Thursday, October 27, 2011

DETIK-DETIK AKHIR PEMERGIAN IBUKU BHG. 1

Sabtu. 22 Oktober, 2011. Kira-kira jam 11.30 pagi, ketika aku berada dirumah, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) masuk kekotak handphoneku. Ianya datang dari Romina adikku.

"Cmat, skrg ni rmh mk ramai ada tgh baca Yasin, pg td tba2 mk dh xblh ckp, mata pn dh xblh bka."

Tanpa membuang masa, aku terus menelefon Romina, tapi yang menjawabnya abangku Shamsuddin (Din). "Assalamualaikum Din, mak kena apa?" aku terus menanyakan soalan kepada Din.

"Mak nampak dah loghat." terdengar suara Din menjelaskan kepadaku akan keadaan mak. Aku yang tidak faham akan maksud Din terus bertanya "loghat tu apa Din?" Din terus menjawab "Mak nampak macam dah nak sampai hukum..."

Aku yang sangat terkejut mendengar penjelasan Din terus berkata "Aku nak balik sekarang ni" Din kemudian berkata "Terpulanglah pada hang" seketika itu juga talian telefon lalu terputus.

Tanpa membuang masa aku terus menelefon abangku Omar yang tinggal di Sungai Buloh, Johari di Sungai Pelong dan adik aku Rahim di Batu Caves untuk memaklumkan akan keadaan mak.

Setelah itu aku mengarahkan isteri dan anak-anakku bersiap segera untuk kami berangkat pulang ke kampungku di Taiping. Memandangkan jam ketika itu sudah pukul 12. 30 tengahari, aku menangguhkan ke pukul 1 supaya dapat menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu.

Kira-kira jam 1.30 petang, Aku bersama isteri dan dua anakku iaitu Rini dan Amsyar pun berangkat pulang dengan sebuah kereta melalui lebuhraya Utara Selatan yang dijangka akan mengambil masa kira-kira 31/2 jam untuk tiba di kampung. Anakku yang sulung iaitu Afif sedang bekerja manakala Alia yang nombor dua berada dikolejnya di Banting, Selangor.

"Kita baru je balik 2 minggu lepas melawat mak." aku berkata secara tiba-tiba kepada isteriku. "Patutlah mak nampak macam letih dan tak ade mood." aku terus berkata-kata sambil mencapai handphone dengan tujuan untuk menghantar SMS kepada Romina (Na) bagi mengetahui perkembangan selanjutnya tentang kesihatan mak.

"Na...mak macamana?" tanyaku melalui SMS.
"Dh lena...kami bru hbs baca Yasin." jawap Na, juga melalui SMS.
Kira-kira 15 minit kemudian aku menghantar satu lagi SMS kepada Romina memaklumkan bahawa kami dalam perjalanan balik ke kampung.

Romina kemudian SMS memaklumkan "mak dah ok sikit." Mendengarkan penjelasan Romina itu maka aku terus menghantar SMS kepada Omar, Johari dan Rahim supaya jika ingin mengetahui keadaan mak, terus saja tanya mereka-mereka yang berada dikampung kerana aku ingin memberikan tumpuan semasa memandu.

Kami tiba jam 3.30 petang. Berada di sisi katil mak ketika kami tiba ialah kakakku Aishah (Esah), Fatimah (Timah), Jamaliah (Maliah), adikku Amri dan Romina (Na). Turut kelihatan ialah dua orang abang iparku iaitu Abdullah (Abang Lah, suami Esah) dan Mohd Nor (suami Timah).

"Mak kena stroke pagi tadi, tangan dan kaki kiri dah tak boleh bergerak lagi. Kami baru sudah baca Yassin, Ustaz Samad yang bawak, Din baru je balik sebab dia kena siap pasai besok dah nak pi haji " Romina memberitahuku.

Aku merapatkan diri ke katil. Aku lihat mak mengangkat tangan kanannya keatas dan kebawah seolah-olah seperti melakukan senaman. Mata mak terpejam. Aku bersalam dengan mak, sebaik-baik memegang tanganku, mak menggenggam erat dan aku dapat merasakan yang tanganku terasa sakit sedikit apabila mak memulas jari jemariku.

"Mak dari tadi macam tu lah, mata dia dari masa kena stroke sampai sekarang tak boleh buka lagi." Romina terus memberi penjelasan.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, adik iparku, Zaini (suami Romina) datang, ketika dia melihat mak dalam keadaan begitu, dia terus berkata. "Kita tak boleh biar mak macam ni, kita kena bawak ke hospital cepat sebelum jadi apa-apa!"

Aku terus menelefon Din dan Shamsiah adikku memaklumkan bahawa kami akan membawa mak kehospital segera. Zaini pun terus menghubungi hospital Taiping dan kira-kira 15 minit kemudian sebuah ambulan dari Pertahanan Awam pun tiba dan mak terus dibawa kehospital dengan ditemani Maliah.

Kami segera menunaikan solat Asar dan sesudah itu terus menuju ke hospital Taiping. Ketika kami tiba, emak berada di wad kecemasan. Shamsiah, Romina dan Maliah turut berada dibilik kecemasan.

Aku memohon kepada pengawal untuk masuk sama kedalam, tapi tidak dibenarkan kerana katanya dah ramai, setelah aku merayu, akhirnya aku dibenar masuk tapi dengan syarat salah seorang kena keluar.

Ketika berada didalam, aku lihat dua orang doktor berbangsa Cina, (lelaki dan perempuan) sedang memberikan rawatan dan mengambil beberapa keterangan yang perlu dari kami. Setelah selesai semuanya, salah seorang doktor tadi (perempuan) memaklumkan bahawa mak kena stroke, dan sekarang dia perlu di scan dan di X-Ray bagi menentukan samada terdapat darah beku di otaknya ataupun tidak. Stroke yang menyerang mak juga perlu ditentukan samada darahnya beku atau cair, jika sekiranya beku, kami akan memberi ubat untuk cairkan dan jika sekiranya darahnya cair, kami tak beri apa-apa ubat. (Disini, aku nak minta maaf, jika sekiranya aku salah menceritakan apa yang aku dengar dari doktor).

"Tapi juru X-Ray akan datang pada pukul 9 malam nanti sebab sekarang dia ada ditempat lain, selepas X-Ray, baru boleh pindah ke wad biasa." doktor perempuan tadi menjelaskan.

Aku segera melihat jam di dinding hospital dan mendapati waktu baru pukul 6.30 petang. Sebentar kemudian abangku Mohd Izhar (At), isterinya Hamidah (kak Midah), abang dan kakak ipar Romina iaitu Abang Mi dan Kak Ton pun datang. Oleh kerana kami semua sudah tidak dibenarkan masuk, maka aku mengajak semua untuk pergi makan dulu dan tugas menunggu mak aku serahkan pada Shamsiah.

Dengan menaiki dua buah kereta, kami semua pergi makan di kedai yang berhampiran dengan hospital iaitu di stesyen keretapi Taiping. Hampir satu jam disitu, Shamsiah menelefon memaklumkan bahawa mak dah selesai X-Ray dan sekarang berada di wad biasa iaitu di Wad D5, tingkat 5, bilik kenanga.

Kami semua bergegas ke wad tersebut, tapi tidak dibenarkan masuk sebab waktu melawat dah tamat. Tapi kalau nak masuk juga kenalah bergilir-gilir seorang demi seorang. Aku akhirnya masuk dahulu, dan sedia ada didalam ialah Shamsiah yang mengiringi dari wad kecemasan tadi.

Mak sudah pun bertukar memakai baju hospital, kelihatan dua botol air dimasukkan melalui saluran. Mata mak terus terpejam dan nafasnya sedikit kencang. Aku merapatkan mukaku ketelinga kanan mak dan membisikkan bahawa aku berada disisinya ketika ini dan membacakan Al Fatihah, Tiga Qul dan mengajarnya mengucap secara perlahan ditelinganya . Sepuluh minit kemudian aku pun keluar untuk memberi peluang kepada yang lain pula.

Din telahpun tiba ke hospital setelah pagi tadi bersiap-siap mengemas barang-barangnya untuk di bawa ke Mekah. Turut tiba selepas itu Kakak ku Azizah beserta suaminya Abd. D dan anaknya Hafiz dari Batu Gajah, begitu juga dengan kedatangan anak saudaraku Noraina (anak abangku yang sulung iaitu Abd. Rani dan isterinya Siti Aishah yang kini sudahpun berada di Mekah). Noraina datang dari Pulau Pinang. Omar, Johari dan Rahim yang aku hubungi tengahari tadi masih belum tiba, tapi aku faham masalah mereka kerana sewaktu dihubungi, mereka semua tidak berada di rumah kerana ada urusan masing-masing yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Setelah menunggu hampir setengah jam, Omar pun tiba bersama keluarganya. Manakala Johari dan isterinya Rohani yang hampir tiba kehospital, aku nasihatkan supaya balik dulu kerumah mak kerana aku yakin dia tak akan dibenarkan masuk kerana peraturan yang terlalu ketat. Setelah berbual-bual sebentar dengan Omar dan keluarganya, kami semua pun beredar untuk pulang ke rumah mak dan meninggalkan Omar serta isterinya Siti Hajar dan dua anak gadisnya iaitu Hidayah dan Syuhadah di ruang menunggu wad D5. Dari kejauhan aku melihat mereka merayu kepada pengawal untuk membenarkan mereka masuk.


Bersambung ke Bhg. 2...(sedang di update)

4 comments:

  1. Bersabar lah menempuh dugaan. Semua Ketentuan di tangan Ilahi.

    Aku tunggu bhg.ke2, nak tahu kesudahannya. cepatlah sikit.

    ReplyDelete
  2. Nasib baik blogger buat mengikut bhg. sempatlah aku buat keje lain dulu...kejap lagi suami pulak nak balik makan...

    Apa kesudahannya...?

    ReplyDelete
  3. Ramainya adik beradik die niii....he...he...he...Semua nama nak dimasukkan. Bagus jugak tue, kalau tidak nanti ada yg. kecik hati plak, datang ziarah tapi nama tak ade...

    ReplyDelete
  4. Sejurus tiba dihospital,Taiping, aku sempat bertanya kabar dgn adek2 akan keadaan mak di ruang bawah[main gate],ta buang masa aku trus minta masok,masa tu dah hampir 12 mlm.Aku dan Siti masok dan mak klihatan bergerak2 dgn tangannya cuba mencapai sesuatu, aku membisik ditlinganya dgn ayat2 ALLAH dan mak jlas,mgkin dpt merasai nekmat kbsaraan Allah...aku menitis kedlm mulutnya sadikit ayer dan mulutnya bergerak2 tanda ada kehausan yg nyata..Alhamdullilah dia nampak lega sadikit.Siti[isteri]sempat membaca surah YASSIN disisi mak....slesai kami bredar kluar untk memberi ruang anak ku Shuhada dan Hidayah masok..dan mreka smpat sama2 membaca YASSIN...untuk OPAH yg mereka sangat sayangi.

    ReplyDelete