Tuesday, October 25, 2016

KEBAIKAN BEKAM PADA TUBUH...

Seorang pesakit sedang menjalani proses berbekam...

Bekam atau dikenali juga sebagai Al hijamah, atau cupping merupakan satu proses rawatan tradisional mengeluarkan darah kotor dari dalam badan melalui kulit tanpa menjalani proses pembedahan.

Selain masyarakat Islam, masyarakat Cina juga mengamalkan rawatan berbekam sejak dari 1,500 tahun dahulu. Mereka menggunakan tanduk sebagai alat berbekam menggantikan kaca.

Walau apa pun kaedah yang digunakan, tujuan asalnya tetap sama iaitu membuang darah kotor (toksik) dari badan. Rawatan ini dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit serta memulihkan fungsi-fungsi tubuh badan dengan berkesan.

Masyarakat Barat pula menggunakan kaedah bekam atau dipanggil cupping dengan menggunakan lintah. Kaedah ini lebih dikenali sebagai hirudotherapy. Proses bekam menggunakan lintah dilihat mempunyai kelebihan tersendiri.

Alat khas untuk menarik darah bertoksid.
Kulit dilukai terlebih dahulu untuk memulakan bekam...

Selain mengeluarkan darah kotor untuk merawat sesuatu penyakit, lintah juga akan mengeluarkan sejenis enzim yang dipanggil anti coagulant yang berupaya melancarkan perjalanan darah. Enzim anti coagulant yang terdapat di dalam kelenjar air liur lintah merupakan agen anti pembekuan darah.

Kaedah bekam atau dipanggil cupping 
dengan menggunakan lintah. Kaedah ini 
lebih dikenali sebagai hirudotherapy.

Selain itu, terdapat juga bahan-bahan biologi aktif yang lain seperti Collagenase, Proteases, Hyaluronidase dan sebagainya yang dapat membantu tisu-tisu dan organ-organ dalam badan berfungsi dengan baik.

KHASIAT BERBEKAM...

Perawatan dengan kaedah bekam ini memberi banyak kebaikan seperti membantu menyihatkan tubuh badan, menghilangkan keletihan, mengimbangi daya ketahanan badan, membuang angin serta darah kotor, melegakan ketegangan urat dan membantu menguatkan otot-otot dalam badan.

Berikut merupakan beberapa lagi contoh kebaikan berbekam:
  1. Melegakan pening kepala dan menyembuhkan migrain
  2. Membantu melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan
  3. Memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam
  4. Memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki
  5. Membantu mencegah kebas kaki dan meredakan serangan angin ahmar
  6. Dengan mengeluarkan darah toksik dapat melancarkan peredaran darah
  7. Membantu meringankan tubuh
  8. Merawat mata dan menajamkan penglihatan
JENIS 8 WAKTU BEKAM...

Bekam kering atau bekam angin iaitu menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik. Biasanya kaedah ini dilakukan kepada orang yang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga hari.

Bekam basah dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksik dikeluarkan menggunakan alat khas bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik, akan memakan masa antara tiga hingga lima minit bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu.

Kelihatan darah toksid yang dapat dikeluarkan
 melalui proses bekam...

Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihatkan tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.

Pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa waktu berbekam paling baik dilakukan ialah ketika pertengahan bulan kerana ketika itu, darah toksik berhimpun. Bagaimanapun berbekam dapat dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit.

Mereka yang berbekam dinasihati tidak mengambil makanan berat dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum berbekam atau lebih baik berpuasa sebelum berbekam.

LARANGAN BEKAM...

Terdapat beberapa pantang larang bagi sesetengah orang untuk melakukan rawatan bekam kerana dikhuatiri memudaratkan kesihatan. Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, mengalami masalah kulit serius, penghidap leukemia, penghidap diabetes serius dan mereka yang dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang dilarang melakukan rawatan ini.


Antara anggota badan yang tidak boleh dibekam termasuklah mata, telinga, hidung, puting susu, alat kelamin, dubur, bahagian-bahagian badan yang dekat dengan pembuluh darah dan bahagian- bahagian badan yang terdapat tumor, retak tulang serta jaringan luka. 

7 CARA MUDAH HINDAR MENGANTUK DI PEJABAT...

Gambar hiasan...

Umum mengetahui bahawa tidur adalah satu keperluan dalam hidup selain makan. Ini kerana pada waktu itu badan dapat berehat daripada menjalankan kerja-kerjanya.

Tidur juga mampu memberikan tenaga yang akan digunakan apabila melakukan aktiviti harian. Bagaimanapun ada ketikanya rasa mengantuk tetap menyerang walaupun telah mendapatkan waktu tidur yang cukup. Ada yang terpaksa bersengkang mata walaupun tubuh sudah minta direhatkan terutama sekali tatkala berada di pejabat.

Berikut adalah beberapa tip yang sesuai dipraktikkan bagi mengurangkan rasa mengantuk ketika di pejabat.

1. Mandi Sinar Matahari...

Sinar matahari adalah kaedah semula jadi untuk membuka mata yang sedang mengantuk. Sekiranya mata mula berasa berat, maka segeralah cari sinar matahari yang menembusi cermin pejabat anda. Biarkan wajah dan tubuh anda mengenai sinaran tersebut dan selepas itu rasailah perubahannya.

2. Minum Banyak Air...

Salah satu punca yang membuatkan mata mudah mengantuk adalah disebabkan dehidrasi. Apabila anda berhadapan masalah tersebut maka perasaan mengantuk, bingung dan mudah lupa menguasai. Penyelesaiannya adalah dengan minum banyak air bagi mengembalikan kesegaran mata dan tubuh. Justeru, pastikan botol minuman anda sentiasa berisi dengan air, ya!

3. Ambil Sarapan...

Terdapat satu kajian mendapati individu yang mengambil sarapan lebih bertenaga daripada aspek mental mahupun fizikal. Ini kerana, pengambilan sarapan sebenarnya membantu menurunkan hormon kartisol yakni hormon stres yang menjadi punca utama mengantuk. Oleh itu, sebelum masuk ke pejabat, pastikan perut telah diisi dengan makanan yang sesuai (tidak terlalu berat) bagi mengelakkan mata semakin berat.

4. Berjalan Kaki...

Adakah anda pernah tertidur apabila duduk dalam tempoh masa yang agak lama walaupun ketika menaip di hadapan komputer. Usah terkejut kerana ia perkara normal dan biasa terjadi. Cara mengatasinya cukup mudah iaitu bangun dari kerusi dan berjalan seketika di sekitar ruang kerja anda secara perlahan.

5. Tarik Nafas Dalam...

Apabila mata mulai rasa mengantuk, cuba cara ini. Duduk pada posisi relaks kemudian tarik nafas perlahan-lahan sedalam yang mungkin dan hembus untuk enam ke-10saat. Dipercayai, ia mampu meningkatkan pengaliran oksigen di dalam aliran darah sekali gus membuatkan mata kembali celik dan bertenaga.

6. Mendengar Muzik...

Ramai tahu bahawa muzik adalah terapi yang baik pada tubuh. Muzik juga dipercayai membantu meningkatkan kembali tenaga yang kian berkurangan akibat mengantuk. Bagaimanapun pastikan lagu yang didengar itu bukanlah irama yang membuai perasaan hingga membuatkan anda lebih seronok tidur daripada bekerja.

7. Meregangkan Tubuh...

Mungkin ada yang sukar atau malas berjalan di sekitar ruang kerja bagi menghilangkan mengantuk. Tidak mengapa, masih ada kaedah lain yang boleh dicuba. Antara teknik yang dicadangkan ialah regangkan seketika tubuh setiap setengah jam menggunakan regangan yang mudah dilakukan selain tidak mengganggu teman-teman sekerja lain. Pastinya selepas itu, mata dan tubuh anda akan kembali bersemangat untuk bekerja semula.

Monday, October 24, 2016

JANGAN ABAI AMARAN GERAK HATI...

Gambar hiasan...

Kita tentu pernah merasa bersalah dan berdosa semasa atau selepas menunaikan solat. Setiap kali kita melakukan atau mengulang dosa-dosa itu, terdengar-dengar sayup di lubuk hati satu suara yang menyatakan kekesalan atau memberi peringatan dan amaran. Tidak ada orang lain yang tahu dosa itu, bila kita melakukannya atau adakah kita akan melakukannya lagi. Hanya kita yang mengetahuinya!

Suara siapakah itu? Itulah suara daripada bahagian diri kita yang baik-baik.

Bunyi ini disebut sebagai 'suara hati' atau intuisi. Suara bukan seperti bunyi radio yang boleh ditutup sesuka hati. la seperti penggera yang akan berbunyi secara automatik untuk memberi amaran sekiranya kita terdedah kepada sesuatu risiko.

Suara hati atau intuisi ini bertindak seperti perisai pertahanan dan sangat setia kepada anda. Apa-apa sabaja yang tidak betul atau tidak serasi dengan ajaran agama atau pesanan keluarga pasti akan menghidupkannya.

Kadangkala anda sendiri tidak tahu kenapa, tetapi setiap kali anda berada hampir dengan lelaki itu, anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tidak menjadi kesalahan jika anda menyiasat dan menentukan secara spesifik kenapa anda merasa begitu tetapi paling penting ialah bagaimana anda bertindak balas terhadap suara hati tersebut.

Tidak kira lelaki atau perempuan mempunyai pengalaman terhindar daripada sesuatu musibah apabila mereka mendengar dan kemudian bertindak balas terhadap suara hati mereka. Soalannya berapa ramai antara kita yang mengambil berat dan bertindak balas suara hati ini? Berapa ramai pula yang kerana ego yang tinggi tidak peduli langsung kepada bisikan ini'.'

Ada pula yang bertanya, "Bukankah elok jika kita boleh siasat dahulu?" Ya. tidak ada salahnya kita menyiasat tetapi lakukannya sebelum amaran itu menjadi kenyataan. Maknanya kila bercakap tentang tindakan segera dengan menyiasat dan membuat keputusan. Jika sekadar menerima amaran dan menunggu amaran seterusnya lagi tanpa melakukan sebarang tindakan maka anda sebenarnya membuka jalan untuk berduka dan menyesal di kemudian hari.

Tindak Balas...

Mari kita lihat satu situasi. Katalah sejak kebelakangan ini suami anda agak berbeza berbanding setahun yang lalu. Jika anda telah hidup dengannya beberapa tahun maka anda mempunyai satu piawai bagaimana dia menjalani kehidupan setiap hari. Sebagai contoh anda tahu nada suara dia semasa bercakap, cara dia berfikir atau waktu dia menerima panggilan telefon. Apabila perkara-perkara piawai ini tersasar sedikit kemungkinan ada sesuatu yang sedang atau telah berlaku.

Kenapa dia mula kurang bercakap dengan anda? Kenapa dia berfikir tentang perkara yang dulu dia kata dia tidak suka? Kenapa sejak dua minggu lepas dia selalu turun ke tingkat bawah bercakap di telefon? Sistem penggera anda berbunyi dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Anda mungkin betul dan anda juga mungkin salah!

Isteri yang baik, sayang dan kenal suaminya luar dan dalam tidak akan membuang amaran ini. Paling penting sekarang bukan terus menunggu amaran-amaran seterusnya tetapi bertindak balas kepada amaran ini.

Setelah mendengar suara hati ini jangan terus berfikir negatif. Seperti yang disebutkan tadi, anda mungkin betul dan anda juga mungkin salah. Ini kerana suara hati itu adalah penggera keselamatan dalam diri anda. la sama seperti sistem penggera atau alarm di rumah. la boleh berbunyi jika ada penceroboh mengopek pintu rumah anda. Tetapi ia juga boleh berbunyi jika pintu depan rumah anda bergoyang ditiup angin semasa hujan lebat di tengah malam.

Jangan terus berfikir dia sedang bermain sarkas di belakang anda. Jangan terus berfikir yang dia sudah ada gadis lain di luar rumah. Jangan terus berfikir begitu. Mungkin juga dia sedang merancang sesuatu yang istimewa untuk mengejutkan anda. Sesuatu yang istimewa dan di luar kebiasaan. Sesuatu yang tidak anda sangka. Ya, sesuatu yang sangat istimewa kerana minggu depan adalah minggu ulang tahun Jubli Perak Perkahwinan anda!

"Laa, kenapa abang tak cakap!?"

Sumber : Mingguan Wanita 6/2015
Penulis  : Dr. Syed Yusainee Yahya ,
Promind Training And Consultant... 

Thursday, October 13, 2016

MANGGA PENCUCI MULUT PALING POPULAR...




NAMA Saintifiknya MurrMangifera indica L daripada keluarga Anacardiaceae. Mangga dipercayai berasal dari kawasan Indo-Burma dan Asia Tenggara. Di negara ini, kawasan utama penanaman buah mangga adalah di Perak, Perlis dan Kedah. namun ada tanaman secara kecil-kecilan di negeri lain.

Mangga mendapat permintaan tinggi di pasaran dan terkenal antara pencuci mulut popular dalam kalangan masyarakat negara ini. Buah ini mengandungi zat makanan seperti tenaga, karbohidrat, kalsium, potassium, magnesium, vitamin B1, B2, C protein dan niasin. Pokok mangga sederhana besar mencapai ketinggian 10 hingga 40 meter, sementara dahan tumbuh secara bebas dan membentuk kanopi yang menyeluruh.

Daun mangga berbentuk eliptik mudah terus tersusun secara spiral, 10 hingga 40 sentimeter (sm) panjang dan tiga hingga 10 sm lebar, berdaun lebat merah ke coklat hingga ke hijau terang bergantung kepada klon. Mangga mengeluarkan dua jenis bunga iaitu bunga hermoprodite dan bunga jantan pada hujung tangkai yang dewasa.


Bunga hermoprodite biasanya mengandungi satu hingga 40 peratus daripada jumlah (200 hingga 10,000) bunga pada setiap tangkai. Buah terdapat dalam pelbagai saiz dan mengikut klon. Kulitnya hijau ke kuning atau merah ketika masak sementara isinya kuning pucat hingga ke warna oren.

Setiap buah mengandungi biji yang dilitupi endokap' bersabut keras. Kebanyakan jenis mangga di Asia Tenggara terdiri daripada poliembryonik' iaitu mengeluarkan beberapa biji daripada satu buah. Buah yang belum masak boleh dibuat rojak atau jeruk, dikeringkan, diproses menjadi jus atau jem. Kebiasaannya biji berbentuk bujur dan keadaan biji lazimnya penuh dan separuh penuh, selain terdapat biji yang kesep.

Hingga kini hanya empat klon saja yang disyorkan untuk penanaman secara komersil di Semenanjung Malaysia seperti jenis MA 162, MA 165, MA 204 dan MA 224.

Tanaman mangga sesuai dalam keadaan kering agak panjang (antara 2 hingga 4 bulan) dan ketika suhu berada sekitar 24 hingga 30 darjah Celsius, sementara hujan diperlukan ketika berbunga dan pembentukan buah.

Mangga boleh ditanam di pelbagai jenis tanah terutama tanah daripada jenis liat berpasir dengan keasidan tanah pH 5 hingga 7. Di negara ini jenis tanah yang sesuai adalah daripada siri Chuping, Dampar, Gajah Mati, Kangar, Penambang. Rasam dan Telemong. Mangga juga boleh ditanam di tanah bekas lombong tetapi persediaan dan penjagaan rapi perlu dititikberatkan.

Mangga pada kebiasaannya ditanam secara pembiakan tampang, tut atau kaedah klip supaya pokok yang ditanam boleh menyerupai pokok asal dan mengeluarkan hasil dengan cepat. Jarak tanaman yang biasa digunakan adalah sistem empat segi bergantung kepada klon dan MA 224 biasanya ditanam rapat jika dibandingkan dengan MA 165, MA 162 serta MA 204. 

Proses mencantas dilakukan dengan kerap di semua peringkat pertumbuhannya. Pada peringkat permulaan, cantasan membentuk dilakukan supaya dapat mengawal ketinggian pokok ke tahap yang dikehendaki dan untuk mendapatkan dahan yang kuat dan pengeluaran baik. Pokok yang matang juga sering dicantas supaya dapat mengurangkan pertumbuhan yang keterlaluan dan memastikan pembungaan maksimum.

Membungkus buah dilakukan sebagai prosedur biasa dan boleh dilakukan menggunakan kertas surat khabar lama ketika buah sebesar ibu jari untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia dan untuk mendapatkan kualiti buah yang baik.

Program secara koktel penyemburan racun serangga, kulat dan foliar boleh dipraktikkan. Pengairan amat penting pada musim kemarau pada tahun pertama pertumbuhan dan ketika pembesaran buah. Bagaimanapun, pokok tidak digalakkan diairi ketika berbunga dan buah sudah matang. Mangga mengambil masa 13 hingga 16 minggu untuk matang dari masa pembentukan buah bergantung pada klon.

Panduan peringkat memungut hasil adalah seperti berikut iaitu buah mencapai umur yang ditetapkan untuk beberapa klon dan isi berwarna kuning, bahagian atas buah membengkak dan bulat dan leper dan hujungnya seakan- akan berisi dan buah dipetik tenggelam dalam air.

Mengutip hasil hendaklah dijalankan dengan cermat dan jika boleh gunakan galah yang berjaring untuk mengelak daripada mencederakan buah.

Buah dibasuh, dirawat (contoh: rawatan air atau wap panas) kering, digred dan dimasukkan ke dalam kotak bergantung pada keperluan pasaran.

Mangga yang dipetik boleh disimpan selama empat hingga sembilan minggu pada suhu 9 hingga 10 darjah Celsius, sementara buah yang masak boleh disimpan antara 4 hingga 7 hari dalam suhu 18 hingga 21 darjah Celsius.

Wednesday, October 12, 2016

KEMBARA MEDIA 50 TAHUN FELCRA BERHAD, LAWATAN KE PERUMAHAN GEN 2...



24 September 2016 - Selepas menikmati jamuan ringan di Dataran Koperasi, Team Kembara Media, Pegawai Kanan dan semua pelawat menuju ke satu lagi lokasi lawatan iaitu di Perumahan Generasi ke 2 (Gen 2) bagi mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh Tn. Hj. Abdullah b. Othman, Pengurus Besar Bahagian Tanah dan Ukur.

Sebelum melanjutkan pembicaraan, mari kita kaji dahulu sebab-sebab mengapa anak muda berhijrah ke bandar-bandar besar dengan meninggalkan kampung halaman mereka.

Penghijrahan belia dari desa ke bandar merupakan masalah besar di negara kita. Fenomena ini berlaku di serata dunia, tetapi paling ketara dalam negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Beberapa kajian telah dibuat untuk memastikan mengapa kejadian ini berlaku, apa akibat dan ekoran daripadanya serta bagaimana cara menanganinya. Apa tindakan yang harus diambil untuk mengurangkannya kalaupun tidak dapat menghentikannya sama sekali.

Salah satu sebab  anak-anak muda meninggalkan desa ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lumayan di bandar. Pada pendapat mereka pekerjaan di kampung amat terhad bilangannya dan kemungkinan masa depan mereka tidak terjamin. Pemuda dan gadis desa ingin meneroka peluang-peluang pekerjaan di kota. Mereka berharap akan mendapat gaji yang meningkat setiap tahun atau beralih dari satu pekerjaan ke satu pekerjaan yang lebih baik. 

Kesan di kampung juga sungguh menyedihkan. Tanpa orang muda yang kuat dan bertenaga, banyaklah sawah, dusun serta kebun yang terbiar,  bak kata pepatah ‘hidup segan, mati tak mahu’. Keadaan seperti  ini mengancam sektor pertanian negara kita dan akhirnya kebergantungan kita beralih ke tenaga buruh dari Negara luar seperti Indonesia, India dan Bangladesh.

Satu lagi cara mengurangkan penghijrahan belia ke bandar ialah dengan menjadikan desa dan kampung yang lebih menarik dengan memodenkan pertanian melalui benih dan baja bermutu, jentera moden  serta teknik bertani terkini,  maka pendapatan daripada pertanian dapat ditingkatkan. Industri-industri desa yang dimajukan serta industri-industri moden yang ditempatkan di luar bandar dapat menarik perhatian tenaga muda. Demikian juga tempat-tempat hiburan sihat yang diwujudkan di kawasan desa.

Di dalam konteks ini, FELCRA sebagai sebuah Syarikat perladangan yang terbesar dan sesetengah kawasan mempunyai penempatan peserta turut juga merasai situasi yang sama. kebanyakan anak-anak peserta memilih untuk berhijrah ke bandar sedangkan pendapatan bekerja di ladang-ladang yang dimiliki atau dimajukan oleh FELCRA tetap menjanjikan pendapatan yang lumayan dengan syarat mereka ini rajin serta tidak memilih jenis kerja di ladang seperti kerja-kerja menanam, menuai, menoreh, membaja, meracun dan sebagainya.  

Berdasarkan kepada keadaan itu dan ingin mengekang penghijrahan anak muda dari terus berlaku maka Pengurusan FELCRA telah membina perumahan mampu milik yang selesa, kondusif yang dilengkapi infrastruktur moden bagi mengekalkan generasi kedua menetap di desa dan pelaksanaannya dibuat di FELCRA Seberang Perak yang merupakan kawasan penempatan peserta yang terbesar di Negeri Perak.    

Untuk tujuan tersebut, FELCRA Berhad telah membuat permohonan tanah kepada Kerajaan Negeri Perak untuk tapak pembinaan perumahan Generasi ke 2 seperti yang dihasratkan. Akhirnya pada 5 Julai 2006, Kerajaan Negeri Perak telah memberikan kelulusan tanah seluas 159.90 hektar (395.335 ekar) yang terletak di Mukim Pasir Salak, Daerah Perak Tengah.

Peruntukan geran pembinaan infrastruktur 1,059 unit rumah generasi kedua keseluruhan sebanyak RM65,480,100.00 telah diberikan mengikut tahun:

Untuk mendapatkan info yang lebih tepat, sila lihat di bawah.






Semasa taklimat disampaikan, satu perkara yang menarik perhatian adalah apabila dinyatakan bahawa walaupun rumah yang dibina ini hanya untuk Gen 2 sahaja tetapi ia masih boleh dimiliki oleh orang luar dengan syarat mereka mestilah berkahwin dengan anak-anak peserta FELCRA Seberang Perak terlebih dahulu.

Adalah diharapkan dengan adanya rumah Gen 2, prasarana yang lengkap serta gaji bekerja di ladang yang menarik, anak-anak peserta FELCRA Berhad tidak lagi berminat untuk berhijrah ke bandar dan terus menetap di kampung.    

Sesungguhnya warga FELCRA Berhad dan semua peserta harus berbangga dan berterima kasih dengan usaha yang berterusan dari Syarikat demi menaikkan taraf hidup mereka ke arah masa depan yang lebih baik.

En.Mohammad b. Abdul Rahman, 
Pengurus Besar Komunikasi Korporat
sedang memberikan ucapan...

Tn. Hj. Abdullah b. Othman, 
Pengurus Besar Bahagian Tanah dan Ukur 
sedang memberikan taklimat...


Semua wartawan dan jurukamera sedang memberikan tumpuan
 terhadap taklimat yang sedang disampaikan...

Tn. Hj. Abdullah mengiringi CEO Berhad,
Tn. Zulkarnain Md. Eusoff melawat di ruang pameran.
Turut kelihatan ialah En. Mohd Fauzi b. Hj. Mohd Tahir
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Hal Ehwal Peserta...


Lawatan ke rumah contoh Gen 2...







Keadaan di dalam rumah Gen 2...









Sessi sidang akhbar antara Tn. CEO bersama wartawan...




Replika rumah Gen 2 yang diletakkan di ruang pameran...




Monday, October 10, 2016

KEMBARA MEDIA 50 TAHUN FELCRA BERHAD. LAWATAN KE KOPERASI PESERTA-PESERTA RANCANGAN FELCRA SEBERANG PERAK BHD.

24 Sept 2016 - Kembara Media 50 Tahun FELCRA Berhad diteruskan lagi. Lokasi lawatan seterusnya adalah ke Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak Bhd. bertempat di Dataran Koperasi.

Ketibaan Pegawai-Pegawai Kanan yang diketuai oleh CEO FELCRA Berhad, Tn. Zulkarnain b. Md. Eusoff, Team Media serta semua pelawat kira-kira jam 11 pagi telah disambut barisan kepimpinan Koperasi yang diketuai oleh Pengurus Besarnya, Tn. Hj. Mior Shahrin b. Hj. Mior Mohd Yusop, AMP, PPT.,  Ahli-ahli Lembaga Pengarah KPR serta semua staf.

Barisan staf Koperasi sedang menunggu ketibaan pelawat 
di hadapan pejabat mereka di Bandar Seberang Perak...

En. Zol Kepli b. Samuri, Pengerusi Koperasi sedang 
melayan pertanyaan CEO FELCRA Berhad...     

Barisan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi...

Diantara tetamu dan pelawat yang hadir... 

Tn. Hj. Mior Shahrin b. Hj. Mior Mohd Yusop, AMP, PPT
Pengurus Besar Koperasi sedang memberikan taklimat..,.

Tn. Hj. Mior Shahrin b. Hj. Mior Mohd Yusop, AMP, PPT memulakan taklimat dengan memberikan sedikit latar belakang tentang Koperasi. Menurutnya, penubuhan koperasi telah dicadangkan pada 30 Jun 1985. Berdasarkan kepada cadangan tersebut satu Mesyuarat Penaja Pertama telah diadakan pada 25 September 1985 dan akhirnya Koperasi Peserta telah didaftarkan mengikut Akta Koperasi 1946 & pindaan Akta tahun 1993 pada 4 Januari 1986. (No. Pendaftaran : 55884/1/207/PK). 

Dengan pendaftaran tersebut, nama asal koperasi sebelum ini iaitu Koperasi Peneroka-Peneroka Felcra Seberang Perak Berhad telah ditukar kepada Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad dan ianya dimiliki oleh Peserta-peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak dan anak-anak anggota Koperasi. Lokasi Koperasi adalah di Lot 04217, COOP Business Centre, Lebuh Paduka, Felcra Bandar Seberang Perak 36800 Kg. Gajah, Perak.    

Para pelawat sedang tekun mendengar 
taklimat yang sedang disampaikan...

Satu pos istimewa dari staf koperasi... 

Menurut Tn. Hj. Mior lagi tujuan atau objektif Koperasi ditubuhkan adalah untuk menyatu dan menggabungkan elemen-elemen sosial dan ekonomi yang dimiliki oleh peserta-peserta Felcra untuk mencapai matlamat pembangunan secara global dari segi fizikal dan spiritual.    

Pada asal penubuhannya, bilangan anggota koperasi hanya seramai 315 orang sahaja dengan saham sebanyak RM35,000. Bagi melancarkan perjalanan koperasi yang memulakan perniagaan sebuah kedai runcit, 5 orang staf telah dilantik untuk menguruskannya yang terdiri dari seorang penyelia, seorang kerani dan 3 orang pembantu kedai. Pejabat Operasi Koperasi ketika itu hanyalah menumpang di Pejabat Unit Peserta Felcra Seberang Perak.  

Sejajar dengan hasrat dan keperluan peserta serta Pengurusan FELCRA Berhad, Kopersai telah mula berkembang dengan aktiviti perniagaan yang bertambah. Dari sebuah kedai runcit kini Koperasi mula melaksanakan kerja-kerja kontrak secara kecil-kecilan dan membangunkan Mini Filling Station Jenama Esso. Pada tahun 2002, keanggotaan Koperasi yang sebelum ini hanya seramai 315 orang telah bertambah secara berperingkat sehingga mencapai 1,741 orang.

Bagi meningkatkan saham, dengan ehsan Felcra Berhad serta persetujuan dari peserta, potongan sara hidup telah dibuat kepada semua ahli dan hasil daripada potongan itu saham sebelum ini sebanyak RM35,000 telah meningkat kepada RM1.5 juta. Pejabat Koperasi yang sebelum ini menumpang di Pejabat Unit Peserta telah mampu menyewa di Tingkat 2, Bangunan Pengarah Projek Felcra Seberang Perak dari tahun 1986 hingga 2011.

Dan kini iaitu pada 31 Ogos 2016, ahli koperasi telah meningkat kepada 1,832 orang dengan pecahan iaitu anggota peserta Felcra seramai 1,556 orang dan anak anggota peserta seramai 273 orang. Modal syer saham terkumpul juga telah meningkat kepada RM4,211,155.72.

Peningkatan adalah seperti berikut :
  1. Tahun 2008 - anggota koperasi 1,741 org - saham terkumpul - RM1,848,181.00
  2. Tahun 2009 - anggota koperasi 1,679 org - saham terkumpul - RM1,779,111.00
  3. Tahun 2010 - anggota koperasi 1,675 org - saham terkumpul - RM1,892,796.00
  4. Tahun 2011 - anggota koperasi 1,688 org - saham terkumpul - RM1,933,351.00
  5. Tahun 2012 - anggota koperasi 1,722 org - saham terkumpul - RM2,054,274.00
  6. Tahun 2013 - anggota koperasi 1,745 org - saham terkumpul - RM2,266,630.97
  7. Tahun 2014 - anggota koperasi 1,760 org - saham terkumpul - RM2,860,814.72
  8. Tahun 2015 - anggota koperasi 1,816 org - saham terkumpul - RM3,684,501.16
  9. Tahun 2016 - anggota koperasi 1,832 org - saham terkumpul - RM4,211,155.72
Berdasarkan keupayaan dan kesungguhan, koperasi kini telah diberi kontrek kerja-kerja persawahan, kontrak sawit, kontrak tanam semula sawit, kontrak JPS dan kontrak pengangkutan & kejenteraan. Disamping itu koperasi juga mendapat kontrak mini estate sawit  di Tapah dengan keluasan tanah 250 ekar dan di Tanjung Tualang seluas 50 ekar. 

Di bidang teknikal pula, Koperasi diberi kepercayaan untuk melaksanakan kontrak teknikal daripada agensi kerajaan seperti FELCRA Berhad, JKR, JPS dengan lesen CIDB gred G7.

Dengan JKR, Koperasi diberi kepercayaan untuk membina Mahkamah Baharu Tapah dan Sekolah Menengah Cht Lada, Dengan KKLW, diberi kontrak membina masjid FELCRA Berhad Nasaruddin, Bota. Dengan KPKT, diberi kontrak membina landskap di Teluk Batik. Manakala dengan FELCRA Berhad sendiri, Koperasi di beri kontrak Bio Valley -feedlot, Infra persawahan, Rumah Penyelia dan Kolej FELCRA.

Di bidang Pemasaran dan Trading, Koperasi menjalankan perniagaan Coopmart, Coop Hardware & Input Pertanian, Coopcafe, Perkhidmatan stesyen minyak, Coop Sub DC, Pemborongan LPG Gas memasak dan pengedar baja dan racun.

Koperasi juga membuat pelaburan kewangan, pembiayaan Anggota dan Kakitangan, Kursus dan Latihan serta Hal Ehwal Anggota.

Kopersai telah membuat pembangunan di COOP Business Centre di tanah seluas 5 ekar berstatus Industri. Tanah ini adalah anugerah Kerajaan Neger Perak pada tahun 1990.

Jika pada peringkat awal dahulu iaitu antara tahun 1986-1990, Koperasi memiliki sebuah Mini Filling Minyak berjenama Esso, tetapi pada tahun 1990 stesyen minyak itu telah dibangunkan semula dan ditukar dengan jenama Shell.

Mulai 2005, tapak perniagaan ini telah dibangunkan secara bersepadu merangkumi bangunan bengkel kejenteraan (2005/2006), Coop Mart (2007/2008), Bangunan pejabat (2010), Dataran Koperasi (2010), Pembangunan semula kali ke 3, Stesyen Minyak (2011/2012), Bangunan Coop Hardware & Input Pertanian (2013), Stor Sub DC/Coop Mart (2014), Bengkel Kejenteraan yang baru. Semua pusat perniagaan ini telah siap sepenuhnya pada tahun 2014 dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.4 juta dan telah dirasmikan oleh Y.B. Dato' Sri Ismail Sabri b. Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) pada 4 Mei 2012.

Kepada anggota masyarakat, Koperasi tidak ketinggalan berbuat bakti di mana pada tahun 2015, sebanyak RM25,000 telah disumbangkan kepada Corporate Social Responsbility (CSR), Bayaran Zakat sebanyak RM235,573.72 (2015), Pembiayaan mudah tanpa faedah kepada anggota Koperasi sebanyak RM3,500 seorang, Pulangan pelaburan saham anggota dengan dividen yang kompetitif, Mencipta peluang pekerjaan di mana sehingga kini seramai 110 orang staf dari jawatan Pengurus Besar hingga ke Pengawal Keselamatan telah diambil bekerja dengan Koperasi.    .

Pencapaian prestasi urusniaga 5 tahun kewangan berakhir 31 Dis 2006-2015, untung bersih Koperasi dan pembayaran dividen kepada anggota:

        Tahun   Untung Bersih                Pembayaran 
  1. 2006 - RM759,687.00            RM110,789.32 (10%)
  2. 2007 - RM957,689.00            RM152,200.87 (10%)
  3. 2008 - RM1,087,404.00         RM183,432.45 (10%)
  4. 2009 - RM1,836,388.00         RM176,551.85 (10%)
  5. 2010 - RM2,296,156.00         RM268,606.20 (15%)
  6. 2011 - RM3,191,182.00         RM285,670.46 (15%)
  7. 2012 - RM3,131,461.00         RM303,848.85 (15%)
  8. 2013 - RM4,678,188.96         RM410,787.32 (20%)
  9. 2014 - RM4,138,244.13         RM508,455.78 (20%)
  10. 2015 - RM3,361,720.34         RM533,644.27 (17%)
Berdasarkan kepada pencapaian yang cemerlang sepanjang 30 tahun beroperasi, tidaklah mustahil jika Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Bhd mendapat banyak pengiktirafan dan anugerah dari Kementerian dan Kerajaan Negeri sepertimana yang telah direkodkan. Antara pencapaian dan anugerah yang diterima adalah:
  1. 2010 - Anugerah kepimpinan Institusi Koperasi Rancangan Felcra Terbaik  
  2. 2011 - Koperasi Rancangan Felcra Terbaik 2011
  3. 2012 - Pengistiharan Koperasi Terbaik KKLW Tahun 2010 (Tempat Pertama)
  4. 2013 - Pengistiharan Koperasi Terbaik KKLW Tahun 2011 (Tempat ke 3
  5. 2014 - Anugerah Koperasi Terbaik KKLW Tahun 2012 (Tempat Pertama)
  6. 2015 - Anugerah Koperasi Terbaik KKLW 2013 (Tempat Pertama)
  7. 2016 - Anugerah Koperasi Terbaik KKLW Tahun 2014 dan 2015 (Tempat Pertama)
Manakala Anugerah & Penarafan Yang Diterima dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)/Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunan (KPDNNK) seperi berikut:
  1. 2010 - Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Perak
  2. 2011 - Anugerah Pengurus Koperasi Terbaik Negeri Perak
  3. 2012 - Penarafan Pemeriksaan Usaha Wajar DDE (SKM) - 5 Bintang dan Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2012 (Tempat ke 45)
  4. 2013 - Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2013 (Tempat 32) 
  5. 2014 - Indeks 100 Koperasi TerbaikMalaysia 2014 (Tempat ke 29), Anugerah Peserta Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) Terbaik Kategori Koperasi Tahun 2014
  6. 2015 - Pengekalan Penarafan Pemeriksaan Usaha Wajar, PRISKOP (SKM) - Anugerah 5 Bintang, Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2014 (Tempat ke 19)           
Sekalung tahniah untuk Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak Bhd dan selamat maju jaya.


Penyampaian cenderahati oleh Pengerusi KPR, En. Zol Kepli b. Samuri 
kepada Ketua Media, Tn. Hj. Hashim...

Penyampaian cenderahati oleh Pengerusi KPR, En. Zol Kepli b. Samuri 
kepada CEO FELCRA Bhd. Tn. Zulkarnain Md Eusoff...

Semua pelawat menikmati jamuan ringan setelah 
taklimat dan penyampaian cenderahati selesai... 

Turut kelihatan ialah Tn. Hj. Ahmad Nahar b. Md. Yatim, 
Pengurus Kawasan FELCRA Lekir...


Seorang tukang masak sedang menggoreng pisang 
untuk hidangan para tetamu...

Tn. Hj. Ali Sidek (kanan), salah seorang Marshall 
sedang bertukar-tukar fikiran dengan En. Fakrolrazi, 
Ketua Unit Tanaman Padi FELCRA Seberang Perak...  


Turut juga kelihatan ialah
 En. Wan Mokhtar b. Wan Muda (kanan), 
Pengurus Besar Wilayah Utara dan di tengahnya,
 En. Mohd Nawawi b. Abdul Wahab, 
Pengarah Urusan FELCRA Plantation Services Sdn. Bhd. 





Satu pos istimewa dari En. Azman Md. Azhar, (kiri),
Pengurus Kumpulan Pemasaran FELCRA Plantation, 
En. Jamaluddin Razali, Pengurus Besar Wilayah Johor dan 
En. Mohd Yusri b. Zakaria dari Pejabat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat...

Turut juga kelihatan ialah En. Mohd Fauzi b. Hj. Mohd Tahir, 
Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Peserta 
dan di kirinya En. Marzuki b. Zulkifli 
(Jurukamera Komunikasi Korporat)...

Tn. Zulkarnain Md. Eusoff, CEO FELCRA Berhad 
membuat lawatan ke dalam pejabat Koperasi 
dengan diiringi Pegawai-pegawainya...

Turut mengiringi beliau ialah Tn. Hj. Saifuddin Omar, (di kanan)
Pengurus Besar Wilayah Timur

Jurukamera Akbar Tempatan sedang merakam 
gambar-gambar di dalam pejabat Koperasi....

Tn. Hj. Mior Shaharin, Pengurus Besar Koperasi
mengiringi lawatan Tn. CEO ke COOP Mart...

Turut mengiringi lawatan Tn. CEO ialah 
En. Zol Kepli b. Samuri, Pengerusi Koperasi...



2 orang Cashier COOP Mart...