Thursday, October 13, 2016

MANGGA PENCUCI MULUT PALING POPULAR...




NAMA Saintifiknya MurrMangifera indica L daripada keluarga Anacardiaceae. Mangga dipercayai berasal dari kawasan Indo-Burma dan Asia Tenggara. Di negara ini, kawasan utama penanaman buah mangga adalah di Perak, Perlis dan Kedah. namun ada tanaman secara kecil-kecilan di negeri lain.

Mangga mendapat permintaan tinggi di pasaran dan terkenal antara pencuci mulut popular dalam kalangan masyarakat negara ini. Buah ini mengandungi zat makanan seperti tenaga, karbohidrat, kalsium, potassium, magnesium, vitamin B1, B2, C protein dan niasin. Pokok mangga sederhana besar mencapai ketinggian 10 hingga 40 meter, sementara dahan tumbuh secara bebas dan membentuk kanopi yang menyeluruh.

Daun mangga berbentuk eliptik mudah terus tersusun secara spiral, 10 hingga 40 sentimeter (sm) panjang dan tiga hingga 10 sm lebar, berdaun lebat merah ke coklat hingga ke hijau terang bergantung kepada klon. Mangga mengeluarkan dua jenis bunga iaitu bunga hermoprodite dan bunga jantan pada hujung tangkai yang dewasa.


Bunga hermoprodite biasanya mengandungi satu hingga 40 peratus daripada jumlah (200 hingga 10,000) bunga pada setiap tangkai. Buah terdapat dalam pelbagai saiz dan mengikut klon. Kulitnya hijau ke kuning atau merah ketika masak sementara isinya kuning pucat hingga ke warna oren.

Setiap buah mengandungi biji yang dilitupi endokap' bersabut keras. Kebanyakan jenis mangga di Asia Tenggara terdiri daripada poliembryonik' iaitu mengeluarkan beberapa biji daripada satu buah. Buah yang belum masak boleh dibuat rojak atau jeruk, dikeringkan, diproses menjadi jus atau jem. Kebiasaannya biji berbentuk bujur dan keadaan biji lazimnya penuh dan separuh penuh, selain terdapat biji yang kesep.

Hingga kini hanya empat klon saja yang disyorkan untuk penanaman secara komersil di Semenanjung Malaysia seperti jenis MA 162, MA 165, MA 204 dan MA 224.

Tanaman mangga sesuai dalam keadaan kering agak panjang (antara 2 hingga 4 bulan) dan ketika suhu berada sekitar 24 hingga 30 darjah Celsius, sementara hujan diperlukan ketika berbunga dan pembentukan buah.

Mangga boleh ditanam di pelbagai jenis tanah terutama tanah daripada jenis liat berpasir dengan keasidan tanah pH 5 hingga 7. Di negara ini jenis tanah yang sesuai adalah daripada siri Chuping, Dampar, Gajah Mati, Kangar, Penambang. Rasam dan Telemong. Mangga juga boleh ditanam di tanah bekas lombong tetapi persediaan dan penjagaan rapi perlu dititikberatkan.

Mangga pada kebiasaannya ditanam secara pembiakan tampang, tut atau kaedah klip supaya pokok yang ditanam boleh menyerupai pokok asal dan mengeluarkan hasil dengan cepat. Jarak tanaman yang biasa digunakan adalah sistem empat segi bergantung kepada klon dan MA 224 biasanya ditanam rapat jika dibandingkan dengan MA 165, MA 162 serta MA 204. 

Proses mencantas dilakukan dengan kerap di semua peringkat pertumbuhannya. Pada peringkat permulaan, cantasan membentuk dilakukan supaya dapat mengawal ketinggian pokok ke tahap yang dikehendaki dan untuk mendapatkan dahan yang kuat dan pengeluaran baik. Pokok yang matang juga sering dicantas supaya dapat mengurangkan pertumbuhan yang keterlaluan dan memastikan pembungaan maksimum.

Membungkus buah dilakukan sebagai prosedur biasa dan boleh dilakukan menggunakan kertas surat khabar lama ketika buah sebesar ibu jari untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia dan untuk mendapatkan kualiti buah yang baik.

Program secara koktel penyemburan racun serangga, kulat dan foliar boleh dipraktikkan. Pengairan amat penting pada musim kemarau pada tahun pertama pertumbuhan dan ketika pembesaran buah. Bagaimanapun, pokok tidak digalakkan diairi ketika berbunga dan buah sudah matang. Mangga mengambil masa 13 hingga 16 minggu untuk matang dari masa pembentukan buah bergantung pada klon.

Panduan peringkat memungut hasil adalah seperti berikut iaitu buah mencapai umur yang ditetapkan untuk beberapa klon dan isi berwarna kuning, bahagian atas buah membengkak dan bulat dan leper dan hujungnya seakan- akan berisi dan buah dipetik tenggelam dalam air.

Mengutip hasil hendaklah dijalankan dengan cermat dan jika boleh gunakan galah yang berjaring untuk mengelak daripada mencederakan buah.

Buah dibasuh, dirawat (contoh: rawatan air atau wap panas) kering, digred dan dimasukkan ke dalam kotak bergantung pada keperluan pasaran.

Mangga yang dipetik boleh disimpan selama empat hingga sembilan minggu pada suhu 9 hingga 10 darjah Celsius, sementara buah yang masak boleh disimpan antara 4 hingga 7 hari dalam suhu 18 hingga 21 darjah Celsius.

No comments:

Post a Comment