Sunday, March 30, 2014

SUMPAH!!! SEJAUH MANA KEBENARANNYA...

 Potret Mahsuri seperti yang digambarkan oleh pelukis....

SUMPAH Mahsuri ke atas Langkawi benar-benar berlaku. Sebelum wanita itu disula dia menyumpah bahawa Langkawi akan menjadi padang jarak dan padang tekukur hingga tujuh keturunan. Kini setelah tamat tujuh keturunan raja Kedah, maka pulau itu kembali makmur.

Si Tanggang pula disumpah oleh ibunya menjadi batu setelah dia menderhaka kepada ibunya. Di mana letaknya batu itu tidak pula diketahui orang.

Cerita tentang sumpah hanya dianggap sebagai karut kerana hal ini berlaku di zaman lampau yang sukar untuk dikaji kesahihannya. Dan bila kemajuan berlaku di muka bumi ramai orang tidak lagi percaya dengan sumpah.

Bagaimanapun saintis kini mempercayai kesahihan dan kemujaraban sumpah. Contohnya Aleister Crowly pernah menyumpah seorang doktor yang gagal memberitahu jenis dadah yang diambilnya. Dia berkata bahawa apabila dia meninggal doktornya juga akan mengikut jejaknya. Memeranjatkan bila Crowly meninggal dunia, doktornya juga mati kerana cedera di kepala dalam satu kemalangan.

Hal yang demikian membuat para saintis terpinga-pinga tentang apakah Dr. Thompson mati secara kebetulan atau apakah sumpah Crowly dimakbulkan?

Sumpahan yang paling masyhur ialah daripada Tutankhamen. Kubur anak raja Firaun itu diteroka pada tahun 1922 oleh dua orang ilmuan British iaitu Howard Carter dan Lord Carnarvon. Carter agak bernasib baik kerana ketika mengunjungi kubur Tutankhamen, dia membawa seekor burung kenari yang kononnya memberi tuah kepadanya.

 Tutankhamun...

Dan apabila kubur dibuka, burung kenari itu dibaham ular tedung. Sebaliknya Carnarvon jatuh sakit setelah tiga bulan membuka keranda anak raja itu. Dua bulan kemudian dia meninggal dunia. Kononnya sewaktu dia meninggal, seluruh kota Kaherah bergelap. Dan dalam masa yang sama, anjing peliharaannva yang berada di rumahnya di England turut mati pada waktu yang sama.

Dalam pada itu orang-orang yang terlibat membungkas kubur anak raja Firaun itu didapati mati selepas beberapa hari dan dua orang pelawat pertama yang melawat kubur itu mati pada hari mereka melawat kubur itu.

Dalam pada itu Pengarah Muzium Mesir, Dr. Gamal ed Din Mehrez yang memperkecilkan sumpahan daripada anak raja Firaun itu rebah dan mati setelah membuat kenyataan itu.

Daripada keberkesanan sumpah, ramai pakar psikologi yakin bahawa sumpah sememangnya mempunyai kesan. Kita dilarang sama sekali menyumpah anak-anak kita sewaktu marah atau bila dia melakukan kesalahan kerana sumpah daripada mulut ibu atau bapa akan memberi kesan seperti yang diucapkan. Mahukah kita menyaksikan anak kita merana kerana sumpah?

Sekiranya kita berkata anak kita akan jadi syaitan, maka bila besar kelak itulah fiilnya. Maka jauhilah sumpah kepada anak sendiri.

Seorang ahli psikologi Dr. Herbert Basedow memerhatikan orang asli Australia melihat tulang. Menjadi kepercayaan mereka sekiranya tulang yang dilihat itu menuding ke arahnya maka dia akan menerima maut. Itulah petanda sumpah di kalangan masyarakat itu. Kebetulan seorang melihat tulang yang menuding ke arahnya. Dia merasakan sumpahan itu akan berlaku. Mula-mula pipinya pucat, kemudian seluruh wajahnya berkerepot dan kemudian tubuhnya menggeletar dan akhirnya dia rebah. Beberapa lama kemudian dia hilang selera makan dan kemudiannya meninggal dunia.

Seorang juara lumba kapal Donald Campbell cukup percaya kepada benda-benda karut. Dia menghias sekitar rumahnya dengan benda berwarna biru. Seringkali dia membawa patung anak beruang. Banyak kepercayaan pelik yang dianggapnya sebagai kebaikan. Dan apa kala dia mendapat sesuatu perkara ganjil, maka dia yakin padah buruk akan menimpanya.

Sebelum menyertai perlumbaan di Tasik Coniston, Campbell menarik sehelai daun pakau 'ace spade' dan percaya ia akan terkorban dalam perlumbaan itu yang sememangnya berlaku pada dirinya.

Lantaran adanya rasa taksub kepada sesuatu perkara maka seseorang mungkin dilanda oleh perasaan takut. Umpamanya suara burung hantu menandakan kedatangan jin dan syaitan yang mana ramai orang menggigil bila mendengar suara burung itu. Ada pula orang yang percaya bahawa hujan atau gerimis di waktu panas terik membayangkan kemalangan berdarah. Ertinya dia harus tunda tugas dan kerja pada ketika itu.

Mastika 9/97...

Friday, March 28, 2014

JANGAN TUA SEBELUM WAKTUNYA...

Gambar hiasan...

KITA menjadi tua kerana kita menganggap diri kita tua. Sebaliknya, jika kita membayangkan diri kita muda, pemi­kiran dan tindakan kita akan bertindak balas dengan sewajarnya dan kita akan kekal muda bagi tempoh yang lebih lama.
 
Memang benar pemikiran mempengaruhi rupa paras dan usia panjang. Seseorang itu akan menjadi muda jika dia merasakan dirinya muda dan dia akan menjadi tua jika dia membayangkan dirinya tua.

Adalah menjadi satu kenyataan bahawa mereka yang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah atau yang ada tujuan, lambat tua dan hidup lebih lama. Konrad Adenauer masih aktif sebagai ketua kerajaan Jerman Barat hingga usianya menjangkau 89 tahun. Sir Winston Churchill dan Geo­rge Bernard Shaw dari Britain adalah di antara tokoh-tokoh lain yang hi­dup aktif sepanjang hayat. Mahatma Gandhi menggambarkan kehidupan cergas walaupun pada saat-saat beliau dibunuh. Kulitnya yang licin, mukanya bersih dan bersinar dan tubuh badannya cergas dan bersemangat.
 
Tokoh India itu menjaga kesihatannya dengan mengamalkan pemakanan yang sederhana, banyak berehat dan tidak berdendam terhadap sesiapa.

Masyarakat di negara-negara beriklim sejuk biasanya hidup lebih lama daripada mereka yang tinggal di negara-negara yang bercuaca panas. Bagaimanapun, penduduk-penduduk di negara-negara pa­nas boleh mengambil beberapa langkah untuk menjaga dan memelihara kesihatan.

Melakukan sesuatu mengikut rutin merupakan satu amalan penting kerana tubuh badan kita bertindak balas dengan baik jika kita mematuhi jadual tetap un­tuk berehat, bekerja, makan dan membuang air kecil dan besar. 


Memakan buah-buahan adalah baik 
untuk mengekalkan kesihatan...

Pemakanan mestilah seimbang terdiri daripada makanan-makanan semula jadi seperti sayur, buah-buahan, susu, mentega, madu, kekacang, krim, keju dan bijirin. Pengambilan zat makanan mestilah seimbang dengan tenaga yang digunakan.

Mereka yang banyak menggunakan pemikiran dalam kerjaya menggunakan lebih banyak tenaga dibandingkan dengan pekerja-pekerja buruh dan dari itu memerlukan lebih banyak zat makanan.

Pada masa lalu, batuk kering merupakan satu penyakit biasa di kalangan penulis. Punca jangkitannya bukanlah kerana mereka tidak mempunyai makanan untuk dimakan tetapi kerana mereka tidak makan secukupnya bagi menggantikan tenaga yang digunakan. 



Senaman meru­pakan satu keperluan penting. Berjalan dan berenang adalah bentuk sena­man paling mudah dan juga antara yang paling berfaedah untuk setiap anggota badan kita. Menunggang basikal juga bagus untuk menguatkan jantung.

Satu lagi faktor yang menjamin kesihatan ialah udara ber­sih. Udara kotor yang dicemari asap daripada kilang-kilang perindustrian dan juga daripada kenderaan boleh menjejaskan kesihatan.


Udara bersih dan segar di kawasan pergunungan membolehkan masyarakatnya hidup lebih sihat dan lebih lama daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagaimanapun, penduduk-penduduk bandar boleh hidup sihat dengan mengamalkan senaman-senaman mudah seperti berjalan kaki di taman atau menunggang basikal.

Tembakau membahayakan kesihatan kerana ia boleh merosakkan paru-paru, mngaburi penglihatan, melemahkan jantung dan menjejaskan pencernaan. Ia menjadi punca penyakit barah dan membakar deria rasa pada lidah.

Kebimbangan juga boleh menjejaskan sistem kesihatan dan menyebabkan kulit muka berkedut. Tubuh badan manusia umpama sebuah jentera. Ia akan kekal baru bagi tempoh yang lama jika dijaga dengan baik dan sempurna dan disapu minyak pelincir dari semasa ke semasa. 



Sifat benci dan cemburu boleh memudarkan seri wajah seseorang. Faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kita cepat tua ialah amalan harian yang dilakukan tanpa mengikut masa tetap, terlalu banyak merokok dan banyak membazirkan tenaga. Kurang tidur menyukarkan sistem badan daripada berfungsi dengan baik. Ia menyebabkan tubuh badan menjadi letih dan lemah, sekali gus menjejaskan kesihatan.

TIPS UNTUK TIDUR YANG BERKUALITI...

Inikah yang dikatakan tidur yang berkualiti?

Atau yang ini?????


  • JANGAN membaca, menulis dan makan di tempat tidur. Apa-apa pun kegiatan yang tiada kaitan dengan tidur akan mengganggu proses tidur anda.

  • Cukup baik melakukan eksesais yang berat di waktu pagi atau petang. Minum dan makan yang banyak boleh mengganggu tidur. Sebaliknya gerakan yang menjurus kepada latihan jasmani akan membuat anda menjadi letih dan mudah untuk tidur pada malarn hari. 

  • Jangan layan diri dengan kopi, teh, minuman coklat atau cola selepas makan malam kerana minuman itu mengandungi stimulan yang tidak baik untuk tidur. Makan yang terlalu kenyang juga harus dielakkan. Segelas susu suam atau teh herba yang tidak mengandungi kafein boleh melenakan. 

  • Tidurlah di dalam bilik yang gelap, sejuk dan senyap. Jangan tutup muka anda dengan bantal kerana ini boleh menyebabkan sakit kepala. 

  • Kalau anda payah tidur gunakan cara "auto-suggestion" yakni mengulangi sesuatu untuk fikiran anda agar lelap untuk tidur. Ulangi perkataan "Saya sihat dan badan saya mahu rehat" hinggalah terlelap. 

  • Ada orang yang cemas ketika mahu masuk tidur. Ini mungkin menimbulkan masalah. Jadi sebelum ke kamar tidur yakinkan diri anda "Saya pasti akan mendapat tidur yang nyenyak." Sekiranya anda terbangun di waktu malam dan sukar untuk kembali tidur, jangan sekali-kali mencari makanan di dapur atau di dalam peti sejuk. Tabiat ini akan membuatkan anda sering bangun di waktu malam untuk mendapatkan makanan. Jadi anda harus melakukan sebaliknya sama ada membaca, membuat kerja mengait. Cara ini memungkinkan anda tidur kembali. 

  • Ingatlah tidak semua orang perlukan lapan jam tidur setiap hari. Kalau anda rasa cergas dan sihat daripada masa tidur yang anda alami ertinya anda sudah mendapat masa tidur yang cukup. Mengikut Dr. Webb, "Kualiti dan bukan kuantiti tidur yang perlu diambil."