adiknya telah mencuri, lalu timbul perasaan marah serta malu yang amat sangat di atas perbuatan adiknya itu. Ya lah! mana tak malunya kerana anak seorang imam dan guru mengaji boleh jadi macam tu. 

Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, si abang yang seperti kerasukan telah membelasah adiknya dengan sebatang buluh yang ada di tangan. Apa lagi....si adik yang kena belasah tadi telah meraung kesakitan akibat pukulan si abang yang bertubi-tubi sehingga buluh yang digunakan itu patah dan hancur.... 

Setelah puas memukul, adik yang dipukul tadi terjelepok ke tanah tak bermaya lalu diusung balik kerumah. Pada malamnya, si adik tidak dapat tidur lena kerana menahan kepedihan di badannya yang luka-luka akibat dipukul petang tadi. Kesedihan makin terasa kerana tiada seorangpun adik beradiknya yang datang merawat atau memberi bantuan samada untuk menyapu ubat dan sebagainya. Keadaan itu mungkin kerana semuanya takut pada abangnya. 

Menjelang dinihari, barulah seorang kakaknya datang menjenguk. Melihatkan keadaan adiknya yang parah itu, timbul perasaan kasihan di hatinya lalu memberikan rawatan. Sambil merawat, si kakak mengambil kesempatan memberikan nasihat supaya adiknya tidak lagi mengulangi perbuatan dan kerja yang tidak berfaedah itu. Si kakak juga mahu adiknya mengubah sikap dan memikirkan masa depannya. 

Bermula dari saat itulah adiknya mula menyesal akan apa yang telah berlaku dan mula merasa insaf. Beliau telah berjanji pada kakaknya akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang telah lama ditinggalkan.

Walaupun keputusan peperiksaan yang diambil kurang memberangsangkan, tetapi akhirnya berkat usaha gigihnya itu telah membuahkan hasil dan beliau akhirnya berjaya juga menjadi seorang guru di sebuah sekolah bantuan kerajaan sehinggalah beliau bersara sekarang ini dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di kampung halaman.... 

Nasihat beliau kepada adik-adik di luar sana supaya tidak menjadi sepertinya dan hargailah pengorbanan ibu dan ayah yang bersusah payah mencari rezeki demi membesarkan anak-anak dan juga memberikan didikan yang sempurna dunia dan akhirat sebagai bekalan di masa hadapan. 

Begitulah serba sedikit kisah yang aku dengar petang itu. Jika ada kesilapan semasa menyampaikan kisah tersebut sepertimana yang dibacakan oleh juruhebah yang bertugas pada petang itu maka maafkanlah aku. Ambillah secara positif terhadap apa yang hendak disampaikan semoga dosa kita diampun dan diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah swt. Aminnnn....

Monday, October 13, 2014

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT...

Gambar hiasan...

Soal Jawab Agama...


Saya suka tinggal solat kemudian bertaubat. Saya asyik ulang taubat, namun tidak solat kembali selepas itu. Adakah hal ini boleh menyebabkan saya dibenci oleh Allah?

Aina Farabi...
Kuala Lumpur.

Solat, ibadat fardu yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Walau apapun pekerjaan atau aktiviti yang dilakukan, solat tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan solat boleh membawa kepada kemurkaan Allah kerana ia adalah kewajipan yang difardhukan.

Solat yang ditinggalkan perlu diganti dengan segera. Begitu juga, anda hendaklah berazam untuk melaksanakan solat secara berterusan (Istiqamah).

Bertaubat darlpada kelalaian diri sendiri itu adalah sebaik sebaiknya. Anda hendaklah bertaubat secara  berterusan sekiranya masih gagal menjalankan perintah solat berkenaan.

Meninggalkan solat umpama meruntuhkan tiang atau asas agama. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: "So­lat adalah tiang agama."

Agama mengajar manusia agar menyembah Allah yang Maha Esa. Meninggalkan solat bermakna tidak menyempurnakan tanggungjawab untuk menyembah Allah sedangkan melaksanakan ibadat solat sebahagian daripada tujuan manusia dicipta iaitu untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah.

Allah berfirman maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku ti­dak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku." (Surah adz Dzariyat, ayat 56)

Dalam sesetengah keadaan, beberapa kemudahan ditetapkan Islam bagi umatnya seperti solat musafir, jamak dan dalam keadaan ketakutan (khauf) bagi meringankan beban seseorang Muslim.

Sunday, October 12, 2014

JEJAKI LALUAN TENTERA BERGAJAH...


Sekumpulan peminat sejarah Saudi berjaya mengesan laluan yang digunakan tentera bergajah Abrahah yang cuba memusnahkan Kaabah lebih 1,400 tahun lalu.

Kitab suci al Quran, dalam satu bab menerangkan secara ringkas kisah mengenai tentera bergajah yang diketuai Abrahah Al Ashram, gabenor Yaman ketika itu.

Allah SWT memusnahkan Abrahah dan tentera, termasuk 13 ekor gajah dengan menghantar sekumpulan burung Ababil untuk menggugurkan batu-batu kecil ke atas mereka.

"Tiada batu yang mengena askar itu tetapi mereka terbakar dan hancur. Abrahah melarikan diri ketika badannya terbakar dan hancur sebelum mati dalam perjalanan pulang ke Yaman," kata ulama dan pentafsir al Quran terkenal abad ke 14, Ibnu Kathir.

Kumpulan penyelidik se­jarah itu melakukan perjalanan merentasi gunung dan laluan sukar, mengambil gambar mercu tanda penting, bermula di utara Najran, kemudian ke timur Asir sebelum meneruskan perjalanan ke timur Asir.

Antara tapak sejarah penting di sepanjang perjalanan itu ialah lakaran gambar gajah pada tembok Gunung al Qahr di tenggara Tathlith, perigi lama di Hafaer di timur Asir dan jalan berturap berhampiran Kara di daerah Aqeeq di wilayah Baha.

Ketua bahagian geologi di Universiti Raja Saud, Mo­hammed Al Amry, berkata, dia melihat laluan Abrahah dan tenteranya di Tathlith dan Baha.

"Kami melepasi kawasan berbatu dan terdapat tulisan dalam bahasa Humairiya di beberapa tempat di gunung sekitar daerah itu," katanya.

Menurut sumber sejarah Islam. Abrahah, penganut Kristian, merancang mendirikan gereja di Sanaa, sama seperti Kaabah di Makkah. Dia mahu penduduk Arab datang beribadah di Sanaa bukan Makkah dengan berharap dia dapat melencongkan kegiatan perniagaan bagi faedah Yaman.

Dia mengemukakan idea itu kepada Raja Habsyah ke­tika itu yang bersetuju dengan rancangan berkenaan. Abrahah membina gereja itu tetapi masyarakat Arab enggan melakukan ibadah di Sanaa.

la mencetuskan kemarahannya, mendorongnya membentuk pasukan tente­ra untuk menyerang Makkah dan memusnahkan Kaabah.

Dia menumpaskan semua tentera Arab ketika mara sehingga dia tiba di Makkah apabila dia dan pasukannya diserang burung Ababil yang dihantar Allah (SWT).

Thursday, October 9, 2014

TERIMA KASIH ALLAH KERANA PENGLIHATAN INI...

Seorang budak lelaki buta duduk di tangga sebuah bangunan, di hujung kakinya ada topi yang ditelentangkan. Di leher budak itu tergantung sebuah coretan, "Saya buta, bantulah saya." Setelah beberapa jam membatu di situ hanya ada beberapa keping duit syiling saja di dalam topinya hasil sedekah orang yang lalu lalang.

Sejak tadi seorang lelaki memerhatikan gelagat budak lelaki itu. Kemudian dia terfikir sesuatu lalu dihampiri budak lelaki itu dan meletakan beberapa keping duit syiling ke dalam topi tersebut. Sebelum beredar dia mengambil coretan yang tergantung di leher budak itu dan menulis beberapa perkataan di atasnya. Kemudian dia menyangkutkan kembali kertas itu ke leher budak buta itu.

Orang yang lalu lalang di situ berhenti dan membaca sedikit coretan yang telah dibuat oleh lelaki itu dan meletakkan beberapa keping syiling ke dalam topi. Tidak lama kemudian topi itu pun penuh, ramai yang menderma.

Tengah hari itu lelaki yang menukar coretan itu datang lagi untuk melihat apa yang sudah berlaku. Budak lelaki buta itu kenal bunyi tapak kasut orang yang menghampirinya. Ya, lelaki itulah yang telah mengubah coretan pada kertas yang tergantung di lehernya. Lalu dia bertanya, "Abangkah yang telah mengubah coretan yang saya buat pagi tadi? Apa yang abang tulis?"

Lelaki itu menjawab, "Abang hanya menulis apa yang benar. Saya cakap apa yang adik cakap tetapi dalam cara yang berbeza."

Lalu lelaki itu membacakan apa yang telah ditulisnya, "Hari ini sungguh indah. Malang, saya tidak mampu untuk melihatnya."

Bukankah yang ditulis mempunyai maksud yang sama tetapi disampaikan dengan cara yang berbeza. Kedua-dua coretan itu menyatakan bahawa budak lelaki itu buta. Coretan yang pertama, "saya buta, bantulah saya". Manakala coretan yang kedua membawa maksud kita bertuah kerana Allah mengizinkan kita untuk mampu melihat. Coretan yang kedua itu lebih menyentuh hati.

Firman Allah s.w.t.:

"Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur tapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." (Al-Mu'minun:78). 

Pengajaran dari kisah ini:-

  1. Setiap apa yang kita mohon samada kepada Allah atau manusia hendaklah jelas.
  2. Kita perlu bersyukur walaupun menerima pemberian yang sedikit.
  3. Manusia biasa melihat dengan mata kasar, manakala manusia buta melihat dengan matahati.  

Dipetik dari Majalah Al-Islam 9/2014

Tuesday, October 7, 2014

PROGRAM IBADAH KORBAN FELCRA BERHAD 1435H...

Buat julung-julung kalinya Syarikat FELCRA Berhad telah mengadakan program Ibadah Korban bagi tahun 1435H bertempat di perkarangan bangunan Ibu Pejabat pada 7 Oktober 2014 bersamaan 12 Zulhijjah 1435H bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

Sebanyak 4 ekor lembu telah dikorbankan di mana dua ekor darinya adalah dari staf sendiri manakala dua ekor lagi disumbangkan oleh Syarikat. Program Ibadah Korban ini mendapat kerjasama dari Biro Agama Felcra dan Kelab Kembara Amal Felcra.

Turut menyaksikan acara sembelihan korban ialah Y. Bhg. Dato' Ramlee b. Abu Bakar, CEO FELCRA Berhad serta Pegawai-pegawai Kanan yang lain.

Tukang-tukang sembelih adalah terdiri dari staf Syarikat sendiri iaitu Tn. Hj. Eisa b. Mohamed (Bhg. Perancang Korporat), Tn. Hj. Zainuddin Muhamat (Bhg. Sumber manusia), En. Rafia Ol Husni b. Hj. Ghazali (Bhg. Inspektorat) dan En. Azman b. Ahmad (Bhg. Kewangan). Semasa penyembelihan dibuat, mereka diawasi oleh pakar-pakar yang dibawa khas dari Selayang Baru.

Daging-daging korban selain diagih kepada peserta, turut diagih sama kepada fakir-fakir miskin di sekitar Taman Sri Rampai. Selebihnya telah dimasak untuk jamuan makan tengahari kepada para petugas dan juga kepada semua staf yang ada.  Tugas-tugas memasak diuruskan oleh Syarikat Q'sha Catering. 

Sila klik untuk mengikuti Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi ismail...

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam semasa program berlangsung. Maaf jika terdapat gambar-gambar yang sama sebab tak sempat nak pilih dan semua gambar juga tak sempat nak letak caption... 

Kepada mereka yang gambar dia banyak, jangan seronok sangat dan kepada mereka yang turut mengambil bahagian tapi gambar sekeping pun tak ada, jangan pula bersedih kerana tidak disengajakan...Diharapkan mereka ini jangan berputus asa dan cuba lagi di tahun hadapan... 

Klik pada gambar untuk lebih jelas...