Sunday, October 30, 2011

DETIK-DETIK AKHIR PEMERGIAN IBUKU BHG. 2

23 Oktober, 2011 (Ahad). Jam 3 pagi, Amri yang baru selesai menutup kedai makannya mengajak Johari dan Ahmad Rashidi (abang D) untuk pergi melawat emak di hospital. Mereka pergi dengan menaiki dua buah kereta kerana ramai yang ingin mengikutnya.

Apabila tiba di hospital, kesemua mereka merasa hampa kerana pengawal yang bertugas tidak membenarkan seorang pun masuk melawat emak. Walaupun ada diantara mereka yang menggambarkan perasaan tidak puas hati di wajah tapi akhirnya kesemua mereka akur dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Pukul 6 pagi, Rahim bersama keluarganya seramai 10 orangpun tiba. Katanya ia bertolak malam tadi dari rumahnya di Batu Caves , tapi apabila tiba di Rawang, berlaku kesesakan yang amat teruk di lebuhraya kerana mungkin ramai yang nak pulang ke kampung masing-masing berikutan cuti Deepavali yang akan di sambut pada 26 Oktober nanti. Oleh kerana keletihan, ia mengambil keputusan untuk berhenti rehat di RNR Tapah untuk tidur terlebih dahulu. Itulah yang menyebabkan ia sampai pukul 6 pagi.

Pagi itu kami semua bersarapan di rumah emak kerana Omar telah menyediakan bahan-bahan masakan bagi sessi pagi dan sessi tengahari. Isterinya Siti Hajar (Kak Siti) yang akan memasaknya dengan dibantu oleh adik-beradik yang lain.

Aku pula mengajak abang iparku Mohd Nor dan adikku Rahim untuk bersarapan pagi di gerai MARA berhampiran Masjid Taiping, kerana aku teringin nak makan bihun sup yang boleh lah dikatakan sedap juga kerana aku telah mencubanya sebelum ini. Setelah selesai bersarapan, kami pulang semula kerumah emak dan melihat sarapan yang telah disediakan oleh Kak Siti tadi telah terhidang. Kamipun berpura-pura lapar dan menghentam bihun goreng yang telah disediakan itu.

Kak Siti dan crewnya meneruskan tugas-tugas untuk penyediaan masakan makan tengahari pula. Kami semua perlu pantas kerana waktu melawat pukul 12 tengahari hampir tiba. Kami semua tidak mahu membuang masa, tambahan pula kerana, ada yang belum dapat melawat lagi dari semalam.

Aku telah memaklumkan kepada sesiapa yang nak ikut menaiki keretaku perlu cepat bersiap kerana tepat pukul 12 tengahari aku akan bergerak. Alhamdulillah...keretaku yang boleh memuat seramai 7 orang telahpun dipenuhi dan kami terus menuju ke Wad D5, Hospital Taiping. Ketika sampai waktu melawatpun dah tiba. Tanpa membuang masa kami semua pun masuk.

Sedia menunggu didalam ialah adikku Shamsiah yang datang awal pagi tadi bersama suaminya Azman. Keadaan mak tetap tidak berubah dan dia nampaknya semakin uzur, tekanan darah emak tinggi iaitu 200/113, kandungan gula didalam darahnya juga tinggi menyebabkan doktor memberikan insulin.

Saudara mara yang datang semakin ramai dan kami terpaksa memberikan ruang kepada mereka untuk merapatkan diri ke katil emak. Aku memerhatikan di setiap wajah-wajah mereka yang hadir dan mendapati mulut mereka berkumat kamit menandakan kesemua mereka membacakan ayat-ayat suci Al-Quran mohon kepada Allah supaya mengasihani ibu kami dan memberi rahmat serta keampunan kepadanya.

Pukul 2 petang, waktu melawat pun tamat, Kami semua akan menuju kerumah abangku Shamsuddin (Din) yang terletak lebih kurang 3 km dari Hospital Taiping. Tujuan kami semua kesana ialah kerana Din dan isterinya Asni (Kak Asni) akan berangkat ke rumah anaknya di Shah Alam terlebih dahulu kerana pukul 6 pagi pada hari Selasa 25 Oktober nanti mereka perlu berada di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor untuk berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Fardhu Haji pada Tahun ini 1432H. Din dan isterinya mendapat peluang ke Tanah Suci di saat-saat akhir.

Disaat-saat emak berada didalam keadaan kritikal, kami kehilangan dua tonggak utama di dalam keluarga kerana abangku yang sulung iaitu Abd Rani dan Isterinya telahpun berangkat awal ke Mekah pada 15 Oktober lalu dan diikut Din dan isterinya pada hari ini. Kedua-dua mereka ini adalah penyambung tugas dalam menjaga kebajikan emak selepas ayah meninggal pada 17 Mei, 1999 lalu.

Majlis bacaan doa selamat telah bermula, ramai jiran-jiran yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka berdua. Azan telah dilaungkan menandakan mereka berdua telah bersedia untuk berangkat. Anak mereka iaitu Nuruddin akan memandu kereta sehingga ke Shah Alam. Turut menemani kedua-dua ibu bapa mereka ialah anaknya yang bongsu iaitu Rabiatul Adawiyah. Tugas mengemas rumah diserahkan kepada seorang lagi anak mereka yang dipanggil Kak Chik sebelum beliau pulang ke Pulau Pinang kerana bertugas disana.

Setelah kereta mereka berlepas, kami yang ada, akan pergi semula ke hospital kerana waktu melawat untuk sessi petang iaitu diantara pukul 4 hingga 7.30 pm akan tiba. Walaubagaimanapun Kakak aku Jamaliah (Maliah) akan terus pulang bersama suaminya ke Manjung kerana suaminya Zakaria bertugas malam itu. Kakak ku yang seorang lagi iaitu Aishah (Esah) dan suaminya Abg Lah akan menumpang kereta Maliah untuk pulang ke rumah mereka di Lenggong, Perak kerana Abang Lah tidak berapa sihat.

Kami tiba di hospital kira-kira jam 4 pm dan terus masuk untuk mendapatkan emak yang terbaring lesu. Turut berada disitu ialah adikku Shamsiah, Romina dan anak saudaraku Husni (anak abangku yang sulung Abd. Rani yang kini berada di Mekah).

Kesihatan emak makin menurun, Abang emak yang dah tinggal seorang iaitu Pak Chik Hashim tiba untuk menziarahinya. Kami semua mengelilingi katil emak dan akan memulakan bacaan Yassin dan doa secara perlahan sebentar lagi yang akan dipimpin olek kakak iparku iaitu Siti Hajar (Kak Siti). Semasa bacaan berlangsung, seorang lagi kakakku iaitu Fatimah (Timah), menyapu air ke mulut emak (Air Yasin yang dah disediakan sebelum ini) , apabila air tersebut menyentuh bibir, mulut emak kelihatan bergerak-gerak dan lidahnya menjilat-jilat air tersebut memberikan gambaran bahawa keadaan dirinya yang berada di dalam keadaan yang amat dahaga...

Walaupun waktu melawat telah tamat pada pukul 7.30 pm tadi, tapi kami masih lagi berada di situ dan jururawat yang bertugas memberikan kerjasama yang baik kepada kami untuk membenarkan kami terus berada di wad tersebut seolah-olah mereka pun tahu bahawa inilah peluang terakhir kami untuk berada disisi emak...

Kami semua perlu menghormati pesakit yang lain dan mesti meninggalkan wad segera. Sebelum beredar pulang, aku merapatkan mulut ke telinga emak dan mengajarnya Mengucap Dua Kalimah Syahadah lebih kurang dalam 5 minit. Akhir sekali aku memohon berbanyak maaf dan memohon keampunan darinya. Aku berharap emak mendengar bisikan ku itu.

Aku dan keluarga akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur sebentar lagi kerana esok hari Isnin kami akan bekerja. Isteriku Salina mesti hadir bertugas kerana terpaksa mengambil alih tugas seorang kawannya yang bercuti disamping menjalankan tugas beliau sendiri yang sedia berlambak-lambak itu.

Sebelum pulang, seorang lagi kakak iparku iaitu Hamidah (Kak Midah) berhajat untuk belanja aku dan keluarga makan di kedai berhampiran rumahnya, tapi sebelum itu aku singgah dulu dirumahnya untuk melakukan solat Jamak Isyak dan Maghrib.

Abangku Omar dan adikku Rahim serta keluarga masing-masing telahpun berangkat pulang kerumah masing-masing di Sg. Buloh dan Batu Caves, Selangor selepas melawat sebentar tadi manakala seorang lagi abangku iaitu Johari dan isteri nya Rohani (Kak Ani) yang tinggal di Sungai Pelong tidak pulang kerana ingin menunggu dalam sehari dua lagi.

Setelah selesai sembahyang, kami pun menuju ke gerai makan yang dimaksudkan dan turut serta ialah abangku Mohd Izhar (suami Kak Midah) dan kakakku Fatimah. Selepas makan, akhirnya aku mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua dan tepat pukul 10 malam aku pun berangkat pulang dalam keadaan hati yang berbelah bahagi. Aku sampai dirumahku di Serdang, Selangor pada pukul 3 pagi dan kira-kira pukul 7 pagi nanti aku dan isteri akan bertolak ke pejabat untuk bekerja pada Isnin pagi itu.


Bersambung untuk siri yang akhir dan kesudahan riwayat hidup emak beserta gambar-gambar kenangan....Nantikan...

1 comment:

  1. The next day,24hb aku dihubungi Mat dan sblom dia memberitahu yg mak sudah tiada,aku ada menyatakan kpdnya yg aku risau meninggalkan emak sorang2.Aku kata pada mat yg aku akan balik kjap lagi nak lihat mak,nak jaga mak bersama kak Siti....dan Mat mencelah myatakan yg emak sudah meninggal kjap tadi.jam 1229 th....Aku jadi kaku dan trus bersiap2 untk pulang,ikut bersama ialah akan gadis ku,Nur Shuhada dan Nur Hidayah.Seminggu sblom itu aku sempat bawa mak berjalan2 hingga ke R&R Gunong Semanggol,dia makan toti bakar dan sadikit nasi lemak dgn kopi,ptgnya aku bawa dia ke Bandar Taiping,dia makan Pasembor Rojak dan Popiah,dlm perjalanan balik dia klihatan tenang dan wajahnya berseri2.Kami singgah rumah Kak Midah dan balik lbehkurang jm 8mlm....itu lah kenangan terakhir aku dan Kak Siti bersamanya.

    ReplyDelete