Dalam hati, timbul juga perasaan sedih bila mengenangkan emak yang sedang sakit di hospital, harap-harap adalah sesiapa yang menunggunya sepanjang hari dan dapat pula membacakan ayat-ayat suci Al-Quran atau mengajarnya mengucap. Tapi aku yakin, adik beradik aku semuanya boleh membaca Al-Quran dengan baik kerana semasa kecil, arwah ayah telah menghantar kami kepada ustaz untuk mengaji Al-Quran.
Aku terus menelefon kakakku Fatimah untuk mengetahui akan perkembangan selanjutnya tentang kesihatan emak dan bertanya siapa yang menunggu dia sekarang ini. Fatimah memaklumkan bahawa Romina yang sedang menunggu. Menurut Fatimah lagi bahawa abang kami yang nombor dua dalam keluarga iaitu Zakaria yang sekarang ini menetap di Skudai, Johor telah tiba bersama isteri, anak-anak serta menantunya kira-kira jam 8 pagi tadi dengan menaiki dua buah kereta.
Kesemua mereka tidak terus menziarahi emak di hospital kerana merasakan bahawa mereka tentu tidak dibenarkan masuk kerana masa melawat belum tiba lagi iatu kira-kira pukul 12 tengahari nanti. Sementara menanti waktu tersebut, kakakku Fatimah telah memasak makanan tengahari untuk mereka semua dan selepas itu mereka semua bercadang untuk menziarahi emak pada pukul 4 petang sahaja nanti kerana waktu melawat pada pukul 12 hingga pukul 2 petang terlalu singkat.
Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segala-galanya. Kira-kira jam 12.40 tengahari, aku mendapat panggilan telefon dari kakakku Fatimah yang memaklumkan bahawa emak telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kembali menghadap Tuhannya kira-kira jam 12.19 tengahari tadi. Ini bermakna abangku Zakaria serta keluarganya tidak sempat berjumpa emak semasa hayatnya masih ada.
Aku terus menghubungi abangku Omar dan adikku Rahim untuk memaklumkan akan berita yang baru diterima. Aku juga menghubungi isteriku yang sedang bertugas di Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur supaya bersiap-siap untuk pulang segera ke kampung. Aku juga memaklumkan kepada semua rakan-rakan yang ada di pejabat ketika itu dan menulis sekeping nota kepada sahabatku Olhusni untuk dibuat pengumuman melalui pembesar suara yang menjadi amalan syarikat selama ini.
Abangku Shamsuddin (Din) yang kini berada di rumah anaknya di Shah Alam dan menunggu masa untuk berangkat ke Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya pada 6 pagi esok juga menelefon aku memaklumkan bahawa ia akan pulang sebentar untuk menziarahi emak untuk kali yang terakhir sehingga selesai dikebumikan dan selepas itu, ia akan berangkat semula ke Shah Alam.
Tepat pukul 2 petang, kami semua bertolak pulang dan perlu sampai segera kerana jenazah emak akan dikebumikan selepas sembahyang Asar petang ini juga. Didalam perjalanan aku tidak putus-putus menerima ucapan takziah dari kawan-kawan melalui SMS. Dengan ucapan itu, tahulah aku bahawa pengumuman akan kembalinya ibuku kerahmatullah telah dibuat. Sepanjang perjalanan juga adikku Shamsiah memaklumkan bahawa, tukang mandi, kain kapan, keranda serta kereta jenazah telah disediakan, begitu juga kubur yang telahpun digali.
Perjalanan kami diiringi hujan lebat, aku tidak dapat memandu dengan lancar serta perlu berhati-hati. Ini membuatkan aku merasa tidak mungkin akan tiba cepat. Aku menelefon Shamsiah supaya menunggu ketibaan kami dan dia memberi tempoh sehingga pukul 5.45 petang kerana jenazah akan dibawa ke masjid untuk disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid tersebut.
Alhamdulillah, setelah menempuh perjalanan yang jauh, kami pun tiba di kampung jam 5.30 petang. Saudara mara, jiran-jiran serta seluruh kenalan telahpun memenuhi diluar rumah serta ruang tamu. Aku adalah orang yang terakhir tiba kerana aku dapati semua adik beradikku telahpun ada.
Tanpa membuang masa, kami terus menuju ke dalam rumah dan mendapati jenazah emak sedang dimandikan. Aku terus menuju ke jenazah emak dan mengucup dahinya. Selepas itu aku berwuduk dan terus menunaikan solat asar. Setelah itu aku mencapai surah Yassin yang ada di dalam bilik dan mula membacanya di tepi dinding berhampiran jenazah yang sedang dimandikan.
Setelah urusan mandi selesai, kami beramai-ramai mengangkat jenazah emak keruang tamu untuk di sempurnakan. Peluang diberi kepada semua anak-anak, menantu serta cucu-cucunya untuk menatap wajah emak buat kali terakhir. Jenazah telah dimasukkan kedalam keranda dan kami mengusungnya keluar, sebelum di masukkan kedalam kereta jenazah, abangku Omar telah diberi tanggungjawab untuk menyampaikan sedikit ucapan kepada semua yang hadir bagi mengucapkan terimakasih, memohon maaf dan meminta jika emak ada berhutang dengan sesiapa yang belum diselesaikan harap datang berjumpa keluarga untuk diselesaikan.
Cadangan untuk menguburkan emak selepas Asar tidak kesampaian kerana jenazah hanya siap disempurna dan dimasukkan kedalam kereta jenazah pada jam 6.45 petang dan tiba di Masjid Simpang, jam 6.55 iaitu kira-kira 5 minit azan maghrib akan dikumandangkan.
Sebaik-baik jenazah tiba di masjid, hujan pula telah turun dengan lebatnya sehinggalah sembahyang maghrib dan solat jenazah selesai. Solat jenazah telah di imamkan oleh cucu emak iaitu Hisham (anak abangku Shamsuddin yang nak pi Mekah tu..) yang menuntut di UIA Kuantan. Hujan yang turun dengan lebatnya tiba-tiba berhenti sebaik-baik jenazah dibawa keluar dari masjid untuk dibawa ketanah perkuburan.
Semua Urusan selesai pada jam 8.30 malam dan Abangku Din dengan anak-anaknya terus bergegas pulang ke Shah Alam untuk ke Mekah pagi esoknya sementara kami yang tinggal terus menuju kerumah emak dan ada yang terus kesurau kerana majlis tahlil akan dibuat oleh jemaah surau pada malam itu juga.
Emak yang berusia 85 tahun telah meninggalkan 15 orang anak, 15 orang menantu, 68 orang cucu yang masih hidup (seorang anak dan 4 cucunya telah meninggal dunia semasa kecil) dan 30 orang cicit.
Begitu lah berakhirnya hidup seorang ibu yang telah dipisahkan dari anak-anaknya , Jasanya kepada kami amatlah besar dan tidak dapat dibalas. Kami akan sentiasa merindui mu ibu dan kami juga sudah lama merindui ayah yang telah lama pergi mendahului ibu kira-kira 12 tahun yang lalu. Tiada apa yang perlu disesalkan lagi dan buktikanlah kasih sayang kita kepada keduanya dengan menjadi anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.
Pertautkanlah kembali ikatan dan kasih sayang sesama kita anak-anaknya semoga arwah ibu dan ayah tenang dipersemadiannya.
Akhirnya aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakanku En. Zainal Abidin Sabli yang telah menyediakan sebuah kereta syarikat yang berada dibawah seliaannya untuk membawa kawan-kawan setugasku dari Kuala Lumpur iaitu En. Rafia Olhusni, Che Hashim, Cik Sai'dah, Cik Nurul dan Muhammad Hisham datang menziarahi jenazah ibuku dimana mereka sanggup menunggu sehingga jenazah selesai disempurnakan.
Ucapan terimakasih juga aku tujukan kepada rakan-rakan yang telah mengirimkan ucapan takziah, dan yang menyumbang wang ringgit kepada keluarga kami. Budi baik semua akan dikenang sehingga keakhir hayat.
bersama emak yang sukar dilupakan...
ditanah perkuburan Islam, Kg. Simpang, Taiping, Perak
(rakan sepejabatku) dan Salina di Hari Raya 1429 H.
semasa kami singgah selepas menghadiri perkahwinan
En. Zaiful yang juga rakan setugasku di Semanggol, Perak.
Gambar di rakam pada 24/9/2011 iaitu kira-kira
sebulan sebelum emak meninggal dunia pada 24/10/2011
semasa perkahwinan mereka di Manjung, Perak
Carta ini adalah carta keluarga yang aku buat pada tahun 2000 dulu.
Sehingga kini ia masih tidak diupdate. Tahun yang tertera
didalam setiap kotak adalah tahun anak-anak emak
melangsungkan perkahwinan dengan pasangan masing-masing.
(Sila klik untuk imej lebih jelas).
AL FATIHAH UNTUK IBU KU!!!